16 Ogos 2012

MB beri sumbangan hamper kepada pesakit

27 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, meluangkan masa melawat dan menyampaikan hamper sempena Hari Raya Aidilfitri kepada pesakit di Hospital Raja Perempuan Zainab ll, semalam.

Turut mengiringi Tuan Guru, Timbalan Pengarah HRPZ ll, Selasawati Ghazali, Pakar Orthopedic, Dr Zainuddi Mat Zahari serta pegawai perubatan yang lain.

Tuan Guru ketika ditemui memberitahu, Islam mengajar penganutnya menziarahi pesakit, bagi mengembalikan kegembiraan mereka.

Katanya ini, kerana orang sakit telah putus hubungan dengan kesihatan yang telah mengembirakan jiwanya selama ini.

Jadi tambahnya, untuk menimbal kelemahan jiwa, umat Islam diminta melawat orang sakit sama ada mereka itu anak-anak, orang dewasa atau orang tua.

“Saya selaku ketua kerajaan serta mewakili rakyat Kelantan bersimpati pada orang sakit," katanya.

Pandu cermat

Sementara itu, beliau turut mengingatkan anak Kelantan di perantauan yang mula pulang ke kampung halaman hari ini agar berhati-hati dalam perjalanan.

“Saya selalu nasihatkan agar perkara ini tidak berlaku, kerana bahaya kalau kita terkejar-kejar, nak cepat dan sebagainya,” ujarnya lagi.

Semalam, beliau turut mengumumkan keputusan kerajaan negeri mengeluarkan arahan agar semua lori mengangkut bijih besi, batu batan, pasir dan kayu balak di semua laluan di negeri ini dihentikan bermula empat hari sebelum hari raya dan empat hari selepas hari raya.

Tuan Guru berkata, tindakan itu dibuat untuk mengurangkan kesesakan jalan raya serta kemalangan jalanraya khususnya di laluan utama itu.

Beliau memberitahu, tahun ini buat pertama kalinya kerajaan negeri mengeluarkan larangan itu dengan tujuan untuk mengurangkan kesesakan.

HARAKAHDAILY/-

Tiada ulasan: