05 November 2013

PAS Kedah sudah pulih kembali


1 Muharram 1435H. [MOD] -
Abd Shukur Harun,05 Nov 2013
Tidak mudah bagi pembangkang seperti PAS, untuk menang dalam sesebuah pilihan raya kecil apalagi di kawasan pedalaman. Jika menangpun maka itu dikira ‘sangat luar biasa’.


Ini kerana, biasanya di mana-mana dalam pilihan raya kecil, Umno/BN akan mengerakan jenteranya seluruh negara, termask jentera kerajaan untuk berkempen habis-habisan. Bukan saja itu, tetapi mencurahkan pelbagai imbuhan serta pelbagai jenis bantuan dan bermacam-macam lagi, hingga dilihat seolah-olah pembangkang bukan bertanding dengan Umno/BN tetapi bertarung dengan kerajaan dengan seluruh jenteranya.



Sebab itu dalam pilihan raya kecil Sungai Limau kelmarin, ramai yang menjangka calon PAS – kalau menangpun - paling tinggi, mendapat majoriti sekitar 500 undi. Tetapi apabila Calon PAS, Ustaz Mohd Azam Abd Samat menang dalam PRK Sungai Limau malam kelmarin, mengalahkan calon BN, Dr Ahmad Sohaimi Lazim dengan majoriti 1,084 undi, bukan sekitar 500 mundi seperti yang diramal, maka itu dikira luar biasa. Calon Umno/BN, Dr. Ahmad Sohaimi Lazim mendapat 10,985 undi.



Kemengan ini sangat besar ertinya, walaupun Umno/BN bersorak kerana dapat mengurangkan majoriti PAS di kubu PAS sendiri. Seramai 23,249 pengundi atau 85.5 peratus telah keluar mengundi.



Pengarah PRK Sungai Limau, Datuk Mahfuz Omar memberi sebab kemerosotan undi PAS ini ialah kerana hari mengundi pada hari bekerja, maka itu ramai pengundi Sungai Limau yang bekerja di Kuala Lumpur, Perak, Selangor dan sebagainya tidak dapat pulang mengundi.



PRK Sungai Limau ini menjadi medan ujian kepada Datuk Mahfuz sendiri sebagai Pesuruhjaya PAS Kedah, Maka kemenangan di Sungai Limau ini adalah sesuatu yang amat manis, sebagai hadiah kepada kepimpinannya. 



Bagi pemimpin PAS, kejayaan di Sungai Limau ini adalah kejayaan PAS menewaskan dua kerajaan yang bergabung menentang PAS di Dun tersebut.
"Kita berdepan dengan dua kerajaan dalam pilihan raya ini iaitu kerajaan negeri Kedah dan Kerajaan Pusat dan kita menang," kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dalam perhimpunan di Dulang Kecil selepas calon PAS diumumkan menang.



Walaupun majoriti PAS berkurangan namun kegembiraan jelas terbayang di wajah hampir 10,000 penyokong PAS yang berkumpul di sebelah bendang padi itu.



Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Mahfuz Omar yang juga pengarah pilihan raya ini adalah antara orang yang paling gembira dengan kemenangan ini.



Ini kerana, pilihan raya ini adalah ujian pertama kepada kepimpinannya selaku Pesuruhjaya PAS Kedah selepas mengambil alih daripada Allahyarham Tan Sri Azizan Razak selepas pilihan raya umum lalu.



"Saya sangat bimbang kerana ini adalah cabaran kepada saya selaku Pesuruhjaya PAS Kedah untuk memimpin pilihan raya kecil ini kerana kita berhadapan dengan dua kerajaan," kata Mahfuz.



Sementara itu, Ustaz Azam ketika memberikan ucapan pertamanya berkata, kemenangan ini menambahkan keyakinan bahawa PAS mesti terus memperjuangkan mesej Islam yang dibawanya. 



Kita mengucapkan tahniah kepada Datuk Mahfuz dan team jentera kempennya, khususnya Ir. Amirudin Hamzah serta pimpinan PAS Kedah seluruhnya. Juga pemimpin dan petugas PAS yang datang dari seluruh negara yang turut bertungkus lumus bertugas berminggu-minggu lamanya dalam cuaca panas dan hujan,  siang dan malam, menunjukkan solidariti kepada perjuangan PAS Kedah.



Kemenangan calon PAS ini mempunyai makna yang besar bahawa PAS Kedah sudah pulih kembali dari kemelutnya dan memperlihatkan imej barunya yang segar serta mempunyai harapan masa depan setelah kalah teruk dalam PRU yang lalu.



Dengan kemenangan ini juga kiranya, masa suram PAS Kedah sudah bertukar menjadi ceria. Inilah harga kemenangan yang sangat mahal diperoleh oleh PAS dari keputusan PRK Sungai Limau itu.



Pada pendapat saya, PAS Kedah sudah pulih kembali dari krisis dalaman yang dideritainya selama betahun-tahun, yang  antara lain menyebabkan kekalahannya dalam PRU yang lalu. Ini menjadi pengajaran yang sangat berguna bukan saja kepada PAS Kedah tetapi PAS seluruhnya.



Maka itu dengan pemulihan ini dan dengan imej barunya, PAS Kedah boleh memandang ke hadapan dengan optimis, berusaha sungguh-sungguh untuk merapatkan seluruh pendukung bagi memperkukuh parti, mengatur strategi setepat mungkin untuk menebus kembali kekalahan dalam PRU yang lalu, dengan izin Allah s.w.t. 



Ini tidak mustahil justeru dalam sepanjang sejarah PAS sendiri, Negeri Kedah adalah antara negeri yang menjadi kubu kuat PAS di samping Kelantan dan Terengganu serta Perak. Oleh itu dengan kemenangan PAS di Sungai Limau ini, ia menjadi langkah pertama yang sangat penting untuk PAS kembali padu dan gagah.



Seperti Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, semua pendukung PAS menyifatkan kemenangan calon PAS ini sebagai kemenangan di hari pertama tahun hijrah 1435. Hijrah adakah membawa mesej kemenangan dan pencerahan, maka itu kemenangan di Sungai Limau ini adalah mesej kemenangan yang sangat besar ertinya.



Dari pengamatan singkat saya ketika berada di Sungai Limau tempoh hari, kedatangan ribuan pendukung PAS seluruh negara untuk membantu kempen, memberi sokongan moral dan kewangan kepada jentera PAS Kedah di Sungai Limau, menghantar isyarat bahawa mereka sangat ingin PAS Kedah pulih kembali dari kemelutnya dengan menang di Sungai Limau ini. Harapan ini telah terpenuhkan. 



Dengan kemenangan ini,  pendukung PAS Kedah yang akan datang ke Muktamar PAS di Shah Alam pada 22 hingga 24 November ini dengan wajah berseri-seri bahawa PAS Kedah sudah pulih kembali. Mereka tidak lagi datang sebagai ‘orang kalah’, tetapi sebagai pemenang walaupun hanya dalam sebuah pilihan raya kecil. 



Ini memandangkan dalam PRK Sungai Limau itu, seperti saya katakan, PAS menghadapi tantangan sengit dari Umno/BN dan jenteranya dari seluruh negara, dengan habuannya yang pelbagai bentuk dan sebagainya.



Kini semuanya mengharapkan PAS Kedah di bawah pimpinan Datuk Mahfuz supaya berjaya menawan kembali negeri jelapang padi itu dalam PRU akan datang.  



Kepada Ustaz Mohd Azam, kita mengucapkan tahniah atas kemenangannya di Sungai Limau itu. Kita yakin, beliau yang berpendidikan agama, sangat sedar bahawa kemenangan ini adalah amanah, bukan prestej, bukan kemegahan, tetapi cabaran untuk bekerja lebih keras bukan saja kepada rakyat Sungai Limau, tetapi juga untuk kemajuan PAS sendiri di masa depan.

Tiada ulasan: