20 Julai 2009

Keluarga Teoh mahu s'jaya diraja ditubuhkan

Keluarga mendiang Teoh Beng Hock mahu supaya Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi menyiasat kematiannya.

Teoh, 30, ditemui mati tengah hari Khamis lalu di koridor luar tingkat lima bangunan Plaza Masalam di Shah Alam yang menempatkan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, yang menyoal-siasatnya beberapa jam sebelum itu.

Setiausaha Politik kepada perdana menteri Dr Oh Ei Sun berkata: "Ada permintaan daripada keluarga Teoh supaya menyampaikan hasrat mereka itu bagi penubuhan suruhanjaya diraja kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Jawapan saya ialah mereka (keluarga itu) akan mengetahui keputusannya pada mesyuarat Kabinet Rabu ini," kata Oh kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan takziah perdana menteri kepada keluarga Teoh di Taman Seri Kelemak di Alor Gajah petang tadi, lapor Bernama.

Perdana Menteri kini berada di Arab Saudi melakukan lawatan rasmi.

Oh bagaimanapun berkata beliau akan menyampaikan permintaan keluarga Teoh itu kepada Najib.

Seorang jurucakap keluarga itu berkata mendiang Teoh akan dikebumikan di Semenyih, Selangor, esok.-MalaysiaKini-

Tiada ulasan: