16 Ogos 2012

Kenderaan cermin gelap sasaran JPJ Kelantan

27 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan akan tingkatkan pemeriksaan kenderaan menggunakan cermin gelap dalam 'Ops Raya' sempena sambutan Aidilfitri kali ini.

Pengarahnya, Abdul Ghani Che Kassim berkata dalam operasi permulaan yang dijalankan dari 8.30 malam hingga 12 tengah malam tadi, pihaknya mengeluarkan 36 notis melalui borang 61(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kepada pemilik kenderaan supaya menanggalkan lapisan filem yang tidak mematuhi peraturan pemasangan cermin gelap.

"Mereka diarahkan membuat pemeriksaan semula di pejabat JPJ dalam tempoh 10 hari bagi memastikan mereka mematuhi arahan itu," katanya kepada Bernama selepas melancarkan 'Ops Raya' di Kampung Chicha, Jalan Pasir Puteh-Kota Bharu di sini, malam tadi.

Abdul Ghani berkata jika gagal berbuat demikian, saman akan dikeluarkan terhadap pemilik kenderaan terbabit, dan boleh dikenakan kompaun sehingga RM300.

Operasi bersepadu yang diketuai Abdul Ghani turut melibatkan 13 kakitangan Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan masing-masing enam daripada Jabatan Alam Sekitar dan JPJ.

Abdul Ghani berkata dalam operasi itu pihaknya turut memeriksa 358 motosikal dan mengenakan saman terhadap 25 penunggang kerana pelbagai kesalahan termasuk tidak mempunyai lesen memandu, cukai jalan dan tidak memakai topi keledar.

Dua motosikal diarah dibawa ke pejabat JPJ kerana pemiliknya mengubah suai ekzos. - Bernama

Tiada ulasan: