05 Mei 2012

Kezaliman Polis Yang Di Sisih Media BN Di Bongkar

13 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

PETALING JAYA, 4 MEI: Pihak media arus perdana terus menyembunyikan kisah mangsa tindakan agresif polis pada perhimpunan Bersih 3.0 meskipun seorang demi seorang mangsa tampil membuat pengakuan membongkar kezaliman pihak polis.

Kisah tragis tindakan agresif polis diceritakan oleh Pengedar Teh, Lau Chee Sun, yang terkena tembakan canister gas pemedih mata dari jarak 10 meter sehingga mengakibatkan kecederaan di bahu kiri.

“Dalam keadaan sesak, tembakan dilepaskan dari bawah jambatan landasan kereta api. Saya melihat dua canister ke arah saya. Saya berjaya mengelak salah satu daripadanya. Saya rasa pening dan mencari tempat berlindung. Saya berjalan ke kedai mamak untuk menyelamatkan diri,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Jashamsurnizam Md Jani pula disepak di belakang badan sebelum dihumban ke longkang oleh tiga anggota polis berhampiran bangunan DBKL.

Beliau merupakan seorang pensyarah berkata, kejadian tersebut berlaku ketika orang ramai bersesak menyelamatkan diri dan beliau berjalan kaki seorang diri menuju ke HKL sambil menanggung kesakitan.

Jelas beliau, ketika di HKL terdapat ramai pegawai tinggi polis menunggu di hadapan pintu kecemasan dan sehingga kini, beliau, masih belum memperoleh laporan perubatan.

“Saya dicampak ke dalam longkang sedalam dua atau tiga kaki. Saya mengalami kecederaan retak di bahagian tangan kanan dan tempurung lutut kanan saya lari. Saya bangun sendiri dan menuju ke HKL,” katanya.

Seoarang Jurutera, Mohd Firdaus Nurhakim Mohd Esah menceritakan detik hitam yang dialami sepanjang 100 meter menuju ke tempat tahanan apabila beliau di pukul oleh beberapa anggota polis sehingga mengalami kecederaan di bahagian belakang badan dan leher.

“Pada jam 5.30 petang, ketika itu keadaan dilihat agak tenang di Dataran Merdeka. Polis datang dari dua arah dan saya mengangkat tangan tanda menyerah. Saya tidak tahu hendak lari ke mana lagi dan mereka membelasah saya disitu juga. Sepanjang jalan menuju tempat tahanan, lebih sepuluh anggota polis membelasah saya. Seorang polis menanduk dada saya menggunakan kepalanya.

“Saya terkilan sebab saya tidak membuat apa-apa kepada mereka. Mereka tidak ada hak berbuat sebegitu kepada saya,” katanya.

Katanya, pihak polis memukul dalam keadaan terburu-buru sehingga beliau tidak dapat bernafas dan diseret sehingga ke Dataran Merdeka.

Beliau mengakui melihat sendiri tindakan pihak polis meragut rantai emas selain merampas dompet peserta dan apabila ditanya dimana dompet berkenaan, jawapan yang diterima hanyalah ‘tidak tahu’.

Beliau turut mengakui pihak polis yang memukulnya tidak memakai nombor badan seperti kebiasaan dan hanya bersorak ‘Padan Muka’ kepadanya ketika dibawa oleh dua anggota polis.

“100 peratus pasti, nombor badan tiada. Bahagian nama saya tidak pasti. Layanan yang diterima di Pulapol berbeza. Saya diberitahu unit di Dataran dan Pulapol berbeza,” katanya.

Lapan orang individu yang mengalami kekasaran telah membuat laporan polis hari ini di Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya sambil ditemani oleh wakil Lawyer Of Liberty (LFL) Fadiah Nadwa Fikri dan wakil SUARAM, Nalini Elumalai.

Fadiah yang ditemui sejurus selepas itu berkata, pihaknya akan berbincang dan mengumpul segala maklumat berkaitan mangsa keganasan polis dan mendesak satu suruhanjaya penyiasatan bebas ditubuhkan.

selangorku/-

Tiada ulasan: