24 Disember 2011

Pesakit mati selepas alat kelamin putus digigit tikus

28 Muharram 1433H. [MOD] -

Seorang pesakit radang paru-paru atau pneumonia dipercayai mengalami pendarahan teruk sehingga maut akibat alat kelamin lelakinya putus digigit tikus di sebuah hospital kerajaan di Kolkata, di India, demikian menurut laporan sebuah media tempatan.

Kejadian menakutkan itu berlaku di Hospital SSKM semalam ke atas Arun Sandhukh, 53, semasa dia menerima rawatan kerana penyakitnya itu, kata akhbar Asian Age.

Pihak berkuasa hospital berkenaan mengakui banyak tikus berkeliaran dalam wad namun enggan mengulas lebih lanjut mengenai kejadian tersebut.

"Tidak seorangpun jururawat berada bersama pesakit yang mengerang kesakitan. Alat kemaluan lelakinya putus digigit tikus," kata seorang saudara kepada lelaki malang itu yang hanya dikenali sebagai Bishwanath kepada pemberita.

Ahli keluarga mangsa yang datang melawat menemui Arun mati berlumuran darah, kata laporan itu.

Kejadian malang di hospital yang tidak cukup kelengkapan dan sesak dengan pesakit di Kolkata, ibu negeri Bengala Barat itu telah menarik tumpuan media beberapa minggu kebelakangan ini.

Sabtu lalu, seorang pekerja pembersih hospital yang pemabuk di Kolej Perubatan Calcutta dilaporkan telah mencabut topeng oksigen seorang bayi yang berusia tiga minggu mengakibatkan kematiannya.

Dalam satu lagi tragedi malang di sebuah hospital swasta juga di Kolkata, pada 9 Disember lepas, lebih 90 orang mati lemas terhidu asap dalam satu kebakaran di bangunan hospital tersebut.

- Bernama

Saya tarik balik kritik Negara Berkebajikan - Hasan Ali

28 Muharram 1433H. [MOD] -
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 24 Dis: Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali hari ini mengakui kesilapannya mengkritik pendekatan Negara Berkebajikan yang mahu dibawa PAS seperti diputuskan dalam Muktamar tahunan parti itu Jun lalu.

Ekoran itu juga, beliau yang juga exco kerajaan Selangor pada satu sidang media di kediamannya hari ini menarik balik kritikannya itu dan memohon maaf kepada pimpinan dan ahli parti.

“Sebagai ahli PAS dan ahli jawatankuasa kerja PAS pusat, saya mengakui terdapat unsur keterlanjuran saya waktu membuat ulasan mengenai perkara itu. Dengan ini saya menarik balik komen mengenai Negara Berkebajikan tersebut.

“Saya memohon maaf kepada saf kepimpinan dan ahli-ahli parti terhadap keterlanjuran saya itu,” katanya pada sidang media di kediamannya di sini.

Sebelum ini pada satu sidang medianya juga, beliau mendakwa perjuangan PAS sudah menyimpang apabila mengangkat Negara Berkebajikan berbanding Negara Islam sejak sekian lama.

Sehubungan itu beliau menolak konsep Negara Berkebajikan dan mendesak parti itu kembali kepada matlamat asal menubuhkan sebuah negara Islam.

Mengakui ulasannya sebelum ini sebagai terlanjur kata, Hassan hari ini juga menyatakan pendirian bahawa beliau bersetuju dengan konsep Negara Berkebajikan yang diperjuang PAS kerana sebahagian dari initipati dan matlamat ke arah menubuhkan sebuah negara Islam.

“Saya sebagai ahli dan pimpinan, saya menyetujui apa yang dikemukakan dan pada masa sama saya melihat pengisian Negara Berkebajikan sama seperti negara Islam yang dikemukakan parti sebelum ini.

“Kemungkinan besar sama apa yang ada dalam konteks negara Islam dengan Negara Berkebajikan,” katanya.

Sementara itu, Hasan juga berkata beliau bersedia bertemu kepimpinan parti bila-bila masa bagi merungkai permasalahan yang timbul yang turut mengaitkan dirinya.

Rakyat Korea beri penghormatan terakhir kepada Kim Jong il

28 Muharram 1433H - RAKYAT Korea Utara membanjiri Kim Il Sung Square bagi memberikan penghormatan terakhir kepada bekas pemimpinnya, Kim Jong il di Pyongyang, Jumaat (waktu tempatan). Malah, jutaan rakyat negara itu di kawasan perkampungan dan bandar seluruh negara turut berkabung. Imej diambil menerusi televisyen KRT - Foto AP

Al Fatihah : Adun Tendong meninggal dunia

28 Muharram 1433H. [MOD] -

PASIR MAS, 24 Dis: Ahli Dewan Undangan Negeri (PAS) Tendong, Dr Muhammad Md Daud (Gambar) telah pulang kerahmatullah jam 12.55 malam tadi.

Menurut Yang Dipertua PAS Pasir Mas, Haji Hanifa Ahmad, Dr Muhammad dipercayai mendapat serangan jantung.

Jenazah beliau dijangka akan dikebumikan tengah hari ini iaitu selepas solat zohor.

Hanifa yang juga Adun Pengkalan Pasir berkata, Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah dimaklumkan dan dijangka akan hadir sama untuk menyolatkan jenazah tersebut.

Jenazah Adun berkenaan kini berada di rumah di Lorong Haji Daud, Kampung Perakap, Bunut Susu.

Hanifa berkata, pagi kelmarin allahyarham sempat hadir ke Pasti Pasir Mas untuk mengambil bekalan banjir yang akan diagihkan untuk penduduk dalam Dun Tendong yang mengalami banjir baru-baru ini.

Hanifa juga merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga allahyarham.

Al Fatihah : Hamid Othman meninggal

28 Muharram 1433H. [MOD] -

Tan Sri Dr Abdul Hamid Othman

Bekas Menteri di JPM diserang angin ahmar ketika bekerja

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Abdul Hamid Othman,(Gambar) 72, meninggal dunia semalam dipercayai akibat serangan angin ahmar. Allahyarham yang bertugas sebagai Penasihat Maju Holdings Sdn Bhd meninggal dunia kira-kira jam 4.45 petang ketika sedang menjalankan urusan kerja di pejabatnya di Maju Junction di sini.

Pegawai peribadinya, Nor Azhar Yusof, berkata sebelum serangan itu beliau kelihatan sihat namun tiba-tiba mengalami kesukaran bernafas.

“Kakitangan pejabat memanggil saya apabila melihat Allahyarham mengalami sesak nafas dan kami semua cuba memberi bantuan kecemasan termasuk bantuan pernafasan namun lima minit kemudian Tan Sri telah tiada.

“Allahyarham mempunyai sejarah penyakit lain iaitu sakit jantung dan diabetis,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata jenazah Abdul Hamid dibawa pulang ke kediamannya di Taman Tenaga, Batu 9, Jalan Puchong.

Penasihat Agung Pusat Kebajikan Wanita dan Keluarga (KEWAJA) itu meninggalkan seorang isteri, Puan Sri Jamilah Mohd Said, 68, seorang anak, Wafi Nazrin serta lima orang cucu.

Allahyarham yang dilahirkan pada 21 Julai 1939 di Kampung Kemelong, Mukim Sik, Kedah pernah mengetuai Pusat Islam Malaysia di Jabatan Perdana Menteri sebagai Ketua Pengarah, Bahagian Hal Ehwal Islam.

Abdul Hamid memegang jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dari 1995 sehingga 1999. Sebelum itu pada tahun 1990 beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Pada 2001, Abdul Hamid dilantik sebagai Penasihat Agama kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan kemudian Penasihat Agama kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi dari 2005 hingga 2009. – BERNAMA

Gempa bumi kuat gegar Christchurch

28 Muharram 1433H. [MOD] -

PEMANDANGAN dari udara menunjukkan kawasan New Brighton dan Burwood ditenggelami banjir lumpur selepas gempa bumi dengan kekuatan 5.8 melanda Christchurch semalam.
PEMANDANGAN dari udara menunjukkan kawasan New Brighton dan Burwood ditenggelami banjir lumpur selepas gempa bumi dengan kekuatan 5.8 melanda Christchurch semalam.

Empat mangsa terselamat, semua kompleks beli-belah terpaksa ditutup

WELLINGTON: Gempa bumi kuat melanda bandaraya Christchurch di New Zealand semalam, menggegarkan bangunan, menyebabkan barangan di atas rak runtuh serta mencetuskan panik di kalangan penduduk yang sibuk membeli belah. Tiada amaran tsunami dikeluarkan dan bandar terselamat daripada kerosakan besar.
Seorang penduduk cedera di sebuah pusat beli belah di bandar dan dirawat di hospital, empat orang diselamatkan selepas terperangkap akibat runtuhan batu, kata polis Christchurch dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, tiada laporan kecederaan jelas atau kerosakan meluas di bandar, yang baru pulih daripada gempa bumi Februari lalu yang mengorbankan 182 orang serta merosakkan kebanyakan kawasan di bandar lama.

Agensi Pemantau Geologi Amerika Syarikat (USGS) menyatakan, gempa pertama dengan magnitud 5.8 berlaku tengah hari semalam, 26 kilometer di utara Christchurch dengan kedalaman empat kilometer, kata Tinjauan Geologi Amerika Syarikat (USGS).

Beberapa minit kemudian, satu gegaran susulan dengan magnitud 5.3 pula melanda dan kira-kira sejam selepas itu, bandar itu digegarkan dengan gempa magnitud 5.8. Kedua-dua gegaran susulan berlaku pada kedalaman kurang lima kilometer.

Pusat Amaran Tsunami Pasifik tidak mengeluarkan amaran tsunami.
Lapangan terbang bandaraya itu dikosongkan selepas gempa pertama dan semua pusat beli belah di bandar itu ditutup sebagai langkah berjaga-jaga.

Pengurus Pihak Berkuasa Pemulihan Gempa Bumi Canterbury, Warwick Isaacs, berkata kebanyakan bangunan dikosongkan “sebagai langkah kecemasan.”

Kawasan itu merekodkan lebih 7,000 gempa susulan sejak gempa bumi dengan magnitud 7 menggegarkan bandaraya itu pada 4 September tahun lalu.

“Runtuhan batu dan banjir lumput berlaku di sebuah kawasan apabila tekanan gempa memaksa air bawah tanah memancut menerusi tanah yang longgar, di beberapa kawasan,” kata Isaacs kepada Radio Nasional New Zealand.

“Ada banyak barang jatuh dari almari, rak di kedai berulang kali. Ia bermula perlahan kemudian kuat. Ia adalah gegaran besar namun bukan mengejutkan atau seganas Februari lalu,” kata penduduk Christchurch Rita Langley.

Keadaan gegaran teruk berlaku di bandar pelabuhan berhampiran di Lyttelton, pusat gempa 22 Februari lalu.

“Kami tinggal di dalam bangunan sehingga gegaran berhenti. Kemudian barulah kami keluar,” kata penduduk Andrew Turner. “Penduduk secara emosinya terkejut dengan apa yang berlaku tengah hari ini.”

Kira-kira 15,000 rumah dilaporkan terputus bekalan elektrik selepas jaringan bekalan rosak di pinggir timur bandar ini. Perkhidmatan pembetungan juga terputus. Beratus kilometer pembetung dan saluran air dibaiki di bandar itu sejak gempa Februari lalu.

Sebahagian bangunan yang runtuh dan sebuah rumah kosong runtuh selepas gempa semalam, kata polis.

Pengurus Persatuan Perniagaan Pusat Bandar Paul Lonsdale berkata gempa itu muncul ketika hari paling buruk buat peruncit, dengan penduduk bergegas menghabiskan beli belah untuk Krismas.

Walaupun gempa besar, tiada kerosakan nyata di daerah pusat perniagaan, di mana 28 kedai dibuka semula di kontena perkapalan selepas bangunan mereka musnah dalam gempa Februari lalu, katanya. – AP

40 maut dalam serangan bom berani mati di Syria

28 Muharram 1433H. [MOD] -

DAMSYIK 24 Dis. - Lebih 40 orang terbunuh dalam dua serangan bom berani mati di bangunan-bangunan kerajaan di sini, semalam, kata Kementerian Luar Syria.

Menteri Luar Syria, Faisal Meqdad berkata, serangan itu menyebabkan lebih 40 orang maut manakala 100 lagi cedera.

"Kejadian ini merupakan 'hadiah' daripada pengganas dan al-Qaeda untuk pasukan pemantau dari Liga Arab yang baru tiba di negara ini," katanya. - AFP

Saluran minyak Colombia meletup, 7 maut

28 Muharram 1433H. [MOD] -

BOGOTA 24 Dis. - Sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh manakala 60 lagi cedera dalam kejadian letupan saluran paip minyak di barat Colombia, awal pagi semalam.

Datuk Bandar Dosquebradas, Luz Ensueno Betancur berkata, kejadian itu mungkin ada kaitan dengan kes kecurian minyak.

Katanya, punca letupan masih lagi disiasat. - AFP

Satelit komunikasi Rusia terhempas selepas dilancarkan

28 Muharram 1433H. [MOD] -

MOSCOW 24 Dis. - Sebuah satelit Rusia dilaporkan terhempas di Siberia, selepas dilancarkan, semalam, menjadikan ia sebagai kejadian terbaru membabitkan program angkasa negara Komunis itu yang menemui beberapa kegagalan pada tahun lalu.

Agensi berita Interfax yang memetik sumber agensi angkasa Rusia berkata, satelit komunikasi Meridian 'terhempas di kawasan Siberia' sebaik berlepas dari tapak pelancaran Plesetsk.

Katanya, satelit itu dipercayai terhempas di pekan Tobolsk di barat Siberia. - AFP

23 Disember 2011

Anak gadis saya tiada kewarganegaraan

27 Muharram 1433H. [MOD] -
Dr Juanda Jaya

Maaf, mengikut sistem kami, ana perempuan tuan statusnya bukan kewarganegaraan Malaysia. Ini dinyatakan dalam sistem kami. Kami tiada pilihan. Sila lihat sendiri.

Itulah kata kata pegawai JPN berinisial M, setelah saya disuruh menemuinya oleh staf wanita F di kaunter. No giliran saya pagi ini no 4, setelah Jumaat lepas saya perlu menunggu sehingga hampir 100 nombor untuk dapatkan giliran perkhidmatan membuat kad pengenalan anak gadis saya yang sudah lanjut berusia lebih 12 tahun.

Inilah kejutan di awal pagi Jumaat 23 Disember 2011 di Jabatan Pendaftaran Negara Sarawak Kuching ke atas diri saya. Saya datang seawal jam 730 pagi untuk mengelakkan kesesakan di kaunter yang mendapat anugerah kaunter terbaik Negara tahun 2008.

Saya tidak pernah ada pengalaman yang baik di Wisma Persekutuan Sarawak. Dah pelbagai khidmat kerajaan persekutuan yang saya buat, dpd pasport, kad pengenalan, surat beranak, pejabat pelajaran, dan lain sebagainya, tidak pernah ada pengalaman yang baik untuk saya sebagai rakyat Sarawak yang menjadi sebahagian dpd Malaysia. Kalau boleh mengelak, memang saya tidak mahu berurusan dengan Jabatan Persekutuan yang ada di Sarawak. Amat berbeza dengan kaunter kerajaan di Semenanjung, teramat jauh lebih baik. Barangkali kami di Sarawak lebih suka memendam rasa berdiam durja ditadbir oleh orang lain.

Punca dan dosa saya pada hari ini ialah saya suka ambil nombor giliran seperti rakyat marhaen yang lain kerana lebih suka berbaris ikut BARISAN. Bukan potong barisan dengan terus berjumpa boss yang sedia melayan VVip di dalam biliknya. Berbaris di kaunter sudah jadi kebiasaan saya untuk merasai denyut nadi rakyat. Saya pernah dimaki di kaunter oleh pegawai kerajaan, tetapi bila siap urusan dan menyedari siapa orangnya, mereka hanya tersipu sipu dan tetap enggan meminta maaf. Pengalaman azab berbaris di kaunter kerajaan ini sudah lama saya rasai sejak menuntut di al Azhar Cairo sewaktu membuat visa tahunan. Tapi pengalaman di kaunter Malaysia tidaklah lebih baik dpd kaunter kerajaan Mubarak di Mesir waktu itu.

Apakah perasaan anda sebagai bumiputera negara ini yang jelas disebutkan bangsanya dalam Perlembagaan Malaysia sebagai bangsa asal dan warganegara tulin negara tercinta ini serta telah dijamin mendapat segala hak yang termaktub dalam Perlembagaan negara ini, tetapi tiba tiba hak itu dinafikan oleh sistem negara yang anda cintai itu. Hak yang paling minima adalah mendapatkan kewarganegaraan. Bukannya hak mendapatkan lesen balak atau projek atas angin. Namun hak itu dinafikan oleh sistem yang ada. Saya berbangga berbangsa Melanau dan tetap memastikan anak anak saya kekal mewarisi bangsa yang saya cintai ini. Malangnya, bangsa ini hanya wujud di wilayah ini sahaja.

Ya, isteri saya rakyat Indonesia, masih warganegara di sana dan saya masih enggan memohon menukar kerakyatannya kerana berbangga isteri saya warga Indonesia, walaupun banyak pihak menawarkan untuk memudahkan urusan permohonan berkenaan. Tetapi kenapa anak gadis saya yang tiada dosanya jadi mangsa? Dia bukan warganegara Indonesia. Kami baru sahaja ke Jakarta awal Disember lalu untuk menziarahi keponakannya di sana menggunakan passport Malaysia. Tetapi kenapa bila saya hendak membuat Kad Pengenalannya, dalam sistem JPN dinyatakan anak saya itu bukan warganegara? Anak saya stateless! Sistem apa ini? Apakah kita di Afrika atau di Zimbabwe yang tengah huru hara? Pada saat ramai orang asing dikatakan diberikan hak warganegara, tiba tiba anak gadis saya yang berbangsa bumiputera asal Sarawak, Melanau, yang jelas nama bangsanya disebut dalam Perlembagaan Malaysia dijamin hak warganegaranya, tiba tiba dinyatakan bukan warganegara Malaysia.

Di manakah laungan kerajaan bahawa segalanya kini semakin efisien dan sistem kita semakin lebih dipercayai berbanding dahulu? Saya cuba mengisi borang Jpn itu sebaik mungkin menurut contoh yang dibuat pihak Jpn sendiri. Tetapi jelas di sana tiada peraturan menyebut bahawa perlu bawa sijil kahwin? Dulu sewaktu membuat Kad pengenalan anak anak yang lain, tidak ada pulak mereka minta surat kahwin. Wow! Bila jumpa pegawai Jpn si M itu, dia kata dalam Iso JpN kata perlukan surat nikah bagi warganegara yang kahwin dengan rakyat asing? Tetapi di papan kenyataan tak pulak disebut panduan berkenaan. Wah! Kenapa begitu sekali? Padahal rakyat asing dikurniakan hak warganegara oleh Menteri Dalam Negeri, maka mengapa anak kepada lelaki berwarganegara Malaysia dinafikan hak warganegaranya? Entahlah!

Betul, tertulis status di skrin situ, nama anak saya, status anak gadis saya, X Warganegara, tetapi bangsa masih tertulis berbangsa MELANAU.

Apa sudah jadi pada sistem negara kita ini? Siapakah yang sudi membantu mendapatkan kewarganegaraan anak gadis saya?

Dr Juanda bin Jaya,
Mufti Kerajaan Negeri Perlis, Malaysia
Adjunct Professor at University Malaysia Perlis (UNIMAP)
Visiting Professor at Management and Science University, Malaysia (MSU)
ex-Visiting Fellow at
Oxford Centre for Islamic Studies (OCIS)
University of Oxford

Reezal Merican dituntut mohon maaf 24 jam

27 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 23 Dis: Naib Ketua Pemuda Umno Kepala Batas, Reezal Merican dituntut memohon maaf kepada Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dalam tempoh 24 jam melalui akhbar Utusan Malaysia, ekoran kenyataan fitnahnya terhadap mahasiswa.

Sekiranya Reezal tidak memohon maaf dalam tempoh yang ditetapkan, SMM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan lebih tegas terhadap beliau melalui saluran perundangan.

Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Ahmad Syukri Abd Razab berkata, tuntutan tersebut dibuat berikutan kenyataan fitnah Reezal yang mengatakan mahasiswa telah memijak bendera Perdana Menteri seperti yang disiarkan Utusan Malaysia pada 21 Disember lalu.

Menurutnya, kenyataan Reezal itu dilihat berniat jahat dengan cuba memburukkan SMM dan memberi persepsi negatif terhadap isu yang dibawa oleh Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas).

Katanya, realiti sebenarnya, bendera Perdana Menteri hanya diturunkan dalam tempoh masa kurang lima minit dan kemudian dinaikkan semula dalam keadaan baik.

"SMM juga melihat kenyataan yang dikeluarkan oleh para pemimpin kerajaan dan pemimpin Umno terlalu dangkal kerana hanya bersifat sentimen sokongan terhadap Perdana Menteri.

"Kenyataan mereka itu tanpa mengulas langsung mengenai kebebasan akademik yang diutarakan oleh mahasiswa," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini, hari ini.

Sementara itu, tegasnya, SMM mengecam sekeras-kerasnya pihak yang mengancam dan mengugut Adam Adli berikutan protes yang dilancarkan terhadap Perdana Menteri.

SMM melihat perbuatan tersebut sebagai tindakan tidak bertamadun dan menyalahi prinsip demokrasi yang diamalkan di negara ini.

Katanya, SMM menghormati hak setiap pihak untuk mengkritik dan bersuara namun perbuatan mengugut sehingga ancaman bunuh bukanlah perkara yang wajar dan hanya mengeruhkan keadaan.

"SMM khususnya Adam Adli tidak akan berganjak daripada pendirian untuk tidak memohon maaf kepada Perdana Menteri walaupun terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab terus memberi ugutan dan ancaman.

"Hal ini kerana tindakan menurunkan bendera PM pada 17 Disember lalu dilakukan dengan penuh sedar dan didasari dengan mesej yang jelas untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," tegasnya.

SMM, tambahnya, menggesa pihak polis bertindak tegas terhadap pihak yang mengugut Adam dengan ancaman bunuh bagi memelihara suasana demokrasi negara agar sentiasa dipagari kedaulatan undang-undang.

Sidang media itu diadakan selepas beliau menemani Adam memberikan keterangan kepada pihak polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi selama sejam.

Turut menemani Adam, peguam Fadiah Nadwa dan pemimpin Bebas.

Harakahdaily/-

Pegawai SPRM serbu pejabat NFC

27 Muharram 1433H. [MOD] -


Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu pejabat National Feedlot Corporation (NFC) hari ini berhubung skandal Fidlot yang membabitkan keluarga menteri kabinet, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Enam pegawai penguatkuasa dari SPRM Putrajaya memasuki pejabat di Solaris Mont Kiara pada sekitar 2.50 petang, dengan disaksikan oleh petugas media yang berkumpul di situ.

Pegawai berkenaan, diketuai pengarah siasatan SPRM Datuk Mustafar Ali, dilihat keluar daripada premis berkenaan kira-kira dua jam kemudian.

Semalam, SPRM mengumumkan penubuhan pasukan khas untuk menyiasat skandal tersebut.

Projek NFC yang diusahakan suami Shahrizat, Datuk Dr Mohamad Salleh Ismail dan juga anak-anak mereka, meraih kontroversi apabila projek berkenaan ditimbulkan dalam laporan Ketua Audit Negara 2010.

NFC didakwa menyeleweng pinjaman mudah RM250 juta itu untuk perbelanjaan tidak berkaitan, termasuk membeli dua unit kondominium mewah di Bangsar.

Malaysiakini/-

Identiti 'Datuk' NFC mula diketahui

27 Muharram 1433H. [MOD] -

Seorang usahawan berusia 45 tahun yang ditahan polis, dilaporkan berhubung siasatan ke atas skandal National Feedlot Corporation, dipercayai memiliki beberapa syarikat.

Antaranya, satu syarikat pengangkutan yang pada satu ketika pernah mempromosi perusahaan itu melalui iklan di saluran televisyen nasional.

Syarikat yang dikatakan mempunyai modal berbayar RM200,000 itu juga didakwa menyediakan perkhidmatan untuk bayaran bil dan juga cukai jalan melalui rangkaiannya di seluruh negeri.

NONEUsahawan yang didakwa bergelar 'Datuk' itu turut memiliki syarikat limosin yang menyediakan perkhidmatan di sekitar Kuala Lumpur.

Selain perkhidmatan pengangkutan biasa, profil syarikat berkenaan turut mendakwa menyediakan perkhidmatan limosin dilengkapi pengawal peribadi untuk pelanggan VVIP.

Profil itu juga mendakwa lelaki tersebut berpengalaman dalam menguruskan projek pemasaran berskala besar, antaranya bernilai lebih RM1.5 bilion.

Menurut polis, suspek juga menjalankan perniagaan agensi pekerja asing.

Pengarah jabatan siasatan jenayah komersial Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan semalam dilaporkan sebagai berkata, lelaki itu ditahan ketika berada di jabatan itu pada hari Rabu berhubung cubaan untuk menyogok pegawai polis.

Syed Ismail juga berkata suspek pernah ditahan sebelum ini berhubung siasatan ke atas dua kes penipuan, masing-masing di Bercham dan juga di Cheras mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,

Syed Ismail bagaimanapun enggan mengesahkan laporan media yang mengaitkan lelaki berkenaan dengan skandal NFC.

Polis telah mendapatkan perintah reman ke atas lelaki berkenaan yang kemudiannya diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk siasatan lanjut. MK/-

Adam Adli, anda tidak keseorangan

27 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 23 Dis: “Insya Allah, DPPM tidak teragak-agak akan bangkit bertindak tegas andai terjadi sesuatu yang tidak diingini kepada Adam Adli,” tegas Nasrudin Hassan at-Tantawi.

Beliau menegaskan demikian sebagai respons terhadap tindak balas ke atas Adam Adli yang sangat keterlaluan.

Bagi Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) itu, ludah, pukul dan terkini ugutan bunuh ke atas Adam telah melepasi batas kewarasan manusia bertamaddun.

Katanya, sekalipun mereka menganggap tindakan berani Adam menurunkan bendera Datuk Seri Najib sebagai satu kesalahan, tetapi tindak balas sedemikian adalah suatu tindakan yang sangat keterlaluan.

“Telah saya tegaskan sebelum ini bahawa tindakan anak muda itu menurunkan bendera Datuk Seri Najib perlu ditangani secara diplomasi,” katanya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata, selaku mahasiswa dan intelek muda tentunya mempunyai asas kukuh kenapa Adam bertindak sedemikian.

Jsuteru, beliau menggesa supaya diberi peluang kepada Adam membuat penjelasan kenapa melakukan sedemikian.

Ini, katanya kerana beliau percaya, jiwa anak muda yang terdidik dengan pelbagai disiplin ilmu di menara gading itu mempunyai asas yang munasabah untuk mewajarkan tindakkannya.

Sebagai contoh, kata Nasrudin beliau sendiri pernah dikritik hebat oleh sebahagian media ketika menurunkan bendera Sweden satu ketika dahulu.

“Tegas saya nyatakan bahawa tindakan saya menurunkan bendera tersebut sebagai satu isyarat jelas bahawa Sweden tidak lagi dihormati apabila rakyatnya sewenang-wenang menghina Nabi Besar Muhammad s.a.w,” jelasnya.

Katanya, perbuatan menurunkan bendera tidak lagi sepadan dengan tindakan mereka menghina Rasulullah saw.

“Begitulah saya melihat kes Adam Adli. Kalau tiada suatu yang membara dalam jiwa anak muda itu, masakan beliau saja-saja pergi menurunkan bendera Datuk Seri Najib. Masih banyak kerja lain yang boleh dilakukan oleh beliau,” ujarnya.

Tambahnya, tindakan nekad itu adalah isyarat atau merupakan satu mesej yang ingin disampaikan oleh Adam kepada Datuk Seri Najib.

“Selaku kerajaan, dengarlah suara hati anak muda itu. Jangan perkecilkan beliau. Jangan sangka beliau keseorangan,” katanya.

Paling tidak, katanya mahasiswa, anak-anak muda yang terpinggir akan sepadu bersama Adam Adli.

“Saya selaku Ketua DPPM sekali lagi menyatakan rasa kesal dengan tindak balas di luar batas kewarasan tersebut.

“Saya harap Adam Adli bersabar. Kuatkan pergantungan kepada Allah SWT. Anda tidak keseorangan. Dewan Pemuda PAS turut bersama anda,” ujarnya lagi.

Harakah Daily

Hanya jalani rawatan biasa - Nik Aziz

27 Muharram 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU, 23 Dis: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengingatkan pihak tertentu agar tidak menyebarkan fitnah berhubung keadaan kesihatan dirinya yang menjalani rawatan baru-baru ini.

Katanya, dakwaan bahawa beliau berada dalam kritikal sehingga menerima rawatan intensif semasa berada di Hospital Universiti Malaysia (HUSM) baru-baru ini adalah tidak betul.

Menyangkal dakwaan itu Nik Aziz, 80, berkata, sudah menjadi rutin dia akan membuat pemeriksaan berkala di hospital terbabit supaya keadaan kesihatan sentiasa stabil dan memuaskan.

“Sudah menjadi kebiasaan saya buat pemeriksaan di hospital tiga bulan, ada( dakwaan) kata saya sakit, itu kerja orang yang tidak kenal dosa, ” katanya ketika ditemui media di kediamannya di Pulau Melaka, semalam.

Isnin lalu Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS telah dimasukkan ke hospital bagi menjalani rawatan dan dibenarkan pulang pagi semalam.

Bagaiamanapun, maklumat yang tersebar luas di internet menyatakan beliau berada dalam keadaan kritikal.

Semalam juga beliau turut mengeluarkan kenyataan menyatakan pendirian berhubung isu dalaman parti membabitkan bekas Pesuruhjaya Selangor, Datuk Dr Hasan Ali, bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa dan Ketua Penerangan PAS Selangor, Saari Sungip.

Dalam responya beliau menasihatkan semua pihak di dalam parti tidak lagi menggunakan media massa milik musuh politik PAS untuk memperkatakan tentang masalah dalaman parti.

Beliau juga menyokong keputusan Mesyuarat Lajnah Politik PAS Pusat untuk memanggil ketiga-tiga individu tersebut memberikan penjelasan.

Harakah Daily