25 Mei 2017

YDP PAS Kuala Kangsar tegaskan ahli PAS Jeliang keluar parti selesai, Mat Deka hadir sama.

KUALA KANGSAR: 24 Mei. PAS Kawasan Kuala Kangsar sekali lagi membuat kenyataan rasmi dengan menafikan 42 orang ahlinya keluar parti. Demikian penegasan oleh Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Kuala Kangsar dalam program Santai Petang yang diadakan di Jeliang pada hari ini.

Hadir sama dalam program itu ialah Ketua Pemuda PAS Kawasan Kuala Kangsar, Ustaz Ahmad Dzorif bin Ramli, Beberapa orang AJK PAS Kawasan, Ketua PAS Cawangan, ahli serta penyokong PAS .

Sesuatu yang mengejutkan apabila hadir sama dalam majlis tersebut ialah Mohd Hamka atau Mat Deka dalam program tersebut. YDP PAS Kuala Kangsar juga mengesahkan Mat Deka juga hadir dalam program Perkampungan Pilihanraya di Guar hujung minggu lepas. Mengulas hal tersebut beliau mengatakan secara ringkas bahawa isu ahli PAS keluar parti di Jeliang sudah selesai.

YDP PAS Kuala Kangsar telah membuka peluang kepada yang hadir untuk mengemukakan sebarang kemusyikalan.

" Saya menafikan adanya kerjasama politik antara PAS dan UMNO seperti yang diperkatakan. Dan sebagai salah seorang yang terlibat dengan Jentera Pilihanraya PAS Perak saya ingin memaklumkan bahawa semua kerusi yang ditandingi oleh UMNO di Perak akan kita letakkan calon. Oleh itu mana alasan yang mengatakan kita akan bergabung dengan UMNO" Jawabnya kepada soalan yang dikemukakan berkaitan dengan berita yang mengatakan PAS akan bergabung dengan UMNO dalam PRU akan datang.

Semasa menjawab satu soalan yang lain beliau juga menegaskan bahawa PAS membawa dasar yang sangat jelas iaitu Islam seperti yang disebut dalam Fasa 3 Perlembagaannya. Oleh itu sesiapa sahaja yang membuat keputusan untuk berhadapan dengan  PAS  hendaklah berfikir panjang kerana dengan Islamlah kita yakin hayat PAS terus berada di persada politik tanah air walaupun pelbagai usaha dan fitnah dilemparkan bagi melemahkan PAS , tegasnya.

Beliau juga menerangkan bahawa PAS bukan hanya semata-mata sebuah parti politik namun terlibat sama dengan usaha dakwah dan tarbiyah ataupun pendidikan.

" PAS sangat yakin dengan ahli yang memahami akan dasar perjuang dengan hala tuju yang jelas bukan hanya mencari kemenangan di dunia sahaja namun kemenangan di akhirat yang kita harapkan. Kerana itu PAS jauh berbeza dengan parti politik yang lain yang cuma memikirkan kemenangan didunia sahaja" Katanya.

Program sekitar 1 jam 30 minit itu diakhiri dengan bacaan doa dan jamuan minuman petang yang disediakan..

Tiada ulasan: