16 Ogos 2012

Hargai guru SAR, pimpinan negeri beri sumbangan raya

27 Ramadhan 1433H. [MOD] -

PERMATANG PAUH: Seramai 260 orang Guru Sekolah Agama Rakyat (SAR) Daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT) menerima saguhati sempena Hari Raya Aidil Fitri dari pimpinan kerajaan negeri.

Majlis penyerahan tersebut diadakan di perkarangan Masjid Jamek Kubang, Bukit Mertajam disempurnakan Timbalan Ketua Menteri 1. Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman dan juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP), Datuk Saleh Man.

Selain mereka turut menyumbangkan hamper, beras dan wang ringgit ialah Exco Agama dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pulau Pinang, Datuk Abdul Malek Kasim.

Selain guru SAR, majlis semalam turut meraikan golongan miskin dengan pemberian hamper dan beras serta wang ringgit.

Rata-rata guru yang dtemui merasai syukur kerana adanya bantuan tersebut dapat meringankan bebanan mereka.

Saleh Man berkata, kerajaan negeri sentiasa menghargai jasa guru-guru SAR dan berharap agar mereka meneruskan usaha mereka mendidik anak bangsa menjadi insan yang bertaqwa sekaligus menjadi pewaris kepimpinan yang cemerlang di mas depan.

"Sumbangan ini sebagai penghargaan daripada Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat atas usaha mereka yang tidak jemu mendidik anak bangsa.

harakahdaily/-

Gempar jumpa ikan naga laut

27 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KUALA NERUS – Seorang nelayan di Kampung Pengkalan Maras, Mengabang Telipot, di sini, gempar dengan penemuan bangkai ikan naga laut atau Oarfish berukuran kira-kira 2. 4 meter yang ditemui terdampar di pantai berkenaan pagi 13 Ogos lalu.

Bagaimanapun, spesies ikan dalam bahasa saintifiknya 'Regalecus Russelii' bukan kali pertama ditemui terdampar di perairan berkenaan, sebaliknya ia merupakan penemuan kedua selepas penemuan pertama tiga tahun lalu.

Menurut Kurator Institut Oseanografi & Sekitaran (Inos) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Azwarina Mohd Azmi Ramasamy, pihaknya dimaklumkan mengenai penemuan ikan berkenaan oleh seorang nelayan, Awang Alwi, 41.

“Kebiasaannya spesies ikan laut dalam berkenaan ditemui di perairan cetek jika berpenyakit atau tersesat, di mana ia makan secara menegak dengan memuncungkan mulutnya dan ia jarang ditemui.

“Justeru ikan yang memiliki badan pipih panjang menyerupai naga ini akan diawet untuk kajian lanjut dan menjadi sampel rujukan di Pusat Rujukan dan Repositori laut Chian Selatan, Inos,” katanya.

Menurutnya, penemuan ikan berkenaan bukan sesuatu yang luar biasa kerana sebelum ini spesies ikan berkenaan telah dilaporkan beberapa kali ditemui di perairan Pantai Timur.

sinar harian/-

Bayi terjatuh ke dalam lubang

27 Ramadhan 1433H. [MOD] -

SEORANG anggota bomba menyelamatkan bayi berusia 14 bulan dari lubang itu.

HARBIN, China - Seorang bayi yang terjatuh ke dalam sebuah lubang di sebatang jalan raya di sini telah diselamatkan oleh anggota-anggota bomba kelmarin.

Bayi berusia 14 bulan itu dan terjatuh ke dalam lubang tersebut yang terbentuk dengan tiba-tiba pada pukul 4 petang waktu tempatan di Jalan Liaoyang.

Lubang tersebut sedalam 10 meter.

Menurut beberapa saksi, mereka melihat sebilangan orang turut terjatuh ke dalam lubang tersebut.

Mangsa-mangsa yang cedera itu dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Punca kejadian masih disiasat. - Agensi

Susulan 2 maut disambar petir: Ibu reda dengan ketentuan Ilahi

27 Ramadhan 1433H. [MOD] -

MARANG - Sehidup semati. Demikianlah kisah persahabatan dua sepupu yang berakhir dengan tragedi menyayat hati apabila kedua mereka meninggal dunia sejurus disambar petir secara serentak di Kampung Kubu di sini, semalam.

Sebahagian badan kedua-dua kanak-kanak terbabit, Tuan Ahmad Salihin Tan Ibrahim, 8, dan sepupunya, Tuan Mohd Azhar Tuan Sulaiman, 9, hangus dengan kesan terbakar termasuk mata kedua-dua mangsa juga menjadi hitam.

Kejadian di Felda Chador, Kampung Kubu kira-kira jam 2.30 petang itu menyebabkan dua sahabat baik itu meninggal dunia di tempat kejadian sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Pengkalan Berangan di sini, oleh bapa salah seorang mangsa terbabit.

Ibu kepada Tuan Ahmad Salihin, Norhayati Mohd Nor, 37, ketika ditemui berkata, anaknya bersama anak saudaranya, Tuan Mohd Azhar, 9, mengikut suaminya, Tan Ibrahim Tan Senik, 51, mencari kerbau dan lembu di kawasan felda berkenaan.

Menurut Norhayati, anaknya baru sahaja pulang dari sekolah terus mengikut suaminya yang mengambil upah mencari lembu dan kerbau di kawasan felda itu untuk dibawa pulang dan diserahkan kepada seorang pemilik yang mengupahnya.

“Masa itu hujan kebat, kedua mereka berlindung di bawah pokok sawit manakala suami saya dan rakannya berada tidak jauh dari mereka. Sejurus dentuman guruh dan kilat menyambar mengenai mereka menyebabkan mereka melambung dan terus senyap.

“Suami saya yang berada tidak jauh bergegas mendapatkan mereka sebelum mendapati kedua mereka sudah tidak lagi bergerak dia (suami) kemudiannya membawa mereka keluar dari situ,” katanya.

Menurutnya, suaminya dengan dibantu seorang rakannya yang juga merupakan pemilik ternakan yang diburu di kawasan itu kemudiannya membawa dua kanak-kanak malang terbabit keluar dari kawasan itu menggunakan dua buah motosikal.

Ketika ditanya kenangan terakhir sebelum kejadian itu, kata Norhayati, anaknya tidak menunjukkan sebarang kelakuan pelik sebaliknya teruja untuk menyambut ketibaan Syawal kerana kelengkapan raya telah pun dibeli.

“Apa yang menyayat hati saya adalah mereka berdua baru sahaja membeli selipar baru yang sama, saiz selipar itu juga sama, warnapun sama tetapi akhirnya mereka tidak dapat mengayakan selipar itu pada hari mulia yang akan menjelang tidak lama lagi,” katanya.

Dalam pada itu, ibu Tuan Muhammad Azhar, 9, Tengku Rosmawati Raja Ibrahim, 38, yang ditemui, bagaimanapun memaklumkan, anaknya kelihatan berbeza berbanding hari biasa dan bersikap manja sejak seminggu sebelum tragedi itu berlaku.

“Sedar sahaja daripada tidur setiap pagi, dia pasti ada di sebelah, boleh dikatakan jika dia ada di rumah, dia selalu ingin berada dekat dengan saya. Sepanjang bulan Ramadan ini juga, dia selalu ikut saya ke surau untuk solat Tarawih.

“Sebelum kejadian itu, saya ada terdengar dia (Tuan Mohd Azhar) ingin turut serta mencari kerbau di padang dalam kawasan felda itu, tetapi memandangkan dia ke sana bersama bapa saudaranya, saya tidak jadi menghalang,” katanya.

Katanya, mereka berdua memang rapat sejak kecil, jika tidak anaknya ke rumah sepupunya itu akan datang ke rumah kami dan keakraban mereka berdua mungkin juga disebabkan usia mereka yang hampir sebaya.

Tengku Rosmawati berkata, pakaian raya untuk anak-anak telah siap kesemuanya, hanya tunggu masa untuk disarungkan sahaja lagi, selain selipar yang sama, baju Melayu berwarna ungu juga tidak sempat dipakai oleh arwah bagi menyambut Syawal kali ini.

Bagaimanapun kedua-dua ibu malang ini reda dengan ketentuan Ilahi dan takdir yang menimpa anak kesayangan mereka. Bagi mereka mungkin ada hikmah di sebalik kejadian yang menimpa walaupun sungguh berat hati untuk menerima kenyataan.

Sementara itu, Ketua Polis Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya, berkata, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu sebelum diserahkan kepada keluarga masing-masing untuk dikebumikan.

“Kes ini diklafikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

sinar harian/-

Kenderaan cermin gelap sasaran JPJ Kelantan

27 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan akan tingkatkan pemeriksaan kenderaan menggunakan cermin gelap dalam 'Ops Raya' sempena sambutan Aidilfitri kali ini.

Pengarahnya, Abdul Ghani Che Kassim berkata dalam operasi permulaan yang dijalankan dari 8.30 malam hingga 12 tengah malam tadi, pihaknya mengeluarkan 36 notis melalui borang 61(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kepada pemilik kenderaan supaya menanggalkan lapisan filem yang tidak mematuhi peraturan pemasangan cermin gelap.

"Mereka diarahkan membuat pemeriksaan semula di pejabat JPJ dalam tempoh 10 hari bagi memastikan mereka mematuhi arahan itu," katanya kepada Bernama selepas melancarkan 'Ops Raya' di Kampung Chicha, Jalan Pasir Puteh-Kota Bharu di sini, malam tadi.

Abdul Ghani berkata jika gagal berbuat demikian, saman akan dikeluarkan terhadap pemilik kenderaan terbabit, dan boleh dikenakan kompaun sehingga RM300.

Operasi bersepadu yang diketuai Abdul Ghani turut melibatkan 13 kakitangan Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan masing-masing enam daripada Jabatan Alam Sekitar dan JPJ.

Abdul Ghani berkata dalam operasi itu pihaknya turut memeriksa 358 motosikal dan mengenakan saman terhadap 25 penunggang kerana pelbagai kesalahan termasuk tidak mempunyai lesen memandu, cukai jalan dan tidak memakai topi keledar.

Dua motosikal diarah dibawa ke pejabat JPJ kerana pemiliknya mengubah suai ekzos. - Bernama

Malunya aku bila LGE cakap seperti ini !!

27 Ramadhan 1433H. [MOD] -

DAP Tidak Akan Sesekali Menghasut Rakyat Bukan Islam Untuk Menentang
Hudud Dan Bersikap Bencikan Islam dan DAP Bukan Parti Anti Islam Sebagaimana
Seperti apa yang di tuduh oleh Sesetengah Pihak".

KM LIM GUAN ENG

Cina pun boleh berkata macam ini malu la wahai umat melayu cop keris terlanjang

harakahdaily/-

Dicekup berjudi di kubur

27 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Memalukan! Tiga warga emas antara lima ditahan ketika asyik bermain judi daun terup di tanah perkuburan Cina, Jalan Pusara, di sini, petang kelmarin.

Namun, perbuatan mereka tidak menghormati Ramadan itu menerima pembalasan apabila dijatuhi hukuman denda RM2,000 atau dua bulan penjara jika gagal menjelaskan denda oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Hukuman itu dijatuhkan selepas kesemua tertuduh, Ibrahim Embong, 69; Ghazali Embong, 60; Mohd Zaid Ibrahim, 56; Wan Ahmad Wan Sembak, 60; dan Abu Bakar Embong, 66, dari Kuala Terengganu mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Kesemua mereka mengaku bermain judi daun terup dengan bertaruh wang tunai di pondok rehat kawasan tanah perkuburan Cina, Jalan Pusara, di sini, kira-kira jam 3 petang kelmarin.

Dengan itu, mereka mengaku melakukan kesalahan memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor L Rathna di hadapan Majistret Noradila Ab Latif manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, sepasukan anggota Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis daerah Kuala Terengganu yang sedang melakukan rondaan di kawasan tanah perkuburan itu melihat lima lelaki duduk bersila di atas lantai kira-kira jam 3 petang kelmarin.

Ketika itu, mereka sedang menghadap sekeping kad manila berwarna oren dipercayai leka bermain judi daun terup dan cuba melarikan diri sebaik melihat kehadiran polis.

Bagaimanapun, kesemua mereka berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan dan polis turut merampas sekeping kad manila, 52 keping daun terup, dua kotak daun terup yang belum digunakan dan tunai RM330 yang digunakan mereka untuk melakukan kegiatan tidak bermoral itu

sinar harian/-

Vila atas bumbung pasar raya

27 Ramadhan 1433H. [MOD] -

EMPAT vila unik yang dibina di atas Plaza Antarabangsa Jiutian di Zhuzhou, China.

BEIJING: Di sesebuah bandar raya yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi, tanah boleh menjadi komoditi yang terlalu sukar diperoleh.

Namun, bagi penghuni vila luar biasa di bandar Zhuzhou di Hunan, tanah tidak lagi menjadi halangan kepada mereka. Disebabkan tiada kawasan lapang sesuai untuk dibangunkan rumah mewah yang lengkap dengan kawasan lapang, pemaju membina kediaman unik itu di atas bumbung sebuah pusat beli-belah.

Dikenali sebagai Plaza Antarabangsa Jiutian, bangunan itu menempatkan satu daripada pasar borong kasut paling terkenal di wilayah itu. Pemaju kemudian merancang dan membina secara teliti empat vila di atas bangunan lapan tingkat itu sehinggakan tidak ramai yang menyedari kewujudannya.

Ketika ini, ia dianggap vila paling hebat di China.

Zhuzhou adalah bandar kedua terbesar di Hunan - selepas Changsha - dan menjadi pusat perindustrian penting di wilayah berkenaan.

Perindustrian di situ tertumpu kepada penghasilan logam, mesin, bahan kimia dan bahan binaan. Bandar itu didiami hampir empat juta penduduk dan lebih daripada 800,000 daripadanya tinggal di empat daerah bandar pusat.

Zhuzhou juga digelar sebagai pusat lokomotif China kerana menjadi pengeluar utama gerabak kereta api kelajuan tinggi. Sejak lima tahun lalu, harga hartanah di bandar raya itu meningkat lebih tiga kali ganda. Menurut sebuah laman sesawang, vila berkenaan dimiliki empat ahli perniagaan terkaya di China. - DM

Tender semula untuk lupuskan hutang NFCorp?

27 Ramadhan 1433H. [MOD] -

(Tiga menteri yang dikaitkan dengan skandal NFC)

KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan membuat proses tender semula terhadap NFC dibimbangi bakal melupuskan RM250 juta hutang keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dalam kenyataannya berpendapat tindakan menjalankan proses tender kali kedua untuk melantik kontraktor baru adalah satu muslihat untuk melupuskan hutang NFCorp sebanyak RM250 juta tanpa disedari oleh rakyat Malaysia melalui satu lantikan kontraktor baru.

Datuk Seri Noh Omar, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani pada 13 Ogos 2012 membuat kenyataan bahawa proses tender semula NFC sedang berjalan memandangkan kekusutan dan liabiliti kewangan membabitkan NFCorp yang dimiliki keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil masih belum diselesaikan.

Menurut Rafizi, sehingga kini, Datuk Seri Najib Tun Razak masih belum mengesahkan perkara-perkara berikut:

1. Bahawa pembekuan aset yang diumumkan pada 14 Januari 2012 dahulu telah berjaya mengutip kembali semua perbelanjaan yang melanggar tujuan asal pemberian dana oleh kerajaan dari NFCorp, termasuklah memindahmilikkan aset-aset kondominium yang dibeli;

2. Dapatan dari audit oleh sebuah pasukan audit bebas yang diumumkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sehingga kini masih belum dibentangkan kepada rakyat;

3. Bahawa NFCorp akan membayar setiap satu sen dari RM250 juta dana rakyat yang digunakan sebelum ini apabila projek tersebut diberikan kepada kontraktor baru yang dilantik kerajaan.

"Saya berkeras bahawa kerajaan tidak boleh melantik kontraktor baru sehinggalah ketiga-tiga perkara yang disenaraikan di atas telah dilaksanakan, terutamanya perkara (3)," kata beliau dalam kenyataannya.

Bagi beliau, adalah menjadi tanggungjawab ketiga-tiga orang menteri, iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak (sebagai individu yang mempengerusikan jawatankuasa tender yang menganugerahkan kontrak kepada NFCorp), Tan Sri Muhyiddin Yassin (sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani pada ketika itu) dan Datuk Seri Noh Omar (sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani ketika skandal dibongkar) untuk mendapatkan jaminan peribadi (personalguarantee) setiap anggota keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil bahawa dana awam RM250 juta akan dikembalikan sepenuhnya.

Melalui jaminan peribadi ini, katanya, sekiranya mereka gagal membayar dana awam RM250 juta itu apabila lantikan mereka sebagai kontraktor kepada projek ini ditamatkan, maka kerajaan wajarlah menyita apa-apa harta mereka untuk membayar balik dana tersebut.

"Saya tidak yakin bahawa ketiga-tiga menteri terbabit komited untuk mengutip kembali dana awam tersebut melihatkan tindakan mereka selama ini yang berdolak-dalih.

"Oleh sebab itu, saya berpendapat tindakan menjalankan proses tender kali kedua untuk melantik kontraktor baru adalah satu muslihat untuk melupuskan hutang NFCorp sebanyak RM250 juta tanpa disedari oleh rakyat Malaysia melalui satu lantikan kontraktor baru," katanya.

Beliau menyeru Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan perkara-perkara berikut:

1. Bahawa tidak akan ada sebarang hutang NFCorp yang akan dilupuskan dan NFCorp perlu membayar sepenuhnya RM250 juta melalui jaminan peribadi;

2. Bahawa tidak akan ada suntikan dana baru ke dalam projek NFC ini walaupun kontraktor baru dilantik kerana dana sedia ada sebanyak RM250 juta perlu digunakan dan diperolehi dari NFCorp terlebih dahulu; dan

3. Bahawa tidak ada sebarang lantikan baru akan dibuat sehinggalah dana RM250 juta dikutip sepenuhnya.

Kegagalan Datuk Seri Najib Tun Razak melaksanakan ketiga-tiga perkara ini, katanya, akan mengukuhkan lagi pandangan rakyat bahawa Umno/Barisan Nasional cuba sedaya upaya melindungi Datuk Seri Shahrizat Jalil dan keluarganya.

harakahdaily/-

Polis Pulau Pinang tumpu rondaan di 10 kawasan risiko jenayah

27 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KEPALA BATAS: Polis Pulau Pinang akan menumpukan rondaan di 10 kawasan panas yang kerap berlaku jenayah bagi membendung jenayah di negeri ini semasa cuti perayaan Aidilfitri ini.

Ketua Polis Negeri Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata antara kawasan yang kerap berlaku jenayah ialah Jelutong, Jalan Patani, Pulau Tikus, Mak Mandin dan Butterworth.

"Sepuluh kawasan 'hotspot' berkenaan akan diadakan rondaan dengan lebih kerap bagi memastikan tidak berlaku jenayah supaya orang ramai tidak perlu bimbang nak beraya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program konvoi Singgah Sahur anjuran Pemuda Umno Kepala Batas, di sini awal pagi ini.

Konvoi berkenaan singgah di 10 balai polis di sekitar daerah Seberang Perai Utara dan Plaza Tol Sungai Dua bagi menghantar makanan untuk anggota polis yang bertugas bersahur.

Sehubungan itu, Abdul Rahim berkata hanya 10 peratus daripada 5,817 pegawai dan anggota polis di negeri ini bercuti pada Hari Raya tahun ini manakala selebihnya terbabit dalam 'Ops Selamat" dari 12 hingga 26 Ogos bagi memastikan kelancaran lalu lintas dan kadar jenayah dapat dibendung.

Beliau turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pemuda Umno atas keprihatinan mereka dengan menghantar makanan untuk sahur dan hamper kepada anggotanya dan menurutnya program seumpama itu mampu mengeratkan hubungan antara polis dan masyarakat.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Bahagian Kepala Batas Datuk Reezal Merican Naina Merican berkata program itu adalah acara tahunan bagi menghargai jasa dan tugas anggota polis yang sentiasa menjaga keselamatan negara.

"Program ini merupakan manifestasi untuk mengzahirkan sebagai tanda terima kasih di atas pengorbanan pihak polis dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab menjaga ketenteraman awam selama ini," katanya. - Bernama

Sheikh Mahmud Syam kunjungi Presiden PAS

27 Ramadhan 1433H. [MOD] -

(Ustaz Hadi bergambar dengan Sheikh Mahmud dan anaknya)

MARANG: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menerima kunjungan bekas imam Masjid Al-Aqsa Sheikh Mahmud Syam di rumahnya pagi ini.

Sheikh Mahmud, bekas pensyarah Universiti Ghaza dalam rangka lawatan ke Terengganu menghabis masa kira-kira setengah jam dengan Presiden PAS di rumahnya.

"Kami berbicara hampir setengah jam berkaitan isu semasa Gerakan Islam seluruh dunia," kata Ustaz Hadi dalam facebooknya.

Turut serta dalam pertemuan itu adalah anak Ustaz Hadi yang juga Exco Pemuda PAS Pusat, Mohamah Kholil Abdul Hadi.

Sheikh Mahmud sudah beberapa kali datang ke Malaysia dalam misi dakwahnya dan menerangkan perkembangan terkini berlaku di Palestin.

Sebelum ke Terengganu, beliau berada di Kuala Lumpur dan sempat memberikan tazkirah di beberapa buah surau dan masjid.

harakahdaily/-

Menteri digesa dedah perjanjian tanah IPD Brickfields

27 Ramadhan 1433H. [MOD] -

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar hari ini mendesak Menteri Wilayah dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin menjelaskan secara terperinci mengenai pemberian tanah bekas tapak ibu pejabat polis daerah (IPD) Brickfields, Kuala Lumpur.

Nurul Izzah berkata, beliau menuntut penjelasan berhubung pertukaran tanah, terma dan kos yang dilakukan oleh pemaju Syarikat Primamuda Holdings Sdn Bhd bagi mendapatkan tanah tersebut.

"Menteri juga perlu menggantikan balai polis tersebut bagi memenuhi keperluan penduduk Brickfields.

"Sebarang kekurangan merupakan satu pengkhianatan kepada orang awam," katanya pada sidang media semasa melakukan lawatan ke bekas tapak ibu pejabat daerah (IPD) Brickfields di ibu negara pagi ini.

malaysiakini/-

TERKINI!!! Seorang lagi pemimpin BN hilang kelayakan jadi Ahli Parlimen tapi bukan kerana sertai PR

27 Ramadhan 1433H. [MOD] -

Kota Kinabalu: Ahli Parlimen Labuan, Datuk Yussof Mahal, diisytiharkan muflis oleh Mahkamah Tinggi Labuan pada 7 Ogos lalu, sekali gus boleh menyebabkannya hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen.

Notis kebankrapannya diiklankan dalam sebuah akhbar tempatan, kelmarin dan rujukan boleh dibuat di laman web carian e-insolvensi www.insolvensi.gov.my. Notis dikemukakan Pengarah Insolvensi negeri, Leo Anak Saga, itu menyebut permohonan bagi mengistiharkan Yussof sebagai muflis dibuat di Mahkamah Tinggi Labuan pada 24 Mei lalu dan perintah penghukuman dibuat terhadapnya oleh Mahkamah Tinggi Labuan, Selasa lalu.

Ia turut mengarahkan hutang harus dibayar Yusoff perlu dijelaskan kepada Pengarah Insolvensi negeri di alamat Cawangan Kinabalu, Aras Lima, Blok A, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, Jalan Sulaman Ukas, 88450, Kota Kinabalu.

Sementara itu, Yussof, 55, ketika dihubungi berkata, beliau belum boleh memberi ulasan berhubung perkara itu.

“Saya akan berbincang dengan peguam mengenainya,” katanya, semalam.
Pada pilihan raya umum 2008, Yussof yang bertanding atas tiket BN menang kerusi Parlimen Labuan selepas menewaskan calon PAS, Matusin Abd Rahman dan calon Bebas, Lau Seng Kiat.KedahKini

Bank Standard didenda RM1.08 bilion

27 Ramadhan 1433H. [MOD] -

IBU pejabat bank Standard Chartered di London, Britain kelmarin.- Agensi

NEW YORK – Standard Chartered didenda AS$340 juta (RM1.08 bilion) kerana berurus niaga dengan beberapa pelanggannya dari Iran.

Denda itu dikenakan oleh pihak berkuasa Perkhidmatan Kewangan New York selepas bank berkenaan dituduh menyembunyikan 60,000 transaksi berjumlah AS$250 bilion (RM796.62 bilion) dengan beberapa klien Iran selama lebih 10 tahun.

Standard Chartered beribu pejabat di London.

Penyelesaian tersebut jauh lebih ringan berbanding hukuman berat yang menjadi kebimbangan para pelabur sebelum ini.

Mereka khuatir pihak berkuasa perbankan Amerika Syarikat (AS) iaitu Jabatan Perkhidmatan Kewangan akan membatalkan lesen Standard Chartered di New York.

Antara klien Iran yang didakwa terlibat dalam skandal itu termasuk Bank Pusat Iran dan Bank Nasional Iran.

Kedua-duanya dituduh Washington sebagai membantu Iran membina senjata nuklear dan membiayai keganasan.

Berdasarkan terma penyelesaian dengan pihak berkuasa berkenaan, Standard Chartered bersetuju menempatkan seorang pegawai antipenggubahan wang haram selama dua tahun di cawangan bank berkenaan di sini.

Standard Chartered juga akan melantik beberapa juruaudit dalaman bagi memeriksa sama ada bank berkenaan mematuhi sekatan-sekatan AS berhubung operasinya dengan Iran.

“Standard Chartered sebelum ini menawarkan AS$5 juta (RM15.63 juta) untuk menyelesaikan isu tersebut, jelas sekali, penyelesaian ini jauh lebih tinggi,” kata penganalisis firma Morningstar, Erin Davis.

Menurutnya, denda AS$340 juta itu tidak akan mendatangkan impak yang besar ke atas kedudukan kewangan bank berkenaan.

Pada separuh pertama tahun ini, Standard Chartered melaporkan keuntungan berjumlah AS$3.95 bilion (RM12.58 bilion).

Sementara itu, sebuah kumpulan pelobi AS menyatakan hukuman yang dikenakan ke atas bank berkenaan terlalu ringan.

“Mana-mana institusi kewangan yang didapati melanggar sekatan Iran sepatutnya dibatalkan lesennya di AS,” kata kumpulan itu dikenali sebagai Barisan Penentang Nuklear.

Sejak sedekad lalu, AS dan sekutu-sekutunya telah melaksanakan sekatan ke atas beberapa bank Iran, institusi dan individu dalam usaha menghentikan program senjata Iran.

Persoalan tentang senjata nuklear Iran menjadi isu panas menjelang pilihan raya Presiden AS pada November depan dengan beberapa kumpulan berpengaruh memberikan tekanan kepada Presiden Barack Obama supaya bertindak lebih tegas terhadap Iran. - AFP

11 mayat ditemui di taman negara Kazakhstan

27 Ramadhan 1433H. [MOD] -

ASTANA - Polis di Kazakhstan membuka siasatan kes pembunuhan terhadap penemuan 11 mayat di kawasan pergunungan dan kaki bukit di pedalaman negara.

Menurut polis, kesemua mayat yang ditemui di Taman Negara Ile-Alatau berdekatan Almaty, Selasa lalu dalam keadaan luka ditikam berkali-kali dari pelbagai sudut.

Menteri Dalam Negeri, Baurzhan Mukhamadzhanov berkata sebahagian mangsa yang temui itu adalah renjer, rakan perniagaan dan beberapa petugas taman negara berkenaan.

"Bagaimanapun, polis masih belum menemukan motif sebenar kejadian," kata Mukhamadzhanov.

Dalam satu kenyataan berasingan, tiga daripada 11 mayat telah dikenal pasti iaitu seorang lelaki warga Eropah dan dua wanita selain mendapati kesemua barang kemas termasuk wang tunai yang ada pada mangsa yang ditemui tidak diusik pembunuh.

Taman negara Ile-Alatau terletak di bahagian cerun pergunungan kawasan utara Tien Shan di sempadan Kyrgyzstan dan menjadi kawasan pelancongan negara sejak 1990.

sinar harian/-