23 Disember 2011

Maut terkena renjatan elektrik

27 Muharram 1433H. [MOD] -

GEORGETOWN - Seorang penjual alat telekomunikasi maut setelah terkena renjatan elektrik dari alat pemanas air ketika mandi di bilik air di rumahnya di Changkat Bukit Gambir, petang kelmarin.

Menurut jurucakap polis, dalam kejadian kira-kira jam 3 petang, lelaki berusia 40-an dipercayai mandi dengan menghidupkan alat yang dipasang di dalam bilik air rumahnya.

"Dipercayai alat pemanas air yang digunakan mangsa mempunyai masalah litar pintas yang menyebabkan renjatan kepadanya.

"Kejadian itu hanya disedari isteri mangsa menemui suaminya mati di dalam bilik air," katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat kelmarin.

Difahamkan, laporan bedah siasat mengesahkan kematian mangsa berpunca daripada renjatan elektrik.

Mayat mangsa dituntut keluarga dan dikebumikan semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng mengesahkan ada menerima laporan dan berkata, sepasukan polis yang menerima maklumat mengenai kejadian itu bergegas ke lokasi untuk melakukan siasatan.

“Berdasarkan siasatan awal, kejadian tidak membabitkan unsur jenayah dan kematian mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Sinar Harian

Sembunyi perbuatan anak elak dicekup

27 Muharram 1433H. [MOD] -

LEDANG – Seorang ibu tergamak menyembunyikan perbuatan anak perempuannya daripada ditangkap khalwat dalam satu serbuan oleh Penguatkuasa Pejabat Agama Daerah Ledang di sebuah rumah di sebuah taman perumahan di Tangkak, awal pagi semalam.

Bagaimanapun, tindakan wanita berusia 44 tahun itu yang mendakwa teman lelaki anaknya sebagai anak saudaranya dari Segamat terbongkar.

Ia berikutan anak perempuan wanita terbabit yang berusia 17 tahun mengaku lelaki berusia 16 tahun dan tidak bersekolah itu adalah teman lelakinya, selain bercadang untuk berkahwin pada Mac tahun depan.

Lebih malang, ibu remaja terbabit turut diarah hadir ke Pejabat Agama Daerah Ledang kerana didapati nikah tanpa kebenaran di Narathiwat, Thailand pada 2004.

Kadi Daerah Ledang, Sulaiman Maidin berkata, berdasarkan aduan orang awam, sepasukan anggota yang diketuai Pegawai Penguatkuasa, Mohd Zainal Kadiran memeriksa rumah tersebut.

Menurutnya, selepas mengetuk pintu dan memberi salam, seorang wanita berbaju tidur membuka pintu.

“Pihak penguat kuasa terpaksa menunggu hampir 10 minit sebelum wanita berkenaan membuka pintu dan membenarkan pemeriksaan dijalankan.

“Pemeriksaan lanjut menemui seorang remaja lelaki berseluar pendek tanpa memakai baju dalam sebuah bilik, manakala remaja perempuan sedang baring di atas katil,” katanya kepada Sinar Harian.

Sulaiman berkata, pasangan itu kemudiannya ditahan untuk siasatan lanjut kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen mempunyai hubungan mahram atau suami isteri.

“Mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang sebelum dibawa ke Pejabat Agama untuk siasatan lanjut dan dijamin dengan jaminan keluarga masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, mereka ditahan dan didakwa di bawah Seksyen 27 (1) a b, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor, 1997 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Manakala ibu remaja perempuan terbabit diarahkan hadir ke Pejabat Agama Darah Ledang kerana bersubahat dan akan didakwa di bawah Seksyen 40(2) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam kerana nikah tanpa kebenaran.

Sinar Harian

NFC: Ahli perniagaan bergelar Datuk direman

27 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk' ditahan reman selepas cuba menyogok beberapa pegawai polis yang sedang menjalankan siasatan kes jenayah komersial dipercayai ada kaitan dengan skandal Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC).

Ahli pernigaan berumur 45 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Perdana kira-kira jam 4.06 petang kelmarin.

Pengarah JSJK, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata, ahli perniagaan yang menjalankan perniagaan Agensi Pekerja Asing dan syarikat pengangkutan teksi ini ditahan reman selama dua hari bermula semalam bagi membantu siasatan.

"Suspek kini diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan selanjutnya.

"Siasatan awal dapati suspek ditahan di Cheras tiga minggu lalu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu serta bersabit satu laporan kes sama di Bercham, Ipoh, Perak," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis JSJK, semalam.

Ketika ditanya berhubung nilai sogokan yang cuba diberikan serta adakah suspek mempunyai kaitan dengan kes skandal NFC, Syed Ismail bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

"Kita tak boleh komen tentang nilai sogokan itu dan kes ini kita serah kepada SPRM untuk siasatan," katanya.

Difahamkan, suspek dipercayai ada pertalian keluarga dengan orang kenamaan.

Dalam perkembangan lain, Syed Ismail berkata, setakat ini, seramai 27 individu sudah memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung isu skandal NFC dan mengesahkan tiada sebarang tangkapan dibuat.

Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali dalam satu kenyataan semalam, mengesahkan berhubung siasatan yang dijalankan pihaknya terhadap seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk' yang ditahan kerana menawarkan rasuah kepada beberapa pegawai kanan polis yang dipercayai ada kaitan dengan kes NFC.

"Kita sudah terima kes dan sentiasa bekerjasama dengan polis dalam menjalankan siasatan membabitkan kes rasuah dan penyelewengan mengikut bidang kuasa yang diperuntukkan oleh undang-undang," katanya

Sinar Harian

Jangan berlagak pandai

27 Muharram 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM – Seluruh anggota Pas diingatkan supaya mengikut haluan dan hala tuju parti serta cara perjalanannya yang tersendiri, berlandaskan Islam secara feqah dan bukan hanya berpaksikan semangat tanpa ilmu dan fahaman sahaja.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, sesiapa yang berlagak pandai dan menganggap dirinya paling bijak dalam Pas pasti tersungkur serta menjadi mangsa serigala politik musuh.

Menurutnya, setiap ahli seharusnya menyedari bahawa tindakan bersendirian dengan membelakangkan parti pasti akan gagal namun Pas tetap selamat dan menjadi parti Islam yang makin gagah perkasa.

“Seluruh ahli Pas wajib bertambah yakin bersama perjuangan di atas bahtera parti dengan setiap pengalamannya walaupun tidak diberi hak yang adil, inilah sifatnya perjuangan Islam.

“Pas telah berjaya menghadapi semua pengalaman di sepanjang perjuangannya sejak ditubuhkan, sama ada secara bersendirian, bersefahaman dengan kerajaan, pembangkang dan NGO, Islam atau kalangan bukan Islam,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang turut menegaskan bahawa pendekatan politik bersama Pakatan Rakyat (PR) adalah kesinambungan amalan politik Islam secara feqah, bukannya secara remeh temeh.

“Kejayaan dicapai apabila kalangan bukan Islam menerima konsep perlembagaan, Islam menjadi agama negara dengan hak yang diberi secara adil kepada penganut agama lain, hak Bumiputra, Bahasa Kebangsaan dan Raja Berpelembagaan,” katanya.

Selain itu Abdul Hadi turut mempersoalkan kenapa Umno yang menjadi teras kerajaan Barisan Nasional (BN) masih gagal menjadikan Islam mengikut makna Al Quran dan ajaran Rasulullah SAW yang sebenarnya.

“Apakah tempoh masa lebih lima puluh tahun masih tidak mampu melakukan muhasabah?” katanya.

Sinar Harian

Nik Aziz jamin Pas tidak tersasar

27 Muharram 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU - Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meredakan kebimbangan ahli Pas dengan memberi jaminan parti itu tidak akan tersasar dari landasan perjuangan sebagaimana dakwaan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali.

Mursyidul Am Pas itu berkata, Majlis Syura Ulama selaku badan pemantau kepada Pas sama sekali tidak akan berpeluk tubuh jika dasar parti dilanggar atau dirombak.

“Dakwaan konsep negara berkebajikan yang disebut oleh Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semasa dalam ucapan dasarnya di dalam Muktamar Tahunan Pas baru-baru ini sudah tersasar dari perjuangan asal Pas adalah merupakan kenyataan yang tidak berasas.

“Di pihak Majlis Syura, kita menganggap idea negara berkebajikan yang disebut oleh Presiden bukannya menggelincirkan Pas dari landasannya bahkan lebih mendekatkan masyarakat kepada perjuangan Pas yang bercita-cita mendaulatkan Islam di dalam sistem pemerintahan,”katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Sinar Harian

Empat beranak nyaris maut

27 Muharram 1433H. [MOD] -

KAMPUNG LUIT - Empat beranak yang sedang tidur di ruang tamu nyaris maut apabila bahagian hadapan rumah mereka di Batu 42, Kampung Luit, dirempuh sebuah lori tangki membawa 32 tan minyak masak, kira-kira jam 11.30 malam, kelmarin.

Lori yang dipandu seorang lelaki berusia lingkungan 30-an itu dipercayai terbabas dan turut merempuh tiga kenderaan lain iaitu sebuah pacuan empat roda, lori dan van di hadapan rumah berkenaan.

Mangsa, Hamzah Mohamad, 69, berkata, dentuman kuat akibat rempuhan itu mengejutkan dia yang sedang tidur bersama isteri dan dua anak, lalu segera ke luar rumah bagi mengetahui perkara sebenar.

Menurutnya, sebaik membuka pintu, dia tergamam melihat sebuah lori tangki berada di hadapannya dan sebatang tiang beranda rumah patah.

“Lori ini terbabas lalu merempuh sebatang pokok mangga dan tiga kenderaan lain. Saya segera minta tolong jiran terdekat yang keluar menyaksikan kejadian itu untuk menahan bahagian bumbung dan siling beranda yang hampir roboh akibat tiang utama patah.

“Ini merupakan kejadian kedua menimpa kami sekeluarga kerana kira-kira 20 tahun lalu, sebuah bas pernah terbabas dan merempuh rumah serta merosakkan tujuh kenderaan lain, namun kami tidak menerima sebarang ganti rugi daripada pihak syarikat bas berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Hamzah berkata, dia sekeluarga bersyukur apabila terselamat dan meminta syarikat lori berkenaan bertanggungjawab dengan menanggung kos kerugian yang dianggarkan melebihi RM100,000.

Difahamkan, pemandu lori yang ditemani isteri tidak mengalami sebarang kecederaan dan mendakwa kerosakan brek adalah punca kejadian.

Sinar Harian

Pandangan dangkal Umno, Perkasa

27 Muharram 1433H. [MOD] -

IPOH – Umno dan Perkasa dilihat hilang kewarasan apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggunakan dakwat kekal pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.

Adun Titi Serong, Drs Khalil Idham Lim berkata, kenyataan Perkasa kononnya tindakan SPR mahu menggunakan dakwat kekal menyebabkan orang Melayu tidak keluar mengundi dan membawa negara ke belakang adalah tidak wajar.

Menurut Khalil, langkah SPR itu seiring dengan syor jawatankuasa pilihan khas Parlimen berhubung penambahbaikan proses pilihan raya.

“Pelbagai alasan yang langsung tidak kukuh dikemukakan mereka kononnya bertujuan untuk menimbulkan keraguan dalam kalangan rakyat. Dalam hal ini Umno-BN seperti budak mentah.

“Sebenarnya, rakyat ternanti-nanti bila kerajaan mahu mengorak langkah untuk ke arah perubahan, walaupun cuma satu harapan iaitu pelaksanaan dakwat kekal,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, penggunaan dakwat kekal telah dilaksanakan negara di timur tengah dan Asia Tenggara dalam proses pilihan raya mereka.

Tegasnya, tindakan blogger tegar pro Umno menerbitkan satu video mengenai tutorial menghilangkan palitan dakwat kekal di jari merupakan satu lagi usaha Umno menimbulkan keraguan rakyat.

“Saya katakan begitu kerana ia dirakam secara potong-potong dan disunting semula sebagaimana yang dikatakan lima minit itu, mungkin juga dakwat itu telah dicampurkan dengan bahan lain yang boleh menghilangkan keasliannya,” katanya.

Beliau turut menyelar tindakan Umno yang dikatakan ejen pembunuh harapan rakyat, yang seharusnya ditukar segera demi menjaga kestabilan negara.

“Pakatan Rakyat telah membuktikan harapan rakyat tidak mati begitu sahaja, buktinya boleh dilihat di empat buah negeri yang ditadbir PR, ini komitmen yang perlu dinilai seadilnya, saya boleh gambarkan betapa Malaysia boleh cemerlang di bawah pentadbiran PR,” katanya.

Sinar Harian

Pelajar istimewa catat keputusan cemerlang

27 Muharram 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU - Biarpun bertubuh genit, Nurul Najihah Ishak, 15, tetap membuktikan dirinya mempunyai jiwa yang besar.

Dengan berketinggian 124 sentimeter, Nurul Najihah mencuri tumpuan apabila memperoleh 8A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perem­puan Temenggong Ibrahim, Batu Pahat itu menerima Anugerah Pelajar Cemerlang Kategori Calon Istimewa (Pembelajaran).

“Saya gembira dan tidak menyangka dapat keputusan cemerlang. Ini semua hasil usaha gigih ibu bapa dan guru yang banyak memberi dorongan dan saya akan meneruskan usaha demi mengejar cita-cita untuk menjadi doktor,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Sementara itu, pelajar yang mengalami masalah saraf daripada SMK Tun Mamat, Muar, Lim Yi Zhan, 15, turut menerima anugerah yang sama selepas berjaya meraih keputusan 6A dan 2B.

“Ini merupakan sesuatu yang sangat menggembirakan dan saya akan terus berusaha di masa akan datang,” katanya.

Bagi pelajar yang mengalami kecacatan anggota akibat penyakit tulang belakang, S Lavanya, 15, dari SMK Tengku Mahmud Iskandar turut diumumkan sebagai pelajar cemerlang dengan keputusan 5A dan 2B.

“Saya bercita-cita untuk menjadi ahli farmasi dan subjek kegemaran saya Sains,” katanya.

Sinar Harian

‘Saya akan pertahan hak mahasiswa’

27 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, beliau tetap mempertahankan hak mahasiswa walaupun mereka mendesak beliau meletak jawatan menerusi memorandum kelmarin.

Beliau enggan mengulas lanjut mengenai desakan itu dan menyerahkan kepada rakyat menilai perkara sebenar.

“Pada pendapat saya, mereka mempunyai hak berhimpun dan bersuara. Saya akan pertahankan hak mereka ini.

“Saya juga dimaklumkan sebahagian daripada yang hadir itu ialah mahasiswa. Kepada mereka, saya ingin nyatakan kasih saya pada mereka tidak berubah,” katanya dalam satu kenyataan media yang diedarkan di Parlimen, semalam.

Saifuddin berkata, kelmarin, beliau dimaklumkan pegawai kementerian, 350 orang mengadakan perhimpunan aman di pekarangan pejabat kementerian itu.

Bagaimanapun, beliau ketika itu menghadiri program di Batu Pahat, Johor dan Seremban, Negeri Sembilan.

Setiausaha Sulit Kanan, Mohd Nazri Noh yang mewakili beliau menerima memorandum berkenaan dan turut menjemput kumpulan itu untuk berjumpa di Parlimen tengah semalam, namun telah ditolak.

Malah, ketika menghadiri program debat di Universiti Putra Malaysia (UPM) malam kelmarin, beliau berjumpa dengan Presiden Alumni Aspirasi, Mohd Shahar Abdullah serta beberapa rakannya dan mereka juga menyerahkan memorandum.

“Pertemuan itu berlangsung dalam tempoh singkat sahaja dalam suasana mesra di mana kami bersalaman sambil tersenyum,” katanya.

Sinar Harian

Syurga dua beranak makin daif

27 Muharram 1433H. [MOD] -

KUANTAN – Kawasan rumahnya yang dipenuhi sampah dan berbau busuk memang tidak dilayak dihuni namun itulah syurga kecil bagi dua beranak, Dagang Embong, 77 dan anaknya, Embong Dagang, 53 untuk berteduh bagi meneruskan hidup.


Dia pernah dipujuk anak-anak lain untuk tinggak bersama tetapi Dagang lebih selesa menghuni rumah yang dibina daripada barangan terpakai kira-kira 20 tahun lalu bersama anaknya yang mempunyai masalah mental.

Tinjauan Sinar Harian mendapati pondok kecil di Kampung Kempadang yang tiada bekalan elektrik itu dipenuhi barangan terpakai, kotor, atap bocor dan persekitaran yang berbau tidak sesuai dijadikan tempat tinggal.

Jirannya, Wan Rahimi Wan Mokhtar, 40 an berkata, Dagang membina pondok kecilnya itu selepas tapak rumah lamanya diambil alih tuan tanah dan timbunan sampah sarap itu adalah ‘rezeki’ mereka dua beranak.

“Saya dimaklumkan kerajaan negeri sudah menyediakan rumah kos rendah tetapi mereka lebih selesa tinggal di sini. Rumah itu kini dihuni anak ketiganya bersama bekas isteri.

“Saya sendiri sudah berkali-kali mempelawa dia dan anaknya tinggal bersama tetapi mereka menolak,” katanya.

Lebih menyedihkan lagi, katanya keadaan Embong yang sudah dua tahun berkurung di dalam rumah dan enggan berkomunikasi bersama jiran.

Wan Rahimi berkata, anak-anaknya ada memujuk supaya meninggalkan tempat itu tetapi dia enggan kerana mendakwa lebih selesa di situ dan terlalu sayang untuk meninggalkan rumah yang dibina itu.

Bapa kepada enam anak itu juga akan mengambil peluang mengutip barang terpakai yang dihanyut di tepi sungai untuk dijual sebagai sumber rezeki menampung hidup mereka.

Bagaimanapun, hasil daripada kerja-kerja itu, Dagang memperoleh pendapatan RM20 hingga RM40 seminggu tetapi tidak mencukupi untuk perbelanjaan mereka dua beranak.

Wan Rahimi mendakwa, sebelum ini Dagang dan Embong mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bernilai RM300 sebulan namun sudah beberapa bulan mereka tidak menerimanya.

“Tiada sumber kewangan memaksa Dagang keluar seawal jam 7.30 pagi setiap hari untuk mengutip barangan terpakai seperti plastik, kotak dan besi di tepi sungai berdekatan untuk dijual kepada peraih,” katanya.

Katanya, Dagang masih sihat walaupun usianya sudah lanjut tetapi kadang kala tidak dapat mengingati perkara yang berlaku.

Kedaifan hidup dua beranak itu juga menyebabkan Wan Rahimi terpanggil membantu menghulurkan bantuan wang untuk perbelanjaan harian dan makanan.

Sinar Harian

Mayat disangka bangkai anjing

27 Muharram 1433H. [MOD] -

SEREMBAN – Mayat seorang lelaki ditemui terapung di Sungai Linggi, berdekatan kawasan tempat korek pasir Taman Angsa Mas, Mambau, di sini, semalam.

Mayat yang tidak mempunyai sebarang identiti dan lengkap berpakaian itu ditemui orang awam, kira-kira jam 10 pagi.

Saksi, Cho Hai, 58, berkata, kejadian itu disedari rakannya, yang juga pekerja di kawasan korek pasir berkenaan.

Menurutnya, ketika memberi ikan makan di kolam berdekatan, dia dihampiri rakannya itu memaklumkan melihat objek ganjil di sungai terbabit.

“Pada mulanya, kami sangka ia adalah bangkai anjing, kerana sebelum ini terdapat beberapa ekor anjing mati di sungai itu.

“Namun setelah diamati, kami nampak objek tersebut mempunyai tangan dan kaki seperti manusia,” ­katanya yang segera menghubungi polis memaklumkan penemuan mayat berkenaan.

Menurutnya, mayat lelaki dipercayai lingkungan 40 hingga 50-an itu, dipercayai mati lebih dua hari lalu berikutannya keadaannya yang kembung dan berbau.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin mengesahkan menerima laporan mengenainya.

Menurutnya, mayat dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.

Sinar Harian

Komando elit New Zealand berundur dari Afghanistan

27 Muharram 1433H. [MOD] -

WELLINGTON 23 Dis. – Perdana Menteri New Zealand, John Key semalam mengumumkan bahawa pasukan komando elit negaranya akan berundur dari Afghanistan Mac ini, sekali gus menamatkan perjanjian lapan tahun Pasukan Perkhidmatan Udara Khas (SAS) di negara bergolak itu.

SAS dihantar ke Afghanistan bagi membantu negara tersebut menentang pemberontak.

Key berkata, sebanyak 35 kontinjen askar akan meninggalkan ibu negara Afghanistan, Kabul selepas dua tahun melatih askar Unit Tindakan Krisis di situ bagi mengawal keamanan di bandar tersebut.

Dua askar SAS terbunuh tahun ini ketika bertugas di Afghanistan. - AGENSI

Mayat mangsa Taufan Washi masih terapung

27 Muharram 1433H. [MOD] -

ILIGAN, Filipina 23 Dis. - Mayat beratus-ratus lagi mangsa Taufan Washi yang membadai selatan negara ini lewat minggu lalu masih terapung di laut, menurut jurucakap rasmi semalam.

Keadaan itu mewujudkan kebimbangan penularan penyakit kepada mangsa yang terselamat.

Ketua Pertahanan Awam, Benito Ramos berkata, pengawal pantai dan kapal tentera dijadual akan melakukan usaha mengumpul mayat terapung bersama timbunan sampah sehingga 100 kilometer dari tempat kejadian. - AFP

Duit Kertas Baru Malaysia di lancar.



27 Muharram 1433H. [MOD]-

PM merasmikan pelancaran wang kertas baru hari ini. Kebanyakan atau semua not rasanya telah ditukarkan kepada rekabentuk baru. Duit RM20 pun ada kembali dengan menggunakan warna lama iaitu warna keemasan..

Ciri-ciri Am Duit Kertas Baru Malaysia

Pada bahagian hadapan semua denominasi wang kertas, telah dikekalkan potret Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang pertama, Tuanku Abdul Rahman ibni Tuanku Muhammad, bunga kebangsaan iaitu bunga raya Rosa-sinensis (dikenali sebagai Bunga Raya dalam kalangan penduduk tempatan) dan corak songket kain tenunan tradisional.

Bahagian belakang setiap denominasi wang kertas memaparkan ciri-ciri alam semula jadi, tradisi, budaya, flora, fauna dan ekonomi yang khusus bagi Malaysia.

Untuk duit kertas baru Malaysia kali ini, denominasi RM20 mula digunakan semula setelah diberhentikan beberapa tahun dahulu. Mungkin berita gembira buatr kanak-kanak kerana mereka mungkin akan dapat duit raya RM20 pada tahun hadapan. Berikut adalah sedikit penerangan tentang duit kertas yang baru dilancarkan oleh Perdana Menteri sebentar tadi.

Wang Kertas RM100 – Keajaiban Alam Semula Jadi

01 RM100 bm Fakta dan Gambar Menarik Tentang Duit Kertas Baru MalaysiaDua keajaiban alam semula jadi terkemuka negara yang diisytiharkan sebagai ‘Tapak Warisan Dunia’ oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dipaparkan pada wang kertas RM100. Keajaiban alam semula jadi yang dipaparkan pada duit kertas RM100 ini ialah Taman Kinabalu di Sabah, dengan Gunung Kinabalu yang hebat dan agung (iaitu gunung tertinggi di Asia Tenggara) dan pembentukan batu mercu batu kapur yang menakjubkan di lembah Gunung Api, yang ditemui di Taman Negara Mulu di Sarawak. Kedua-duanya adlaah alam semula jadi yang sangat mengagumkan dan membanggakan Malaysia.

Wang Kertas RM50 – Pertanian dan Teknologi

02 RM50 bm Fakta dan Gambar Menarik Tentang Duit Kertas Baru Malaysia

Pada wang kertas RM50, gambar kelapa sawit dan bioteknologi dipaparkan sebagai satu ikon ekonomi yang sedang berkembang pesat dan boleh dibanggakan. Kelapa sawit telah menjadi tanaman pertanian negara yang paling utama dari segi ekonomi kerana Malaysia merupakan salah satu pengeluar dan pengeksport terbesar kelapa sawit di dunia. Bioteknologi terus meningkatkan kedudukan komoditi ini dalam rantaian nilai, menyokong transformasi ekonomi negara ke arah aktiviti nilai tambah yang lebih tinggi dalam sektor pertanian, perkilangan dan perkhidmatan.

Wang Kertas RM20 – Hidupan Laut

03 RM20 bm Fakta dan Gambar Menarik Tentang Duit Kertas Baru Malaysia

Setelah sekian lama duit RM20 diperkenalkan semula dengan meletakkan gambar keindahan dan hidupan laut di Malaysia. Duit kertas baru RM20 ini memaparkan gambar dua spesies penyu terkenal dan hanya dijumpai di perairan Malaysia iaitu Penyu Karah (Eretmochelys imbricata) dan Penyu Belimbing (Dermochelys coriacea). Penyu Karah mudah dikenali melalui muncungnya yang melengkung dan kulitnya yang bersisik manakala Penyu Belimbing pula mempunyai kulit yang keras dan tujuh jaluran pada cangkerangnya.

Wang Kertas RM10 – Flora

04 RM10 bm Fakta dan Gambar Menarik Tentang Duit Kertas Baru Malaysia

Wang kertas baru RM10 berwarna merah dan memaparkan Hutan Tropika Malaysia yang tumbuh subur. Spesies Rafflesia Azlanii yang dipaparkan pada wang kertas RM10 baharu ini merupakan spesies asli Semenanjung Malaysia dan mula-mula sekali ditemui di Hutan Simpan Royal Belum di negeri Perak pada tahun 2003. Bunga ini dinamakan sempena nama Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yusuff Izzuddin Shah Ghafarullahu-Lah.

Wang Kertas RM5 – Hidupan Liar

05 RM5 bm Fakta dan Gambar Menarik Tentang Duit Kertas Baru Malaysia

Wang kertas baru RM5 bertemakan hidupan liar dan memaparkan gambar burung enggang. Burung Enggang Badak (Buceros rhinoceros), iaitu salah satu spesies burung enggang terbesar dan paling mengagumkan di dunia. Burung yang menarik, bersayap lebar dan berekor panjang yang boleh ditemui dalam kelompok kecil di hutan hujan di seluruh negara ini memainkan peranan penting dalam budaya dan upacara tradisional negeri Sarawak yang turut dikenali sebagai ‘Bumi Kenyalang’.

Wang Kertas RM1 – Sukan Tradisional

06 RM1 bm Fakta dan Gambar Menarik Tentang Duit Kertas Baru Malaysia

Wang kertas RM1 masih mengekalkan gambar permainan tradisional, Wau di belakang wang tersebut tetapi dengan rekaan dan bentuk baru. Permainan wau merupakan sukan tradisional yang popular di Malaysia terutamanya di Kelantan dan Terengganu. Permainan wau juga secara tradisinya merupakan suatu acara untuk meraikan hasil tuaian yang baik yang merapatkan masyarakat tempatan negeri-negeri tersebut.

Sempena pengeluaran wang kertas baru Malayia ini, Bank Negara Malaysia akan mengeluarkan duit kertas peringatan yang dijual bermula pada esok hari, 22 Disember 2011 di tempat-tempat yang terpilih. Untuk keterangan lanjut tentang wang syiling baru ini sila rujuk sumber kami. Semoga post ini dapat memberi sedikit pengetahuan kepada para pembaca. Untuk keterangan lanjut sila layari sumber kami

22 Disember 2011

Presiden PAS : PAS terus istiqamah dengan perlembagaan tertingginya yang dijamin oleh kumpulan yang berwibawa

26 Muharram 1433H. [MOD] -
Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Peringatan ini ditujukan khusus kepada seluruh kepimpinan dan ahli PAS, serta masyarakat di Malaysia secara umumnya, dalam kita mendepani permasalahan yang sedang berlaku di waktu ini.

Firman Allah dalam Surah Attaubah ayat 122 :

Maksudnya : (Dan bukanlah semua orang-orang yang beriman itu keluar berperang. Mengapa tidak ada satu kumpulan di kalangan mereka yang bertafaquh (belajar dan memahami) ajaran Islam dan supaya mereka pulang memberi peringatan apabila kembali menemui kaum mereka, mudah-mudahan mereka menerima peringatan). (At-Taubah:122)

Sabda Rasulullah S.A.W.

(Sesiapa yang Allah menghendakinya menjadi seorang yang baik nescaya dijadikannya Faqeh (faham ) dalam perkara agama Islam). Riwayat Bukhari Muslim

Kedua–dua nas ini menunjukkan bahawa Islam itu bukan sahaja semangat yang berkobar-kobar dan ilmu secara bertulis, dalam masa yang sama ianya mempunyai disiplin ilmu serta memahami cara pelaksanaannya. Semua bidang dan lapangan ajaran Islam hendaklah dipelajari bukan sekadar sebagai satu ilmu, tetapi dalam masa yang sama hendaklah memahami cara beramalnya.

Allah S.W.T. memerintah kepada sesiapa yang memperuntukkan masa hidupnya dalam perjuangan supaya mengambil masa untuk belajar daripada kalangan yang belajar dengan faqeh (faham). Apabila belajar, maka hendaklah pula daripada kalangan ahli ilmu yang bukan sahaja faham, bahkan beramal dan berjuang dengan ilmu yang dipelajari itu dengan kefahamannya yang tulen dengan penuh istiqamah.

Perkataan feqah pada zaman awal Islam merangkumi semua ajaran Islam. Kemudiannya para ulama mengkhususkan istilahnya kepada hukum syariat sahaja. Adapun perkara yang berkait dengan iman atau aqidah dinamakan Usulu Al Din atau ilmu Tauhid atau Aqidah dan yang berkait dengan akhlak pula dinamakan Akhlak atau Tasswwuf.

Mafhum bahasa Al Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. merangkumi seluruh ajaran Islam hendaklah dilaksanakan secara Feqah atau faham, khususnya dalam perkara hukum syariat yang tidak ada nas yang nyata atau bergantung dengan ijtihad. Sirah Rasulullah S.A.W. dan para Khulafa Al Rasyidin banyak menunjukkan huraian yang nyata, betapa perlunya ajaran Islam itu dihayati dengan Feqah (Fahaman) bukan sahaja dengan ilmu. Feqah bukan sahaja seperti difahami oleh masyarakat awam hanya dalam perkara ibadat, sembahyang, puasa, zakat dan haji; bahkan merangkumi segala ajaran Islam. Khususnya dalam perkara politik yang dilupakan atau dijahilkan oleh sebahagaian besar umat Islam.

Ketika berhijrah dari Makkah ke Madinah, yang juga merupakan amalan berpolitik yang membawa kepada tegaknya negara dan masyarakat madani, Rasulullah S.A.W. telah menggunakan khidmat seorang bukan Islam yang berpengalaman dengan jalan pintas yang selamat dan cepat sampai ke Madinah. Sudah tentu seorang bukan Islam yang dipercayai akan menyimpan kerahsiaan menjaga keselamatan, dan benci kepada kezaliman walau pun tidak menganut Islam.

Di Madinah pula dilaksanakan amalan menegakkan negara, dengan kekuatan umat Islam sendiri di kalangan Muhajirin dan Ansar, seterusnya melibatkan kaum bukan Islam di kalangan Yahudi, Kristian, Musyrikin Arab dan membenarkan kewujudan kalangan munafiq dalam masyarakat Madinah. Semuanya mengambil kira ayat-ayat Al Quran yang memberi amaran supaya berwaspada terhadap musuh dan ayat-ayat yang mengizinkan dan mewajibkan Islam disampaikan kepada seluruh manusia dan pelaksanaan Islam terhadap seluruh manusia juga.

Maka pengajian secara feqah (faham) sahaja boleh melaksanakan risalahnya dengan istiqamah, bukan sahaja memahami nas secara ayatnya yang zahir, termasuk juga meletakkan pelaksanaannya pada masa, tempat dan situasi yang berbeza. Banyak ayat-ayat Al Quran diturunkan dan hadith-hadith Rasulullah S.A.W. bersandarkan sebab yang berlaku sekiranya memerlukan penjelasan.

Apabila Rasulullah S.A.W. menerima perjanjian Hudaibiyyah, manakala para sahabat merasakan perjanjian itu berat sebelah dan tidak berpihak kepada Islam, bahkan lebih berpihak kepada musuhnya. Bermula dengan pihak musyrikin (i) menolak penggunaan Bismillah, (ii) menentang dicatit nama Muhammad Rasulullah, (iii) membenarkan mereka yang berada di Madinah melarikan diri ke Makkah, sebaliknya tidak membenarkan orang Islam di Makkah berhijrah ke Madinah, (iv) dilarang meneruskan amalan umrah walaupun Rasulullah dan para sahabatnya sudah berpakaian ihram dan lain-lain.

Rasulullah S.A.W. bertegas dengan keputusan menerima perjanjian Hudaibiyah tanpa wahyu diturunkan, tetapi berpandukan ketajaman bacaan Rasul terhadap Feqah politik semasa, dan para sahabat mentaati secara mutlak kerana kerasulannya. Akhirnya perjanjian yang diterima memberi kemenangan yang besar kepada Islam dan menerima kunjungan kabilah yang datang menganut Islam dengan jumlah berlipat kali ganda sebelumnya.

Dalam perkara yang lain, Allah S.W.T. mengajar Rasulullah S.A.W. dan para sahabat R.A. melaksana dan mematuhi Syura secara tegas dalam peristiwa Uhud dengan firman Nya dalam Surah Ali-Imran ayat 159 yang bermaksud :

(Dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam mengendalikan urusan. Maka apabila engkau telah berazam (dengan keputusan ) maka berserah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berserah kepadanya).

Ayat ini menunjukkan kepada kita konsep bermesyuarat dan kepatuhan kepada keputusan yang diambil dan mengharapkan pertolongan Allah selepasnya, walaupun selepasnya menerima tamparan korban dan kecederaan. Ini adalah cara bermesyuarat dalam Feqah berjamaah khususnya dalam politik.

Semua kenyataan tersebut adalah menjadi pedoman kepada sesiapa yang mahu berpolitik secara Islam. Bagi mengemaskini supaya ajaran Islam dilaksanakan secara Feqah, maka para ulama merangka kaedah-kaedah ilmu yang berkait dengannya yang dinama ilmu usul feqh, maqasid syariat dan siyasah syari’yyah.

Bagi memelihara ajaran ini dilaksanakan, maka Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mewujudkan MAJLIS SYURA ULAMA sebagai badan yang berwibawa mengikut perlembagaan PAS untuk memelihara amalan Islam secara Feqah Islam yang sebenar. Badan yang dianggotai oleh kalangan ilmuan Islam yang mampu memahami sumbernya yang tertinggi : Al Quran, Hadith, Ijmaa, dan Qiyas yang nyata. Majlis Syura Ulama bertanggungjawab melakukan kajian dan ijtihad secara Jamaei dalam menghadapi cabaran semasa dengan sistem ilmu-ilmu yang berkait dengannya. Keanggotaan Ahli Majlis Syura pula mewakili seluruh cabang kepimpinan tertinggi PAS.

PAS telah berjaya menghadapi semua pengalaman di sepanjang perjuangannya sejak ditubuhkan, sama ada secara bersendirian, bersefahaman dengan - kerajaan, pembangkang dan NGO, Islam dan kalangan bukan Islam.

Pendekatan politik mutakhir bersama Pakatan Rakyat adalah menjadi penerusan amalan politik Islam secara feqah, bukannya secara remeh temeh. Kejayaan dicapai apabila kalangan bukan Islam menerima konsep perlembagaan, Islam menjadi agama negara dengan hak yang diberi secara adil kepada penganut agama lain, hak Bumiputra, Bahasa Kebangsaan dan Raja Berpelembagaan.

Perlu diingat, bahawa Umno yang menjadi teras kerajaan BN gagal mencapai matmatnya setelah memerintah lebih lima puluh tahun, kerana tidak menjadikan Islam mengikut makna Al Quran dan ajaran Rasulullah S.A.W. Apakah tempoh masa lebih lima puluh tahun tidak mampu melakukan muhasabah?

Seluruh ahli PAS wajib bertambah yakin bersama perjuangan di atas bahtera PAS dengan setiap pengalamannya walaupun tidak diberi hak yang adil, inilah sifatnya perjuangan Islam. Kita wajib menyedari bahawa semua tindakan bersendirian telah mengugurkan sesiapa sahaja tanpa mengira kedudukan dalam PAS. Namun PAS tetap selamat dan menjadi Parti Islam yang makin gagah perkasa menghadapi cabaran pasang surut perjuangan Islam.

PAS terus istiqamah dengan perlembagaan tertingginya yang dijamin oleh kumpulan yang berwibawa. Sesiapa yang cuba berlagak pandai tanpa ilmu yang sebenar pasti tersungkur dengan lagaknya, dan sesiapa yang berilmu dan menganggap dirinya paling bijak dalam PAS secara individunya tanpa peduli terhadap adab berjamaah dalam Islam, akan menjadi mangsa serigala politik yang menjadi musuh perjuangan Islam, inilah sikap membahayakan diri sendiri yang diberi amaran oleh Rasulullah S.A.W.

(Sesungguhnya syaitan itu adalah serigala yang menangkap manusia, laksana serigala yang menangkap kambing yang terpencil daripada kawanannya dan yang berada disudut yang menjauh diri daripada kawanannya). Dalam Musnad Ahmad.

PAS terus terbuka kepada semua yang bersedia bersamanya bagi melangsungkan perjuangan menegakkan Islam yang menjadi rahmat kepada seluruh manusia.

Sesiapa yang menyertai PAS wajib mengikut haluan dan hala tujunya serta cara perjalanannya yang tersendiri, berlandaskan Islam secara feqah dan bukan hanya berpaksikan semangat tanpa ilmu dan faham.