02 Oktober 2012

Bonus 1.5 bulan: Bayar dahulu baru mohon?

16 Zulkaedah 1433H. [MOD]-







TEMERLOH: Tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bonus sebulan setengah kepada kakitangan awam sangat mengelirukan kerana sudah ada bonus yang telah dibayar sebelum Belanjawan 2013 dibentangkan Jumaat yang lalu.


“Pertama kerana setengah bulan pertama telah dibayar pada bulan Ogos lalu, manakala bakinya akan dibayar pada dua kali iaitu setengah bulan pada bulan Disember manakala setengah bulan lagi pada Januari depan.

"Apa yang menghairankan bagaimana pembayaran dibuat sedangkan permohonan peruntukan baru masih dibuat,” soal Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataannya hari ini.

Berlatarbelakangkan demikian, Tuan Ibrahim juga mempersoalkan peruntukan mana yang digunakan untuk bayaran bonus setengah bulan pada bulan Ogos lalu.

“Ini kerana perisytiharan bonus sebulan setengah baru diumumkan. Ertinya baru dipohon untuk diluluskan.

"Apakah ia telah masuk didalam peruntukan tambahan tahun ini? Kalau begitu, tak perlulah dinyatakan dalam pembentangan belanjawan 2013,” kata beliau.

Namun, kata Tuan Ibrahim, sekiranya ia menggunakan Belanjawan 2013, maka persoalannya ialah pembayaran yang telah dibuat menggunakan dana dari mana.

“Lebih elok perkara ini ditanya dan dijawab oleh ahli-ahli parlimen dalam perbahasan bajet memandangkan pembentang bajet sudah menghilangkan diri daripada parlimen,” sindir beliau merujuk kepada ketidakhadiran Najib dalam perbahasan bajet oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

Sekiranya peruntukan untuk membayar bonus adalah daripada Belanjawan 2013, Tuan Ibrahim menyoal mengapa Najib perlu menebal muka untuk mengumpulkan bonus yang telah dibayar dengan bonus tahun depan bagi menggambarkan banyaknya bonus yang diberi.

“Tindakan ini tidak lebih dari usaha menunjukkan pentadbiran kerajaan BN sangat prihatin kepada kakitangan awam.

"Kalau begitu, lebih baik kalau beliau campurkan semua bonus bonus sejak Merdeka sampai kini, barulah rakyat terbeliak biji mata melihat slogan Janji 55 tahun sudah ditepati,” sindir beliau lagi.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: