02 Oktober 2012

Jangan mudah terpedaya perniagaan atas talian

16 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

Sindiket gores dan menang
 
Sindiket gores dan menang semakin galak mencari mangsa di bandar untuk mengaut keuntungan mudah.- gambar hiasan
 
KUANTAN - Kerugian bernilai ratusan ribu ringgit dicatat melibatkan kes penipuan internet, peraduan gores dan menang serta penipuan Macau Scam dilaporkan berlaku di negeri ini bermula Januari hingga September lalu.

Berikutan itu, orang ramai dinasihatkan tidak terlalu taksub dengan jualan langsung melalui lawan web yang cuba memperdaya mangsa dengan menawarkan barangan berjenama mewah pada harga lebih rendah, manakala lebih berhati-hati bagi mengelak sindiket gores dan menang serta Macau Scam.

Pemangku Ketua Jabatan Jenayah Komersial Pahang, Mohd Rizal Kamaruddin berkata, kes paling tinggi dilaporkan ialah penipuan melalui laman web iaitu hanya menggunakan modus operandi menawarkan barang dengan harga lebih rendah, pihak tidak bertanggungjawab dengan mudah memperdaya mangsa.

Menurutnya, tanpa membuat sebarang penyelidikan atau kesahihan, kebanyakan mangsa dengan mudah memasukkan wang pembelian ke dalam akaun suspek tanpa menyedari barang dijanjikan sebenarnya tidak wujud.

“Sebanyak RM110, 688.30 kerugian dilaporkan berlaku daripada 88 kes yang diterima dan paling popular buat masa sekarang ialah penjualan telefon bimbit berjenama.

“Jika harga pasaran mencecah RM2,000, suspek yang menawarkan barangan tersebut dengan harga sebanyak RM900 sahaja dan mangsa terlalu mudah mempercayainya.

“Selain telefon bimbit, kes penipuan juga melibatkan penjualan kereta, pakaian dan barangan lain. Suspek akan meletakkan nombor telefon untuk dihubungi dan persetujuan hanya dibuat melalui talian sahaja serta mangsa memasukkan wang ke dalam akaun suspek," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini, semalam.

Seterusnya Mohd Rizal berkata, suspek berjanji akan menghantar barangan melalui pos atau berjanji akan berjumpa di satu lokasi tetapi sebaik sahaja transaksi pemindahan wang dibuat, suspek terus gagal dihubungi.

Sementara itu, beliau berkata, selain penipuan internet, kes melibatkan peraduan gores dan menang serta penipuan Macau Scam tidak kurang hebatnya serta kini semakin berleluasa.

“Pihak polis telah mengambil tindakan 23 tangkapan dan pelbagai barangan dirampas berkaitan ke penipuan gores dan menang.

“Kes ini kebanyakan berlaku di bandar-bandar besar dan suspek menawarkan kad gores menang tanpa bayaran serta mengatakan mangsa  memenangi hadiah lumayan. Mangsa diminta membuat bayaran atas barangan termasuk cukai kerajaan sedangkan barangan diterima tidak sepadan dengan bayaran dan lebih teruk ada yang tidak mendapat apa-apa barangan,” katanya.

Katanya, bagi kes penipuan Macau Scam ia membabitkan kerugian sehingga RM310,590 dan 17 aduan telah diterima.

“Melalui penipuan ini, mangsa akan dihubungi melalui telefon atau khidmat pesanan ringkas (SMS) oleh suspek yang mengaku pegawai bank dan menakut-nakutkan mangsa dengan mengatakan terdapat hutang kad kredit perlu dilunaskan.

“Apabila mangsa mengaku tidak pernah terlibat dengan permohonan kad kredit atau hutang, suspek memberitahu dokumen mangsa telah disalahgunakan dan meminta pindahan wang dilakukan melalui nombor akuan diberikan bagi jaminan keselamatan.

“Selepas wang dipindahkan, suspek gagal dihubungi dan sebahagian kes yang berlaku menyasarkan golongan peniaga berusia 30 hingga 40 tahun sebagai mangsa,” katanya.

sinar harian/-

Tiada ulasan: