25 Ogos 2011

Bandar raya New York, Washington bergegar

25 Ramadhan 1432H. [MOD] -

ORANG ramai berkumpul di Freedom Plaza selepas gegaran akibat gempa bumi di Washington, semalam.
Gempa di pusat bandar dirasai sehingga ke Toronto

WASHINGTON: Gempa bumi luar biasa melanda bahagian pantai timur Amerika dan Kanada kelmarin, menggegarkan bangunan dan memaksa pengosongan bangunan pejabat di beberapa bandar dan menangguhkan penerbangan di New York.

Pada masa sama, pihak berkuasa memulakan langkah berjaga-jaga berikutan taufan Irene yang sedang bergerak dari Caribbean dan dijangka membadai wilayah itu hujung minggu ini.

Tiada sebarang laporan kemusnahan teruk atau kecederaan akibat gempa bumi dengan magnitud 5.9 yang dilaporkan Jabatan Geologi Amerika Amerika sebagai berpusat di Mineral, Virginia pada kedalaman satu kilometer.

Tiga menara di Gereja Nasional Washington, kawasan perkuburan negeri untuk beberapa Presiden Amerika Syarikat rosak dan patah, manakala tempat kongres bersidang, US Capitol mengalami kerosakan kecil kelmarin akibat gempa bumi.

Pengarah komunikasi gereja Episcopal, Richard Weinberg, berkata menara pusat setinggi 30 tingkat mengalami kerosakan ketara dengan tiga corak bunga lili pecah dan jatuh.

Gereja Nasional dengan berat 150,000 tan dan dibina menggunakan batu kapur dan mengambil masa 83 tahun untuk disiapkan adalah puncak yang tertinggi di Washington.

Kakitangan Pentagon dan US Capitol diarah mengosongkan bangunan. Pekerja pejabat yang panik keluar ke jalan di bandar itu selepas waktu makan tengah hari yang menyebabkan peralatan pejabat jatuh dari rak serta tempat penyimpanan.

“Kami dapat berasa gegarannya,” kata Larry Beach yang bekerja di Agensi Perkembangan Antarabangsa Amerika Syarikat di pinggir Washington, yang terletak kira-kira 133 kilometer dari pusat gempa.

Di NEW YORK, gegaran turut memaksa mahkamah dan majlis bandaran dikosongkan, manakala kerja pembinaan di tapak Pusat Dagangan Dunia ditangguhkan.

Menara kawalan di Lapangan Terbang Antarabangsa John F Kennedy di bandar raya New York dan Lapangan Terbang Newark Liberty di New Jersey turut dikosongkan dan penerbangan ditangguhkan sementara pihak berkuasa memeriksa menara kawalan dan landasan.

“Kami harap dalam menyambung operasi. Kami bercakap mengenainya berjam-jam,” kata jurucakap Pihak Berkuasa Pelabuhan New York dan New Jersey.

Tidak jelas sama ada sebarang kerosakan atau kecederaan di New York, tetapi jabatan bomba dan pegawai polis di Dutchess County, utara bandar raya New York melaporkan kerosakan struktur pada sesetengah bangunan.

“Kami menerima banyak panggilan mengenai bangunan bergegar, tetapi tiada laporan kerosakan struktur buat masa ini, hanya orang ramai yang panik menghubungi mengenai bangunan bergegar,” kata jurucakap jabatan Bomba bandar raya New York.

Bangunan di Boston turut dikosongkan, sementara saksi memberitahu yang gempa turut dirasai sejauh Toronto.

Lampu trafik juga tidak berfungsi di seluruh Washington dan unit di loji nuklear Virginia turut terputus berikutan gempa itu. – Reuters

BERSEDIA UNTUK BERSIH 3.0, TOLAK JAWATANKUASA KHAS

25 Ramadhan 1432H. [MOD] -

APABILA Najib mengumumkan bahawa PRU ke 13 akan diadakan pada bila-bila masa tanpa terikat dengan apa yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Khas Parlimen berkaitan penambaikan Sistem Pilihanraya, maka sudah sampai masanya BERSIH dengan kerjasama Pakatan Rakyat dan semua NGO yang mendukung BERSIH merancang mulai sekarang untuk mengadakan BERSIH 3.0.

Sebenarnya, majoriti penyokong BERSIH boleh dikatakan tidak mempercayai lagi Najib, tetapi sebagai menghormati pimpinan di dalam BERSIH dan Pakatan Rakyat, kita serahkan kepada mereka untuk memikirkan adakah Najib boleh dipercayai atau tidak.

Nah, sekarang terbukti Najib penipu besar apabila mengeluarkan kenyataan yang tidak bertangungjawab itu. Ini lah rupanya PM kita yang hanya pentingkan kerusi empuknya semata-mata.

Kenyataan Najib itu merupakan satu cabaran kepada BERSIH untuk mengulangi apa yang telah kita lakukan pada 09 Jul yang lalu. Mungkin kali ini Najib mahu melihat gerakan yang lebih besar kalaupun tidak menyamai gerakan rakyat di Dataran Tahrir, Mesir.

Kita mesti tentukan Najib akan menyesal dengan tindakannya itu yang mengundang semangat rakyat untuk bangkit menjatuhkan rejim Umno/Bn.

BERSIH tiada pilihan lain lagi melainkan menolak syor untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas berkenaan yang dijadikan umpan untuk memerangkap BERSIH dan parti Pembangkang. Apabila kita sibuk untuk merancang serta mengemukakan pindaan bagi membaikpulih sistem pilihanraya di negara ini melalui Jawatankuasa Khas itu nanti,

Najib serta merta akan mengumumkan pembubaran Parlimen bagi mengadakan Pilihanraya Umum. Ketika kita tidak bersedia, mereka menyerang kita.

Kami sentiasa menanti BERSIH 3.0 dan kami menolak untuk mempercayai Najib lagi.

Oleh: WFAUZDIN NS

Fadhilat Ramadhan

25 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Hari ini kita akan menamatkan siri petikan hadis-hadis mengenai Lailatul-Qadr. Insya-Allah kita akan belajar hadis-hadis mengenai bab iktikaf pada siri-siri akan datang.

Daripada Anas r.a. beliau berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda :

' Apabila tiba Lailatul-Qadr, turunlah Jibrail a.s. bersama satu kumpulan para malaikat memohon rahmat ke atas setiap hamba yang sedang berdiri atau duduk mengingat Allah s.w.t. dan apabila tiba Hari Raya mereka, iaitu Hari Raya Fitrah maka Allah s.w.t. akan membangga-banggakan mereka kepada para malaikat-Nya. Dia berfirman:

" Wahai malaikat-Ku! Apakah balasan seorang pekerja yang menyempurnakan kerjanya?" Mereka berkata : " Wahai Tuhanku, balasannya ialah disempunakan ganjarannya." Allah berkata lagi : " Wahai malaikat-Ku, hamba-hamba-Ku lelaki dan perempuan yang telah menyempurnakan fardhu -Ku ke atas mereka,

kemudian mereka keluar sambil melaungkan doa - Demi kemulian dan kehebatan-Ku, kemurahan dan ketinggian-Ku dan demi kedudukan-Ku pasti Aku menerima doa-doa mereka. Kemudian Allah s.w.t. berkata ( kepada hamba-hamba itu ) : " Pulanglah kamu,

sesungguhnya Aku telah mengampunkan kamu dan telah Ku tukarkan segala keburukan kamu dengan kebaikan." Nabi s.a.w. berkata: 'Lalu mereka pun pulang dalam keadaan terampun'.

Huraian Ringkas.

Kedatangan Jibrail a.s. bersama para malaikat dinyatakan juga di dalam Al-Quran sebagaimana yang diterangkan sebelum ini. Banyak hadis-hadis juga menyebutnya. Ada hadis yang menyebutkan bahawa Jibrail a.s. akan menyuruh malaikat-malaikat supaya pergi ke rumah orang-orang yang sedang berzikir lalu berjabat tangan dengan mereka.

Di dalam kitab Ghaliatul-Mawaiz terdapat nukilan dari kitab Ghuniyyah karangan Syaikh Abdul Qadir Jailani rah.

di dalam hadis riwayat Ibnu Abbas r.a. dinyatakan bahawa dengan arahan Jibrail a.s. itu, para malaikat akan bertebaran dan tidak ada satu rumah pun samada kecil atau besar, di darat atau di laut yang ada di dalamnya orang-orang beriman kecuali mereka memasukinya untuk bersalaman tetapi mereka tidak akan masuk ke rumah yang ada di dalamnya anjing, khinzir, orang berhadas besar kerana zina ataupun gambar.

Berapa banyak rumah orang Islam yang ada tergantung gambar sebagai perhiasan lalu mereka merugikan diri mereka dengan tangan-tangan mereka sendiri dari ni'mat rahmat yang begitu besar. Orang yang menggantungkan gambar hanyalah seorang tetapi dia menjadi sebab penghalang dari masuknya malaikat rahmat ke rumah itu lalu dia telah merugikan seluruh isi rumah itu bersamanya.

Naim Qlate

24 Ogos 2011

Gaddafi sedia berundur

24 Ramadhan 1432H. [MOD] -

ZAGREB: Bekas Presiden Croatia, Stipe Mesic, berkata Muammar Gaddafi bersedia untuk berundur daripada politik jika Nato menghentikan serangan ke atas Libya.

Dikenali sebagai rakan karib Gaddafi, Mesic berkata, pemimpin Libya itu memberitahunya mengenai hasrat bersara daripada politik baru-baru ini.

“Ia membuka ruang kepada sistem pelbagai parti, tetapi semuanya hanya boleh dilakukan apabila Nato menghentikan serangannya,” katanya.

Mesic berkata, dia menerima “mesej lisan” daripada Gaddafi minggu lalu dan memaklumkan mengenai hasrat itu kepada duta China, Russia dan Amerika Syarikat di Croatia. Gaddafi dan Mesic bersahabat sejak sekian lama. Pada 1970-an, Mesic pernah mengetuai sebuah syarikat Yugoslavia membina apartmen di Libya. - AFP

Ramadhan bukan sekadar ruhiyah tapi bulan siyasah

24 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Umat Islam seluruh dunia termasuk di Malaysia menyambut kedatangan bulan yang paling mulia dalam kalendar Islam, Ramadan al-Mubarak dengan penuh kegembiraan dan keinsafan.

Ia bukan sekadar bulan diwajibkan berpuasa tetapi lebih penting pada bulan ini hukum dan perlembagaan tertinggi buat umat manusia, al-Quran, diturunkan Allah SWT.

"Bulan Ramadhan, yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan (antara yang benar dan salah)." (maksud al Baqarah: 185)

Melalui al-Quran, maka Allah SWT menyelesaikan segala kemelut dan permasalahan manusia khasnya bagi mereka yang mahu menjunjung dan melaksanakannya.

Oleh itu bulan Ramadan ini bukan sekadar bulan ruhiyah (spiritual) bagi mereka yang tekun menghayatinya tetapi ia sebenarnya bulan siyasiyah (politik) kerana di bulan inilah hukum dan peraturan lengkap bagi manusia diperturunkan Allah SWT kepada Rasul-Nya SAW.

Di samping kita mengejar manfaat dan kelebihan Ramadan sebagai bulan ruhiyah kita juga wajar menghayatinya sebagai bulan siyasiah bagi mengembelengkan seluruh tenaga dalam meyakinkan segenap lapisan masyarakat bahawa formula untuk menyelamatkan agama, bangsa dan negara kita hanyalah apabila kita kembali kepada al-Quran yang diturunkan pada bulan ini di samping berpegang teguh kepada Sunnah Rasul-Nya.

Di bulan penuh barakah ini jangan sekali-kali kita lupa nasib saudara-saudara kita di bumi Islam yang sedang bergolak khasnya di Palestin, Iraq dan Afghanistan, di samping mereka yang sedang bertarung nyawa di Chechnya, Selatan Filipina, Selatan Thai dan seluruh bumi umat Islam di dunia ini.

Titipkanlah doa di bulan yang penuh rahmat ini, mudah-mudahan Allah SWT memberikan kemenangan dan kejayaan kepada mereka setelah sekian lama hidup dan menderita dalam kesengsaraan, darah dan air mata.

Semoga Ramadan tahun ini mampu membangkitkan kesedaran kita untuk mempertingkatkan amal ibadat menuju keredaan Allah di samping menyedarkan kita bahawa hanya Islam penyelamat kita di dunia dan di akhirat, lantas marilah kita sama-sama kembali kepadanya, InsyAAllah dengan bantuan Allah SWT, PAS Perak akan memimpin rakyat Perak kearah keredhaan Allah SWT

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan “Ramadan Kareem” kepada semua umat Islam, mudah-mudahan kekuatan dan semangat yang terbentuk sepanjang Ramadan ini akan terus memperteguhkan iltizam kita untuk sama-sama membela, mempertahan dan memperjuangkan Islam hingga ke akhir hayat.

Ustaz Abu Bakar Hussain
(Pesuruhjaya PAS Perak)

PAS: 'Daftar pemilih kotor' untuk tumbangkan S'gor

24 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Dewan Pemuda PAS Pusat mendakwa pihaknya mempunyai "daftar pemilih kotor" yang didakwa boleh menumbangkan kerajaan negeri Selangor pada pilihan raya umum akan datang.

Timbalan Pengerusi Lajnah Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Mohd Adram Musa berkata pihaknya mempunyai data seramai "puluhan ribu" yang didakwa "pengundi klon".

"Apa yang kami ada, daftar pemilih kotor yang sudah cukup untuk menjatuhkan kerajaan negeri Selangor.

"Adakah ini kerja-kerja seperti mana yang disebut oleh perdana menteri yang berkata melakukan apa sahaja untuk mengambil balik Selangor?

"Apa yang kami ada, sudah cukup (untuk) menjatuhkan kerajaan Selangor," katanya.

Menurutnya lagi, berdasarkan analisis pihaknya jumlah pengundi klon itu, membolehkan BN merampas sekurang-kurang sepuluh kerusi DUN di negeri itu.

Sehubungan itu, beliau mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya dan Jabatan Pendaftaran Negera menjelaskan jumlah pengundi dari daftar pemilih yang telah digugurkan dan yang akan digugurkan.

Pihaknya memberi masa 14 hari kepada kedua-dua pihak tersebut untuk membuat penjelasan.

malaysiakini/-

Kelantan ambil alih bina lebuhraya KB-Kuala Krai

24 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KOTA BHARU, 24 Ogos: Kerajaan Kelantan bersetuju mengambil alih pembinaan lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai berikutan Kerajaan Persekutuan melengah-lengahkan pembinaan jambatan tersebut sebagaimana yang terkandung dalam RMK-9.

Dianggarkan sejumlah RM1.9 bilion kos pembinaan yang diperlukan berbanding peruntukkan asal RM2.3 bilion.

(Husam menyerahkan sumbangan Aidil Fitri kepada armalah di masjid Kamil Hassan)

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa, berkata bagaimanapun berkata pada RMK-10, peruntukkan itu telah ditarik balik.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan sumbangan Aidilftiri kepada golongan armalah dan anak yatim di Masjid Kamil Hasan, dekat sini.

Lebih 500 orang penerima juga turut membabitkan pelajar IPT, penghulu, guru-guru Pasti menerima sumbangan tersebut.

Menurutnya lagi, lebuh raya berkenaan begitu penting bagi kemudahan orang ramai sama ada dari segi ekonomi atau pulang berhari raya di
kampung.

“Anak Kelantan diperantauan sentiasa berhadapan dengan kesesakan jalan raya khususnya dimusim cuti sekolah dan perayaan.

“Kerana itu, kerajaan negeri terpaksa menyediakan inisiatif baru untuk menjayakan pembinaan jalan raya berkenaan dengan cara pembukaan tander kepada swasta,”ujarnya.

Tambahnya, kerajaan negeri membuka peluang kepada mana-mana syarikat yang ingin mengambil bahagian untuk memajukan projek berkenaan.

Setakat ini, katanya tiga syarikat yang telah mengemukakan permohonan mereka dengan menghantar cadangan untuk memajukannya.

Sambungnya, kerajaan negeri masih memberi peluang kepada mana-mana syarikat yang berminat untuk mengambil bahagian.

harakahdaily/-

Bab al-Azizya kena gempur

24 Ramadhan 1432H. [MOD] -

TRIPOLI: Pemberontak semalam melancarkan serangan besar-besaran ke atas Bab al-Azizya yang menjadi kubu Muammar Gaddafi ketika anak lelaki pemimpin Libya itu muncul menafikan berita penahanannya.

Sebelum itu, pejuang pemberontak memberikan amaran awal untuk meningkatkan serangan dengan sokongan kereta kebal milik tentera yang mereka rampas.

Bunyi tembak-menembak kedengaran memuncak di tengah bandar raya Tripoli sejak pemberontak memasuki ibu negara Libya itu Ahad lalu.

Asap tebal pula kelihatan menjulang dari kompleks berkenaan.

Ketika bunyi tembakan senjata berat dan ringan memenuhi suasana, jet Nato pula melancarkan serangan lebih hebat berbanding beberapa hari lalu.

Bunyi peluru dan bom digugurkan dapat didengar sejauh dua kilometer.

Kumpulan pemberontak pula mundar-mandir di tengah kota menaiki lori dan kereta sejak mereka berjaya memasuki Tripoli dan menguasai stesen televisyen negara.

Walaupun begitu, di sebalik tanggapan bahawa Gaddafi kini hanya menunggu masa untuk tumbang, persoalan sejauh mana tentangan diberikan tentera yang setia kepadanya masih menjadi tanda tanya.

Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, menggesa peralihan kuasa di Libya dilakukan secara menyeluruh sambil menuntut Gaddafi menyerah kalah.

“Perjuangan pemberontak masih belum berakhir,” katanya.

Menteri Pertahanan Perancis, Gerard Longuet, berkata situasi konflik di Libya belum berakhir, malah ia masih jauh untuk dicapai.

Imej pemberontak tercalar teruk semalam selepas dakwaan mereka menahan Saif al-Islam dinafikan dengan kemunculan anak Gaddafi itu di khalayak ramai di luar Bab al-Azizya.

Kata Saif al-Islam, 39, Tripoli masih dalam kawalan kerajaan.

“Semua pihak tidak perlu bimbang kerana keadaan Tripoli terkawal.

“Saya berada di sini untuk menafikan pembohongan disebar pemberontak,” katanya.

Saif al-Islam juga mendakwa pemberontak mengalami kekalahan teruk apabila mereka melancarkan cubaan pertama menyerbu Bab al-Azizya.

Pemberontak juga menerima tamparan hebat apabila seorang lagi anak Gaddafi, Mohammed, meloloskan diri daripada tahanan rumah. - AFP

Bukan saya minta maaf, Rosmah kena jelaskan - Che'gu Bard

24 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 24 Ogos: Badrul Hisham Shahrin atau Che'gu Bard tidak bercadang untuk memohon maaf kepada isteri perdana menteri, Datik Seri Rosmah Mansor ekoran dakwaannya tentang cincin bernilai RM24.45 juta.

Sebaliknya, kata beliau dalam satu kenyataan hari ini, Rosmah yang seharusnya tampil untuk menjelaskan duduk perkara sebenarnya mengenai perkara itu.

"Tidak ada keperluan untuk che'GuBard mohon maaf. che'GuBard tidak ada kena mengena dengan permohonan maaf Kompas atau Pengarah Komunikasi PKR," kata che'GuBard dalam kenyataannya hari ini.

Che'GuBard menjawab tekanan dari media milik Umno agar beliau memohon maaf kerana mendakwa kononnya Rosmah memilik cincin itu.

Isu memohon maaf beliau semakin ketara apabila media tradisonal Umno menyiarkan berita kononnya akhbar Indonesia Kompas juga memohon maaf dari Najib.

Namun, Malaysiakini melaporkan, permohonan maaf dari Kompas itu tidak jelas kerana ia hanya disiarkan dalam satu berita temubual akhbar Indonesia itu dengan Najib dan bukannya menarik balik laporan asalnya.

Menurut sumber Malaysiakini, permohonan maaf yang dituntut oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada mulanya ditolak oleh editor Kompas yang bertegas mempertahankan artikel mereka, khususnya berhubung dakwaan kegiatan kongsi gelap Maira, yang juga boleh dilayari secara meluas di Internet.

Dua penasihat itu kemudiannya mengancam mengugut Kompas dengan tindakan undang-undang, tetapi ini juga gagal untuk menundukkan akhbar Indonesia yang berpengaruh itu.

Kompas, bagaimanapun bersetuju membuka ruang kepada Najib untuk menjawap dan menangkis segala tuduhan dengan menghantar editor antarabangsa, Jimmy Harianto bagi menemubual Najib di Putrajaya pada Khamis lalu.

Bagiamanapun pada Ahad lalu, agensi berita nasional Bernama mengesahkan bahawa Kompas telah meminta maaf kepada Najib.

Setakat ini, mengapa Kompas membuat pusingan U pada saat-saat terakhir belum jelas tetapi menurut sumber, keputusan berkenaan telah dibuat dalam keadaan "situasi luar biasa".

Namun, akhbar itu jelas tidak membuat permohonan maaf secara penuh - ia boleh diibaratkan sebagai 'permohonan maaf separuh'.

Malah, permohonan maaf itu diselitkan pada perenggan 10 di halaman 10 akhbar itu dalam laporan yang bertajuk 'PM Najib Razak: Demokrasi Juga Terjadi di Malaysia'.

Menurut Che'Gubard (gambar atas), dia tidak menuduh sesiapa tetapi kewujudan borang kemasukan berlian bernilai tinggi itu dan tertera dengan jelas nama orang yang menyamar wanita pertama negara ketika rakyat susah dihimpit kenaikan kos hidup perlu diperjelaskan.

"Dia bukan pegawai kastam, dia bukan pegawai syarikat penghantaran dan adakah dia membuat kerja 'part time' sebagai penganjur pameran ? Adakah sesuai dengan imejnya yang menyamar sebagai wanita pertama dan membuat kerja part time ?" kata beliau dalam kenyataannya hari ini.

"Ada beberapa pengampu yang kononya sejak minggu lepas mendendangkan yang che'GuBard akan disaman, tetapi yang lucunya bukan disaman oleh Rosmah tetapi oleh syarikat yahudi Jacob & co." tulis beliau lagi.

harakahdaily/-

Saya minta jangan tuduh Dr M tak dengar - Harussani

24 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUALA LUMUR, 24 Ogos: Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria (gambar) mendakwa beliau pernah meminta bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad agar jangan membuat tuduhan liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim jika tidak cukup bukti.

Namun demikian, nasihat itu tidak didengar oleh Mahathir ketika beliau menjadi perdana menteri dahulu, kata Harussani dalam wacana Ulama Politik Untuk Dakwah atau Parti? yang bermula jam 11.00 pagi tadi di Auditorium Kompleks Kumpulan Media Karangkraf.

"Tun Mahathir selalu dengar nasihat saya tetapi enggan dengar bila nak pecat Datuk Seri Anwar dan buat peralihan kuasa dan jangan buat tuduhan liwat jika tidak cukup saksi," kata Harussani dalam forum itu.

Turut serta dalam forum anjuran akhbar Sinar Harian itu adalah Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, ulama muda Umno, Fathul Bari Mat Jahaya manakala moderatornya adalah Datuk Dr Asri Zainal Abidin.

Dalam majlis itu, Mufti Perak itu mendedahkan, bagi memastikan perpaduan Melayu-Islam, beliau pernah mengingatkan Datuk Seri Najib Razak tentang kerajaan yang "lemah, tidak amanah dan rasuah."

"Saya kata pada Najib, Datuk Seri, perpecahan Melayu sebab kerajaan cukup lemah, tak amanah dan rasuah," kata Harussani.

Harussani berkata sebagai orang yang tidak berparti, beliau telah mengambil pendekatan itu sejak zaman Tun Razak Hussein lagi.

Diminta menghuraikan tegurannya itu, Harussani bagaimanapun enggan melakukannya kerana berharap ia "habis di sini sahaja".

Anwar didakwa lagi

Anwar sekali lagi didakwa atas tuduhan meliwat oleh kerajaan yang ditadbir oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Beliau kini sedang dalam peringkat membela diri atas tuduhan itu.

Bekas Duta Amerika ke Malaysia, John Mallot dalam tulisannya mendakwa, pentadbiran Umno dan BN akan mempastikan Anwar akan hidup terus dalam penjara.

Rakan Najib, Datuk Abdul Razak Baginda pernah memberitahu seorang pegawai senior di kedutaan, “Keputusan sudah dibuat. Mereka akan “nuke” (membunuh) Anwar secara politik untuk keseluruhan masa akan datang. Sehingga beliau tidak boleh berdiri lagi dalam politik,” kata Mallot dalam tulisannya.

"Bermaksud, ini adalah satu keputusan politik – untuk memusnahkan Anwar. Itu yang Razak – yang sekarang ini membuangkan diri di London – katakan. Selepas itu, seorang pegawai daripada Special Branch (SB) memberitahu satu pegawai di kedutaan, “Kita akan terus menfailkan dakwaan demi dakwaan terhadap Anwar supaya beliau berada di dalam penjara untuk 100 tahun akan datang," tulisnya lagi.

harakahdaily/-

"Suruh Blogger Umno Minta Maaf Dahulu"-Hatta Wahari

24 Ramadhan 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM 24 OGOS : Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan perlu mengarahkan blogger pro-Umno untuk meminta maaf terlebih dahulu sebelum menggesa blogger lain untuk berbuat demikian, ekoran merekalah selama ini yang sering menabur fitnah kepada pemimpin pembangkang.

Bekas Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Hatta Wahari berkata Datuk Seri Dr. Rais Yatim harus memantau blogger pro- Umno dibawah seliaan kementeriaannya terlebih dahulu sebelum menunding jari kepada blogger lain, termasuk pro- Pakatan Rakyat.

Hatta berkata blogger pro- Pakatan Rakyat terbukti mengetengahkan sesuatu isu berlandaskan fakta dan berbentuk persoalan dan bukannya tuduhan liar semata- mata, seperti mana yang sering dilakukan blogger pro-Umno.

Blogger pro-Umno berada di bawah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), sebuah agensi di bawah kementerian yang diterajui Dr Rais.

“Masalah yang membuat berita-berita bohong ini ialah blogger-blogger Umno saja. Jadi saya menasihat Rais Yatimlah sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap JASA kerana blogger- blogger Umno ini di bawah JASA, Jabatan Khas Kementerian Penerangan. Jadi sebelum dia menasihatkan blogger- bloger lain, beliau patut bersihkan rumah sendiri dulu.

"Sebab saya percaya blogger– blogger Umno ini lagi kurang ajar dan lagi banyak membuat tohmahan- tohmahan palsu kepada pemimpin- pemimpin pembangkang. Jadi kalau beliau meminta blogger lain minta maaf maksudnya blogger- blogger Umno itu perlu minta maaf juga. Atau pembohongan, penipuan yang telah dilempar kepada ramai pemimpin- pemimpin pembangkang,“ katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Dr Rais semalam yang mahukan semua blogger di Malaysia mencontohi tindakan editorial akhbar Indonesia, Kompas kononnya memfitnah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Rosmah Mansor.
Laporan berita Kompas yang disiarkan 4 Ogos lalu turut menyentuh isu pembelian cincin AS$24 juta yang didakwa dibeli Rosmah.

“Kalau kita lihat pada blogger- blogger lain kita menyiarkan perkara- perkara yang benar. Kebanyakan blogger- blogger lain membuat persoalan-persoalan benarkah perkara ini berlaku.

"Padahal soal cincin kalau kita tengok kepada blog itu, sebenarnya blogger itu hanya bertanya benarkah Rosmah membeli cincin AS$24 juta. Adakah betul ? Jadi masalahnya dengan blogger Umno mereka menulis tanpa fakta. Membuat tohmahan- tohmahan yang teruk, fitnah- fitnah yang tiada asas langsung,“ tegasnya.

Justeru Hatta menegaskan Dr Rais perlu berhati- hati dengan gesaannya mahukan blogger pro- Pakatan Rakyat membuat permohonan maaf kepada pemimpin Umno tetapi menutup mata kepada keterlanjuran blogger pro-Umno melempar tuduhan demi tuduhan kepada pemimpin Pakatan Rakyat.

“Blogger-blogger Umno ini 24 jam sentiasa melemparkan fitnah sebab memang mereka dibayar untuk melemparkan fitnah. Ini masalahnya dan fitnah- fitnah ini diasah oleh JASA sendiri, jabatan khas di bawah Kementerian Penerangan di bawah kementerian beliau.

"Jadi kalau Datuk Rais Yatim kata nak minta blogger mohon maaf, suruhlah blogger- blogger Umno ini mohon maaf dulu, sebab mereka inilah syaitan yang sepatutnya,” tegasnya.

tv news/-

Najib, Rosmah Akan Beri Keterangan Di Mahkamah-Sankara

23 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 24 OGOS: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Rosmah Mansor bersetuju untuk hadir ke mahkamah sebagai saksi memberi keterangan bersabit kes fitnah liwat II, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perkara itu dinyatakan oleh peguam Sankara Nair setelah dimaklumkan oleh polis kepada beliau.

Najib, Rosmah dan dua bekas anggota polis berpangkat tinggi sebelum ini enggan bekerjasama dengan pasukan peguambela walaupun pendakwa telah menawarkan mereka sebagai saksi.

Namun mahkamah minggu lalu telah mengeluarkan sepina terhadap kesemua individu tersebut untuk hadir memberi keterangan dan sekiranya gagal berbuat demikian waran tangkap akan dikeluarkan.

Pada sesi pembelaan sebentar tadi, pakar serangan seksual Dr David Wells memberitahu mahkamah bahawa kecederaan pada mangsa rogol atau liwat bergantung kepada jumlah tekanan yang dikenakan terhadapnya.

David menjawab soalan Sankara Nair apabila peguambela meragui akan dakwaan pengadu Saiful Bukhari Azlan yang menyatakan beliau diperlaku dengan rakus oleh bekas majikannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Perbuatan itu akan menyebabkan trauma (pada bahagian dubur) di bawah keadaan tertentu," kata David.

Saiful sebelum ini memberi keterangan di mahkamah bahawa beliau diliwat dengan rakus oleh Anwar sehingga senak di bahagian perut.

Namun setelah diperiksa oleh empat doktor dari dua hospital, tiada sebarang kecederaan ditemui pada dubur pengadu namum tegas menyatakan beliau telah diliwat.

David kemudian mengulangi kenyataan beliau bahawa integriti spesimen DNA yang diambil pada pengadu amat kritikal.

Menurutnya dalam kes liwat atau rogol, bukti tersebut harus disimpan dengan baik dan terus dibawa ke makmal untuk tujuan ujian bagi memelihara keyakinan terhadap sampel tersebut.

Timbalan Pendakwaraya Datuk Yusof Zainal Abiden pada sebelah pagi merujuk kepada sebuah kes di United Kingdom pada tahun 1982 di mana sebuah ujian pengesahan sperma dilakukan dan mendapati ianya dapat dikesan walaupun setelah melangkaui 30 jam.

Namun kata Sankara ujian tersebut dilakukan di dalam makmal dan tidak ada keupayaan untuk dibandingkan dengan kes Anwar di mana sampel sperma dan DNA telah disimpan melebihi 90 jam.

"Anda patut jumpa sampel yang paling teruk tapi pendakwa kata apa yang dijumpai adalah sampel terbaik. Namun apabila kita minta gambar foto ujian DNA, mereka kata tiada. Mana bukti?" tambah beliau lagi.

Hakim Datuk Zabidin Mohd Diah menangguhkan sesi pembelaan kepada 9 pagi esok dan akan menyaksikan pakar DNA, Dr Brian McDonald mengambil tempat di kandang saksi.

tv news/-

Idham Care Agih bubur Lambuk di Sayong

24 Ramadhan 1432H. [MOD] -
Azmi Abdul Aziz

Pengerusi Idham Care yang juga ADUN Titi Serong, Drs Khalil Idham Lim Abdullah telah turun ke Sayong, Kuala Kangsar sempena program agih bubur lambuk kepada penduduk di sana.

Sebanyak 500 bekas bubur lambuk disediakan secara gotong-royong yang diketuai oleh UPU Sayong dan bubur lambuk habis diedarkan kira-kira setengah jam kemudian yang diketuai oleh Drs Khalil Idham Lim sendiri dengan warga kerja UPU Sayong.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada yang terlibat dalam menjayakan program mengagihkan bubuk lambuk tersebut di sekitar Sayong dan akan diteruskan lagi pada masa akan datang.






Liwat II: Pendakwa soal balas pakar asing

24 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Prosiding membela diri Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim masuk hari ketiga dengan pihak pendakwa menyoal balas pakar forensik Dr David Wells.

Pakar dari Australia itu, yang merupakan saksi ketiga pihak pembela, memberitahu mahkamah semalam bahawa sampel sperma yang diambil dari pengadu, Mohd Saiful Bukhari, tidak dapat memberi keputusan yang diperlukan.

Ia kerana sampel tersebut diambil selepas lebih dua hari kejadian liwat didakwa berlaku.

Kejadian itu didakwa berlaku pada 26 Jun 2008, dan sampel itu diambil dari Saiful antara jam 9 malam dan tengah malam 28 Jun 2008.

Selain itu, katanya, sampel tersebut tidak disimpan dengan betul di di balai polis dan ia diserahkan kepada ahli kimia untuk ujian dua hari kemudiannya.

Dr Wells, yang merupakan pakar dalam bidang kes serangan seksual, dalam keterangannya semalam, juga berkata ketika mengambil sampel dari mangsa, dia akan melakukanya secara sendirian dan hanya dibantu oleh jururawat. Ini, katanya, untuk mengelak pencemaran.

Dalam kes Saiful, empat doktor berada bersama pengadu untuk mengambil sampel tersebut, serta dengan kehadiran pegawai penyiasat Supt Jude Blacious Pereira.

Pihak pendakwa dijangka menyoal Wells mengenai laporan perubatan Hospital Kuala Lumpur ke atas Saiful, yang dianggapnya sebagai tidak tepat.

Selepas Wells, seorang lagi pakar dari Australia - pakar DNA Dr Brian McDonald, dijangka dipanggil memberi keterangan.

malaysiakini/-

Sekitar Infaq Ramadhan Idham Care di Parlimen Kuala Kangsar

24 Ramadhan 1432H. [MOD] -
Azmi Abdul Aziz



KUALA KANGSAR: Baru-baru ini telah diadakan 4 majlis penyampaian sumbangan kepada fakir miskin di Parlimen Kuala Kangsar oleh Idham Care . Hadir sama dalam semua majlis penyampaian itu ialah Pengerusi Idham Care , Drs Khalil Idham Lim .

Ketika ditemui beliau mengucapkan terima kasih kepada penyumbang yang telah memberikan sumbangan kepada Idham Care dalam bentuk wang ringgit dan juga keperluan barangan keperluan dapur sebagai bekalan tambahan kepada mereka yang memerlukan.

"Sesungguhnya dengan sokongan semua pihak yang bermurah hati menyalurkan bahan keperluan dapur dan wang ringgi sehingga berjayanya program sumbangan tersebut. Oleh itu saya mengucapkan berbanyak terimakasih kepada semua penyumbang yang budiman" Katanya.



Di antara lokasi penyampaian yang turut dihadiri oleh Drs. Khalil idham Lim yang juga merupakan ADUN Titi Serong di Parlimen Kuala Kangsar ialah di zon Ulu Kenas, zon Ulu Piul, Manong dan Taman Maju. Sumbangan diagihkan kepada 300 fakir miskin yang layak dan telah dikenal pasti di Parlimen Kuala Kangsar.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Lajnah Kebajikan PAS Kawasan Kuala Kangsar yang turut membantu menjayakan program seperti menyediakan senarai penyumbang dan persiapan tempat untuk majlis penyerahan bantuan kepada fakir miskin yang layak.

Drs. Khalil juga semasa ditemui menjelaskan sumbangan yang sama juga sedang dan akan dilakukan di DUN Titi Serong yang melibatkan sekitar 400 orang fakir miskin.