28 Ogos 2011

Sambutlah Syawal Dengan Penuh Keimanan

28 Ramadhan 1432H. [MOD] -
md zainal mzd

Syukur kita ke hadrat Illahi kerana masih diberi peluang menikmati bulan Ramadan hingga ke hujungnya dan Insyaallah beberapa hari lagi kita akan dapat menyambut kedatangan Aidilfitri 1432 Hijriah.

Sebagai seorang mukmin sewajarnya kita berhati-hati dalam membuat persediaan menyambut satu Syawal dan lebih berhati-hati bila waktu menyambutnya nanti.

Amat malang kalau setelah sebulan kita berusaha mendekatkan diri kepadaNya, siang dan malam, tiba-tiba dengan sedikit sahaja kesilapan, semua yang diusahakan habis hilang begitu sahaja ,dan kita balik ke asal, kosong tanpa dapat pahala atau ganjaran apa-apa dari Allah.

“Sesungguhnya agama Islam inilah agama kamu, agama yang satu asas pokoknya, dan Akulah Tuhan kamu, maka sembahlah kamu akan Daku, “ Al-Anbiyaa 92.

“Dan turutlah akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Tuhanmu ( dan janganlah menurut adat resam Jahiliah ) sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.?” Al-Ahzaab 2

Sewaktu menyambut Syawal kadang-kadang kita terperangkap dengan pengaruh yang ada disekeliling kita tanpa kita sedari, ada yang baik ada yang tidak baik.

Dengan jenama-jenama moden berbagai perkara sebenarnya kadang-kadang membawa kita balik semula ke zaman jahiliah.

Saidina Umar Al-Khattab pernah berkata: “Di kemudian hari nanti, kekuatan Umat Islam akan terungkai satu persatu kerana mereka kembali kepada zaman jahiliah sedangkan mereka tidak menyedarinya.”

Marilah kita renungkan beberapa perkara yang sewajarnya kita lakukan sewaktu menyambut Aidilfitri dan marilah kita berusaha untuk mengelakkan perkara-perkara yang tidak sewajarnya kita lakukan.

1. Tunaikanlah zakat sekurang-kurangnya zakat (fitrah) kerana zakat fitrah wajib ditunaikan dalam bulan Ramadan ( bila-bila masa sebelum solat sunat hariraya ).untuk diri dan keluarga dibawah jagaan kita sebelum terlepas waktunya.

“ Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman; Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya; Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia; Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu); dan mereka yang menjaga kehormatannya.”

Al-Mukmimun 1 - -5

2. Berbelanjalah kepada perkara-perkara yang baik dan berfaedah, janganlah membazirkan wang untuk perkara yang dilarang Allah, contohnya, kalau berhibur, berhiburlah secara yang dibenarkan syarak.

“Dan ada di antara manusia, orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan, yang berakibat menyesatkan ( dirinya dan orang ramai ) dari agama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan agama Allah itu sebagai ejek-ejekan, merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan.” Luqman 6

3. Berbuatbaiklah kepada semua ahli keluarga terutama kedua ibubapa dan orang-orang tua dan hormatilah mereka sewajarnya.

“ Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya , atau kedua-duanya sekali , sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan-santun)
Al-Israa’ 23

“ Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil” Al_Israa’ 24.

4. Ziarahlah dan berbuat baiklah kepada jiran tetangga terutama mereka yang telah tua dan uzur. Kadang-kadang kita lebih utamakan orang jauh sedangkan jiran sebelah rumah kita dilupakan. Jangan lupa, adakalanya jiran lebih penting dari ahli keluarga terutama bagi mereka yang bermusafir.

“ Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibubapa, dan kaum kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba sahaya yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri. “ An-Nisaa 36

5. Lupakanlah segala permusuhan dan perselisihan dan berbaiklah semula dengan saling bermaaf-maafan, semoga sentiasa diberkati Allah.

“ Tidak halal bagi seseorang muslim tidak bertegur-sapa dengan saudaranya lebih daripada tiga hari. Apabila bertemu masing-masing melarikan diri. Yang paling baik di antara mereka ialah yang memulakan salam”

“ Barangsiapa yang memutuskan hubungan dengan saudaranya selama enam hari maka dia seolah-olah menumpahkan darahnya ( membunuh) “
Hadis: Sunan Abu Daud

6. Berilah makanan atau apa-apa bantuan kepada orang-orang yang memerlukan terutama mereka yang miskin dari kaum keluargamu dan orang-orang musafir dengan lkhlas kerana Allah tanpa sebarang sikap bongkak dan takbur.

“Maka ( bagi menyatakan sikap bersyukur ) berikanlah kepada kerabatmu dan orang-orang miskin serta orang-orang musafir akan haknya masing-masing, pemberian yang demikian adalah baik bagi orang-orang yang bertujuan memperoleh keredhaan Allah, dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.“
AR-.Ruum 38


7. Bergaullah dengan kaum keluarga, sahabat handai dan orang ramai dengan sopan dan tertib. Sepanjang masa jagalah adab berpakaian, tutur kata dan batas-batas pergaulan terutama antara yang bukan muhrim. Pakaian mesti mengikut syariat bukan sekadar berjenama Islam.

“Dan sederhanakanlah langkah-langkah semasa berjalan, juga rendahkanlah suara mu (semasa berkata-kata ), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai”
Luqman 6

8. Jauhkan diri dari melakukan dosa-dosa besar, seperti syirik, judi, zina, minum arak, bertenung nasib atau mengambil harta atau nyawa secara haram dan lain-lain lagi. Sekiranya kita hanya melakukan dosa-dosa kecil, setelah sedar dan kita memohon ampun Insyaallah kesalahan kita itu akan diampunkan Allah.

“ Jika kamu menjauhkan dosa-dosa besar yang dilarang kamu melakukannya. Kami akan ampunkan kesalahan-kesalahan ( dosa kecil ) kamu, dan Kami akan masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga). “ An-Nisaa 31

9. Jadilah orang Islam yang sebenar yang mengerjakan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah dan berhati-hatilah terhadap orang munafik kerana orang munafik tidak ada pendirian yang tetap samaada beriman atau kufur, dibimbangi kita akan tergelincir menjadi sebahagian dari mereka, na’uzubillah minta dijauhkan Allah sesiapun bersifat munafik.

Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud:” Aku tidak bimbang terhadap umatku yang mukmin dan Aku tidak bimbang dengan orang kafir tetapi yang Aku bimbang ialah orang-orang fasik dan munafik kerana apa yang mereka lakukan tidak dapat diterima (yakni salah)” Hadis dari Al Hakim

Rasulullah s.a.w. selanjutnya menerangkan, bahawa setiap orang mukmin tidak akan terpesong akidah mereka, orang kafir itu senang dilihat dan diketahui perbuatan mereka sedangkan orang munafik pula amat sukar untuk dikenali kerana mereka bijak berpura-pura dan penuh tipu muslihat dan sentiasa cuba mendampingi kita. Jika tidak berhati-hati kemungkinan kita akan terpengaruh dan akhirnya kita mengikut jejak langkah mereka.

“Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya ( terhadap agama ) Allah ( dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya ), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka ( dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik ), Mereka pula apabila berdiri hendak solat, mereka berdiri dengan malas. Mereka ( hanya bertujuan ) riak ( memperlihatkan solatnya ) kepada manusia ( supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah ( dengan mengerjakan solat ) melainkan sedikit sekali ( jarang-jarang )”
An-Nisaa 142

10. Sepanjang masa tanamkanlah dalam diri sifat bersyukur atas nikmat Allah yang melahirkan dan membesarkan kita dalam nikmat Iman dan nikmat Islam dan sentiasalah berdoa agar kita tetap dikekalkan begitu sehingga akhir nanti. Oleh itu marilah kita sentiasa istiqamah atas apa sahaja yang kita lakukan.

“Dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan ( semasa jahiliah dahulu ), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu ( sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam ), maka jadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara”
A-Li Imraan 103

Akhir sekali sebagai penutup tulisan ini marilah kita menyambut Aidilfitri dengan berbelanja secara berhemah dan tidak membazir, berpakaian yang sopan. menutup aurat dan sentiasa menjaga tingkah laku kerana kita juga sentiasa diperhatikan oleh orang lain yang seagama dan juga yang bukan seagama dengan kita. Orang lain tidak akan menghormati orang Islam jika orang Islam sendiri tidak menjaga agama Islam dengan sewajarnya.

“Dan (ingatlah) tatkala Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya ! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, demi sesungguhnya jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras”
Ibrahim 7

Semoga dengan sedikit sebanyak panduan ini dapat membantu kita merayakan Aidilfitri tahun ini dengan penuh kesyukuran dan keimanan, Insyaallah semoga segala usaha dan ibadat yang kita lakukan dalam bulan Ramadan akan diterima Allah dan kita semua akan dibalasNya dengan kesejahteraan, ketetapan dan pengukuhan iman serta rezeki yang bertambah sewaktu di dunia dan dimasukkan bersama orang-orang yang dikasihiNya di akhirat nanti.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, Ya Tuhan kami, terimalah dari kami akan amalan kami, jadikanlah kami dan anak cucu kami orang-orang yang tunduk patuh kepada Engkau, jadikanlah kami orang yang pandai mensyukuri nikmatMu yang telah Engkau kurniakan kepada kami dan kepada kedua ibubapa kami, dan jadikanlah kami orang-orang yang sentiasa beramal soleh yang Engkau redhai, dan jadikanlah anak cucu dari keturunsn kami orang-orang yang baik. Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari seksa neraka. Amin..
.
Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri 1 Syawal 1432, Maaf Zahir dan Batin.

Ulasan : Terima kasih kepada penulis yang tanpa jemujemu mengirim bahan untuk siaran blog ini. Semuga Allah merahmati segala amalan kita.

Kepada pengunjung lain, kami juga mengalu-alukan sumbangan penulisan dan sebagainya yang difikirkan sesuai untuk disiarkan dalam blog ini.

Tiada ulasan: