12 May 2014

PAS setia bersama PR walau musuh cetus keretakan

11 Rejab 1435. [MOD] -



GEORGE TOWN: Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyeru PAS seluruh negara menghantar jentera membantu calon DAP mulai hari penamaan calon sehingga hari pengundian.

Presiden PAS itu berkata, jentera parti perlu bergerak aktif seolah-olah PAS bertanding dalam Pilihan raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor.

"Kita tetap setia bersama Pakatan Rakyat walaupun isu keretakan sengaja dibangkitkan oleh musuh kita. Hari ini semua isu itu dah hilang.

"Kita kena ubah pemikiran politik demi masa depan negara," ujarnya ketika berucap merasmikan Markas Induk Pilihan raya Kecil Bukit Gelugor di Dewan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Sungai Gelugor malam tadi.

Katanya, kerjasama antara PAS dan DAP bukan baru tetapi telah lama sejak berjuang menentang Akta Keselamatan Dalan Negeri (ISA).

Jelasnya lagi, apabila Umno gagal rampas Kelantan pada 1978, mereka membentang Rang Undang-Undang Darurat dengan niat mencetuskan  perbalahan tetapi Lim Kit Siang dan mendiang Karpal Singh ketika itu bangun menentang dan membangkang undang-undang  tersebut.

Itulah katanya, titik persamaan antara PAS dan DAP sejak dahulu sebelum adanya Pakatan Rakyat.

"Hasilnya kemesraan terjalin walaupun berlainan pandangan," ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Marang.

Katanya lagi, kerjasama yang PAS laksanakan bukan baru sebaliknya telah diajar oleh Rasullulah s.a.w.

Tegasnya, konsep adil untuk semua menjadi amalan sebuah Kerajaan Islam yang tidak menganiaya semua masyarakat. - HARAKAHDAILY 12/5/2014

No comments: