26 Mac 2011

Ismail minta warga PDRM jaga kesihatan

21 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Pegawai dan anggota polis dinasihatkan supaya menjaga kesihatan masing-masing termasuk dengan menukar tabiat makan bagi mengelak diserang penyakit kronik seperti sakit jantung.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, berkata penyakit jantung boleh menjejaskan keupayaan warga Polis DiRaja Malaysia untuk memberi perkhidmatan cemerlang kepada masyarakat. Beliau berkata, sebanyak 657 kes penyakit jantung dilaporkan di kalangan pegawai, anggota, penjawat awam dan pesara PDRM pada 2010 dan daripada jumlah itu, sebanyak 111 kematian direkodkan di kalangan mereka. "Kita tahu anggota polis ini sibuk dengan jadual kerja mereka yang ketat dan bebanan tugas yang padat. Bila tak sempat makan di rumah, mereka akan makan di luar dan tiada kawalan, jadi kita harus tukar "habit" kita ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Gaya Hidup Sihat di Pusat Latihan Polis di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Hussin Ismail dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin.

Berikutan itu, Ismail berkata, melancarkan program itu dengan mengedar buku rekod kesihatan kepada anggotanya supaya mereka boleh mengemas kini dan merekod tahap kesihatan mereka dari masa ke semasa.

Beliau berkata, program itu yang diadakan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan, akan memberi pendedahan, pameran, kesedaran dan garis panduan kesihatan khususnya kepada warga PDRM mengenai kepentingan menjaga kesihatan masing-masing.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai penahanan dua individu berhubung isu video seks, beliau bagaimanapun enggan mengulas namun memberitahu bahawa siasatan masih dijalankan.

"Kita masih jalankan siasatan secara menyeluruh, terbuka dan profesional. Jangan bimbang, yang pasti kita akan memklumkan perkembangan semasa kepada pihak media melalui kenyataan media yang kita keluarkan dari masa ke semasa," katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan: