30 Disember 2010

Tahniah, pasukan negara boleh mara jauh

24 Muharam 1432H

KUALA LUMPUR, 29 Dis: Dewan Pemuda PAS Pusat mengucapkan tahniah di atas kejayaan pasukan bola sepak negara yang berjaya menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 setelah menewaskan Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta malam ini.

“Tahniah! Itulah yang boleh saya katakan bagi mewakili seluruh warga Pemuda PAS Malaysia yang turut berkongsi bangga dan gembira dengan skuad pasukan bolasepak negara setelah mereka selama ini sering menjadi mangsa kritikan ekoran persembahan dan kualiti permainan yang merosot,” ujar ketuanya, Nasrudin Hassan (gambar) dalam satu kenyataan.

Katanya,kini pasukan Malaysia berpotensi untuk bangkit dan mara lebih jauh di peringkat antarabangsa.

“Saya juga mengharapkan agar kejayaan ini menjadi inspirasi buat pasukan pelapis negara untuk menjejak kejayaan pasukan utama negara hari ini,” katanya.

Pada perlawanan malam ini, pasukan Harimau mendapat gol pertama melalui Safee Salee pada minit ke-54, gol Garuda dihasilkan Mohammad Nasuha pada minit 72 dan gol sendiri pemain negara Mohamad Muslim Ahmad pada minit 88.

Pada saingan pertama di Stadium Bukit Jalil, Ahad lepas, skuad negara menang 3-0 menjadikan keputusan Malaysia mengatasi Indonesia dengan agregat 4-2.

Berikut ialah kenyataan penuh Nasrudin.

Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah SWT tatkala meraikan kegembiraan bersama seluruh rakyat Malaysia di atas kemenangan membawa pulang Piala Suzuki buat pertama kalinya menewaskan Indonesia dengan agregat 4-2.

Syabas buat keseluruhan wira negara yang telah mengharumkan nama Malaysia di persada sukan bolasepak antarabangsa sekurang-kurangnya di peringkat Asean.

Pengamatan saya, mutu permainan skuad bolasepak negara kini mempunyai peningkatan taktikal yang baik dan cukup berpotensi untuk terus meningkat di peringkat antarabangsa. Kepercayaan FAM yang diberikan kepada pemain-pemain pemuda negara di samping pendedahan latihan di peringkat antarabangsa amat berbaloi.

Tahniah! Itulah yang boleh saya katakan bagi mewakili seluruh warga Pemuda PAS Malaysia yang turut berkongsi bangga dan gembira dengan skuad pasukan bolasepak negara setelah mereka selama ini sering menjadi mangsa kritikan ekoran persembahan dan kualiti permainan yang merosot.

Kini pasukan Malaysia berpotensi untuk bangkit dan mara lebih jauh di peringkat antarabangsa. Saya juga mengharapkan agar kejayaan ini menjadi inspirasi buat pasukan pelapis negara untuk menjejak kejayaan pasukan utama negara hari ini. Kekentalan fizikal dan mental serta pengalaman yang luas di arena antarabangsa akan terus membina potensi dan kualiti pasukan negara.

Syabas juga saya ucapkan kepada penyokong yang terus sabar memberi doa dan sokongan untuk melihat pasukan Malaysia terus bangkit biarpun pernah melalui zaman kejatuhan yang perit. Jelas semangat Malaysia Boleh! terus membawa Malaysia ke puncak jaya.

Kesempatan ini, suka saya tegaskan agar kejayaan dalam sukan yang berteraskan semangat kesukanan akan menyumbang kepada penyatuan rakyat Malaysia keseluruhannya. Agar negara terus harmoni dan sejahtera dengan rakyatnya yang matang dan memiliki semangat persaudaraan yang baik tanpa sengketa.

Terima kasih wira negara! Terima kasih jurulatih, terima kasih FAM dan terima kasih seluruh rakyat Malaysia atas kejayaan skuad bolasepak Malaysia meskipun tewas di Stadium Bung Karno mendepani provokasi media dan tekanan bermain di tempat lawan. Namun mereka mampu menyerap tekanan dan mendepani situasi tertekan dengan baik dan akhirnya pulang dengan kejayaan gemilang.

Semoga kejayan ini berulang lagi di masa hadapan insya Allah.

Tahniah juga kepada pasukan Garuda kerana bermain dengan penuh semangat kesukanan dan memberi tekanan yang sengit kepada pasukan Harimau.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: