20 Mei 2012

Dilema: Kerajaan BN hanya pertahan Menteri Wanita

28 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

PULAU PINANG, 20 Mei: Sayap Wanita Pakatan Rakyat (PR) masih merasa dilema pentadbiran kerajaan persekutuan yang mempunyai masalah serius dalam urus tadbir negara dengan amalan korupsi dan rasuah yang ketara sehingga mencengkam dan mencacatkan pembangunan wanita di negara ini.

“Masalah ini wujud kerana Barisan Nasional hanya mempertahankan Menteri Wanita yang hanya memfokuskan amalan rasuah dan pecah amanah serta mengejar hartanah untuk kepentingan keluarganya sahaja.

“Syabas dan tahniah wanita PR yang berjaya membongkarkan kes NFC dan rasuah Menteri Wanita BN,” kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng semasa berucap pada Konvensyen Wanita Pakatan Rakyat negeri di Dewan MPSP, hari ini.

Katanya, akibat kegagalan mewujudkan kepimpinan wanita cekap dan amanah oleh BN maka pada hari ini mereka ketandusan pemimpin wanita sehingga jawatan Menteri Wanita disandang oleh Perdana Menteri yang gender lelaki.

Beliau berkata, walaupun menghadapi dilema besar, BN masih tidak sedar dan masih berdegil melakukan anasir-anasir kotor dan keji dengan memanipulasikan SPR demi kepentingan politik mereka.

Katanya, segala tuntutan rakyat mengenai kelemahan-kelemahan dan cadangan untuk penambahbaikan SPR harus dilaksanakan segera sebelum menjelang PRU 13.

Justeru, ujarnya tuntutan Bersih yang dipengerusikan oleh seorang wanita, Datuk Ambiga Sreenevasan menunjukkan komitmen golongan wanita untuk pentadbiran negara dan mempertahankan hak rakyat.

“Tahniah PR kerana berjaya melahirkan kepimpinan wanita yang berjuang secara bersungguh-sungguh demi pertahankan hak wanita Malaysia,” ujarnya yang juga Setiausaha Agung DAP.

Tambahnya, pada tahun ini wanita PR berjaya mencipta sejarah dalam negeri dengan penubuhan Penang Women Development Corporation (PWDC) yang akan melaksanakan agenda dan dasar-dasar demi pembangunan gender, keadilan gender dan sosial di peringkat negeri.

“Bajet khas tahunan sebanyak RM1.5 juta telahpun diluluskan untuk PWDC,” katanya lagi.

HARAKAHDILY/-

Tiada ulasan: