25 Disember 2009

Nan Ke Yi Meng

7 Muharram 1431H

Bermimpi ke Kaunti Nanke

Asal Usul:

Kononnya, pada zaman Dinasti Tang, iaitu abad ke-7 hingga ke-10 Masihi, ada seorang pemuda bernama Chunyu Fen yang sangat suka minum arak.

Pada satu hari, ketika hari jadinya, Chunyu Fen telah menyediakan jamuan untuk meraikan kawan-kawannya di bawah sebatang pokok ash di depan rumahnya. Pada hari itu, dia minum amat banyak hingga menjadi sangat mabuk, dan terus terlelap di bawah pokok tersebut.

Dalam tidurnya, Chunyu Fen bermimpi, konon dirinya telah dibawa oleh dua orang pegawai yang memakai pakaian berwarna ungu, ke dalam suatu lubang besar yang tersembunyi di bawah pokok ash itu, dan kemudiannya tiba di sebuah negeri yang bernama Negeri Dahuai'an. Perdana Menteri negeri itu sudah menunggu di luar istana raja untuk menyambut kedatangan Chunyu Fen. Apabila diketahui bahawa raja negeri tersebut ingin mengahwinkan Puteri Jinzhi dengannya, Chunyu Fen berasa sangat hairan. Mahu tak mahu, dia terus dibawa masuk ke bilik pengantin dalam istana itu. Selepas berkahwin dengan puteri itu, Chunyu Fen telah ditugaskan menjadi Ketua Kaunti Nanke. Melalui usahanya yang berterusan untuk mengatasi kesukaran rakyat serta membangunkan kaunti tersebut, dia menjadi seorang pegawai yang amat dihormati dan disayangi oleh rakyat jelata. Dia dikurniai lima orang anak lelaki dan dua orang anak perempuan. Hidupnya bersama anak-anaknya, serta Puteri Jinzhi juga amat bahagia.

Bagaimanapun, tiba-tiba, pada suatu hari, negeri Tanluo telah melancarkan serangan mengejut terhadap Negeri Dahuai'an. Tentera yang diketuai oleh Chunyu Fen telah mengalami kekalahan yang sangat teruk. Tidak lama selepas itu, Puteri Jinzhi pula meninggal dunia akibat diserang penyakit. Berdepan dengan malapetaka yang terus menerus menimpanya, Chunyu Fen yang sudah kehilangan wibawa itu, memutuskan untuk meletakkan jawatannya. Dengan hati yang penuh duka dan kecewa, dia pun pulang ke kampung halamannya. Sebaik sahaja hendak masuk ke dalam rumahnya, dia terkejut apabila ternampak dirinya sedang tidur lena di bawah pokok ash di depan rumahnya. Dia berasa sangat takut sehingga terjaga dari mimpinya. Apabila terlihat pembantu rumahnya sedang membersihkan laman, dan kawan-kawannya yang ada di situ pula sedang berbual-bual dengan gembira, barulah dia berasa tenteram kembali.

Chunyu Fen memberitahu mimpinya itu kepada kawan-kawannya yang ada di situ. Dengan sifat ingin tahu yang menebal, kesemua mereka bersama-sama pergi ke bawah pokok ash itu untuk mencari "Negeri Dahuai'an" yang muncul dalam mimpi Chunyu Fen itu. Bagaimanapun, apa yang mereka temui pada akhirnya hanyalah sebuah sarang semut sahaja.

Catatan Keterangan:

Peribahasa "Nan Ke Yi Meng" ini membawa erti bermimpi pada siang hari atau mengharapkan sesuatu yang tidak mungkin dapat direalisasikan. Ia juga memberikan kita satu pengajaran bahawa kekayaan, pangkat dan kekuasaan hanyalah mimpi kosong semata-mata. Jangan terlalu mementingkan perkara tersebut.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

apesalahnye mari kita menghayati pengorbanan cucunye rasulullah s.a.w.w

http://tehranifaisal.blogspot.com