25 Februari 2012

Restoran Nasi Kandar di serang


3 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] - GEORGETOWN: Akibat salah faham dan masalah perniagaan, seorang pengurus sebuah restoran nasi kandar kerugian hampir RM10,000 selepas beberapa peralatan menghidangkan makanan rosak termasuk pinggan mangkuk bertaburan selepas diserang tiga lelaki bersenjatakan topi keledar di Jalan Penang, di sini, awal pagi semalam.

Kejadian berlaku jam 6.30 pagi ketika pekerja restoran warga India, Akbar Ali, 35, membuka gerai untuk memulakan operasi perniagaan harian sebelum didatangi lima lelaki menaiki sebuah kereta dan berhenti di luar kedai.


Pemilik restoran, Abdul Latif Thulkarunai, 52, berkata ketika kejadian, hanya Akbar yang ada dan tiba-tiba tiga lelaki tidak dikenali meluru masuk ke kedai dengan membawa topi keledar sambil mencari dan mengugut pekerjanya menyampaikan pesanan supaya dia tidak mencampuri urusan orang lain.

Menurutnya, ketiga-tiga lelaki itu keluar dari kedai dalam keadaan marah lalu memecahkan cermin dua peralatan menghidangkan makanan dan menolak jatuh satu peralatan. Katanya, beberapa pinggan turut dijatuhkan dan kejadian berlaku pantas dengan tidak sampai lima minit sebelum kumpulan terbabit melarikan diri.


Abdul Latif berkata, dia terkejut apabila perniagaan diusahakan sejak lebih 23 tahun lalu bersama ahli keluarganya sebelum ini tidak menghadapi masalah.

“Buat sementara waktu, saya menutup perniagaan ini selepas mengalami kerugian hampir RM10,000,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di luar kedai sebelum dia membuat laporan di Balai Polis Central, jam 8.30 pagi semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mangsa dan pihaknya masih melakukan siasatan lanjut.(BH)

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

kedai makan pun serbu....