16 Jun 2011

Jual organ bayar hutang suami

14 Rejab 1432H. [MOD] -

SURIRUMAH dari Kulaijaya yang trauma dengan ugutan syarikat peminjam wang nekad mahu menjual buah pinggang dan kornea matanya pada harga RM1 juta bagi menyelesaikan hutang suaminya. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin
Wanita tawar buah pinggang, sebelah kornea mata pada harga RM1 juta

JOHOR BAHRU: Trauma diancam samseng pengutip hutang yang dihantar sebuah syarikat kewangan berlesen bagi menuntut hutang ditanggung suaminya, seorang ibu muda dari Kulaijaya di sini, mahu menjual buah pinggang dan kornea matanya pada harga RM1 juta.
Hasrat wanita berusia 35 tahun itu terbongkar ketika dia mengunjungi pejabat Bahagian Pengiklanan, The New Straits Times Press (NSTP) di Bandar Baru UDA di sini, untuk membeli ruangan bagi mengiklankan jualan sebiji buah pinggang dan kornea sebelah matanya.

Beliau mahu menjual dua organ berkenaan kepada sesiapa saja yang berminat membayar jumlah terbabit, tanpa menyedari perbuatannya adalah menyalahi undang-undang.

Ibu kepada seorang bayi berusia 19 bulan itu, berkata dia nekad mahu menjual organ berkenaan kerana tidak tahan lagi menanggung beban hutang selepas suaminya meminjam dengan sebuah syarikat kewangan berlesen di Kuala Lumpur yang mengenakan faedah sehingga RM6,000 sebulan.

Katanya, suaminya mendapat pinjaman RM30,000 daripada syarikat terbabit selepas seorang rakan menjanjikan kontrak menambak tanah di Terminal Pengangkutan Tambang Murah (LCCT) dekat Sepang, yang perlu disiapkan dalam tempoh dua bulan sebelum Ramadan tahun lalu.

“Suami saya diminta menyediakan 100 hingga 200 lori untuk projek itu menyebabkan dia teruja dan mula berusaha menyediakan lori yang dikehendaki dengan melayari laman web sebelum menemui dua lelaki yang mendakwa mampu menyediakan pengangkutan terbabit.
“Yakin mendapat projek itu, suami saya meminta bantuan abangnya di Kuala Lumpur untuk menguruskan pinjaman dengan syarikat kewangan terbabit dan berjanji membayar RM15,000 sebulan serta ‘duit kopi’ RM6,000 setiap bulan sehingga projek diselesaikan dalam masa dua bulan,” katanya.

Katanya, selepas sebulan berlalu, lori dijanjikan dua lelaki yang dikenali menerusi iklan laman web itu gagal diperoleh, meskipun sudah membayar mereka RM3,000.

“Pada akhir bulan pertama itu, suami saya memulangkan kembali wang pokok RM15,000 serta faedah sebanyak RM6,000, tetapi selepas ini suami sudah kehabisan wang untuk membayar mereka sedangkan baki hutang mula membiak dengan faedah yang dipersetujui dengan syarikat itu.

“Suami saya gagal mendapat projek menambak tanah terbabit dan sejak itu kehidupan kami sekeluarga mula dilanda kebimbangan apabila pengutip wang mula datang ke rumah abang ipar selaku penjamin serta rumah keluarga kami di Kulaijaya.

“Nak makan pun saya tidak ada duit, mujur seorang rakan meminjamkan wang untuk suami yang membolehkan beliau mengusahakan gerai roti canai di Kuala Lumpur dan berhasil membayar RM500 sebulan sepanjang Januari hingga April tahun ini. Namun, masih tidak cukup, kereta juga sudah ditarik bank dan rumah sewa di Kuala Lumpur juga sudah tiga bulan tidak dibayar.

“Namun, mereka (pengutip hutang) tetap datang meminta kami menjelaskan baki bayaran dan sehingga kini faedahnya tidak pernah berkurangan. Saya dan suami kini tersepit apabila diburu pengutip hutang syarikat,” katanya.

Katanya, beliau mengambil keputusan menjual organ itu kerana mahu membina hidup baru walaupun hasrat itu tidak diberitahu suaminya.

berita harian/-

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

KESIAN. BETUL-BETUL KESIAN. SAPA YANG KAYA KAYA TU TOLONGLAH BAYARKAN HUTANG AKAK NI. DAPAT PAHALA TAU.

Normah Mohd Saat berkata...

Sangka saya selama ini kerajaan najib yang prihatin sudah mengambil tindakan terhadap kegiatan along sama ada berlesen atau tidak, kejadian seperti dialami surirumah ini mendedahkan segala kepincangan, betulkah rakyat didahulukan?