20 Julai 2009

Pakatan Rakyat mahu Suruhanjaya Diraja diumum esok

ORANG ramai yang menghadiri Perhimpunan Mencari Keadilan di Stadium Petaling Jaya, Kelana Jaya petang tadi menurunkan tandatangan menuntut kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja segera bagi menyiasat kematian Teoh Beng Hock iaitu setiausaha politik Exco Kerajaan Selangor.

PETALING JAYA: Menjelang upacara pengebumian Teoh Beng Hock esok, Pakatan Rakyat mengadakan "perhimpunan mencari keadilan" di sini petang tadi, sambil meminta kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja segera bagi menyiasat kematian setiausaha politik Exco Kerajaan Selangor itu.

Siri pemimpin Pakatan Rakyat yang berucap pada majlis itu yang diadakan di Stadium Petaling Jaya bermula pukul 4.30 hingga 7 petang, mahu suruhanjaya ditubuhkan dengan segera, jika boleh esok.

Antara yang berucap ialah Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Pengerusinya, Karpal Singh; Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng; Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim; bekas Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa dan Naib Presiden PKR, Azmin Ali.

Kira-kira 3,000 orang hadir pada majlis itu bagi menggambarkan 'kesatuan' di pihak pembangkang, lebih-lebih lagi selepas berakhirnya pilihan raya kecil Manek Urai.

Lim yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timor berkata, pihaknya mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Diraja esok sebaik sahaja pulang ke tanah air.

"Sebagaimana kerajaan pernah lakukan pada 2005 untuk siasat kejadian rakaman gambar bogel suspek ketika berada dalam tahanan polis, yang penubuhan jawatankuasa khas ditubuhkan sebaik sahaja Perdana Menteri (ketika itu Tun Abdullah Ahmad Badawi)kembali dari mesyuarat Komanel di Malta, Najib perlu mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Diraja esok," kata beliau dalam ucapannya.

Anaknya, Guan Eng, Khalid dan Husam serta rata-rata kesemua pemimpin menyatakan pendirian serupa dalam ucapan masing-masing.

Mereka juga mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dirombak ekoran kejadian minggu lalu.

Husam pula menggesa agar mesyuarat Kabinet khas diadakan esok, bukannya Rabu seperti biasa, bagi membincangkan isu berkenaan.

Ucapan mereka diselitkan dengan beberapa isu semasa lain beserta kewibawaan peranan SPRM dan polis.

Semalam Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, saranan pelbagai pihak - termasuk kedua-dua pembangkang dan pemimpin kerajaan - akan diteliti dalam mesyuarat Kabinet Rabu ini.

Pagi tadi, Muhyiddin berkata, kematian Teoh telah dipolitikkan oleh pihak pembangkang untuk mengalihkan perhatian orang ramai daripada isu siasatan SPRM ke atas wakil-wakil rakyat mereka.

Timbalan Perdana Menteri berkata, isu kematian itu dipolitikkan semasa SPRM sedang menjalankan siasatan ke atas anggota-anggota Dewan Undangan Negeri dari Pakatan berhubung dengan penyalahgunaan peruntukan kerajaan negeri yang diagihkan kepada wakil-wakil rakyat. Siasatan ke atas wakil rakyat pembangkang dalam kes penyalahgunaan peruntukan itu mungkin menunjukkan mereka juga tidak lepas daripada melakukan kesilapan, kata Muhyiddin semasa berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Bahagian Tanjung Karang.

Mayat Teoh, 30, ditemui di koridor tingkat lima bangunan Plaza Masalam di Shah Alam pada kira-kira 1.30 tengah hari Khamis lalu.

Beliau merupakan seorang daripada saksi dalam siasatan SPRM berhubung dakwaan penyalahgunaan peruntukan negeri baru-baru ini.

Tiada ulasan: