27 Februari 2009

PIBG seluruh negara bantah PPSMI.

Gerakan membantah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) menerima lonjakan sokongan apabila Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) pula menyokongnya.

Gabungan nasional PIBG tidak rasmi kira-kira 8,000 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara pertama kali hadir ke mesyuarat Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP) di pejabat Persatuan Penulis Nasional (Pena) di ibu negara, Isnin lalu.
Pengerusi PIBGN Datuk Mohamad Ali Hassan berkata, sokongan majlis tersebut terhadap GMP bagi mendesak pemansuhan PPSMI, termasuklah sedia terlibat dalam perhimpunan raksasa 100,000 orang di Istana Negara pada 7 Mac.

"Kita minta kerajaan membuat keputusan segera. Jangan sampai ibu bapa turun buat demonstrasi, termasuklah di jalanan secara haram.

"Sekarang ini trend penduduk tidak lagi khuatir (berdemonstrasi), seperti juga amalan bangsa-bangsa lain (di seluruh dunia).

"Kita mahukan keadaan aman, (kerajaan perlu) buat keputusan segera. Jangan tunggu selepas perhimpunan Umno (24 – 28 Mac ini) atau tahun depan baru hendak buat keputusan," katanya.

GMP menganjurkan perhimpunan besar minggu depan bagi menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon campur tangan baginda berhubung dasar itu.

Mohamad Ali turut mengkritik persidangan meja bulat anjuran Kementerian Pelajaran bagi membincangkan pelaksanaan PPSMI yang didakwanya “tidak begitu bebas”.

"Kita perlukan kajian yang benar-benar bebas. Mungkin sudah tiba masanya kita menubuhkan suruhanjaya bebas bagi mengkaji pelaksanaan PPSMI.

"(Sidang) meja bulat ini kita lihat tidak begitu bebas. Tidak ada laluan yang luas," kata Mohd Ali.

Katanya, PIBGN hadir kesemua lima kali persidangan meja bulat kementerian dan membantah PPSMI dalam pertemuan itu tetapi ia tidak memberikan sebarang kesan apabila dasar itu terus diamalkan sejak enam tahun lalu.

Mengulas pelaksanaan dasar kontroversi itu, beliau menyifatkan PPSMI gagal kerana dikendalikan oleh guru yang kebanyakannya "tidak berdaya" dan "tidak cukup latihan".

"Insentif 10 peratus kenaikan gaji yang diberikan kepada mereka yang terlibat dalam PPSMI tidak nampak setimpal dengan kenaikan tersebut. Prestasi mereka sepatutnya lebih daripada 10 peratus," katanya.

Selain itu, Mohd Ali menambah, PPSMI mengakibatkan banyak pembaziran apabila guru-guru terlibat yang dibekalkan komputer riba bagi membantu pengajaran tetapi gagal memanfaatkan sepenuhnya.

"Begitu juga dengan perisian-perisian yang tidak dimanfaatkan. Hanya 1/3 perisian pengajaran (daripada kira-kira 25 jenis) yang dicadangkan oleh kementerian digunakan," katanya.

GMP yang dipengerusikan bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr Hassan Ahmad dianggotai kumpulan NGO dan sayap-sayap Pemuda PKR dan PAS. malaysiakini.

4 ulasan:

Brahim Nyior berkata...

Tak pastilah sama ada Menteri Pelajaran akan dengar suara PIBG atau tidak. Nampaknya, bersungguh benar dia mempertahankan PPSMI.

Jika kerajaan akur dengan desakan yang semakin kuat, cabaran buat ahli dan penggiat bahasa, serta DBP.

Perbanyakkan istilah sains dan matematik dalam bahasa Melayu. Mana-mana perkataan yang sukar diterjemah, pinjam dan jadikan perkataan Melayu.

Bahasa Melayu boleh terus hidup dan dimartabatkan jika semua pihak dapat memperkasakannya.

Tanpa Nama berkata...

Pelbagai keresahan di kalangan rakyat Malaysia. Tapi nampaknya kecenderungan kerajaan ialah untuk memekakkan telinga kepada rintihan dan keluhan rakyat. Inikah demokrasi?

Tanpa Nama berkata...

NAJIS KOMERSIAL

Masih aku mahu mengungkap bicara
berpatah mundur. Oh samasekali tidak
perjuangan ini bukan gurau senda.

Benar tiada sesiapa mahu dengar rintihan
gurisan kalbu anak bangsa kian parah kini
pusaka temurun yang diwarisi. Khabarnya
juga dituturi lebih 300 juta umat sejagat
dipersenda. Bakal jadi bahan sejarah.

Di lisan elitis Melayu jijik amat
pernah lantang suara tangan hunus keris
sanggup tegak ke titisan akhir darah.

Menggerunkan. Khalayak senyum
terbahak-bahak ketawa lihat aksi bacul
si ayam jantan. Kokok berderai
najis busuk bergelumang di ekor
jadi rebutan pengikut. Mahal
ada nilai komersial. Kononnya.

ABDUL HALIM YAACOB (21.02.09)
http://asalbayu-kutipan.blogspot.com

Tanpa Nama berkata...

PIBG seluruh negara, pergilah ramai2 ke Parlimen kepung dan bagi amaran kat Hishamudin tu, buat macam Pemuda UMNO lakukan kat Karpal.. x kan Polis nak tangkap.. Pemuda UMNO boleh buat x kan PIBG x boleh.
Nanti Ketua Polis kena panggil dgn SPRM pulak!!