16 September 2008

Zaid serah surat letak jawatan

Datuk Zaid Ibrahim, yang membantah penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), hari ini menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Menurut sumber, surat tersebut diserahkan kepada pejabat Perdana Menteri di Putrajaya kira-kira 2 petang.Zaid melahirkan rasa tidak senangnya pada langkah kerajaan menangkap exco kerajaan Selangor dan juga ahli parlimen DAP Teresa Kok, pengendali blog Malaysia Today Raja Petra Kamaruddin dan wartawan Sin Chew Daily Tan Hoon Cheng atas dakwaan mengancam keselamatan negara, Jumaat lalu.

Bagaimanapun dalam pertemuan mereka sebelum Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bertolak ke Terengganu, Zaid dinasihatkan supaya bercuti dan memikirkan kembali keputusannya itu.Menurut Bernama, perdana menteri berkata Zaid mememui beliau di kediamannya di Seri Perdana di Putrajaya petang tadi dan menyatakan hasrat untuk meletakkan jawatan.

"Dia ada sebut perkara itu (meletak jawatan) kepada saya, saya kata fikir betul-betul... "Kalau dia letih sangat pergilah bercuti... pergi sekejap sudahlah," kata Abdullah kepada pemberita selepas berbuka puasa dan solat Maghrib bersama pemimpin dan rakyat di Masjid Abidin di Kuala Terengganu.Perdana Menteri berkata beliau tidak dapat berbual lama dengan Zaid kerana beliau bergegas untuk datang ke Terengganu.

Abdullah bagaimanapun berkata beliau belum sempat melihat surat itu dan tidak tahu apakah alasan Zaid berbuat demikian."Surat itu tidak ada pada saya. Zaid jumpa saya di rumah, surat itu dihantar ke pejabat," katanya.

Perihal ISA, Tindakan Parti, Tindakan Kerajaan dan Kenyataan Bodoh Hamid Albar

Untuk kesekian kalinya, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) digunakan lagi, kali ini mangsanya adalah blogger Raja Petra, Teresa Kok dan wartawan kanan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng (dibebaskan selepas 16 jam dalam tahanan polis). Dan seperti biasalah, alasan yang digunakan kali ini tetap seperti dulu-dulu juga, ketenteraman awam, public order…

Dan untuk pertama kalinya saya sangsi, apakah penahanan ISA terbaru ini adalah tindakan Kerajaan, atau tindakan Kerajaan Barisan Nasional, atau tindakan Barisan Nasional? Kerana kelihatannya seolah-olah yang bersetuju dengan tindakan ini hanyalah Umno sahaja! Banyak parti lain yang menjadi komponen Barisan Nasional yang memerintah telah mula bersuara, MCA membantah, Gerakan membantah, PPP juga membantah. Maka timbul persoalan, apakah Kerajaan Barisan Nasional yang memerintah sekarang masih didokong penuh oleh semua parti komponennya, atau sudah menjadi milik Umno yang syok sendiri?

Kalau dulu Umno menggunakan Zainuddin Maidin sebagai pahlawannya, kali ini Hamid Albar pula yang menjawat jawatan Menteri Dalam Negeri mewarisi legasi tersebut. Berdasarkan latar belakang beliau, saya mengharapkan sedikit kecerdikan dari jawapan-jawapan Hamid Albar dalam sidang medianya, tetapi apa yang saya temui hanyalah kedunguan dan kebodohan.

Kebodohan pertama, kata Hamid Albar, tindakan ini bukan arahannya selaku Menteri Dalam Negeri, tetapi sepenuhnya adalah tindakan pihak polis. Soalnya beliau bercakap dengan khalayak mana? Jika saya ada dalam sidang media itu, nescaya sudah tentu saya akan tergelak guling-guling, mengapa? Mudah, arahan penahanan mengikut ISA memerlukan tandatangan Menteri Dalam Negeri, maka penahanan mengikut ISA adalah tindakan kerajaan.

Kebodohan kedua, jawapan Hamid Albar bila ditanya mengapa Ahmad Ismail, bekas Ketua Bahagian Umno Bukit Bendera yang mengeluarkan kenyataan menghasut mengatakan kaum China di Malaysia sebagai pendatang tidak ditahan di bawah ISA, sedangkan wartawan kanan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng yang melaporkan ucapannya itu di dalam akhbarnya pula yang ditahan, Hamid Albar menjawab dengan keras bahawa Umno telah mengambil tindakan terhadap Ahmad Ismail. Inilah masalah mentaliti Umno itu kerajaan, kerajaan itu Umno.

Sedarkah Hamid Albar yang beliau ketika itu di dalam sidang media atas kapasitinya sebagai Menteri Dalam Negeri, bukan pemimpin Umno! Dan soalan yang diajukan kepada beliau adalah tentang tindakan kerajaan terhadap Ahmad Ismail, bukan tindakan Umno! Seperti tindakan kerajaan terhadap Raja Petra, Teresa Kok dan Tan Hoon Cheng. Tidak timbul langsung soal laporan polis terhadap Ahmad Ismail, saya rasa ada beratus laporan polis terhadap pimpinan Umno, tolong kirakan pada saya berapa peratuskah yang sudah berjaya dibuat pendakwaan? Atau mengapa tidak sahaja Raja Petra, Teresa Kok dan Tan Hoon Cheng disiasat di bawah akta yang sama yang digunakan untuk Ahmad Ismail, asalkan bukan ISA, Ordinan Darurat atau yang seumpamanya.

Ada persamaan dan perbezaan di sini, Tan Hoon Cheng, wartawan kanan Sin Chew Daily melaporkan ucapan Ahmad Ismail yang berbau perkauman; yang samanya Khir Toyo melaporkan Teresa Kok terlibat dengan petisyen meminta diperlahankan laungan azan di sebuah masjid di Selangor. Perbezaannya Ahmad Ismail mengakui ucapannya itu, bahkan mempertahankannya, sedangkan Teresa Kok pula menafikan penglibatannya dan ini disahkan oleh ahli jawatankuasa masjid itu sendiri serta disokong oleh laporan polis balas terhadap Khir Toyo yang dibuat oleh Ahli Parlimen PAS bagi Kota Raja, Dr. Siti Mariah Mahmud.

Mari kita lihat status pelapor dahulu, iaitu Tan Hoon Cheng, wartawan kanan Sin Chew Daily dan Khir Toyo, bekas Menteri Besar Selangor. Kalau ikut logik Hamid Albar, pelapor ucapan atau perbuatan orang lain boleh mengganggu ketenteraman awam, seperti ditunjukkan melalui penahanan Tan Hoon Cheng di bawah ISA, maka Khir Toyo juga berada dalam darjah yang sama dengan wartawan kanan Sin Chew Daily tersebut.

Orang yang dilaporkan pula iaitu Ahmad Ismail (yang mengaku akan ucapannya) masih menjadi rakyat Malaysia yang bebas dan merdeka, sedangkan Teresa Kok (yang menafikan dakwaan terhadapnya, dengan disahkan oleh jawatankuasa masjid dan disokong oleh Ahli Parlimen PAS Kota Raja) pula sampai sekarang tidak ketahuan di mana duduknya, terpenjara di bawah ISA. Perbandingan inilah yang ingin ditanya wartawan kepada Hamid Albar, yang ingin diketahui oleh rakyat semua.

Sesungguhnya saya menulis ini dengan penegasan bahawa saya menentang penggunaan ISA tidak kira untuk mana-mana kumpulan atau mana-mana pemimpin politik. Saya menulis ini juga bukan kerana dengkikan pemimpin Umno yang tidak ditahan sama, tetapi sebagai hujah pembuktian bahawa inilah bahagian sumbing dan canggung setiap kali pimpinan Umno mahu bercakap soal public order.

15 September 2008

Kenyataan menteri yang memeningkan.

Wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana dituduh "boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam".Tetapi selepas membebaskan wartawan berkenaan hari ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar, berkata polis menahan wartawan itu kerana keselamatannya (Tan) terancam.

Kenyataan bolak balik dan memeningkan ini mengesahkan bahawa pada zaman pemerintahan Abdullah Ahmad Badawi memang terdapat banyak benda pelik berlaku di Malaysia. Macam kata pepatah Melayu "ikan keli sudah bersisik", malah "kucing telah betanduk".

Jika keselamatan Hoon Cheng didapati terancam, polis lalu menahan dia (di bawah ISA !). Aneh tapi nyata. Lazimnya seseorang yang berasa terancam atau diancam akan dilindungi dengan cara lain bukannya ditangkap dengan akta yang zalim itu. Seingat saya inilah kali yang pertama akta ini diguna untuk alasan seseorang itu terancam.
Sepatutnya pihak keselamatan dan menteri memastikan siapakah yang mengancam Hoon Cheng dan menangkapnya orangnya di bawah ISA.

Hamid Albar boleh menipu orang yang tidak cerdik, tetapi tidak semua orang yang boleh ditipunya. .Jika anda cuba menipu semua orang dan berkali-kali, anda bukan sahaja akan gagal, malah anda pula akan dilihat sebagai seorang tidak cerdik .

ISA: Zaid Ibrahim sanggup letak jawatan

Menteri di Jabatan Perdana, Datuk Zaid Ibrahim yang menjaga hal-ehwal perundangan, sanggup meletak jawatan jika kerajaan terus menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang disifatkannya sebagai 'tidak adil'.
Ahli politik BN yang lantang bersuara itu juga mendesak supaya ahli parlimen DAP, Teresa Kok dan blogger Raja Petra Kamaruddin yang ditahan di bawah ISA dibebaskan segera.
Wartawan Sin Chew Daily Tan Hoon Cheng turut ditahan di bawah ISA tetapi telah dibebaskan semalam.
"Kita mempunyai sebuah kerajaan yang komited kepada undang-undang dan pembaharuan, kita tidak boleh menggunakan politik gaya lama atau bertindak mewujudkan ketakutan.
"Kita ada undang-undang dan mereka boleh didakwa di mahkamah."Saya sedang berusaha untuk bertemu Perdana Menteri (Abdullah Ahmad Badawi) minggu ini untuk menyatakan pendirian saya itu kepada beliau.
"Jika (beliau menganggap) pendirian saya itu tidak dapat dipertahankan, saya akan letak jawatan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini dari Kota Baru hari ini.
Beliau telah mengadakan sidang akhbar di kediamannya di Kota Bharu hari ini di mana beliau becakap mengenai perkara yang sama.
Bernama memetik beliau Zaid sebagai berkata, penggunaan ISA hendaklah dikhususkan untuk pengganas, komunis dan pihak yang cuba menjatuhkan kerajaan secara paksa.
"Tujuan asal (ISA), digunakan terhadap pengganas bersenjata, orang yang hendak menggulingkan kerajaan secara paksaan...komunis. Jadi, kita perlu tetap dengan itu," katanya.
Zaid berkata negara mempunyai banyak undang-undang yang boleh digunapakai bagi menangani isu-isu seperti ketegangan kaum dan mengancam keselamatan negara."
Di dalam negara kita ada banyak undang-undang yang boleh digunakan oleh pihak polis untuk menahan mereka tanpa menggunakan ISA.
"Kita ada undang-undang Akta Hasutan dan Kanun Keseksaan yang boleh menjelaskan kepada rakyat kenapa mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang tanpa menggunakan ISA," katanya.
Zaid juga berkata banyak lagi pendekatan yang boleh digunakan untuk mengurangkan perbezaan kaum atau isu perkauman termasuk melalui sesi dialog dan perbincangan secara aman.
Mengenai pencalonannya untuk bertanding jawatan Ketua Umno Bahagian Kota Bharu, Zaid berkata beliau kesal dengan tindakan bahagian yang membatalkan mesyuarat peringkat cawangan yang mencalonkan dirinya.
"Tapi ianya sudah menjadi syarat jadi saya perlu patuh kepada keputusan bahagian. Saya tidak akan merayu. Sehingga kini saya sudah mendapat 20 pencalonan," katanya.
Jawatan ketua Umno bahagian itu dijangka menyaksikan perebutan antara pemangku ketua, Datuk Mohd Fatmi Salleh dengan Zaid yang merupakan ketua bahagian itu sebelum beliau digantung keanggotaannya selama 18 bulan bermula 1 Januari 2007.
malaysiakini.

ADUN Titi Serong Melawat Pasar Ramadhan Parit Buntar.

PARIT BUNTAR, 14 Sept:- Siri Lawatan ADUN Titi Serong diteruskan dengan lawatan ke Pasar Ramadhan Parit Buntar di Taman Wawasan. Pasar Ramadhan tersebut terletak tidak berapa jauh dari Pejabat Pusat Khidmat ADUN yang menjadi tumpuan masyarakat setempat pada setiap tahun.

Lawatan yang bermula pada jam 5.00 petang itu berakhir sekitar jam 6.30 petang dan beliau bergegas ke Pusat Tarbiyah PAS Titi Serong untuk hadir dalam program Iftar.

Namun begitu Drs. Khalil Cuma sempat untuk memberi ucapan sekitar 5 minit kerana beliau perlu hadir dalam majlis berbuka ditempat lain dalam DUN Titi Serong. Ucapan beliau menyentuh perkembangan politik semasa khususnya di Negeri Perak.

Antara isi ucapan beliau ialah kedatangan 31 Ogos tahun ini membawa lambang 31 orang ADUN Pakatan Rakyat yang menang di Perak dan berjaya menjadi kerajaan.

“31 Ogos juga kita sambut hari kemerdekaan dan pada petangnya kita melihat anak bulan Syawal dan diumumkan berpuasa pada keesokan harinya” katanya.

Katanya lagi “ 31 Ogos juga menyaksikan usaha dan dakyah BN untuk mengambil balik Kerajaan Perak gagal”.

















ADUN Titi Serong meninjau keadaan peniaga di Pekan Ahad.

TITI SERONG, 14 Sept :- Setelah melawat Pasar Minggu yang lebih dikenali dengan Pekan Ahad sekitar 3 bulan lepas, sekali ini ADUN Titi Serong, Khalil Idham Lim sekali lagi meluangkan masa untuk meninjau keadaan peniaga yang berniaga di situ. Beliau ditemani oleh isterinya .

Sekitar sejam lebih ADUN menggunakan masa untuk bertanya khabar dari peniaga.
Gambar beliau bersama isterinya dalam lawatan tersebut mengambarkan keakraban beliau dengan masyarakat warga Titi Serong yang dipaparkan dibawah. WebMaster.













14 September 2008

Nizar bersedia menerajui PRA Oktober

IPOH: Menteri Besar Perak Darul Ridzuan akhirnya menyahut cabaran untuk menerajui Persatuan Bola Sepak Perak (PFA) yang dilanda masalah kewangan, selepas enam bulan mengambil alih tampuk pemerintahan negeri ini, mulai pertengahan Oktober ini.

Dato Seri Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin secara terbuka mengatakan kesediaannya itu pada media hari ini (10 Ogos) selepas membuat kajian teliti daripada segenap aspek dan atas semangat kesukanan untuk membuktikan bahawa Pakatan Rakyat mampu menguruskannya dengan lebih cemerlang.

Beliau berkata, selama ini beliau bukan berdiam diri tetapi sebaliknya telah beberapa kali menonton perlawanan pasukan Perak di Stadium Perak untuk mendapatkan gambaran dan memahami apa kah peranan yang dapat dilaksanakannya.

“Kerajaan negeri telah menyalurkan bantuan awal sebanyak RM300,000 untuk menyelesaikan masalah gaji para pemain dan jurulatih pada bulan lepas, dan menjelang hari raya aidilfitri ini akan menyalurkan sebanyak RM250,000 lagi untuk menjelaskan sebulan gaji pemain yang tertunggak dan urusan perbelanjaan pemain dan pegawai ke perlawanan AFC di Lebanon akhir Sept ini,” katanya.

Perak akan menentang Lebanon pada perlawanan sukuakhir pusingan pertama Kejohanan AFC di Stadium Perak pada 16 Sept ini dan bertolak ke tempat lawan pada 20 Sept.

Sebelum ini, kerajaan negeri bukan sengaja membiarkan para pemain atau pasukan Perak terumbang ambing tetapi terpaksa menumpukan pada usaha memperkemaskan hal ehwal pentadbiran dahulu, kata beliau.

Nizar berkata, peralihan pimpinan akan dibuat oleh barisan kepimpinan PFA yang beberapa kali telah menawarkan jawatan itu kepadanya, pada kongres PFA pertengahan Oktober dan pada masa ini saya bersetuju mengambil alih setelah segala hal ehwal kewangan persatuan itu diauditkan nanti.

Dalam tempoh terdekat ini, saya mewakilkan pada seorang pegawai saya untuk berurusan dengan pegawai PFA dan para pemain bagi mempercepatkan proses pengambilalihan itu.

Beliau berkata, oleh kerana pemain telahpun tamat kontrak pada akhir Ogos atau Sept ini, maka sebelum pengambilalihan itu berlaku, langkah perlu dibuat untuk mengenalpasti pemain yang akan dikekalkan, di samping jurulatih yang akan mengemudikan pasukan.

“Jika menunggu pengambilalihan rasmi, maka pemain ini akan berada dalam dilema dan waktu akan menjadi begitu kritikal untuk pemain membuat keputusan, yang akhirnya memungkinkan usaha membentuk sebuah pasukan kuat menjadi kabur.

Majlis Berbuka ADUN Pakatan Rakyat di Kediaman MB Perak

IPOH, 12 Sep:- Lebih dari separuh ADUN Pakatan Rakyat Negeri Perak yang terdiri dari parti PAS, DAP dan PKR telah hadir dalam Majlis Berbuka anjuran Kelab Penokong Kerajaan di Kediaman Menteri Besar Perak di sini .


Selain itu hadir sama pemimpin parti berkenaan bagi meramaikan majlis.


Walaupun majlis tersebut berkebetulan dengan Pesta Tanglung bagi masyarakat Cina namun ramai juga dikalangan ADUN berbangsa Cina yang hadir dalam Majlis tersebut.

Menteri Besar sebagai tuan rumah mengambil peluang setelah solat Maghrib untuk bertanya khabar dengan ADUN yang hadir.

Majlis seumpama ini merupakan pertama kali diadakan setelah kemenangan Pakatan Rakyat dan memerintah Negeri Perak Darul Ridzuan.

ADUN Titi Serong melawat mangsa ribut.

TITI SERONG, 11 Sept:- Satu kejadian ribut yang berlaku pada malam 11 September telah mengakibatkan beberapa rumah telah mengalami kerosakan di sini. AUN Titi Serong, Khalil Idham Lim telah meluangkan masa untuk meninjau permasalah rakyat itu serta menyampaikan sumbangan segera kepada semua mangsa.Lawatan tersebut diatur oleh ketua kampung Tanah Baru, Hj. Rahman dan Ketua kampung Bagan Tiang, Hj. Bakhtiar.
Salah seorang magsa yang terlibat, Burhanuddin Aini mengatakan kejadian tersebut berlaku sekitar jam 1.30 pagi dalam keadaan keluarga mereka tidur nyenyak. Kejadian itu katanya bermula dengan tiupan angin yang sederhana kelajuannya dan tiba-tiba terasa bumbung rumahnya telah diangkat angin.

ADUN Titi Serong juga berjanji untuk mengusahakan bantuan segera bagi membaiki rumah yang terkena musibah itu apa lagi dalam keadaan hari raya semakin hampir.