4 Syaaban 1433H. [MOD] -
KUANTAN - Bagaikan jatuh ditimpa tangga. Begitu keadaan menggambarkan nasib bekas operator kilang, Rahmat Abdul Rahman, 27, yang menanggung penderitaan berganda selepas pemergian arwah ayah tahun lalu dan kini terlantar selepas disahkan menghidap kanser otak tahap empat pada November lalu.
Anak keempat daripada sembilan adik-beradik itu menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di kepala pada April lalu di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan kini dia terlantar
berikutan sebelah kiri badannya lemah.
Abangnya, Rusdi, 31, berkata, ketumbuhan itu juga menyebabkan saraf mata adiknya rosak hingga buta kedua-dua mata.
Menurutnya, episod duka bermula selepas Rahmat diserang sawan pada September lalu dan sejak itu, kesihatan adiknya kian terjejas sehingga terpaksa berhenti kerja.
“Sebelum ini adik ceria, peramah dan disenangi semua orang. Dia tidak pernah mengadu sakit ataupun mempunyai sebarang penyakit kronik, malah pada mulanya kami menganggap ia penyakit biasa dan tidak seteruk ini.
“Selepas itu, kami membuat pemeriksaan di hospital dan adik disahkan menghidap penyakit ini pada November lalu. Doktor menyatakan dia hanya mempunyai peluang 50-50 untuk sembuh kembali,” katanya.
Ditanya harapan adiknya, Rahmat selalu meluahkan impiannya untuk kembali pulih.
“Sekarang kami adik-beradik menampung kos rawatannya. Kami ada merujuk masalah adik ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) beberapa minggu lalu dan kini sedang menunggu maklum balas,” katanya.
Dia ditemui bersama adiknya ketika menerima kunjungan dan sumbangan daripada ahli Badan Kebajikan Kemanusiaan Mukim Sungai Karang/Beserah (Bakkis) diketuai Yang Dipertuannya, Wan Azlan Wan Salleh di rumahnya di Lorong Balok Permai 6, di sini, semalam.
Kunjungan itu turut disertai polis dan ahli Pertubuhan Kerabat Merong Wangsa Malaysia (Merong) Cawangan Pahang sempena program Ziarah Jariah dianjurkan Bakkis.
Sementara itu, Wan Azlan menggesa semua pihak turun padang dan menghulurkan bantuan sewajarnya untuk membantu golongan memerlukan seperti keluarga Rahmat.
“Rahmat perlu dibantu segera. Kita simpati dengan keadaannya. Kunjungan Bakkis hari ini (semalam) adalah antara aktiviti dalam program Ziarah Jariah sedang giat dijalankan,” katanya.
sinar harian/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan