26 Syawal 1432H. [MOD] -
SHAH ALAM 24 SEPT: Skim gaji minima RM1,500 yang bakal diperkenalkan kerajaan negeri Selangor pada 2012 mendapat restu Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan ahli parlimen Pakatan Rakyat.
Timbalan Setiausaha Agung MTUC, Abdul Halim Mansor berkata, ketelusan sesebuah kerajaan dapat diukur melalui penetapan gaji minima seperti ini yang diiktiraf kesatuan itu sebagai langkah proaktif kerajaan negeri bagi mengimbangi kos sara hidup rakyat.
"Kami merasakan itu adalah pemangkin bagi kerajaan persekutuan dan amnya kerajaan negeri (Selangor) sendiri kerana ketelusan yang dilaksanakan berlaku kerana (percambahan) ekonomi," kata beliau dalam wawancara Fokus Berita bersama Tv Selangor.
Abdul Halim berpendirian perlaksanaan gaji minima harus dititikberatkan mana-mana pemerintah dan diselaraskan secepat mungkin untuk penambahbaikan status masyarakat yang berada di bawah paras kemiskinan.
Beliau seterusnya menolak persepsi menyatakan pemindahan industri ke negara lain akan berlaku sekiranya gaji minima ditetapkan.
Ini kerana menurut beliau, berdasarkan kajian yang dijalankan oleh MTUC, Malaysia tergolong dalam negara yang mempunyai tenaga pekerja dan disiplin yang baik selama 11 tahun.
Justeru katanya, penghijrahan golongan bukan eksekutif termasuk kelas buruh ke luar negara dapat dikekang dengan peningkatan kadar gaji minima sekaligus mengangkat status kehidupan seharian.
Turut disentuh ialah mengenai penyelarasan gaji minima oleh kerajaan pusat yang sehingga kini mendapat rungutan pelbagai pihak berikutan pelan tindakan yang kurang efektif dan lambat.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini mengumumkan pelaksanaan gaji minima untuk golongan pekerja berpendapatan rendah di negara ini yang dijangka dapat dilaksanakan sebelum akhir tahun ini melalui Rang Undang-Undang Majlis Konsultasi Gaji Negara yang dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat.
MTUC juga telah mencadangkan supaya gaji minima ditetapkan sekurang-kurangnya RM900, melepasi garis kemiskinan iaitu RM720 sebulan di Semenanjung Malaysia, RM760 (Sarawak) dan RM780 (Sarawak).
Menurut perangkaan kongres itu, sebanyak 35 peratus daripada pekerja menerima gaji rendah iaitu di bawah garis kemiskinan, pendapatan yang dilihat tidak praktikal bagi masyarakat di negara ini.
"Kerajaan harus prihatin keperluan rakyat kerana dengan RM900, saya boleh katakan bahawa anak muda yang tergolong memperoleh jumlah itu tidak boleh berumahtangga. Kalau kita lihat makanan untuk RM15 sehari menjangkau RM450 sebulan.
"Kerajaan harus proaktif melihat keperluan rakyat berdasarkan jurang gaji di antara pekerja di tahap biasa dan eksekutif pertengahan," kata beliau.
Sementara itu ahli palimen Hulu Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, usaha kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selangor meletakkan gaji minima pada paras yang lebih tinggi mendapat kritikan hebat sebelum ini.
Namun berdasarkan manifesto Buku Jingga, kerajaan Pakatan Rakyat komited untuk mengangkat taraf pendapatan rakyat bermula dengan tujuh ribu guru KAFA yang telah menikmati kenaikan elaun sebanyak RM1,300 dengan pendapatan negeri suku pertama mencecah hingga RM1.7 bilion.
Malah kata Abdullah, tawaran turut dibuat kepada wanita yang baru melahirkan bayi diberikan cuti bergaji selama 90 hari melalui pindaan rang undang-undang di bawah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Seksyen 34 Akta Sekerja 1955.
Namun pada ketika itu katanya kerajaan pusat tetap dengan pendirian untuk tidak membuat sebarang pindaan pada akta tersebut sehingga ke hari ini.
"Tetapi Selangor berani memacu keperluan dan faedah kepada rakyat dan hari ini akan terlaksana gaji minimum yang akan dikuatkuasakan pada tahun depan dengan tiada rasa segan silu.
"Berbalik kepada kecermatan dan cara tatakelola negeri itu penting," tambah beliau lagi.
Jelas Abdullah, pekerja asing kini menjadi saingan rakyat tempatan dalam sektor binaan dan perindustrian berdasarkan kos bayaran gaji yang murah.
Sehubungan dengan itu jelas beliau, sekiranya gaji minima dapat diimplimentasikan maka ruang tersebut mampu diisi oleh pekerja tempatan sekaligus mengurangkan peratusan pengangguran.
Justeru katanya Selangor telah menunjukkan inisiatif meneraju dasar yang lebih menguntungkan masyarakat di negara ini seraya meningkatkan daya saing.
tv news/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan