31 Julai 2012

Romney penyokong tegar rejim Zionis

11 Ramadhan 1433H. [MOD] -

TEL AVIV - Calon Presiden Amerika Syarikat (AS), Mitt Romney, kelmarin dengan lantang menyatakan sokongannya terhadap Israel dan memberi jaminan untuk melindungi negara sekutu AS itu daripada ancaman nuklear Iran.

Dalam ucapan semasa lawatannya ke Tel Aviv, Romney, 65, menegaskan beliau menghormati hak rejim Zionis kononnya untuk mempertahankan negara mereka daripada sebarang ancaman luar terutamanya Iran.

Untuk menunjukkan kepimpinannya menerusi dasar luar semasa lawatan ke Tel Aviv, Romney turut memaklumkan cadangan yang bakal mencetuskan kemarahan penduduk Palestin, iaitu menamakan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, sekali gus melanggar perjanjian sempadan 1967.

"Kami bersedia untuk memindahkan lokasi pejabat kedutaan AS ke Baitulmaqdis jika mendapat kebenaran Israel," katanya dengan yakin.

Di bawah tuntutan sebelum ini, jika Palestin diiktiraf sebagai sebuah negara oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kerajaan itu menuntut Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara mereka.

sinar harian/-

Tiada ulasan: