27 Rejab 1434 H. [MOD] -
IPOH: PAS Negeri Perak kesal dengan kerajaan BN yang sehingga hari ini belum merealisasikan janji membina hospital di Parit Buntar sebaliknya mengulangi janji itu demi menarik sokongan rakyat.
Ketua Penerangannya, Dr Ahmad Nuri Al-Amin(gambar) berkata, hospital di Daerah Kerian itu yang telah dijanjikan semasa kempen PRU12 dahulu dan diumumkan beberapa kali oleh pimpinan serta menteri namun sehingga hari ini tidak direalisasikan.
“Dalam isu pembinaan hospital baru di Daerah Kerian, ianya telah timbul sejak pilihan raya umum tahun 2008 lagi dan diulangi oleh Perdana Menteri pada tahun 2011 serta Timbalan Perdana Menteri ketika kempen PRU13 baru-baru ini.
“Projek pembinaan itu sekali lagi diumumkan dan kali ini oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri S Subramaniam di Teluk Intan beberapa hari lalu.
“Mereka umum banyak kali tetapi kenapa gagal juga untuk disiapkan,” katanya kepada Harakahdaily, hari ini.
Subramaniam, katanya turut mengumumkan untuk membina hospital di Kampar dan Bandar Seri Manjung sedangkan janji lama belum ditunai.
Jelas Ustaz Nuri, janji baru ini akan sentiasa dicanang sehinggalah pilihanraya kelak jika ianya masih tidak dilaksanakan.
“Bagi kami, kenyataan politik hanya membosankan rakyat kerana keperluan asas seperti pembinaan hospital baharu sewajarnya ditunaikan.
“Kami berharap jangan ketika sudah hampir dengan PRU14 nanti akan ada lagi yang menjanjikan benda yang sama yang masih belum terlaksana sepenuhnya.
“Kami bersama rakyat memberikan tempoh lima tahun kepada BN melaksanakan janji-janji mereka untuk membina hospital baharu tersebut,” jelasnya lagi.
harakah/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan