05 November 2013

Pasangan 16 anak Tokoh Keluarga Mithali 1435H


1 Muharram 1435H. [MOD] -
Selangorku,05 Nov 2013
SHAH ALAM: Pasangan suami isteri, Mohd Dawam Dollah dan Noraisah Hassan dianugerahkan Tokoh Keluarga Mithali dalam Majlis Ambang Hijrah dan Pelancaran Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Selangor 1435H di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, malam tadi.

Mohd Dawam, 64, pesara guru agama di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang menetap di Sungai Nibong, Sekinchan masih berkhidmat sebagai ketua kampung Sungai Nibong Batu 23, Sekinchan dan dilantik sebagai Pengerusi Ketua-Ketua Kampung Daerah Sabak Bernam.

Katanya, dia dan Noraisah, 60, mempunyai 16 orang anaknya dan 10 daripadanya sudah bekerja, manakala enam lagi masih menuntut dalam pelbagai bidang di universiti dan sekolah menengah.

“Biarpun sibuk membesarkan dan mendidik anak, tenaga dan keringat tetap saya dan isteri sumbangkan dalam mengurus dan mentadbir masjid, koperasi guru serta aktiviti kemasyarakatan,” katanya.

Pada majlis sama, Tokoh Saudara Kita 1435H/2013M dianugerahkan kepada Lim Jooi Soon, 44, yang memeluk Islam ketika berusia 28 tahun, pada 9 Januari 1997.

Katanya, dia pernah menuntut di Islamic Education Trust di Nigeria selama 12 tahun dan di Australia selama empat tahun dalam Bible student dengan niat untuk mendalami ilmu agama.

Jooi Soon bertugas sebagai pendakwah bebas, selain banyak menyumbangkan tenaga, idea dan pengalaman dengan menyampaikan ceramah di dalam serta luar negara, malah kini masih aktif sebagai pelatih kader dakwah kepada muallaf juga bukan Islam selain menguruskan kes murtad.

Selain itu, beliau turut terbabit dalam menganjurkan kursus ‘Training The Trainer’ anjuran Nuruddin Lemu dan Aisyah Rodrigo daripada Islamic Trust Nigeria, selain berperanan sebagai penganjur kbagi Kursus Interaktive Dakwah Training, di samping menjadi panel dalam forum perbandingan agama.

Bagi Anugerah Badan Dakwah Sukarela Terbaik 1435H dianugerahkan kepada Pertubuhan Sukarelawan Islam Hospital Selangor (SAHABAT) yang banyak menjalankan aktiviti dakwah kepada pesakit dan keluarga mereka ketika dirawat di hospital.

Semua anugerah disampaikan Tengku Panglima DiRaja Selangor, Tengku Sulaiman Shah ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang turut dihadiri, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; pembesar negeri, Exco Kerajaan Negeri, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan lebih 1,000 hadirin.

No comments: