2 Rejab 1434 H. [MOD] -
Seorang pejuang bernama Nasrudin Abduh yang terkenal dengan kejujuran dan amanahnya telah berjumpa dengan Tok Gurunya Ustaz Nik Ibrahim.
“Mengapa ana masih berasa tidak tenteram dan memandang rendah pada diri sendiri? Ana dah berjaya mengharungi pelbagai kegagalan, dan melakukan kebajikan dan menyelamatkan mereka yang lemah dan tertindas. Tapi apabila melihat Tok Guru, ana rasa masih tidak setanding Tok Guru,” kata Nasrudin.
“Tunggu sekejap. Lepas ana jumpa semua yang datang melawat hari ini, ana bagikan jawapan,” jawab Ustaz Nik Ibrahim.
Nasrudin melihat bagaimana Tok Guru menyambut semua yang melawatnya dengan senyuman dan penuh kesabaran sehinggalah matahari terbenam.
Selepas semua pelawat dah tiada, Nasrudin cepat-cepat bertanya, “Apa jawapannya Tok Guru?”
Tok Guru memimpin tangannya ke padang. Mereka berdua duduk melihat bulan yang penuh memancar dalam ketenangan.
“Nampak tak bulan itu? Cantik tak? Ia akan menjaga sepanjang malam sehinggalah subuh menjelma, di mana matahari pula akan bersinar,” kata Ustaz Nik Ibrahim.
“Tapi cahaya matahari lebih cerah, dan boleh menunjukkan segalanya dengan terang untuk ditatapi mata kita – pokok, gunung mahupun awan. Ana pun dah berfikir lama: Mengapa tidak pernah kedengaran bulan berkata: Mengapa saya tidak boleh seterang matahari?” tambah Ustaz Nik Ibrahim lagi.
“Sudah tentu tidak,” jawab Nasrudin. “Matahari dan bulan adalah dua benda berbeza – kedua-duanya mempunyai kecantikan sendiri. Tak boleh banding antara dua.”
“Anta sudah jumpa jawapannya. Ana dan anta adalah dua orang berlainan, kita sama-sama membantu orang ramai dalam cara yang kita tahu supaya dunia ini menjadi tempat lain lebih baik dan Islam didaulatkan. Yang lain adalah sampingan sahaja termasuklah jawatan,” jawab Ustaz Nik Ibrahim.
“Putus asa adalah kegagalan sebenar. Ingat itu,” tambah Ustaz Nik Ibrahim.
Nasrudin tersenyum. Mulai hari itu, beliau tidak lagi cuba membandingkan dirinya dengan Tok Guru – sebaliknya membuat segala perkara dan melawan segala kemungkaran dengan caranya tersendiri.
Senyum
Walaupun tanpa jawatan, kerja-kerja kebajikan dan lawan kemungkaran harus diteruskan. Jangan putus asa. Kerana itu titik noktah suatu perjuangan.
Harakahdaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan