06 September 2011

Pulau Pinang dilanda jerebu susulan gempa bumi Sumatera

8 Syawal 1432H. [MOD] -

GEORGETOWN: Kualiti udara di kebanyakan kawasan di Pulau Pinang hari ini merosot dengan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Universiti Sains Malaysia (USM) direkodkan meningkat kepada 89 pada jam 5 petang tadi berbanding 41 pada jam 7 pagi ini.

Pengerusi Jawatankuasa kebajikan, Kesihatan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh, berkata cuaca berjerebu yang melanda negeri ini hari ini dipercayai berpunca daripada gempa bumi melanda Sumatera Utara, Indonesia pada 1.55 pagi ini.

"Pulau Pinang mengalami jerebu sejak dua hari lepas ekoran tiada hujan dan cuaca kering. Bagaimanapun keadaan masih terkawal tetapi berdasarkan laporan yang diterima hari ini, jerebu menjadi lebih buruk akibat gempa bumi di Sumatera Utara awal pagi ini," katanya di sini, hari ini.

IPU yang dicatat di Seberang Jaya ialah 74 dengan jarak penglihatan tiga kilometer, Perai (67) dengan jarak penglihatan empat kilometer.

Gempa bumi kuat bermagnitud 6.7 pada skala Richter melanda Sumatera Utara, Indonesia pada 1.55 pagi ini yang gegarannya turut dirasai di beberapa negeri di Semenanjung.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan berkata, gempa bumi itu berpusat di 2.9 darjah Utara dan 97.6 darjah Timur, 363 kilometer dari barat daya Pulau Pangkor, Perak.

"Keadaan jerebu ini dijangka berlarutan hingga beberapa hari lagi ekoran ramalan kaji cuaca menjangkakan Pulau Pinang tidak akan hujan dalam tempoh berkenaan," katanya.

Tahap IPU antara 0-50 menggambarkan kualiti udara yang baik, 51-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak bersih) dan 300 ke atas (berbahaya). - BERNAMA

Adakah Rosli Dhoby juga pengkhianat?

8 Syawal 1432H. [MOD] -

Sebelum tanggal 31 Ogos 1957, Malaya masih lagi dijajah oleh British. Jadi sesiapa saja yang bekerja dengan British semasa zaman tersebut mesti patuh dengan arahan penjajah British sama ada mereka suka atau tidak.

Jadi persoalannya sekarang adakah mereka yang mempertahankan kerajaan British pada zaman tersebut boleh dianggap sebagai hero mempertahankan tanah air atau mempertahankan
kerajaan penjajah British?

Adakah mereka dapat imbuhan atau penghargaan setelah pemerintah British meninggalkan Malaya?

Kita minta mereka yang pernah bertugas dengan pemerintah British dahulu fikir baik-baik mengapa mereka sanggup bermati-matian mempertahan pemerintahan penjajah British sehingga sanggup menangkap dan membunuh perjuang kemerdekaan selain komunis.

Sekali lagi kita tegaskan bahawa apa yang Mohamad Sabu maksudkan bukan menyokong perjuangan komunis tetapi membela nasib perjuang kemerdekaan yang di anggap sebagai pengganas atau pemberontak.

Jadi bagaimana pula dengan nasib Rosli Dhoby, adakah beliau juga dianggap pengkhianat negara kerana membunuh gabenor British?Adakah mata-mata atau polis yang berjaya menangkap Rosli Dhoby boleh dianggap sebagai hero?

Rosli Dhoby merupakan seorang pejuang Sarawak yang menuntut kemerdekaan daripada penjajah British. Beliau berketurunan Melanau. Rosli didapati bersalah menikam sampai mati Gabenor British Sarawak yang kedua, Sir DuncanStewart dengan menggunakan pisau beracun di Sibu pada 3 Disember
1949.

Beliau terpaksa mengakui tuduhan tersebut atas permintaan ibu beliau yang diugut akan ditembak.

Fikir-fikirlah sendiri siapa yang kejam semasa zaman tersebut? Kita juga pernah mendengar kerajaan BN pernah mengampunkan pengganas komunis yang menyerah diri dan memberi beberapa keistimewaan sekiranya mereka meninggalkan perjuangan.

Kemungkinan tidak mustahil ada di kalangan mereka dalam pemerintah sekarang walaupun mereka tidak mengangkat senjata tetapi ideologi mereka masih ada terpahat dalam hati.

Kita minta para pengkaji sejarah kena perbetulkan kesilapan sejarah yang telah diresapi oleh unsur-unsur penjajah di mana para perjuang kemerdekaan dianggap pengkhianat dan mereka yang bekerja dengan pemerintah penjajah pula dianggap sebagai hero.

PAS juga minta para pengkaji sejarah menjalankan tugas mereka dengan jujur dan amanah agar rakyat tahu sejarah tanah air dengan sebenar dan tepat tanpa di pengaruhi oleh unsur-unsur politik perkauman dan sebagainya.

PAS sama sekali tidak pernah merestui perjuangan komunis dan minta agar pemimpin BN jangan memutar belitkan kenyataan Mat Sabu kononnya PAS menyokong komunis.

------------------------------------------------------------------------------------

Penulis merupakan timbalan pesuruhjaya III PAS Sarawak dan yang dipertua PAS Miri.

'Mat Indera murid bapa Muhyiddin'

8 Syawal 1432H. [MOD] -

Di sebalik serangan bertubi-tubi terhadap Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dalam isu Muhammad Indera, lelaki itu didakwa pernah menjadi anak murid kepada bapa Tan Sri Muhyiddin Yassin.

johor pas youth visit mat indera brother johan shah 060911 suhaizan kait johan shahMalah, kata Ketua Pemuda PAS Johor Suhaizan Kaiat (gambar sebelah, kanan), pemimpin Kesatuan Melayu Muda (KMM) itu didakwa hampir menikah dengan kakak timbalan perdana menteri.

"Mat Indera mahu berkahwin dengan kakak TPM Muhyuddin Yassin tapi tidak dipersetujui oleh bapa Mat Indera," kata Suhaizan selepas menziarahi adik Muhammad - Johan Shah (gambar atas, kiri) - semalam.

Menurut Suhaizan, Mohamad dan Pesuruhjaya PAS Johor Datuk Dr Mahfodz Mohamed turut serta dalam pertemuan itu.

Menulis di laman Facebook, Suhaizan berkata, Mat Indera pernah menegaskan bahawa beliau bukan komunis dalam pertemuan terakhir dengan Johan di Penjara Air Molek, Johor Bahru.

"(Sebaliknya) British (yang) tuduh Mat Indera Komunis," tulisnya yang diberi tanggungjawab berdebat dengan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dalam isu sejarah itu.

Dibuang daerah, diseksa British

Justeru, Suhaizan menyifatkan tiada pembelaan terhadap kematian Muhammad Indera sebelum ini disebabkan "orang takut dengan British".

Suhaizan turut menyenaraikan beberapa fakta yang kurang diketahui tentang Mat Indera, antaranya:

- Mat Indera anak kedua daripada lapan adik beradik. Ibunya meninggal ketika Johan (bongsu) berusia dua tahun.

johor pas youth visit mat indera brother johan shah 060911 suhaizan kaiat- Johan, bapa Mat Indera, ibu tiri dan neneknya diseksa British dan dibuang daerah ke Singapura selama 5 tahun daripada tahun 1950 hingga 1954.

- British tawar $25,000 sebelum Peristiwa Bukit Kepong untuk tangkap Mat Indera. Selepas peristiwa itu, tawaran dinaikkan kepada $75,000.

- Mat Indera datang ke Bukit Kepong di saat akhir peristiwa tersebut dan tidak terlibat dalam serangan tersebut.

- Mat Indera pernah menyelamatkan anggota polis pada masa itu Yusof Rono.

- Mat Indera dilantik oleh kerajaan Johor sebagai guru agama. Beliau diberikan baju dan songkok rasmi. Beliau pernah belajar dengan ulama dikenali senagai Tuan Guru Fadil.

- Beliau digantung di Kampung Jambu Air, Taiping pada tahun 1953 dan kuburnya diasingkan daripada kubur utama.

- Mat Indera tidak pernah berkahwin.

Malaysiakini/-

Pelajar Malaysia selamat dalam kejadian gempa di Aceh

8 Syawal 1432H. [MOD] -

JAKARTA - Semua pelajar Malaysia di Aceh dan Medan selamat daripada bencana gempa bumi berkekuatan 6.7 pada skala Richter yang melanda wilayah Pantai Barat, Selatan Aceh awal hari ini.

Sehingga pukul 1.30 tengah hari ini, pihak berkuasa melaporkan bahawa 10 orang meninggal dunia dalam kejadian gempa pada pukul 12.55 pagi waktu tempatan itu.

Atase Pendidikan, Education Malaysia (dulunya Jabatan Penuntut Malaysia) di Indonesia, Ludinata Misnun berkata gempa itu tidak dirasakan oleh pelajar Malaysia di Aceh kerana kawasan penempatan mereka berada jauh di bahagian Utara Aceh.

Bagaimanapun pelajar Malaysia di Medan, Sumatera Utara dapat merasakan gegaran kuat kerana kedudukan pusat gempa yang lebih hampir dengan kawasan Kota Medan.

"Semua pelajar Malaysia seramai 176 orang di Aceh dan 612 orang pelajar Malaysia di Medan berada dalam keadaan selamat," katanya dalam kenyataan di sini.

Ludinata berkata pihaknya telah mengingatkan para pelajar terbabit supaya sentiasa menyiapkan diri dengan kemungkinan terpaksa dipindahkan jika berlaku gempa susulan yang lebih besar kemudian.

Mereka juga diminta sentiasa mendapatkan maklumat terkini daripada pihak berkuasa tempatan dan Konsulat Jeneral Malaysia di Medan dan segera keluar rumah ke kawasan lapang jika berlaku lagi gempa bumi kerana kejadian itu boleh mengakibatkan bangunan runtuh.

Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Indonesia berkata gempa bumi awal hari ini itu berpusat di darat di kedudukan 59 kilometer Timur Laut Singkil Baru, Aceh, di kedalaman 78 kilometer.

Ia tidak berpotensi tsunami, namun gegarannya dapat dirasakan hingga ke Kota Medan dan Pantai Barat Semenanjung Malaysia. - Bernama

Pelajar ke Mesir dinasihati tidak terbabit demonstrasi jalanan

8 Syawal 1432H. [MOD] -

KANGAR - Para pelajar yang bakal melanjutkan pengajian mereka di Mesir dinasihati tidak membabitkan diri dalam sebarang kegiatan yang boleh menjejaskan masa depan mereka termasuk menyertai demonstrasi jalanan.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu berkata, mereka perlu menunaikan harapan negara dan keluarga dengan memberi sepenuh tumpuan dalam bidang pelajaran hingga mencapai kejayaan sebenar.

Beliau menyatakan demikian semasa berucap pada majlis perjumpaan dengan 28 pelajar Perlis yang bakal melanjutkan pengajian dalam bidang pengajian Islam, bahasa Arab dan perubatan di Mesir di sini hari ini.

Pada majlis itu, Menteri Besar turut menyampaikan sumbangan tiket penerbangan bernilai hampir RM2,000 dan wang saku RM500 seorang daripada kerajaan negeri kepada mereka yang akan bertolak ke Mesir pada 16 September ini.

Majlis yang disertai jamuan hari raya itu dianjurkan bersama oleh kerajaan negeri Perlis dan Pertubuhan Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir (Ilmam) Perlis yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Negeri, Jafperi Othman serta Pengerusi Ilmam Perlis, Syed Taareg Syed Mohamad.

Di samping sumbangan yang diberikan hari ini, para pelajar terbabit juga turut diberi sumbangan RM2,000 setiap seorang oleh Baitulmal Perlis untuk perbelanjaan awal pengajian mereka manakala setiap tahun mereka juga akan diberi sumbangan RM4,000 seorang melalui wang zakat bagi perbelanjaan sepanjang pengajian mereka antara empat dan enam tahun.

Md Isa berkata, walaupun keadaan di Mesir dilaporkan terkawal namun beliau menasihati para pelajar sentiasa berhati-hati di negara itu terutama bagi memastikan keselamatan mereka terus terjamin.
- Bernama

Natasha punca rakan disimbah asid

8 Syawal 1432H. [MOD] -

NATASHA (kanan) menunjukkan kesan simbahan asid pada badan Mohd. Hafizuddin di Kangar semalam.

KANGAR – “Saya berasa amat bersalah dan bimbang selepas teman saya menerima aib disimbah asid. Oleh itu, saya hendak pergi dari sini.”

Demikian luahan seorang pondan yang mahu dikenali sebagai Natasha, 28, yang dikaitkan punca cemburu seorang lelaki sehingga sanggup bertindak menyimbah asid ke atas rakan serumahnya di Taman Seri Bakau di sini pada Sabtu lalu.

Kata Natasha, dia akan membawa diri ke tempat baharu bagi menjalani kehidupan lebih aman bersama teman serumahnya yang juga mangsa kejadian, Mohd. Hafizuddin Johari, 20.

“Sejak kami bersama, ramai pihak tidak senang dengan hubungan kami sehingga sering diugut dan dicaci.

“Kejadian ini amat menakutkan saya dan demi keselamatan dan keselesaan hidup, kami akan pindah,” katanya ketika ditemui di Rumah Kelab Media Perlis di sini semalam.

RUMAH di Taman Seri Bakau, Kangar tempat Mohd. Hafizuddin cedera disimbah asid oleh seorang lelaki gara-gara cemburukan Natasha.

Semalam akhbar melaporkan seorang pemuda cedera di muka dan tangan kanan akibat disimbah asid oleh individu tidak dikenali ketika sedang mengunci pagar rumahnya di Taman Seri Bakau di sini.

Menurut polis, motif serangan oleh suspek berusia 19 tahun itu disebabkan cemburu ekoran mangsa melarangnya mendekati Natasha. Penyerang tersebut kemudiannya berjaya diberkas.

Natasha yang bekerja sebagai jurujual kosmetik berkata, punca temannya diserang adalah kerana suspek tidak berpuas hati ekoran tidak dapat mendekati dirinya.

“Saya dan Hafizuddin tidak mengenali penyerang itu tetapi disebabkan sifat dan keadaan saya, ramai lelaki hendak berkawan tetapi saya tidak melayan mereka,” ujarnya lagi.

Natasha mendakwa menjadi tumpuan ramai lelaki ekoran minatnya yang suka menyanyi dan menari di beberapa pusat karaoke di sekitar pantai negeri itu.

“Saya sayangkan Hafizuddin sebab dia banyak menolong dan memberi sokongan kepada saya. Oleh itu, keputusan kami ini baik untuk semua pihak,” ujarnya.

Sementara itu, Mohd. Hafizuddin yang bekerja di bidang penyediaan makanan memberitahu, dia akan mengikut Natasha kerana serasi hidup bersama sejak mengenalinya empat bulan lalu.

Jelasnya, dia tidak mengalami kecacatan kekal atau serius kerana penyerang tersebut tidak

kosmo/-

Jais dakwa Khalid Samad kerana tazkirah tanpa tauliah

8 Syawal 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM, 6 Sept: Belum selesai isu memeriksa gereja, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membuka medan tempur baru apabila mendakwa anggota Parlimen Shah Alam, Khalid Samad kerana memberikan tazkirah tanpa kuliah.

(Khalid dan Dr Rani yang kini menjadi mangsa terbaru Jais)

Khalid dipanggil ke pejabat Jais Shah Alam hari ini dan dinyatakan pendakwaan ke atas beliau dan ditetapkan perbicaraannya pada 24 November depan di Mahkamah Syariah Klang.

Beliau dibebaskan dengan jaminan mulut oleh pembantunya sementara menunggu tarikh perbicaraan 24 November ini.

Turut menerima tindakan dari Jais adalah Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Rani Othman apabila tauliah beliau ditarik pada bulan Ramadhan baru-baru ini.

"Tauliah saya tamat Ramadhan lalu selepas menerimanya tahun lepas dan saya telah memohon untuk menyambungnya. Namun saya menerima surat dari Jais permohonan saya ditolak dan tauliah saya ditarik balik oleh Jais," kata Dr Rani kepada Harakahdaily.

Khalid didakwa di bawah Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor. Jika sabit kesalahan beliau boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Khalid didakwa memberikan kuliah agama Islam tanpa permit ketika memberikan tazkirah Ramadhan pada 16 Ogos lepas di surau Taman Seri Sementa, Kapar, Klang.

Sebelum ini, Jais mendapat kritikan pelbagai pihak apabila didakwa membuat serbuan ke atas Gereja Methodist Damansara Utama di Petaling Jaya.

Jais pula berkata, pihaknya membuat pemeriksaan dan bukannya serbuan di gereja itu atas dakwaan dan maklumat ada usaha mengkristiankan umat Islam.

Ekoran itu, 12 orang Islam yang berada dimajlis itu sedang disiasat oleh Jais.

PAS pula mendesak Jais mendakwa mana-mana pihak yang didapati bersalah melanggar mana-mana peraturan ekoran dakwaan Jais itu.

Sebelum itu, usaha PAS untuk berbincang dengan Jais dan Gereja gagal apabila kedua-dua pihak tidak bersedia berbuat demikian.

Setiausaha Agung PAS. Datuk Mustafa Ali pula mendakwa, ada tangan-tangan Umno di belakang tindakan Jais ini. Ekoran itu, Umno Selangor berkata Mustafa akan disaman. Mustafa pula menjawab pihaknya sedia bertemu Umno di mahkamah dan akan memberikan bukti dakwaan beliau di mahkamah.

Dalam pada itu, Khalid ketika dihubungi Harakahdaily berkata, semasa tazkirah Ramadhan itu beliau memang menyentuh peranan umat Islam dalam menguruskan hal ehwal agama di negeri ini.

"Saya memberikan tazkirah tentang cerita yang berlaku di zaman Saidina Ali menjadi khalifah Islam di mana semasa peperangan Sifin baginda dapati baju besi baginda hilang.

"Apabila pulang baginda dapati seorang Yahudi sedang menjual baju besi itu di pasar lalu baginda berkata itu baju besinya. Yahudi itu pula berkata, ini aku punya.

"Lalu kes ini dibawa ke mahkamah Islam ketika itu iaitu Qadhi. Qadhi bertanya Saidina Ali, apa bukti dan saksi bahawa baju besi itu baginda yang punya.

"Saidina Ali berkata, bukti tidak ada tetapi saksi ada iaitu Hassan dan Husein. Qadhi kata, kedua-duanya tidak boleh jadi saksi yang adil kerana mereka berdua anak baginda. Jadi kes ini ditolak oleh Qadhi dan jadilah baju besi itu milik Yahudi itu.

"Saya ingin beritahu kepada hadhirin keadilan Islam ini bukan kepada Islam sahaja bahkan kepada Yahudi pun hatta berlawan dengan Khalifah Islam sendiri.

"Saya nak kaitkan, kita umat Islam kena dengar kedua-dua belah pihak dalam kes Jais siasat gereja ini bukan dari sebelah pihak dan membuat keputusan," cerita Khalid tentang tazkirah yang diberikannya.

harakahdaily/-

Kawasan kubur jadi tapak apartmen di Singapura

8 Syawal 1432H. [MOD] -

GAMBAR bertarikh 16 Ogos lalu menunjukkan seorang lelaki berjalan melintasi Bukit Brown di Singapura.

SINGAPURA - Kawasan perkuburan Bukit Brown seluas 86 hektar di sini akan dibangunkan untuk didirikan apartmen.

Ia dianggap sebagai kawasan perkuburan paling tua yang dipercayai menempatkan kubu penduduk Cina yang tertua di Singapura.

Bukit Brown dibuka pada 1922 dan dinamakan sempena seorang pemilik kapal, George Henry Brown yang tiba di Singapura pada 1840.

Bagaimanapun, para penyokong pemuliharaan warisan meminta ia dipulihara daripada sebarang kegiatan pembangunan.

"Bagi saya, Bukit Brown merupakan salah satu daripada aspek warisan Singapura yang patut diberikan peluang kedua," kata Irving Johnson yang bertugas sebagai penolong profesor Kajian Asia Tenggara di Universiti National Singapura. - AFP

Buku Pengukir Nama Johor bukti Umno bohong

8 Syawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 6 Sept: Para pemimpin Umno jelas terbukti memutarbelitkan sejarah, khususnya mengenai Mat Indera, berdasarkan beberapa bukti termasuk buku bertajuk Pengukir Nama Johor yang diterbitkan oleh Yayasan Warisan Johor pada tahun 2004 lalu.

Buku yang ditulis oleh dua orang ahli sejarah itu, Abu Bakar A Hamid dan Mad Ismail Zamzam jelas mencatatkan Mat Indera adalah pejuang kemerdekaan dan tokoh agama yang disegani, malah tidak terlibat langsung dengan perjuangan komunis.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menegaskan, dengan itu, tindakan para pemimpin Umno mencetuskan isu itu tidak akan mendatangkan sebarang keuntungan kepada parti itu, malah ia ternyata akan menimbus Umno ke dalam lubang yang digalinya sendiri.

Menurut beliau, buku Pengukir Nama Johor itu setebal 170 muka surat, manakala kata-kata aluannya ditulis oleh Menteri Besar Johor sendiri, Datuk Abdul Ghani Othman.

Katanya, buku tersebut boleh dibaca oleh sesiapa sahaja dan ia diterbitkan sejak tahun 2004 yang sepatutnya turut dijadikan rujukan oleh para pemimpin Umno sebelum memperkatakan tentang sejarah perjuangan Mat Indera.

"Tetapi sesetengah pemimpin Umno sendiri mungkin tak tahu mengenai penerbitan buku itu dan tidak pernah membacanya sehingga menyebabkan mereka buta sejarah.

"Kini, mereka telah menyelewengkan fakta sejarah dan menggelapkan sejarah, walaupun sejarah mengenai Mat Indera tercatat dengan jelas dalam buku itu yang turut membabitkan pemimpin Umno sendiri dalam penerbitannya," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini, hari ini.

harakahdaily/-

5 dulang lesap

8 Syawal 1432H. [MOD] -

KAJANG – Empat lelaki bersenjatakan dua objek menyerupai pistol dan satu tukul besi hanya mengambil masa 5 minit untuk melarikan lima dulang emas dalam kejadian rompakan di sebuah kedai emas di Jalan Besar, Kajang, semalam.

Kesemua suspek yang memakai topi keledar penuh dan jaket hitam berusia lingkungan 30-an melarikan diri menggunakan dua buah motosikal yang diletakkan berhampiran kedai emas berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintenden Azman Ayob berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 2.45 petang apabila tiga suspek berkenaan yang berpakaian topi keledar penuh dan jaket hitam memasuki kedai emas berkenaan.

“Semasa kejadian terdapat tujuh pelanggan di premis berkenaan, apabila tiga suspek bertindak meluru masuk ke dalam premis dan mengacukan dua objek menyerupai pistol manakala seorang lagi menggunakan tukul besi sebelum memecahkan cermin tempat penyimpanan barang kemas.

“Salah seorang lagi suspek hanya menunggu dengan motosikal di luar premis berkenaan dan mereka mengambil masa kira-kira lima minit untuk beredar melarikan diri menggunakan dua buah motosikal bersama barangan kemas ke arah Sungai Chua, Kajang”, katanya ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Menurutnya, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan jumlah kerugian masih dalam siasatan lanjut serta menegaskan gerakan mencari kesemua suspek berkenaan berusia lingkungan 30-an akan dilaksanakan.

“Berdasarkan maklumat awal pemilik memaklumkan kehilangan lima dulang barang kemas akibat kejadian berkenaan dan siasatan lanjut akan dilakukan serta menegaskan premis berkenaan tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV).

“Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan mereka yang mempunyai maklumat mengenai kejadian bolehlah menghubungi Balai Polis Daerah Kajang di talian 03-87362222 atau mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan,” katanya.

sinar harian/-

PAS dihalang temui mangsa Bukit Kepong

8 Syawal 1432H. [MOD] -

Kira-kira sepuluh lelaki menghalang rombongan PAS daripada bertemu seorang mangsa dalam peristiwa Bukit Kepong, kata Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat.

Katanya, beliau dan enam anggota parti mengiringi Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu yang datang dengan konvoi tiga kenderaan ke Skudai Kanan, Johor semalam untuk menemui Jamilah Abu Bakar.

Suhaizan (kanan) mendakwa anggota Umno termasuk dalam kumpulan itu.

"Mereka halang kami dan tuduh Mat Sabu cuba pertahan Mat Indera. Mereka minta dia tarik balik kenyataan itu atau tidak dibenarkan bertemu.

"Mereka tidak rasional," katanya ketika dihubungi semalam.

Dalam ucapannya pada 21 Ogos, Mohammad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu mendakwa Muhammad Indera yang mengetuai serangan terhadap balai polis Bukit Kepong merupakan wira sebenar dan pejuang kemerdekaan.

Kenyataan itu mengundang serangan hebat, terutamanya daripada pemimpin Umno dan akhbarnya Utusan Malaysia yang mendakwa Mohamad mengagungkan komunis.

malaysiakini/-

Umno sokong komunis lulus suara rasmi CPC?

8 Syawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 6 Sept: “Ingin saya bertanya, apabila Umno meluluskan suara rasmi Parti Komunis China, adakah Umno juga telah menjadi penyokong ajaran komunis?” tanya Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Beliau menyatakan demikian dengan merujuk kepada laporan portal berita Malaysiakini bertarikh 10 Januari 2005, Kementerian Dalam Negeri pernah mengeluarkan permit akhbar harian yang menjadi suara rasmi Parti Komunis China (CPC).

Merujuk kepada laporan WIKIPEDIA:

The People's Daily (Chinese: 人民日报; pinyin: Rénmín Rìbào) is a daily newspaper in the People's Republic of China. The paper is an organ of the Central Committee of the Communist Party of China (CPC), published worldwide with a circulation of 3 to 4 million.

(TERJEMAHAN: People's Daily adalah akhbar harian di China. Akhbar ini adalah suara rasmi Parti Komunis China.)

Mahfuz yang juga ahli Parlimen Pokok Sena berkata, sepanjang aktifnya Parti Komunis Malaya di Malaya, tidak pernah sekali pun mereka mendapat permit untuk menerbitkan bahan cetakan mereka.

Malangnya, kata beliau pada tahun 2005, harian rasmi Parti Komunis China telah diberikan permit untuk diterbit, dicetak dan diedarkan di pasaran Malaysia.

“Yang lebih dikesali adalah serangan berat sebelah media-media kepada Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu di atas isu membela tokoh kemerdekaan, Mohammad Indera,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Tegasnya, tiada siapa di Malaysia yang meragui status Mohammad Indera sebagai pejuang kemerdekaan yang telah berjasa kepada Malaysia.

Namun, katanya Mohamad difitnah oleh media-media milik Umno kononnya beliau adalah seorang penyokong ajaran komunis.

harakahdaily/-

Merdeka jadi sejarah Umno, rakyat hilang patriotik

8 Syawal 1432H. [MOD] -

BANDAR JENGKA, 5 Sept: Sejarah kemerdekaan negara telah ‘diumnokan’ berdasarkan cara kerajaan menyampaikan penceritaan sejarah kemerdekaan dengan hanya menonjolkan tokoh Umno.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sepatutnya harus dibezakan antara perjuangan parti dengan perjuangan kemerdekaan negara.

“Sebab itu akibatnya dapat lihat kurangnya semangat patriotik di kalangan rakyat.

“Kerajaan dan media awam mesti jujur dengan fakta sejarah, pejuang-pejuang yang telah terkorban patut dihargai jasa mereka, bukannya dengan hanya menonjolkan peranan Umno.

“Sekarang ini hanya Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman yang ditonjolkan sebagai pejuang kemerdekaan. Tak disebutkan langsung perjuangan anak Melayu yang menentang penjajah Inggeris sehingga berkorban nyawa selain Umno.

“Di Pahang sendiri muncul ramai pejuang Islam yang mencetuskan perjuangan menuntut kemerdekaan daripada penjajah sejak zaman Datuk Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau dan yang seangkatan dengan mereka,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Raya Anak Perantauan di dataran Jengka 18 di sini, kelmarin.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata, di seluruh negara terdapat nama-nama seperti Tok Janggut, Dato’ Maharajalela, Dol Said, Abdul Rahman Limbong, Tok Pulau Manis, Rosli Dhobi dan ramai lagi.

Tambahnya, hinggalah kepada era menentang penjajah sekitar tahun 1940-an nama-nama seperti Burhanuddin Al-Helmy, Ibrahim Yaakob, Ahmad Boestamam dan lain-lain.

“Masalahnya rentetan nama-nama pejuang ini dipadamkan daripada sejarah seolah-olah hanya Umno yang berjuang menuntut kemerdekaan. Perlu disedari akibatnya dapat dilihat kurangnya semangat patriotik di kalangan rakyat. Contoh paling mudah ialah mereka enggan kibar bendera,” katanya.

Dalam pada itu, PAS Pusat akan meminta Timbalan Presidennya, Mohamad Sabu menyaman segera akhbar Utusan Malaysia kerana menyelewengkan fakta sebenar ucapan dalam satu ceramah beliau demi kepentingan politik.

Tuan Ibrahim berkata, tindakan akhbar milik Umno itu tidak boleh dibiarkan berterusan memutarbelitkan isu kerana mahu menggambarkan PAS menyokong komunis.

Beliau berkata, pada hakikatnya Mohamad tidak menyebut langsung menyokong perjuangan komunis dalam ceramahnya itu.

“Isu serangan Rumah Pasung Bukit Kepong, Mat Indera dan komunis sengaja diperbesarkan oleh akhbar lidah rasmi Umno itu untuk meraih kepentingan politik. Walhal berdasarkan video rakaman Mat Sabu tidak sepatahpun menyebut tentang menyokong komunis dalam ceramahnya.

“Tetapi propaganda tersebut dimainkan secara halus dan berulang-ulang sebagai cubaan mengaitkan PAS dengan komunis dan DAP supaya dibenci oleh orang Melayu. Semuanya kerana kepentingan politik.

“Sebab itu PAS Pusat akan meminta Mat Sabu segerakan saman akhbar Utusan Malaysia dan media Umno lain bagi meminta mahkamah menghentikan propaganda itu,” katanya.

Kira-kira 500 hadir dalam Sambutan Hari Raya Anak Perantauan anjuran Dewan Pemuda PAS Pahang (DPPNP) bagi meraikan generasi muda yang bekerja di luar negeri ini.

Turut berucap Presiden Persatuan Anak-Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman yang juga merupakan Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS Pusat.

Hadir sama Setiausaha Badan Perhubungan PAS Pahang (BPPNP) Roslan Zainal, Bendahari, Musaniff Abdul Rahman, Ketua Penerangan Suhaimi Saad, Ketua Pemuda, Shahril Azman Abdul Halim serta AJK BPPNP dan pimpinan PAS Kuala Krau.

harakahdaily/-

Penduduk kampung tangkap buaya gergasi

8 Syawal 1432H. [MOD] -

GAMBAR yang dirakamkan kelmarin menunjukkan Datuk Bandar Bunawan, Cox Elorde mengukur buaya gergasi yang ditangkap hidup-hidup di Bunawan, Filipina.

MANILA - Sekumpulan penduduk kampung dan beberapa pakar menangkap seekor buaya gergasi air masin seberat satu tan pada lewat Sabtu lalu yang akan dijadikan daya tarikan sebuah taman ekopelancongan di sebuah bandar di selatan Filipina.

Datuk Bandar Bunawan, Cox Elorde semalam memberitahu, puluhan penduduk kampung dan pakar menangkap buaya jantan sepanjang 6.4 meter itu di sebuah teluk di bandar Bunawan, wilayah Agusan del Sur selepas pemburuan selama tiga minggu.

Ia merupakan antara buaya terbesar pernah ditangkap hidup-hidup di Filipina sejak beberapa tahun lalu.

Elorde berkata, buaya berkenaan membaham seekor kerbau dalam serangan yang disaksikan oleh beberapa penduduk kampung pada bulan lepas.

Reptilia itu juga dipercayai menyerang seorang nelayan yang didapati hilang sejak Julai lalu.

Beliau memberitahu, meletakkan buaya gergasi di sebuah taman pelancongan akan mengubah haiwan itu daripada ancaman kepada satu aset. - AP

26 maut dalam nahas jalan raya semalam

8 Syawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Berbaki sehari lagi, Ops Sikap-24 mencatatkan 26 lagi kematian pada hari ke-14, dengan pengguna motosikal merupakan mangsa korban tertinggi apabila menyumbang kepada 17 kes di seluruh negara semalam.

Laman web Polis Bukit Aman hari ini turut melaporkan tujuh kematian membabitkan pengguna kereta, satu van serta seorang pejalan kaki dan ini menjadikan jumlah keseluruhan mangsa korban sepanjang Ops Sikap kini meningkat kepada 280 orang.

Laman web itu melaporkan, 10 kemalangan maut berlaku di jalan persekutuan, enam di jalan bandaran, dua di jalan negeri, dua di lebuh raya dan satu di lain-lain jalan.

Jalan bandaran mencatatkan kemalangan paling tinggi dengan 585 kes diikuti jalan persekutuan (396 kes), jalan negeri (247 kes), lebuh raya (89 kes) dan jalan-jalan lain (83 kes) yang menjadikan jumlah kemalangan sebanyak 1,400 kes.

Menurut laman web itu juga, dalam operasi semalam, sebanyak 12,690 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik.

Ops Sikap ke-24 yang bermula 23 Ogos lepas sempena Aidilfitri, akan berakhir hari ini.- Bernama