12 Ogos 2012

Tamrin keluar Umno, serah borang sertai PAS

23 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Selepas kerap tampil di pentas PAS dan Pakatan Rakyat, bekas ahli Umno, Datuk Tamrin Ghafar (gambar) akhirnya meninggalkan parti itu dan secara rasmi menyertai PAS malam ini.

Anak kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Ghafar Baba itu menyerahkan borang permohonan keahlian PAS kepada Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam majlis peringatan Badar Al Kubra di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUISZM), Taman Melawar malam ini.

Tamrin merupakan bekas Adun Ayer Molek dan pernah menjadi Ahli Parlimen Batu Berendam selain bekas Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) suatu ketika dahulu.

Tamrin dalam ucapannya berkata, beliau tidak terburu-buru membuat keputusan meninggalkan Umno.

Sebaliknya beliau mula memikirkan tindakan tersebut selepas melihat Umno tergelincir daripada landasan membela rakyat.

"Saya tidak buat keputusan ini terburu-buru tapi sejak lama dah saya fikir. Umno terkeluar daripada landasan membela nasib rakyat sejak 90-an lagi.

"Pelbagai perkara dilakukan termasuk menghina ulama. Walaupun ketika itu saya masih dalam Umno tapi saya tak setuju mereka hina ulama," katanya.

Tamrin turut berjanji akan membantu PAS dengan bersungguh-sungguh untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13.

"Saya berjanji akan berkempen berhabis-habisan bersama tuan-tuan kerana saya lihat perjuangan PAS sangat ikhlas. Saya yakin kemenangan berpihak kepada PAS," katanya.

Beliau turut mengakui pemimpin-pemimpin PAS tidak boleh dijual beli.

"Saya kenal Mat Sabu dan (Tuan Guru) Datuk (Seri) Abdul Hadi (Awang) dah lama.

"Mat Sabu tak pernah pun ajak saya masuk PAS tapi saya yang selalu suruh dia tinggalkan Umno," katanya.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: