16 Julai 2012

Peniaga Kecil Melayu/Bumiputera Ditekan dengan Peraturan Baru MBM

26 Syaaban 1433H. [MOD] -

MIRI: Peraturan baru Majlis Bandaraya Miri (MBM) untuk para peniaga di gerai Bazar Ramadan pada tahun ini sangat menyusahkan dan membebankan terutama sekali kepada para peniaga kecil yang kurang berkemampuan.

Kami menerima banyak aduan dari pengusaha atau peniaga kecil tentang bayaran sewa gerai Bazar Ramadan sebanyak RM300 yang dikenakan untuk setiap gerai adalah terlalu mahal dan mereka mahu dikurangkan dengan harga yang berpatutan.

Encik Kasim seorang penjual 'Burger' memberitahu pihak kami tentang masalah peraturan baru yang dikenakan kepada setiap peniaga yang hendak menjual di gerai Bazar Ramadhan mesti melakukan pemeriksaan kesihatan termasuk suntikan kesihatan untuk membolehkan mereka berniaga disitu.

Menurutnya, Kos suntikan termasuk pemeriksaan kesihatan adalah terlalu tinggi boleh mencecah ratusan ringgit dan belum lagi terpaksa bayar sewa sebanyak RM300 untuk tapak gerai dan juga lain-lain kos, ini sudah tentu membebankan mereka yang kurang berkemampuan.

Bulan ramadhan adalah bulan untuk menambah rezeki untuk para peniaga kecil Melayu/Bumiputera untuk menampung Kos serta belanja untuk persiapan Hari Raya Aidil Fitri. Dengan pendapatan tambahan ini sekurang-kurangnya dapat menampung Kos pembelanjaan seharian mereka.

Sepatutnya pihak pemerintah atau pihak yang berkuasa mengambil berat masalah rakyat yang berpendapatan rendah, bukannya dengan menambahkan beban mereka dengan Kos tambahan yang melampau seperti mengenakan syarat-syarat ketat untuk berniaga.

Memang niat pihak berkuasa untuk menjaga kebersihan dan kesihatan untuk para peniaga dan pengguna adalah baik tetapi tidak semestinya mengenakan caj yang melampau untuk menekan para peniaga kecil Melayu/Bumiputera yang kurang berkemampuan.

Kita mendesak agar pihak kerajaan atau pihak MBM menarik balik peraturan yang membebankan para peniaga kecil tersebut. Kalau hendak laksanakan juga peraturan atau caj bayaran tersebut, pihak yang berkenaan sepatutnya mempertimbangkan atau kurangkan caj agar para peniaga kecil dapat sama-sama meneruskan perniagaan mereka pada bulan ramadhan tahun ini.

Kerajaan sepatutnya meringankan bebanan rakyat bukannya menambahkan bebanan keatas peniaga dan juga pengguna semata-mata untuk menampung Kos perbelanjaan Negara. Kita harap pihak kerajaan mengambil perhatian serius terhadap masalah dan aduan rakyat ini sebelum ramadhan dengan mengambil tindakan sewajarnya. Pihak berkuasa seharusnya adil kepada semua tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik.

Jofri Jaraiee
PAS Miri, Sarawak

Samseng upahan ganggu ceramah Anwar ditangkap

26 Syaaban 1433H. [MOD] -

SELALU sangat ceramah Pakatan Rakyat diganggu oleh samseng upahan terdiri daripada mat rempit yang menunggang motorsikal secara berkumpulan untuk membuat bising di kala ceramah berlangsung.

Pernah sebelum ini samseng-samseng upahan seperti ini membaling mercun, melontar batu malah ada yang berani menyerang orang, contohnya kisah Samseng Jalan Kebun dulu rujuk sini [Ketua samseng].

Namun lain halnya dengan kisah salah seorang samseng upahan yang mengganggu ceramah Anwar Ibrahim di Langkawi semalam, apa punya malang nasib dia telah ditangkap kerana mengganggu ceramah.

Difahamkan samseng itu nyaris-nyaris dipukul oleh orang ramai, mujur ada pihak yang menenangkan, kalau tidak memang jadi lempeng kena bedal.

Bagaimanapun, samseng itu dikatakan mengaku telah diupah oleh parti lawan untuk menganggu ceramah Anwar Ibrahim, dia kemudiannya dihantar ke Balai Polis.

Di bawah ini rakaman video ketika samseng upahan itu ditangkap.

harakahdaily/-

Fahami Konsep ketaatan kepada pemimpin

26 Syaaban 1433H. [MOD] -

Baru-baru ini berlangsung Seminar Fiqh Mentaati Pemimpin di Kuala Lumpur bagi membincangkan isu ketaatan kepada pemimpin sesebuah negara. Isu ini penting bagi menjelaskan konsep ketaatan kepada pemimpin agar umat tidak terbabas dalam memberi ketaatan kepada pemimpin.

Sebenarnya ketaatan kepada pemimpin sering diperbincangkan dalam kuliah pengajian di masjid dan surau tetapi kefahaman tentang konsep ketaatan itu selalunya tidak mencapai maksud sebenar. Apatah lagi kalau perbincangan itu menyentuh isu politik.
Taat kepada pemimpin adalah wajib berdasarkan firman Allah s.w.t.:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الأَمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآَخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلاً

Maksudnya: Wahai orang yang beriman taatlah kepada Allah dan taatlah kepada Rasul dan pemimpin dalam kalangan kamu. Jika kamu bertelingkah dalam sesuatu perkara maka rujuklah kepada Allah dan Rasul (al-Quran dan Hadis) jika kamu benar-benar beriman dengan Allah dan Hari Akhirat, demikian lebih baik dan sebaik-baik tindakan. (Surah al-Nisa’: 59)

Ketaatan kepada Allah dan Rasul adalah mutlak, maka tidak siapa yang boleh berpaling daripada mentaati kedua-duanya. Malah mereka yang ingkar daripada perintah itu dalam bahasa kasarnya boleh disebut sebagai kafir. Firman Allah s.w.t.

قُلْ أَطِيعُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَإِنَّ اللَّهَ لا يُحِبُّ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: Katakanlah Muhammad kepada umat Islam, taatlah kepada Allah dan Rasul, maka jika kamu berpaling sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang Kafir. (Surah Ali Imran : 32)

Jadi, ketaatan kepada Allah dan Rasul ini semua sudah maklum, dan semua umat Islam sudah akur dengan perintah itu. Cuma dalam hal ini, tahap ketaatan kita masih rendah. Kalau kita sembah Allah dalam solat sekadar perbuatan dan amalan, tidak pada hati dan jiwa. Kita kata taat kepada Allah tetapi kita masih mengumpat orang, kita kata taat kepada Allah tetapi kita masih mendedahkan aurat, kita kata taat kepada Allah tetapi kita masih cuai dalam melaksanakan ibadah lain.

Bayangkan kalau ketaatan kepada Allah pun masih tidak boleh diberi 100 peratus, bagaimana ketaatan kepada pemimpin. Di sinilah barangkali kita lihat ramai umat Islam gagal untuk mentaati pemimpin mereka. Malah kadang-kadang kita taat kepada pemimpin kerana ada udang di sebalik batu, kita taat tetapi ada maksud yang kita harapkan daripada pemimpin itu.

Siapa Pemimpin Kita
Apabila menyebut pemimpin, tidak seharusnya kita rujuk hanya kepada pemimpin negara atau negeri sahaja. Sabda Rasulullah s.a.w:

عَنِ ابْنِ عُمَرَ، عَنِ النَّبِيِّ - صلى الله عليه وسلم - قَالَ: كُلُّكُمْ رَاعٍ، وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، فَالأَمِيرُ الَّذِي عَلَى النَّاسِ رَاعٍ، وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ، وَمَسْئُولٌ عَنْهُمْ، وَامْرَأَةُ الرَّجُلِ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتِ زَوْجِهَا وَوَلَدِهِ، وَمَسْئُولَةٌ عَنْهُمْ، وَعَبْدُ الرَّجُلِ رَاعٍ عَلَى مَالِ الرَّجُلِ، وَمَسْئُولٌ عَنْهُ، أَلا فَكُلُّكُمْ رَاعٍ، وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، مِنْ هُنَا لَمْ يُخَرِّجَاهُ.

Maksudnya: Daripada Ibnu Umar daripada Nabi s.a.w. katanya, setiap kamu adalah pemimpin, dan dia bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpin, maka ketua negara yang memerintah adalah pemimpin, dan dia bertanggungjawab terhadap apa yang diperintah, dan lelaki itu pemimpin terhadap keluarganya,

dan dia bertanggungjawab terhadap mereka. Dan isteri seseorang lelaki (suami) itu pemimpin terhadap rumah suaminya dan anaknya, dan dia bertanggungjawab terhadap apa yang diamanahkan kepadanya. Dan hamba seorang tuan adalah pemimpin terhadap harta tuannya, dan dia bertanggungjawab terhadapnya.

Ketahuilah semua kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu bertanggungjawab terhadap apa yang diperintahkan. Di sinilah kedua pihak itu tidak mungkin dipisahkan.

Jelas di sini, pemimpin terdapat banyak jenis dan kategori. Maka bapa pemimpin kepada keluarga, isteri pemimpin kepada rumah dan anak suami, malah hamba juga menjadi pemimpin untuk menjaga harta tuannya. Maka setiap seorang daripada mereka itu dipertanggungjawab terhadap apa yang diamanahkan kepadanya.

Dalam sesebuah kariah ada pemimpin, dalam masjid ada pemimpin dan dalam organisasi ada pemimpin. Pemimpin tersebut boleh dinamakan dengan pelbagai panggilan mengikut kedudukannya: PM, menteri, YDP, ketua, pengerusi, presiden, nazir dan pegawai dll.

Ketaatan Kepada Pemimpin Tidak Mutlak

Ketaatan kepada pemimpin seperti yang dijelaskan di atas tidak mutlak berbanding ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya.

Namun walaupun tidak mutlak ketaatan itu tetap penting dalam proses pentadbiran dan pengurusan manusia. Tanpa ketaatan, pengurusan akan jadi tidak terurus malah boleh jadi pemimpin itu akan melakukan semua kerja seorang diri. Apalah ertinya sesuatu pentadbiran kalau arahan pemimpin tidak dipatuhi oleh orang bawahannya.

Walau bagaimanapun ketaatan kepada pemimpin boleh gugur apabila pemimpin itu mengarahkan sesuatu perintah ke arah perkara yang maksiat atau melanggar syariat. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w:

لا طَاعَةَ لِمَخْلُوقٍ فِي مَعْصِيَةِ الْخَالِقِ
Maksudnya: Tiada ketaatan terhadap makhluk pada hal-hal maksiat kepada pencipta. (Riwayat Ahmad, Tabarani)

Oleh sebab itu, setiap arahan dan perintah perlu dilihat kepada tujuannya. Jika jelas bercanggah dengan Islam, boleh abaikan dengan cara yang baik. Sebaliknya jika ada kebaikan daripada perintah itu maka perintah itu perlu ditaati. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w:

لا طاعة لأحد فى معصية الله إنما الطاعة فى المعروف
Maksudnya: Tiada ketaatan kepada seseorang pada perkara dosa kepada Allah, sesungguhnya ketaatan hanya pada yang baik sahaja. (Riwayat al-Bukhari Muslim dan Abu Daud, Nasai dan Ibn Hibban)

Berdasarkan dua hadis di atas, bolehlah dirumuskan bahawa ketaatan kepada pemimpin di semua peringkat adalah kerana kebaikan perintah dan arahannya. Ciri-ciri kebaikan sesuatu arahan pemimpin ialah:

Arahannya tidak bercanggah dengan dasar Islam
Dasar dan arahannya memberi manfaat kepada umum/rakyat
Arahannya ada maslahah untuk menyelamatkan Islam dan umat
Tindakannya tidak merugikan Islam dan umatnya.

Oleh sebab itu sebagai rakyat sesebuah negara atau negeri, kita perlu halusi ciri-ciri kebaikan yang ada pada perintah dan arahan pemimpin tersebut. Jika menepati ciri-cirinya wajiblah kita taat kepada pemimpin negara dan negeri, tetapi jika sebaliknya wajiblah kita menolaknya.

Berdasarkan itu, tidaklah semua arahan yang datang daripada pemimpin kesukaan kita perlu ditaati dan tidak juga semua arahan yang datang daripada pemimpin yang dibenci boleh ditolak. Semuanya mestilah dirujuk bersandarkan kepada ciri-ciri di atas.

Katalah suatu arahan pemimpin berbunyi begini: “Semua umat perlu bertolak ansur dalam soal amalan agama lain ketika menyambut perayaan demi perpaduan masyarakat.” Arahan ini jelas bertentangan dengan Islam dan merugikan Islam dan umatnya. Maka menyedari keadaan itu, kita tidak wajib taat arahan tersebut. Malah atas dasar itu tidak berdosa kalau kita abaikan arahan itu.

Walau bagaimanapun arahan lain yang baik daripada pemimpin yang sama masih wajib ditaati. Malah tidak wajarlah dengan penolakan satu arahan, maka semua arahan yang baik kita tolak juga.

Arahan Mengikut Peraturan dan Undang-undang

Sebenarnya kebanyakan dasar dan arahan yang dikeluarkan oleh pemimpin baik negeri mahupun pusat, belum pernah dibuat oleh Rasulullah dan kerajaan Islam terdahulu. Namun arahan tersebut sangat berkait rapat dengan kehidupan rakyat. Kalau semua yang diarah oleh kerajaan melibatkan rakyat di sudut pembangunan rohani dan jasmani wajiblah ditaati.

Cuma dalam arahan itu kadang-kadang ada peraturan yang ditetapkan sama ada kerajaan pusat atau negeri dilihat seperti menyusahkan. Banyak prosedur yang perlu dilalui, namun percayalah kalau dilihat di sebaliknya akan kita temui kebaikan kepada rakyat secara umum. Oleh sebab itu peraturan tersebut wajib dipatuhi.

Sebagai contoh; untuk berkahwin sesuatu pasangan itu perlu mengikuti kursus pra perkahwinan, mengambil ujian saringan HIV, dan mendapatkan pengesahan daripada Penolong Pendaftar Nikah tempatan. Peraturan itu memang seperti menyusahkan, tetapi kesannya adalah untuk kebaikan umat Islam walaupun peraturan itu tidak ada dalam Islam.

Jika arahan ini tidak dipatuhi, mereka yang hendak berkahwin tidak mahu berkursus, tidak mahu ambil ujian saringan hiv, kemudian berkahwin sendiri di rumah pengantin perempuan dengan berwalikan bapa sendiri dan dua saksi. Walaupun perkahwinan itu sah mengikut Islam, tetapi proses perkahwinan yang dijalankan itu adalah satu kesalahan. Pasangan itu telah tidak taat kepada pemimpin, dan boleh didakwa. Hakikatnya mereka berdosa kerana melanggar peraturan kerajaan. Dan setiap yang berdosa ertinya mereka menempa jalan ke neraka.

Begitu juga dengan peraturan lalu lintas, semua aturan itu jelas untuk kepentingan pengguna jalan raya. Jika kita membantah lalu tidak mahu ikut peraturan, selain berdosa, dia mendedahkan dirinya kepada bahaya kemalangan. Bayangkan kalau dia meninggal dunia dalam keadaan melanggar peraturan jalan raya, sudah tentu dia mati dalam keadaan berdosa.

Berbalik kepada seminar yang telah pun berakhir itu, kita tidak ada alasan untuk tidak mentaati pemimpin. Oleh sebab itu rakyat Selangor sebagai contoh, mereka wajib mentaati pemimpin negeri yang terdiri daripada Sultan, Menteri Besar dan EXCOnya.

Dan pada masa yang sama mereka juga wajib mentaati pemimpin di peringkat pusat yang terdiri daripada Yang diPertuan Agung, Perdana Menteri dan Menteri selagi arahannya tidak bercanggah dengan Islam.

Jika semua ini dapat difahami dan dihayati oleh Rakyat Malaysia, kita akan berada dalam negara ini dengan selamat, maju dan jaya.

Fikrah Islamiah

Awang Adek perlu bersih nama

26 Syaaban 1433H. [MOD] -

MULA-mula akhbar mendedahkan Timbalan Menteri Kewangan, Dr. Awang Adek Hussin dikatakan ada peranan memungkin seorang saudagar diberi hak mencetak dua juta keping not kertas dua ringgi semasa dia menjadi orang besar di Bank Negara.

Dia dikatakan terus mendapat banyak faedah dari saudagar itu sekalipun dia sudah lama keluar dari Bank Negara.

Kali kedua saya terbaca Cikgu Bard, orang kuat PKR berasal dari Rembau mengulangi dakwaan terhadap Dr. Awang Adek seperti yang didedahkan oleh akhbar tadi dan mencabar timbalan menteri itu supaya segera membuat penjelasan apakah dakwaan itu betul atau sebaliknya.

Cikgu Bard memilih Bachok, pangkalan politik Awang Adek sendiri untuk membuat cabaran itu di hadapan sekitar 8,000 pendengar, dipercayai ramai ahli UMNO mendengar dakwaan terbuka itu.

Cikgu Bard biasanya ada bukti kukuh bila dia membuat kenyataan. Dialah orang mendedahkan penemuan cincin bernilai RM24 juta di KLIA dihantar kepada isteri Perdana Menteri dari sebuah syarikat di New York. Nyonya Rosmah dan suaminya tidak membuat penjelasan atas dakwaan itu.

Kini Cikgu Bard orang kepercayaan Perdana Menteri pula untuk membersihkan namanya dari tohmah semasa berkhidmat di Bank Negara dulu.

Awang Adek telah ditolak oleh pengundi dalam PRU 2008 dulu. Perdana Menteri Abdullah Badawi tidak mengambil orang kalah pilihanraya untuk menjadi menteri. Apabila Najib jadi Perdana Menteri, dia jadikan Awang Adek sebagai senator diamanahkan menjadi Timbalan Menteri Kewangan yang menteri kewangannya ialah Najib juga.

Kementerian Kewangan adalah yang besar dan penting. Ia ditadbirkan oleh dua orang penting yang amanahnya dipersoal. Menteri kewangannya dipertikai amanahnya dalam banyak perkara dan dilihat boros membelanjakan wang Negara. Dia mengambil Awang Adek yang disangsikan juga amanahnya untuk jadi timbalan menterinya.

Menterinya Najib terkenal sebagai orang yang tidak peduli terhadap saksiah dan amanahnya yang dipersoal. Seolah-olah kiamat dunia jika dia membuat penjelasan. Apa jadi pada integriti Kementerian Kewangan dan kedudukan kewangan negara apabila kementerian itu diletakkan di bawah dua orang diragui integritinya?

Dr. Awang baru ditohmah. Seorang yang didakwa tidak lagi bersalah selagi tidak diputuskan bersalah oleh mahkamah. Dr. Awang belum boleh dikira orang salah. Dia baru ditohmah dan orang yang ditohmah sentiasa diragui untuk memikul amanah besar.

Dengan tohmah itu dia sudah jadi timbalan menteri yang diragui. Apabila Kementerian Kewangan diterajuai oleh lebih dari seorang yang dpersoal integriti dan amanahnya, maka dunia hilang keyakinan terhadap pentadbiran kewangan kita.

Untuk itu Awang Adek perlu tampil kemuka untuk membuat penjelasan bagi membersihkan nama baiknya.

Kita mahu Awang Adek membersihkan namanya supaya dalam PRU 13 nanti kiranya dia menjadi calon nanti, dia tidak diragui pengundi dan jika dia terpilih sebagai orang yang bersih, pengundi Bachok tidak malu beroleh wakil rakyat yang ada kelas dan maruah.

Jika dia tidak membersihkan namanya, ia menambah sakit peluang menang bagi BN. Jika dia menjadi Menteri Besar bayangan, maka dengan nama tidak bersih itu tdak diduga memberi peluang untuk mengambil Kelantan.

Jika dia tidak mengambil apa-apa langkah membela diri, maka orang mulai menyangka akan sebab dia meninggalkan Bank Negara sedang dia berkedudukan tinggi dan menyertai UMNO sedang UMNO Kelantan tidak menjamin peluang yang cerah.

Dan orang juga boleh menyangka, menyertai UMNO itu bukan kerana hendak berjuang demi dakyat dan negara, tetapi untuk mencari perlindungan. UMNO biasa memberi kekebalan kepada sesiapa yang dipercayai salah laku dalam sesuatu perkara.

Awang Adek belum dikira bersalah tetapi belum dikira bersih.

harakahdaily/-

Umno itu sudah terlalu fakir dalam perjuangan

26 Syaaban 1433H. [MOD] -

Muhyiddin menyeru agar UMNO mempertahankan kerusi Gelang Patah habis-habisan kerana Gelang Patah merupakan kawasan yang menempatkan pusat pentadbiran negeri Johor dan mempunyai infrastuktur yang terbaik di negeri Johor. Di dalam kawasan ini jugalah terletaknya Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan berbagai-bagai infrastruktur terbaik di negeri Johor.

Kenyataan seperti ini yang datangnya dari Timbalan Perdana Menteri dan ianya membayangkan bahawa negeri Johor juga merupakan negeri yang sangat ditakuti oleh BN dalam menghadapi PRU yang akan datang ini. Kenyataan yang membayangkan ketakutan dari pihak BN tidak pernah kita dengar sebelum ini jika ia melibatkan negeri Johor kerana Johor sebelum ini merupakan kubu kuat BN sejak negara mengadakan pilihanraya.

BN dan UMNO di negeri Johor sebelum ini hanya mengambil pilihanraya umum sebagai satu pesta sahaja kerana bak kata orang UMNO semasa parti itu kuat dahulu, 'calon UMNO tidak payah turun berkempen. Hantarkan songkok untuk mewakili calon-calon-calonnya sahaja sudah cukup dan BN akan menang'. Tetapi kenyataan yang datang dari seorang Timbalan Perdana Menteri yang juga merupakan anak Johor ini, amat jelas yang BN di Johor tidak boleh lagi bercakap takbur seperti dahulu. Keadaan sudah berubah dan rakyat lebih fokus untuk mencari pemimpin dan parti yang lebih berguna dari dahulu.

Muhyiddin meminta UMNO dan BN Johor perlu melipat gandakan usaha untuk mempertahankan Gelang Patah daripada ditawan oleh Pakatan Rakyat. Ia bermakna Johor terutamanya di Gelang Patah UMNO sedang berada di posisi defensif di tengah-tengah kemaraan pengaruh Pakatan Rakyat sekarang ini. Jika Gelang Patah yang merupakan kubu tradisi BN Johor sudah berada di posisi defensif, bagaimana agaknya di kawasan-kawasan lain yang lebih lemah dari Gelang Patah?

Mungkin apa yang dikatakan oleh setengah pemimpin-pemimpin UMNO dan BN di Johor yang mereka (BN) kali ini akan hilang sepuluh kerusi parlimen dalam pilihanraya umum yang akan datang itu memang akan menjadi kenyataan. Mungkin itu jugalah sebabnya kenapa Salahuddin Ayub, Naib Presiden PAS yang sekarang mewakili kawasan Kubang Kerian mengambil keputusan untuk kembali ke Johor untuk menjadikan impian PR menjadi pemerintah kepada kerajaan Johor menjadi kenyataan selepas PRU yang akan datang ini.

Jika penekanan dan tumpuan kepada kawasan Gelang Patah ini keterlaluan mungkin ada kemungkinan yang Gelang Patah dan beberapa kawasan Parlimen di Johor akan kekal dalam BN dan yang lainnya akan jatuh ke tangan Pakatan Rakyat.

Tidak ada perkara yang tidak menjadi kemungkinan dalam politik negara pada hari ini. Contohnya tidak pernah sesiapa terfikir yang UMNO akan menjadi seperti hari ini; fakir dalam perjuangannya serta miskin dalam nilai dan budaya bangsa yang dipimpinnya.

Itu semualah yang menjadikan UMNO sudah hilang seluruh identitinya sebagai sebuah parti pemerintah yang bermaruah dan berintergriti sehinggakan parti itu tidak akan kebah dari stigma yang terlalu buruk di sisi pandangan rakyat yang ramai. - http://aspanaliasnet.blogspot.com

OKU pohon semua masjid ada RAM

26 Syaaban 1433H. [MOD] -

Tarikh 16 July 2012

Kepada
Y.A.B. Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Hj Abd Razak
Pejabat Perdana Menteri,
Blok Utama, Bangunan Perdana Putra,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 Putrajaya, MALAYSIA

Y.A.B. Dato' Seri.
PER: PERMOHONAN MEMBAIK PULIH KESELURUHAN MASJID DIMALAYSIA.
Salam sejahtera Y.A.B Dato Seri,dengan segala hormatnya merujuk kepada perkara diatas,

2. Saya salah seorang warga orang kurang upaya yang sepenuhnya menggunakan kerusi roda selepas terbabit kemalangan 12 tahun lalu ingin mengusulkan beberapa perkara yang sangat penting untuk kami warga OKU,dimana kemudahan setiap masjid wajib ada RAM bagi memudahkan kami bersolat dimasjid dan tak terlepas solat jumaat.

3. Saya dilahirkan sebagai seorang Islam dan saya dididk sebagai seorang Islam,dan nilai nilai murni Islam terlalu menebal dihati saya, tetapi saya terlalu sedih kerana saya tidak dapat bersolat jumaat bersama sama dengan saudara Islam yang lain. Dan saya juga memahami nasib nasib warga OKU yang lain dimana pasti mempunyai keinginan untuk bersolat dimasjid.

4.Seandainya saya menjalani kehidupan di amerika syarikat atau juga di israil tidaklah saya hairan sekiranya kerajaan mereka tidak menyediakan kemudahan khusus untuk saya beribadat dimasjid, tetapi saya sangat hairan sekiranya Dato’ Seri sebagai seorang islam tetapi tidak memahami kami warga OKU yang juga sama sama ingin beribadat kepada pencipta kami ALLAH SWT.

5. Saya melihat Dato’Seri melupakan kami yang warga OKU untuk hidup saksama dengan masyarakat lain,sedangkan slogan Dato Seri, “rakyat didahulukan pencapaian diutamakan” Jika difikir balik masih relevenkah slogan itu?

6.Dato’Seri menaikkan pelbagai bonus kakitangan kerajaan kakitangan buruh dan memberi kepelbagaian bonus kepada mereka yang terbabit,tetapi adakah Dato’Seri memberikan bonus bonus itu juga kepada kami warga oku? Pasti tidak bukan, Bahkan elaun elaun yang ada pada JKM juga sudah lama tidak diupdate,sedangkan barang-barang makan sentiasa naik jadi dimana hak kami sebagai warga OKU, Kami juga rakyat Malaysia, bukan pendatang asing yang harus dianak tirikan.

7. Saya berharap Dato’Seri fikir dan kaji balik tentang permohonan saya ini,dan saya sangat berharap permohonan saya ini diluluskan,kerana saya meminta kepada seorang yang juga beragama Islam dan seseorang mempunyai kuasa dalam pemerintah. Dan saya berharap Dato’Seri memahami maksud saya.

Sekian,
Nur Ikhwan Arifin

Kes Yasser: Suha saman

26 Syaaban 1433H. [MOD] -

ZURICH: Balu Yasser Arafat akan memulakan tindakan undang-undang di Perancis ekoran dakwaan pemimpin veteran Palestin itu meninggal akibat keracunan radioaktif, kata peguamnya semalam.

Menurut Marc Bonnant, Suha Arafat memutuskan untuk mengemukakan aduan perundangan pada bulan ini.

Kata Bonnant, prosiding perundangan itu akan dilakukan di Perancis kerana Yasser meninggal dunia di sebuah hospital tentera negara itu pada 2004.

“Suha memang menyokong tindakan menggali semula mayat suaminya bagi membolehkan siasatan dibuat.

“Dia akan mengemukakan dakwaan ke atas beberapa individu yang tidak diketahui kerana meracun suaminya,” katanya. Institut Fizik Radiasi di Switzerland - yang menganalisis contoh biologi diambil daripada tubuh Yasser - menemui bahan polonium dalam kuantiti luar biasa dan keputusan itu dilaporkan rangkaian berita al-Jazeera bulan ini.

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, dan Suha dilaporkan memberi persetujuan supaya contoh diambil daripada mayat Yasser selepas mayatnya digali semula dari kuburnya di Ramallah. Anak saudara Yasser, Nasser al-Qidwa, Khamis lalu mendakwa Israel meracun pemimpin Pertubuhan Pembebasan Palestin itu dan menggesa pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan. - AFP

Koperal kecewa gaji rendah

26 Syaaban 1433H. [MOD] -

KANGAR - Seorang anggota Polis berpangkat koperal di sini kecewa apabila gaji yang diperolehnya lebih rendah berbanding gaji Koperal lantikan Time Based.

Beliau yang berusia 40an dan enggan dikenali berkata, beliau dan rakanya mewakili hampir 3,000 anggota senasib dengannya di seluruh negara memohon pihak berkaitan supaya mengkaji semula taraf gaji yang diberikan kepada mereka.

Menurutnya, di Perlis lebih kurang 36 anggota berpangkat koperal yang terpaksa menerima gaji yang rendah walaupun taraf pangkat mereka sama dengan Koperal Time Based.

“Kami merupakan koperal yang sebelum ini mengambil Penilaian Tahap Kecekapan (PTK), baru lulus satu bahagian tiba-tiba diumumkan bahawa PTK dimansuhkan, kalau tidak salah saya pada 2010. Sejak itu kami tidak mendapat anjakkan gaji.

“Semua koperal yang senasib dengan kami terkilan kerana koperal hakiki gajinya lebih rendah daripada Koperal Time Based, walaupun ada di antara kami yang berkhidmat lebih lama. Perbezaan gaji melebihi RM300,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Menurutnya, walaupun kenaikan gaji diumumkan April lalu, gaji yang diperoleh mereka masih berada di takuk lama dan tidak dapat menyaingi Koperal Time Based.

Difahamkan, gaji maksimum bagi Koperal Time Based ialah RM3,347.78 manakala koperal hakiki gaji maksimumnya RM2,993.38, perbezaannya sebanyak RM354.40. “Kami berterima kasih kepada kerajaan yang meluluskan kenaikan gaji dan Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang memperjuangkan hak pekerja, namun kami koperal hakiki masih ketinggalan dari segi tangga gaji.

“Kami berharap pihak yang berkaitan prihatin terhadap nasib yang diterima koperal hakiki dan memohon jasa baik pihak berkenaan untuk mengkaji semula tangga gaji. Kami tidak memohon gaji yang lebih dari Koperal Time Based, etapi cukuplah jika gaji kami diselaraskan seperti mereka,” katanya.

sinar harian/-

Umno gerun hadapi fenomena sertai PAS

26 Syaaban 1433H. [MOD] -

(Salah seorang yang menyertai PAS di Stadium Kuala Selangor)

KUALA SELANGOR: Fenomena kemasukkan ramai bekas pegawai tinggi kerajaan menyertai PAS pada masa kini menggerunkan Umno-BN.

Tindakan tersebut juga membuktikan PAS bersama Pakatan Rakyat (PR) bersedia untuk menakluki Putrajaya.

Demikian menurut Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu ketika menyampaikan ceramahnya dalam Himpunan Hijau Menuju Ke Putrajaya peringkat Negeri Selangor, di Stadium Kuala Selangor malam tadi.

“Bekas orang nombor tiga dalam Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Datuk Fauzi Shaari sudah pun menyertai PAS, jadi ahli seumur hidup dan saya juga nampak bekas Ketua Polis, Tan Sri Musa Hassan sedang mengintai-intai untuk bersama kita.

“Hari ini Tan Sri Musa dah kata perangkaan jenayah yang dikeluarkan oleh PDRM tak boleh dipercayai sebenarnya jenayah meningkat dengan dahsyat,” katanya yang popular dengan panggilan Mat Sabu.

Dalam perhimpunan yang dihadiri kira-kira lebih 6,000 hadirin itu, tiga lagi bekas pegawai kanan kerajaan turut menyerahkan borang keahlian untuk menyertai PAS.

Mereka adalah bekas Pegawai Tadbir Diplomatik(PTD) selama 33 tahun yang juga bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Ismail Hamzah dan bekas Pengarah Kanan Lembaga Pertubuhan Peladang, Abd Rahman Taib.

Manakala seorang lagi adalah bekas Pengarah Sumber Manusia Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang juga pernah menjawat jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Pulau Pinang, Yusuf Hassan.

Menurut Yusuf, kemasukan golongan pesara kerajaan dalam PAS akan dapat membantu parti itu mengurus tadbir kerajaan apabila PR memenangi pilihan raya kelak.

“Saudara semua jangan takut kerana kita menyediakan pakar-pakar dari dalam kerajaan dari pelbagai bidang untuk membantu saudara-saudari semua mengurus tadbir negara ini dengan baik.

“Pengalaman yang kami ada, akan kami curahkan untuk membantu rakyat dan menjadi negara yang paling baik,” ujar beliau.

harakahdaily/-

50 murid cirit birit dan muntah selepas makan nasi goreng

26 Syaaban 1433H. [MOD] -

IPOH: Seramai 50 murid Sekolah Kebangsaan Sungai Rapat, Medan Gopeng di sini mengalami cirit birit dan muntah secara tiba-tiba dipercayai selepas makan nasi goreng di kantin sekolah pagi tadi.

Kejadian berlaku antara jam 9 hingga 10 pagi seleaps murid tahun empat hingga enam mengadu sakit perut dan muntah.

berita harian/-

Tuduh Pemuda PAS menipu: Umno dituntut penjelasan

26 Syaaban 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU: Pemuda PAS Johor mendesak Pemuda Umno membuat penjelasan ekoran dakwaan mereka terhadap PAS sebelum ini kerana terbukti dakwaan PAS sebelum ini.

Ini berikutan perubahan pucuk pimpinan Pemuda Umno Johor mulai esok, kata Ketua Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kaiat (gambar).

"Saya mewakili rakyat Negeri Johor mahukan penjelasan daripada semua Ketua-ketua Pemuda UMNO yang telah menafikan dalam akhbar dan menuduh Pemuda PAS Johor dengan pelbagai
tuduhan.

"Rakyat Johor mahu tahu siapa yang menipu dalam pergolakkan Pemuda UMNO Johor.

"Adakah Pemuda UMNO menipu rakyat Johor? Mereka yang menipu tidak layak menjadi pemimpin negeri dan negara ini," kata Suhaizan dalam kenyataannya hari ini.

Baru-baru ini, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin Abu Bakar mengumumkan pertukaran Ketua Pemuda Umno Johor.

Kketuanya, Mohd Fadil Muskon (gambar) disingkirkan dari jawatannya.

Beliau digantikan oleh Ketua Pemuda Umno bahagian Parit Sulong, Datuk Zulkurnain Kamisan.

Pengumuman ini dibuat sendiri oleh Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Pemuda Umno bahagian Pulai di Dewan Tan Sri Mohamed Rahmat di Johor Bahru 14 Julai lepas.

"Pelantikan ini adalah rombakan kecil yang saya janjikan sebelum ini sebagai persediaan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 yang akan datang," kata Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

Dalam kenyataannya pada 28 Jun 2012 lalu, Suhaizan berkata, 16 Ketua Pemuda UMNO bahagian di Johor telah menolak kepimpinan Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd Fadil Muskon.

Mereka telah mendesak Ketua Pemuda UMNO Johor meletakkan Jawatan.

Namun kepimpinan Pemuda Umno Malaysia dan Johor telah menafikan pergolakkan ini dengan menuduh beliau dan Pemuda PAS Johor dengan perbagai tuduhan.

"Kini dengan perubahan kepimpinan UMNO Negeri Johor bermula esok membuktikan kebenaran
kenyataan saya sebelum ini.

"Mustahil bagi mana-mana parti politik membuat perubahan kepimpinan disaat-saat genting menghadapi pilihanraya terutamanya di Johor yang menjadi sasaran Pakatan Rakyat (PR) untuk menawannya," kata Suhaizan dalam kenyataannya itu.

The Malaysian Insider dalam laporannya pula berkata, Pemuda Umno Johor berpecah dua dengan satu kumpulan yang dipimpin oleh Mohd Fadil Muskon bertembung dengan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Ghani Othman.

Mohd Fadil Muskon, dikatakan mempunyai masalah dengan Ghani selepas menganjurkan perhimpunan taat setia kepada Sultan Johor pada 10 Jun lalu dalam isu pembelian nombor pendaftaran ‘WWW 1’.

“Fadil disuruh supaya tidak menganjurkan acara tersebut kerana ia akan memberikan imej negatif kepada Umno.

“Semenjak itu, beliau tidak disukai dan kepimpinan negeri mahukan beliau digantikan,” kata sumber kapada The Malaysian Insider, tulis Editornya, Jahabar Sadiq.

Perhimpunan Menjunjung Taat Setia di Istana Pasir Pelangi dihadiri ramai tetapi hanya beberapa kerat pemimpin Umno negeri untuk menyokong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Dikhabarkan pemimpin Umno negeri mahu menjarakkan diri mereka dalam isu pembelian nombor pendataran kenderaan beharga RM520,000 oleh sultan pada ketika keadaan ekonomi yang tidak baik.

harakahdaily/-

'Buku Jingga Wanita' janji RM50 sebulan untuk suri rumah

26 Syaaban 1433H. [MOD] -

Wanita Pakatan Rakyat hari ini melancarkan Agenda Wanita Malaysia (AWM) - ala Buku Jingga - yang memperuntukkan pelan pembangunan "mengangkat martabat Wanita" melibatkan kos RM5 bilion jika berjaya menawan Putrajaya.

Ia antaranya dengan memperkenalkan Caruman Wanita Nasional sebanyak RM50 bulanan kepada suri rumah tidak bekerja dan caruman antara RM10 hingga RM100 oleh suami kepada isteri sebagai simpanan hari tua, perubatan dan tabung bantuan musibah.

"Pakatan berhasrat memperkenalkan Caruman Wanita Nasional khusus sebagai pengiktirafan terhadap peranan wanita dalam masyarakat.

"Kita mempercayai bahawa bantuan jika diberikan tidak boleh berbentuk sekali sekala, tetapi bantuan perlu bersifat membina dan berterusan," kata Ketua Wanita DAP Chong Eng.

malaysiakini/-

14 Julai 2012

Memo bantah penyenaraian FGVH diserah kepada istana

24 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Enam orang dibenarkan memasuki Istana Negara untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai membantah penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Bursa Malaysia.

Mereka terdiri daripada Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Presiden Anak, Mazlan Aliman, Tamrin Ghafar, Dr Rosli Yaacop, wakil peneroka, Tanggam dan Siti Halijah Mohamad.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan seorang peguam yang disenaraikan untuk menggantikan dua lagi yang tidak dihadir bagaimanapun tidak dibenarkan masuk.

Ini kerana pihak istana hanya merujuk kepada senarai asal.

Mohamad Sabu menaiki kereta menuju ke Istana Negara di Jalan Duta untuk menyerahkan memorandum kepada Yang Dipertuan Agung)

Mereka dibawa dengan kendera polis dan pihak istana kira-kira jam 3.20 oetang.

Penyerahan memorandum itu hanya sekitar 10 minit sahaja dan mereka kemudian menuju ke tempat para peserta Himpunan Oren berkumpul selepas perarakan, kira-kira 600 meter dari pagar Istana Negara.

Perarakan sempena Himpunan Oren itu bermula dari Masjid Wilayah Persekutuan kira-kira jam 2.15 petang diketuai Mohamad Sabu.

Polis iring Himpunan Oren serah memo

24 Syaaban 1433H. [MOD] -

Seramai lebih 5,000 peserta Himpunan Oren berarak daripada pintu Masjid Wilayah Persekutuan menuju ke Istana Negara petang ini bagi menyampaikan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

Kumpulan berkenaan antara lainnya diketuai timbalan presiden PAS Mohamad Sabu, ketua penerangan Tuan Ibrahim Tuan Man, pengerusi Persatuan Peneroka Felda Kebangsaan Mazlan Aliman dan naib presiden Salahuddin Ayub.

Dalam perarakan bermula jam 2.20 petang itu, kumpulan berkenaan turut melaungkan slogan "Pecat Isa Samad", "Bebas peneroka" dan "Hancur Najib.

Peserta berpakaian warna jingga itu dikawal ketat oleh anggota Unit Amal PAS yang membentuk rantaian manusia.

Tidak lama selepas itu, kumpulan berkenaan bagaimanapun disekat oleh sepasukan anggota polis yang membuat rintangan di persimpangan Jalan Dutamas 1 - Jalan Sri Hartamas 1.

Sekatan itu dibuat pada jarak dianggarkan 600 meter daripada Istana Negara, seperti yang dipersetujui dalam perbincangan penganjur dengan polis semalam.

Dalam ucapannya di lokasi tesebut, Mohamad Sabu berkata Yang di-Pertuan Agong boleh campurtangan dalam isu bekenaan demi "mempertahankan kepentingan orang Melayu."

Mazlan Aliman pula dalam ucapannya berkata pihaknya akan "melawan habis-habisan" walaupun FGVH telah disenaraikan ke Bursa Malaysia.

"Selagi BN tidak batalkan (penyenaraian) FGVH, kita tetap lawan habis-habisan," katanya.

Perjuangan itu masih belum berakhir dan barisan peguam ANAK juga akan mengemukakan saman ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang sebelum ini menyifatkan sekumpulan peneroka sebagai "haram jadah."

Lapan peneroka berkenaan yang disifatkan demikian oleh Najib, akan mengemukakan saman sebanyak RM80juta ke atas perdana menteri itu.

Selain itu, pihaknya akan menyaman Suruhanjaya Sekuriti kerana membenarkan penyenaraian dilakukan.

Bahkan, kata Mazlan, pencarum KWSP, Lembaga Tabung Haji dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera turut akan mengambil tindakan yang sama selepas simpanan mereka didakwanya dilaburkan di FGVH.

Sementara ketua penerangan PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dalam ucapannya di situ turut mendesak Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad meletak jawatan kerana rakyat "hilang kepercayaan" kepadanya.

"Kita minta kerajaan beri perhatian kepada tuntutan rakyat. Dengar cakap rakyat atau kami tumbangkan kerajaan yang ada," katanya.

Beberapa pemimpin lain dalam kumpulan itu kemudiannya meneruskan ucapan kepada para peserta sementara lapan wakil berkenaan menaiki kenderaan yang diiringi polis ke kawasan Istana pada kira-kira jam 3 petang.

Lapan wakil tersebut, termasuk Mohamad Sabu dan Mazlan Aliman, membawa memorandum bagi memohon Yang di-Pertuan Agong masuk campur dalam isu penyenaraian Felda Global Ventures Holdings.

Bagaimanapun, hanya enam orang sahaja dibenarkan menyerahkan memorandum tersebut kepada pegawai perhubungan awam Istana Negara, Khairi Abdul Rahman.

Wakil Himpunan Oren, yang diiringi kenderaan polis, kembali menyertai kumpulan besar yang disekat di persimpangan berkenaan kira-kira setengah jam kemudian selepas menyerahkan memorandum tersebut.

Mazlan dalam sidang medianya selepas itu antara lainnya mengucapkan terima kasih kepada pasukan polis atas kerjasama yang diberikan kepada mereka dalam perhimpunan hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Zakaria Pagan dalam sidang medianya petang ini berkata, pasukan tersebut menganggarkan jumlah peserta hanyalah 1,000 hingga 2,000 orang.

Katanya, keseluruhan perhimpunan tersebut berlangsung dengan aman dan para peserta bersurai tepat jam 4 petang.


Malaysiakini/-





13 Julai 2012

Hudud dan politik

23 Syaaban 1433H. [MOD] -

Apabila sudah wujud kalangan wakil rakyat Umno yang mencadangkan undang-undang hudud, maka tercetus kenyataan-kenyataan balas yang mengejutkan. Ada NGO yang meminta supaya jangan mempolitikkan hukum hudud. MCA pula menuduh Umno sudah hilang akal dan ada kelompok yang berdiam diri kerana jahil. Maka lebih baik diam sahaja. Lebih mendukacitakan pula ialah kalangan ilmuan Islam yang berada dalam kelompok Umno ikut sama berdiam diri, sama ada yang sudah tua atau yang bergelar ulama muda. Kalau yang kami telah luluskan di Kelantan dan Terengganu itu hudud ciptaan PAS, sila tunjukkanlah di mana silapnya dan mana dia hudud Islam yang sebenarnya. Marilah kita menerima kenyataan ini secara positif dan berbincang secara ilmu dengan menunaikan amanah perintah Allah dan hudud adalah hukum Allah secara nas sehingga para ulama bermazhab diharamkan berijtihad.

Kesedaran sepatutnya berlaku dengan merebaknya jenayah yang menakutkan dan penjenayah yang tidak takut kepada undang-undang yang ada walau pun hukumannya lebih keras daripada hudud, seperti hukuman gantung mati mandatori kepada pengedar dadah. Bahkan tidak ada rasa gerun terhadap anggota polis yang menguatkuasakan undang-undang, sehingga rumah pegawai tinggi polis juga menjadi mangsa yang sama dan dadah boleh diedar ke dalam lokap, penjara dan pusat seranti. Ini menunjukkan bahawa keberkesanan undang-undang itu kerana mendidik masyarakat bukan menghukum tanpa mendidik walau pun terlalu keras hukumannya, ia tidak memberi kesan kepada penjenayah dan bakal penjenayah.


Hudud adalah salah satu daripada tiga jenis undang-undang jenayah yang dibahagikan oleh hukum Islam iaitu, qisas, hudud dan takzir. Menurut hukum Islam, politik adalah syarat melaksanakan undang-undang jenayah. Salah satu daripadanya ialah hudud, saperti juga politik tidak boleh dipisahkan daripada Islam. Apabila Allah tidak menurunkan ayat-ayat hukuman jenayah termasuk hudud ketika Rasulullah S.A.W. berada di Makkah sebelum berhijrah ke Madinah. Rasulullah juga tidak melaksanakan mana-mana undang jenayah ketika berada di Makkah. Maka mengikut hukum Islam tidak diizinkan bagi seseorang bahkan haram berdosa sekiranya menangkap pencuri di rumahnya dan melaksanakan hukum hudud sendiri. Begitulah juga terhadap penjenayah yang lain. Pelaksanaannya mewajibkan penyiasatan dan kehakiman yang adil dibawah kuasa politik yang mengadakan kerajaan yang sah berdaulatnya. Maka Rasulullah S.A.W. terpaksa berhijrah ke Madinah setelah dihalang berpolitik di Makkah. Boleh jadi mereka yang melarang hukum hudud dipolitik itu jahil ilmu politik, khususnya politik Islam.


Ada pun MCA yang menuduh Umno sudah hilang akal, menandakan Umno tidak berdakwah. Ini kerana politik tidak dihubungkan dengan dakwah. Sebenarnya Umno tidak hilang akal, tetapi akalnya datang semula setelah hilang. Tahun 80-an pernah seorang wakil rakyat Umno daripada negeri Johor mencadangkan wanita diberi pakai cawat besi. Di waktu itu hukum hudud dianggap jumud atau tidak bertamadun dan berbagai-bagai kenyataan songsang dikeluarkan mereka. Namun kita mengharapkan ia timbul kerana kejahilan mereka. Bagaimana pula dengan ahli-ahli biro agama Umno yang diam membisu atau bersilat di hadapan Allah bahawa undang-undang Islam tidak boleh dilaksanakan, atau dengan ungkapan 'kami pun mahu melaksanakan juga, tetapi belum tiba masanya'. Sekarang sudah lima puluh tahun lebih Umno memimpin negara, masih belum tiba masanya.


Bersyukur kepada Allah kerana PAS telah berjaya mencetuskan kesedaran kembali kepada Islam, sehingga suaranya bukan sahaja berjaya menerima kedatangan beberapa tokoh Umno untuk menyertai PAS secara terbuka atau secara senyap, tetapi juga menerima kedatangan kalangan pagawai kerajaan dan para ilmuan. Tercetusnya suara pelaksanaan Islam dalam diri Umno menandakan suara PAS sudah masuk ke dalam telinga mereka yang berada dalam bahtera Umno. Mengapa masa lebih setengah abad bahtera Umno masih tidak sampai ke destinasi melaksanakan Islam yang ditunggu-tunggu? Mungkin laksana mereka yang menaiki bas ekspres yang tidak membaca tiket yang dibeli atau apa yang ditulis ke mana arahnya politik kenderaan Umno.


DAP yang bergaul dengan PAS menentang hukum hudud secara terbuka dan berhujah dengan tegas. PAS terpaksa menjawab hujah DAP dan melayan media Umno yang mahu melagakan PAS dengan DAP. Namun tidaklah sampai DAP menuduh PAS hilang akal sebagaimana MCA sebut kepada Umno.

Presiden PAS

Harakah Daily