14 Rejab 1432H. [MOD] -
KUALA LUMPUR, 16 Jun: Bukan senang hendak mendapat liputan di media perdana mengenai aktiviti pembangkang di negara ini, kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar).
“Nampaknya program Bersih 2.0 yang diadakan pada 9 Julai ini mendapat liputan yang meluas di kaca televisyen dan dada akhbar,” katanya kepada Harakahdaily.
Justeru, katanya sekalung tahniah diberikan kepada pemilik media, kerana mengiklankan program tidak berbayar.
Katanya, program Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) sudah pun berjaya walaupun belum sampai masanya, kerana ia mendapat ulasan yang meluas oleh pemimpin BN.
Ini, ujarnya adalah tanda aras kejayaan rakyat yang hendak memulih sistem demokrasi di negara ini.
Menurutnya, setakat hari ini lebih daripada 400 laporan polis yang dibuat oleh Umno, cuma berlainan nama untuk menggagalkan tuntutan rakyat.
Katanya, Datuk Seri Khalid Abu Bakar selaku Timbalan Ketua Polis Negara telah memberi amaran untuk membuat tangkapan awal sebagai usaha untuk menakutkan rakyat.
“Kita harapkan supaya pihak polis jangan dipandang oleh rakyat hanya untuk menjaga keselamatan Umno, bukan keselamatan negara, bertindaklah secara profesional, bukan emosional,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan kenapa demonstrasi kepala lembu di Shah Alam tidak ada gangguan.
“Setitik air pun tidak disembur kepada mereka, sedangkan ini adalah demo yang berbentuk perkauman dan penghinaan kepada agama, ia boleh terbakar negara.
“Cuba bayangkan jika demo itu dibuat oleh penyokong Pakatan Rakyat, sudah pasti mereka yang terlibat disumbat di dalam ISA,” ujarnya lagi.
HARAKAHDAILY/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan