KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia dan Bank Indonesia mengumumkan perluasan rangka kerja penyelesaian mata wang untuk merangkumi pelaburan langsung, pendapatan dan pindahan, selain perdagangan, sebagai transaksi asas yang layak, berkuat kuasa mulai hari ini.
"Rangka kerja ini juga memperluas pengguna yang layak seperti orang perseorangan dan dasar pertukaran asing tambahan yang fleksibel, misalnya keperluan dokumen yang lebih ringkas bagi memudahkan pelaksanaan rangka kerja ini," kata BNM dalam satu kenyataan hari ini.
Ia menambah perluasan itu adalah sebahagian daripada usaha yang berterusan untuk meningkatkan penggunaan mata wang tempatan bagi penyelesaian perdagangan dan pelaburan langsung antara Malaysia dengan Indonesia.
Melalui perluasan ini, BNM dan Bank Indonesia juga telah melantik beberapa lagi bank perdagangan yang berkelayakan di kedua-dua negara bagi menyokong pelaksanaan rangka kerja penyelesaian ringgit-rupiah yang diperluas ini.
Secara umumnya, bank-bank yang dilantik mempunyai pengalaman dalam memudahkan kegiatan perdagangan dan pelaburan langsung antara kedua-dua negara, mempunyai jumlah pelanggan yang besar dan telah mewujudkan hubungan perniagaan yang kukuh dengan bank-bank di negara rakan yang menjalinkan persefahaman ini, katanya.
Rangka kerja ini dilancarkan buat kali pertamanya pada 11 Disember 2017 selaras dengan Memorandum Persefahaman antara BNM dan Bank Indonesia yang ditandatangani pada 23 Disember 2016.
– Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan