9 RabiulAwwal 1437 [MOD] -
Langkawi: Rayani Air Sdn Bhd (Rayani Air), syarikat penerbangan patuh
syariah pertama di Malaysia melancarkan penerbangan sulungnya dari
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) ke Lapangan
Terbang Langkawi, di sini, hari ini selepas menerima Lesen Perkhidmatan
Udara (ASL) dan Sijil Pengendali Udara (AOC) daripada Jabatan
Penerbangan Awam (DCA), Jumaat lalu.
Pengarah Urusannya Jaafar Zamhari berkata, penerbangan yang membawa
135 penumpang itu dilihat memiliki tarikan tersendiri kerana Langkawi
adalah pangkalan atau hab bagi syarikat itu ke dua destinasi buat masa
ini iaitu Kuala Lumpur dan Kota Bharu.
“Kami menerima sambutan menggalakkan meskipun tempahan hanya mula
dibuka kepada orang awam melalui portal dalam talian syarikat seminggu
lalu dan kami yakin laluan yang diperkenalkan ini mampu menarik lebih
ramai ke Pulau Langkawi pada masa depan ,” katanya pada sidang media
selepas ketibaan pesawat pertama Rayani Air di sini, hari ini.
Syarikat penerbangan tempatan itu menawarkan penerbangan dua kali
sehari bagi penerbangan dua hala dari Kuala Lumpur-Langkawi dan Kuala
Lumpur- Kota Bharu melalui dua pesawat Boeing 747-400.
Apa yang menarik, ia menawarkan konsep penerbangan patuh syariah
merangkumi pramugari wanita Islam yang memakai tudung dan bukan Islam
berpakaian sopan, makanan dijamin halal dan bacaan doa sebelum memulakan
penerbangan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan