16 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -
Sirah nabi banyak mengajar kita berkenaan kepimpinan. Bagaimana tauladan memimpin boleh dilihat melalui tindak-tanduk Nabi s.a.w dan para Sahabatnya.
Seruan Nabi s.a.w tidak sekadar kepada mereka yang miskin sahaja. Bahkan keseluruhannya sama ada yang kaya, tua, muda hatta kepada hamba abdi.
Yang menerima Islam di kalangan yang miskin seperti Suhaib Ar-Rumi yang berbangsa Rom. Mereka yang kaya sendiri adalah Uthman bin Al-Affan dan Mus’ab bin Umair. Bilal bin Rabah, Ammar bin Yassir hamba kepada Bani Makhzum adalah mereka yang memeluk Islam dari kalangan hamba.
Namun, kebanyakan yang awal menerima Islam dari kalangan orang miskin.
Yang kaya, apabila berjuang bersama-sama dengan Rasulullah s.a.w, selepas itu mereka menjadi miskin. Bukan itu kehendak mereka, bahkan tuntutan amanah perjuangan Islam.
Diriwayatkan bahawa Suhaib Ar-Rumi adalah pendatang daripada negara Rom. Beliau miskin tetapi bijak berniaga. Tinggal di Makkah akhirnya dia menjadi jutawan. Namun apabila diminta berhijrah ke Madinah bersama Rasulullah s.a.w., seluruh kekayaannya ditinggalkan.
Kaum Quraisy berkata kepadanya: “Dahulu kamu datang kepada kami sebagai seorang yang miskin hina. Kemudian kamu mendapat harta yang banyak dan mencapai kedudukan yang kamu nikmati (di Makkah). Sekarang kamu hendak keluar (ke Madinah) membawa harta dan jiwa kamu begitu sahaja?”
Suhaib berkata: “Aku akan menyerahkan seluruh harta, maka adakah kamu lepaskan aku pergi berhijrah?”. Jawab mereka: “Baiklah.” Lalu jawab Suhaib: “Kalau begitu aku serahkan semua hartaku.”
Berita ini sampai ke pengetahuan Rasulullah s.a.w, lalu Baginda bersabda: “Sungguh beruntung Suhaib!”.
Mus’ab bin Umair juga seorang yang kaya. Apabila keluarganya mengetahui keIslamannya, lalu beliau diusir keluar dari rumah. Daripada seorang yang kaya, dia menjadi miskin sehingga tubuhnya diriwayatkan mengelupas seperti ular.
Begitu juga Saidina Uthman bin Affan. Diriwayatkan daripada Imam Tirmizi bahawa ketika Rasulullah memerintahkan sesiapa yang boleh membeli Telaga ‘Al-Ruumah’ yang sangat mahal dan diwakafkan kepada umat Islam untuk digunakan airnya, beliau membelinya. Walaupun pada ketika itu umat Islam tidak mampu.
Selepas beliau menjadi khalifah Islam ketiga, yakni di akhir pemerintahannya, beliau hanya memiliki dua ekor unta sahaja yang akan digunakan untuk beliau berangkat ke Makkah untuk menunaikan Haji dan pulang ke kampung halamannya. Daripada seorang yang kaya, beliau menjadi miskin kerana menunaikan amanah rakyat.
Hari ini sangat sedih, banyak pemimpin menjadikan amanah jawatan sebagai pengumpul harta. Sebelum menjadi pemimpin, dia miskin, selepas menjawat jawatan menjadi kaya. Sangat berbeza dengan sahabat Nabi s.a.w.
Lihat sahaja kekayaan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud. Selepas menjadi Ketua Menteri memiliki harta berbilion-bilion.
Harakahdaily/-
Oleh : Mohd Aizat Mohd Salleh.
1 ulasan:
Cerita Taib Mahmud ni.. memang patut mau bagi padan muka kat penyokong2 UMNO yang pegang setakat lesen kontrak kelas F..berangan naik pakai BMW baru..tapi hidup macam BROKER AYAQ HANGAT..hidup mati depa dengan UMNO saja..tapi tak kaya-kaya juga..
Catat Ulasan