05 Ogos 2011

Mengapa Zambry nafi p’raya olok-olok di Perak

5 Ramadhan 1432H. [MOD] -

IPOH, 5 Ogos: “Adakah benar Umno BN Perak tidak melaksanakan pilihan raya olok-olok sepertimana pengumuman Tengku Adnan baru-baru ini?” tanya Ketua Penerangan Perak, Ahmad Nuri Al-Amin.

Sehubungan itu, PAS negeri berterima kasih kepada Timbalan Presiden MIC, Datuk Dr S. Subramaniam atas ulasannya yang berkeyakinan bahawa Barisan Nasional (BN) tidak akan kehilangan Negeri Perak dan Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Katanya, ulasan itu yang dibuat berikutan peningkatan sokongan rakyat terhadap BN bersandarkan pengumuman Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada Isnin yang lalu hasil pilihan raya olok-olok yang dijalankan parti itu sejak Mei lepas.

“Ulasan ini juga jelas membenarkan berita bahawa memang telah berlaku pilihan raya olok-olok kendalian BN di seluruh negara termasuk di Perak, sesuatu yang sedang dinafikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir,” ujarnya dalam satu kenyatan.

Baginya, penafian Zambry terhadap pilihan raya olok-olok di Perak amat mengejutkan.

Katanya, laporan The Malaysian Insider yang menyebut BN mungkin akan tewas sekali lagi di Perak dan kedudukan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) BN yang dimenangi oleh Umno juga bakal tergugat dilihat telah menjadikan pemimpin BN celaru dan membuat kenyataan yang bertentangan.

“Jika hasil sebenarnya pilihan raya olok-olok tersebut bertentangan dengan apa yang telah di keluarkan dalam laman portal The Malaysian Insider, mengapa Zambry perlu menafikan apa yang diumumkan oleh Tengku Adnan?” soalnya.

Katanya, apa yang perlu Zambry lakukan hanyalah menyokong kenyataan Datuk Dr S. Subramaniam dan membidaskan laporan portal tersebut.

Apa yang pasti, katanya Zambry tentunya tidak akan merelakan imejnya tercalar dengan jangkaan kegagalan BN Perak untuk kembali menerajui Kerajaan Negeri Perak setelah tumbang pada PRU 12 tahun 2008 di bawah Tan Sri Mohamad Tajol Rosli Mohamad Ghazali dahulu.

Malah, ujarnya laporan itu juga seolah mengesahkan bahawa BN dan Umno Perak yang diterajui oleh Zambry masih gagal memulihkan masalah dalaman mereka yang semakin meruncing.

“Bagi kami jika laporan tersebut tidak bertepatan, banyak ruang lain termasuk ruang perundangan yang boleh diambil oleh Zambry bagi membuktikan kepalsuan berita tersebut, dan bukan dengan hanya mengambil langkah mudah menafikannya tanpa ulasan munasabah,” katanya lagi.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: