21 Disember 2015

Penjelasan Laporan The Malaysian Insider Bertajuk "PAS Sedia Maaf, Lupakan Kesalahan UMNO, Kata Setiausaha Agung"

10 RabiulAwwal 1437 [MOD] -
1. Saya ingin membuat penjelasan tentang satu laporan The Malaysian Insider (TMI) bertarikh 20 Disember 2015 yang bertajuk sebagaimana di atas.
2. Pertamanya dimaklumkan bahawa saya dan YBhg. Dato’ Haji Mustafa Ali, Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, telah diputuskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat supaya memenuhi undangan sekali gus mewakili PAS ke Persidangan Agung PERKASA yang telah diadakan pada20/12/2015 di Dewan Muktamar, Pusat Islam Kuala Lumpur, jam 9.00 pagi.
3. Selepas tamat Majlis Perasmian Persidangan Agung tersebut, kira-kira jam 12.30 tengahari, saya dan Dato’ Mustafa telah diserbu oleh sekitar 20 orang Petugas Media (sebahagian yang saya kenali dan sebahagian lagi tidak). Pada masa itu suasana dalam Dewan agak bising dengan pengumuman-pengumuman yang dibuat oleh pihak Urusetia program melalui pembesar suara.

4. Temu bual banyak berkisar tentang isu, kononnya, “Perpaduan Antara PAS dan UMNO” dan hasil temu bual inilah yang tampaknya menjadi berita dalam TMI yang pertikaikan seperti di bawah:
A. Petikan The Malaysian Insider:
Tajuk:PAS sedia maaf, lupakan kesalahan Umno, kata setiausaha agung
Penjelasan:
Tajuk berita tersebut dibuat oleh Pemberita/Pengarang TMI, bukannya daripada saya.
B. Petikan The Malaysian Insider:
PAS bersedia memaafkan dan melupakan kesalahan Umno kerana ia adalah sebahagian daripada ciri-ciri perjuangan mereka, kata Datuk Takiyuddin Hassan.

Bercakap kepada pemberita di mesyuarat agung tahunan Pertubuhan Pribumi Perkasa Kebangsaan (Perkasa) ke-6 di Kuala Lumpur hari ini, setiausaha agung PAS itu berkata, memaafkan dan melupakan kesalahan adalah perkara yang sentiasa diamalkan parti itu.

"Itu antara ciri-ciri yang ada dalam perjuangan ini.
Penjelasan:
a) Sepanjang ditemu bual, saya tidak pernah mendengar atau menjawab soalan berbunyi atau membawa maksud “adakah PAS memaafkan UMNO…”
b) Oleh sebab itu, saya menganggap soalan seumpama itu tidak ada. Justeru,  apa-apa ‘jawapan’ kepadanya juga tidak ada, atau dating daripada saya atau apa-apa yang dimaksudkan oleh saya.
C. Petikan The Malaysian Insider:
"Ini bukan perkara baharu, ramai pemimpin lain masuk dalam PAS. Mereka ada kedudukan baik, diterima hati terbuka di kalangan ahli, sekarang ini antara parti kita akan laksanakan perkara sama," katanya kepada pemberita.
Penjelasan:
a) Ini adalah kenyataan saya yang menggambarkan sikap keterbukaan PAS menerima pandangan, malah kehadiran sesiapa sahaja ke dalam PAS apabila mereka menerima perjuangan PAS yang berteraskan Syariat Islam. Contohnya jelas, ada dalam kalangan bekas pemimpin UMNO yang menyertai PAS pernah dilantik dan diberikan kepercayaan menjadi Setiausaha Agung, Pegawai Penerangan, dan lain-lain kedudukan sebagai pemimpin parti di pelbagai peringkat dan organisasi parti.
b) Laporan TMI di atas adalah tidak lengkap (incomplete), terkeluar konteks, malah jelas direkayasa (fabricated) oleh penulis.
c) Tiada langsung dalam kenyataan saya apa-apa yang membawa niat, mengisyaratkan atau memberi maksud bahawa menyatakan PAS ingin bergabung dengan UMNO dari segi parti  masing-masing.

D. Petikan The Malaysian Insider:
Ahli Parlimen Kota Baru itu turut berkata, PAS kini dalam proses memberikan penjelasan kepada ahli-ahli mereka berhubung kerjasama antara kedua-dua parti Melayu itu.
"Kita dalam proses untuk beri penjelasan menyeluruh kepada ahli kita tentang hasrat itu.
"Katanya, susulan perkara itu masih baharu untuk ahli, PAS masih lagi berusaha untuk memberikan pemahaman yang jelas berhubung perkara itu.
Penjelasan:
a) Apabila ditanya kepada saya apakah langkah yang diambil oleh PAS terhadap isu yang dibangkitkan, iaitu kononnya “PAS akan bekerjasama dengan UMNO”, saya menyatakan bahawa PAS akan memberikan penerangan kepada ahli-ahli PAS tentang kekeliruan, salah faham yang timbul dan juga menangkis tohmahan terhadap PAS dalam isu ini.
b) Ia bukan bermaksud PAS akan memberi penjelasan seolah-olah “kerjasama dengan UMNO akan dilaksanakan”.
E. Petikan The Malaysian Insider:
"Prinsip perjuangan PAS katanya adalah berlandaskan syariat Islam dan apabila terdapat pihak yang sama mempunyai prinsip sama PAS akan bersikap terbuka.
"Sepanjang masa PAS berjuang atas dasar itu apabila sampai ketika ada pihak lain yang mahu ambil prinsip sama dan bersikap terbuka menjayakan agenda bersama.
"Atas kata kuncinya perpaduan berdasarkan syariat kita sedia bersama dengan mana-mana pihak atas kebaikan orang Islam."
Penjelasan:
a) Saya mengesahkan sebahagian daripada lap[oran di atas adalah kenyataan saya, tetapi ia adalah tidak lengkap (incomplete) atau dilaporkan secara keseluruhannya.
b) Saya mengatakan bahawa PAS dalam perjuangannya meletakkan Syariat Islam sebagai prinsip teras dan bersikap terbuka apabila ada pihak lain yang bersetuju dengan prinsip ini, sama ada orang Islam mahupun Bukan Islam.
c) Kenyataan saya di atas adalah selaras dengan pendirian PAS yang dijelaskan oleh YB. Dato’ Seri Tuan Guru Presiden PAS dalam kenyataannya yang bertarikh 10/12/2015, iaitu:
Lebih enam dekad PAS berjuang membawa Islam dan syariatnya. PAS mengambil pelbagai ruang dan peluang untuk menyedarkan masyarakat termasuk pemimpin politik dan negara agar meletakkan agama sebagai teras pemerintahan dan penyatuan ummah untuk kesejahteraan rakyat seluruhnya. PAS juga terus berjuang menolak mungkar politik, amalan salah guna kuasa dan tadbir urus, dan kerosakan akhlak serta rasuah dalam praktis bernegara.
Pastinya apabila ada suara positif yang selari dengan kepentingan Islam, negara dan rakyat majmuk keseluruhannya, PAS selamanya berlapang dada dan bersikap terbuka terhadap hasrat perpaduan dalam bermasyarakat berteraskan syariat Allah SWT dengan mana - mana pihak, samada Islam atau kalangan bukan Islam.
5. Secara keseluruhan, saya menganggap laporan TMI berkenaan adalah suatu rekaan, pemberitaan salah dan di luar konteks, tafsiran dan/atau merupakan pendapat dan kefahaman Pengarang /Pemberita TMI tersebut sendiri, bukannya daripada saya.
6. Saya kesal bahawa salah laporan yang tampak disengajakan tehadap kenyataan saya itu telah menimbulkan kekeliruan dan kegelisahan umum, khasnya ahli-ahli PAS sendiri, terhadap  nama baik, integriti dan imej parti dan kepimpinan parti. Ia juga memberi kesan buruk terhadap diri saya sebagai Setiausaha Agung PAS kerana sifatnya yang jelas berunsur fitnah dan mala fide, sama ada secara maksud terangan, tersirat atau ‘innuendo’.
7. Saya meminta ahli-ahli PAS dan masyarakat umum supaya sentiasa merujuk dan mendapatkan kenyataan muktamad dan sebenarnya yang diberikan oleh pimpinan PAS dengan membuat semakan dalam Media Rasmi PAS, iaitu Laman Web PASHarakah (cetak) danHarakahdaily, dan tidak membuat anggapan-anggapan tidak cermat atau sahih berdasarkan laporan-laporan yang tidak tepat maupun jujur  oleh mana-mana pihak yang lain.
Takiyuddin Hassan
Setiausaha Agung PAS.
Bertarikh: 20 Disember 2015.

Tiada ulasan: