03 Januari 2009

Wahid penuhi ciri kemenangan PAS


PAS memilih Mohd Abdul Wahid Endut untuk bertanding kerusi parlimen Kuala Terengganu kerana beliau mempunyai faktor-faktor kemenangan di kerusi itu.

Setiausaha PAS negeri Yahaya Ali berkata, antaranya ahli dan penyokong PAS mahukan beliau bertanding di kerusi tersebut.

"Beliau sudah lima penggal menang di Wakaf Mempelam dan ini menunjukkan orang ramai mahukan beliau.

"Kita percaya beliau mempunyai pengaruh yang kuat di Kuala Terengganu kerana beliau juga yang dipertua PAS kawasan Kuala Terengganu," katanya ketika diminta mengulas pemilihan mengejut Abdul Wahid sebagai calon PAS dalam pilihanraya kecil itu yang bermula Selasa depan.


Pemilihannya diumumkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Stadium Negeri di Kuala Terengganu malam tadi.

Yahaya yang juga timbalan pengarah pilihanraya PAS bagi pilihanraya kecil tersebut berkata, pemilihan Abdul Wahid tidak akan memecahkan undi para penyokong PAS.

Diminta mengulas alasan Abdul Wahid dicalonkan oleh parti itu sedangkan namanya bukan pilihan utama, Yahaya berkata, pilihan atau tidak itu "hanya senarai yang dibuat orang ramai".

Katanya, orang ramai bebas membuat pilihan mereka tetapi akhirnya pucuk pimpinan yang menentukan setelah mengambil kira pelbagai faktor.

"Pemimpin lebih tahu hendak membuat pilihan, jadi tidak perlu lagi bercakap mengenai pemilihan Abdul Wahid sebagai calon.

"(Dan) insya Allah beliau akan menang," katanya.

Abdul Wahid akan berdepan dengan ketua Umno bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh bagi merebut kerusi tersebut pada hari pengundian 17 Januari ini.

Pilihanraya kecil tersebut diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Razali Ismail, akhir November lalu. http://www.malaysiakini.com/.

Pejuang bahasa Melayu demo ala Bersih

Pejuang-pejuang bahasa Melayu, yang membantah pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, bercadang menganjurkan perhimpunan besar seperti Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil (Bersih) pada 2007.

Demonstrasi besar itu, yang digelar "Himpunan 100 Ribu Selamatkan Bahasa Melayu", bagi menyerahkan memorandum kepada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong di Istana Negara.

Keputusan mengadakannya dicapai dalam mesyuarat sekumpulan NGO Melayu dan parti pembangkang di Kuala Lumpur akhir bulan lalu, kata ketua pengarah jawatankuasa pelaksana kempen tersebut Hasni Abas dalam satu kenyataan hari ini.


Dihubungi Malaysiakini, beliau berkata memorandum kepada Tuanku Mizan Zainal Abidin, antaranya, memohon campur tangan baginda sebagai ketua negara bagi mengembalikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dua subjek itu.

"Orang mungkin lupa, (dan) menganggap kerajaan (BN) dan Umno sebagai ketua negara. Sebenarnya Yang Dipertuan Agong lah ketua negara," katanya.

Hasni berkata, 100,000 rakyat dan pejuang bahasa dijadual berarak dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ke istana, kira-kira satu kilometer.

"Kita harap (perhimpunan ini) dapat menjadi lontaran pertama (kepada kerajaan)," tambah Hasni, juga pengerusi kesatuan sekerja DBP.

Menurutnya lagi, perhimpunan itu dijangka diadakan Mac depan atau selewat-lewatnya Mei.

Jika tiada masalah, katanya, perhimpunan itu akan dibuat sebelum satu lagi perhimpunan gergasi bagi membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dijadual Mac.

"Orang Melayu ini semangat mereka (berkobar-kobar) enam bulan sahaja. Kalau lama-lama sangat, takut lupa," katanya, berseloroh.

Selain Kesatuan Pekerja-pekerja DBP, NGO dan parti politik yang terlibat termasuklah Dewan Pemuda PAS, Persatuan Linguistik Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (Gamis).

Gabungan itu, yang turut menghimpunkan tokoh-tokoh pencinta bahasa kebangsaan, menggelarkan kumpulan mereka Sekretariat Selamatkan Bahasa Melayu.

Hasni berkata, bekas ketua pengarah DBP Datuk Dr Hassan Ahmad bakal menerajui badan induk sekretariat itu.

Urusetia itu juga, tambahnya, menganjurkan perjumpaan lanjutan dengan semua NGO dan parti politik, termasuk BN, yang memperjuangkan penggunaan bahasa ibunda sebagai pengantar pengajaran Sains dan Matematik pada hujung bulan ini.

Bersih - gabungan 71 NGO dan parti pembangkang utama - berjaya menghimpunkan kira-kira 40,000 penyokong mereka berarak ke Istana Negara (foto kanan) pada 10 November dua tahun lalu bagi mengemukakan empat tuntutan, antaranya menghapuskan undi pos dan memperkenalkan dasar dakwat tidak mudah padam di jari pengundi. http://www.malaysiakini.com.

Demonstrasi aman bantah Israel di Mesjid Negeri Ipoh

IPOH, 2 Jan,:- Satu Demonstrasi aman membantah tindakan zionis Yahudi menyerang dan membunuh umat Islam yang tidak berdosa di Gaza Palestin telah diadakan di perkarangan Masjid Negeri Ipoh hari ini.

Demonstrasi itu dihadiri sekitar 500 jemaah yang menunggu selepas habisnya solat Jumaat di masjid yang sama.

Antara yang memberikan ucapan dalam majlis itu ialah Ketua Dewan pemuda PAS Perak, Ust. Norazli Musa, Wakil NGO Jamaie, Sdr. Khalilul Rahman, dan wakil dari Dewan Muslimat PAS, Ust. Norbaayah.

Laungan supaya dihancurkan Yahudi bergema berselang seli dengan ucapan yang diberikan.
Sebagai tanda simpati satu kutipan derma telah diadakan bagi disalurkan kepada rakyat Palestin yang memerlukan.

Sebelum itu Imam Jumaat yang membaca khutbah Jumaat khusus mengenai rakyat Palestin yang tertindas itu menyeru semua jemaah supaya mengambil langkah yang sewajarnya bagi menunjukkan bantahan kepada serangan itu. katanya antara langkah yang dapat diambil ialah dengan mengadakan sembahyang sunat hajat, memboikot barangan dan unsur-unsur yang berhubung dengan Yahudi dan Amerika serta mengadakan demonstrasi aman.

Sesudah sembahyang Jumaat hampir semua jemaah yang memenuhi masjid mengadakan solat hajat bagi memohon dari Allah supaya diselamatkan rakyat Palestin yang tidak berdosa.

Calon PAS di Kuala Terengganu, PAS akan dituduh ketandusan calon.

BN sudah tentu akan menuduh PAS ketandusan calon apabila membuat keputusan memilih ADUN Wakaf Mempelam, YB Mohd Abdul Wahid Endut untuk mewakilinya pada Pilihan raya Kecil Kuala Terengganu seperti yang diumumkan oleh Presiden PAS malam tadi.

Saya yakin mulai hari ini para wartawan dan media lain akan mengumpulkan temu ramah dan berita yang akan memberi alasan dan hujah bagi menguatkan tohmahan tidak berasas tersebut.

Tidak menjadi suatu kesalahan dan suatu amalan yang baru dalam piliharaya dinegara kita termasuklah di Terengganu bila PAS memilih Wahid kerana undang-undang tidak menghalang untuk ADUN bertanding di kerusi parlimen.

Adakah BN takut sejarah yang dibuat oleh TG. Hj. Abdul Hadi Awang di Marang dan Hj.Mustafa Ali yang mampu menang di Parlimen dan DUN suatu masa dulu.

BN juga melakukan perkara yang sama apabila mencalonkan YB Arif Shah, ADUN Seberang Jaya bagi menentang Anwar Ibrahim pada Pilihan raya Kecil Permatang Pauh yang menyaksikan calon BN tersebut kalah teruk.

YB Wahid merupakan seorang ahli Politik yang sangat berpengalaman dan dikenali ramai bukan sahaja di Terengganu malah di peringkat nasional. Beliau pernah menjadi pimpinan Dewan Pemuda PAS Pusat selain telah beberapa penggal menjadi ADUN Wakaf Mempelam.

Beliau berasal dari keluarga yang terkenal di Kuala Terengganu. Keluarganya merupakan ahli perniagaan yang berjaya dan mempunyai wisma sendiri. Wahid sebenarnya sangat digeruni di DUN Terengganu kerana berani berhujah dengan fakta dan isi yang bernas.

Tidak syak lagi pemilihan beliau merupakan suatu pilihan yang tepat. BN sudah tentu semakin gundah gulana dengan pemilihan beliau ini. Sumber asal: mutaligat.blogspot.com.

PROFAIL CALON PAS KUALA TERENGGANU

HAJI ABDUL WAHID BIN ENDUT

UMUR : 51 TAHUN

PENGALAMAN KERJA
1. ADUN WAKAF MEMPELAM
2. PEGAWAI PUSAT PENGEMBANGAN DAN PENDIDIKAN LANJUTAN DI UPM

PENDIDIKAN TERTINGGI
1. DIPLOMA PERIKANAN DAN SAINS SAMUDERA (UPM)

JAWATAN DALAM PARTI
1. BENDAHARI PAS NEGERI TERENGGANU
2. YDP PAS KUALA TERENGGANU

NAMA ISTERI : HAJJAH WAN FATIMAH WAN ABDULLAH
PEKERJAAN : GURU
BILANGAN ANAK : 9 ORANG

02 Januari 2009

Wahid Endut calon Pas K. Terengganu

KUALA TERENGGANU, 1 Jan 2009 : - Ahli Dewan Undangan Negeri Wakaf Mempelam Abdul Wahid Endut diumumkan sebagai calon PAS dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu pada 17 Januari nanti.

Pengumuman itu dibuat oleh Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebentar tadi di Stadium Negeri yang dihadiri lebih 10,000 penyokong.

Turut hadir sama dalam majlis penting itu Timbalan Presiden PAS Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Naib Presiden PAS Mohammad Sabu, Setiausaha Agung PAS Dato' Kamaruddin Jaffar, Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub dan beberapa pimpinan PAS Pusat yang lain.


Manakala di peringkat negeri dihadiri oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Dato' Mustafa Ali, Timbalan Pengarah Pilihan Raya Dato' Wan Mutalib Embong, Adun Batu Buruk Dr Syed Azman Syed Nawawi dan saf kepimpinan negeri.

Abdul Wahid, 52 tahun adalah ADUN sejak lima penggal, lulusan Universiti Pertanian Malaysia (UPM) dalam bidang perikanan dan sains marin. Beliau memiliki rekod yang cemerlang sebagai Adun atau Exco selama sepenggal dan sebagai Adun pembangkang.

Wahid dianggap sebagai anak didik Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Mustafa Ali kerana kerusi Wakaf Mempelam yang beliau wakili kini adalah kerusi yang dimenangi oleh Mustafa ketika PAS melakukan 'comeback' di Terengganu pada tahun 1982.

Parlimen Kuala Terengganu mempunyai 4 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mana 3 daripadanya dimenangi oleh PAS manakala 1 DUN dimenangni BN (MCA)

DUN-DUN yang dimenangi oleh PAS ialah Wakaf Mempelam (Abdul Wahid Endut), Ladang (Tengku Hassan Tnegku Omar), dan Batu Buruk (Dr. Syed Azman Ahmad Nawawi)

Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi Parlimen P036 berikutan kematian mengejut penyandangnya, Dato Razali Ismail yang juga Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia pada 27 Oktober lalu.

Pada PRU ke-12, 8 Mac 2008 lalu Dato' Razali calon BN menang tipis dengan majoriti 628 undi menewaskan calon PAS, Mohamad Sabu dan calon Bebas, Maimun Yusuf hanya mendapat 685 undi. Jumlah pengundi berdaftar di Parlimen Kuala Terengganu ialah 80,229 orang termasuk 1,035 pengundi pos. http://www.harakahdaily.net/

Drs. Khalil : 2008 tahun bersejarah bagi Pakatan Rakyat.

KAMPAR, 31 Dis,:- Tahun 2008 merupakan tahun bersejarah bagi rakyat di negeri Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor apabila tsunami politik menyaksikan negeri tersebut jatuh kepada Kerajaan pakatan Rakyat, Demikian antara ucapan ADUN Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim dalam Majlis Ceramah sempena Tahun baru di sini.

Ceramah anjuran PAS Kawasan Kampar itu menyaksikan kehadiran penduduk setempat yang memberangsangkan walaupun dalam keadaan hujan lebat. Semua kerusi yang diletakkan dalam khemah yang disediakan dipenuhi pengunjung.

Kehadiran ini menurut Pegawai Khas kepada YAB Menteri Besar Perak yang juga Ketua Penerangan PAS Kawasan, Sdr.Amran Harun mungkin disebabkan jamuan istemewa yang disediakan selepas ceramah iaitu 11,000 cucuk satey ayam dan nasi lemak.

Drs. Khalil sebagai penceramah tunggal dalam majlis itu meneruskan ceramahnya dengan tayangan LCD.

Beliau mempersoalkan kenapa rakyat Malaysia hanya menunggu jam 12.00 malam untuk menyambut tahun baru .apalagi diadakan dalam keadaan yang melanggar batas hukum Islam dan moral.

Drs. Khalil menyampaikan hadiah pertandingan badminton.


Kenapakah tidak boleh diubah seperti kita menyambut tahun Hijrah iaitu sesudah maghrib sudah dianggap boleh menyambut tahun baru. "Apalah lebih sangat menunggu detik 12 malam" soal Drs. Khalil kepada yang hadir.

Pada kesempatan itu beliau menjelaskan isu-isu semasa dengan paparan gambar yang menarik.
Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah oleh ADUN Titi Serong kepada pemenang pertandingan badminton sempena majlis ceramah tersebut.

Pakatan Rakyat teruskan pembangunan jasmani dan rohani di Perak

PARIT BUNTAR, 1 Jan :- Kerajaan Negeri Perak pakatan rakyat memberi jaminan akan meneruskan agenda pembangunan jasmani dan rohani yang dilakukan oleh kerajaan yang lepas termasuklah dalam bidang pendidikan. Demikian antara ucapan ADUN Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim dalam Majlis Anugerah Cemerlang UPSR Peringkat Parlimen Parit Buntar di sini pagi tadi.

Dr. Mujahid menyampaikan hadiah kepada pelajar SRJK Cina.

Program dengan kerjasama Yayasan Perak itu melibatkan 150 orang pelajar cemerlang yang memperolehi 5A dalam peperiksaan UPSR tahun 2008 yang lepas. Mereka adalah terdiri dari murid-murid tahun 6 yang akan melangkah ke Tingkatan 1 pada tahun ini di DUN Titi Serong dan DUN Kuala Kurau. Mereka terdiri dari pelajar Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) cina dan India.


Pelajar Cemerlang UPSR bergambar bersama Ahli Parlimen dan ADUN.


Sumbangan yang diserahkan kepada setiap pelajar ialah berupa sebuah kamus, satu set alat tulis dan sijil penghargaan.

Program tersebut telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr. Mujahid Yusuf. Hadir sama dalam majlis tersebut ialah ADUN Kuala Kurau,Abdul Yunus Jamhari,Ahli Majlis Daerah Kerian,Hj. Harun Hashim, En Khor, dan En Rajeswaren. Semua pelajar diiringi oleh ibu bapa masing-masing dengan jumlah kehadiran melebihi 500 orang yang memenuhi Dewan Merdeka tempat program berlangsung.

Semasa menyampaikan ucapan Dr. Mujahid menegaskan bahawa kita tidak mahu melihat rakyat khususnya di Parlimen Parit Buntar di kongkong dengan mentaliti subsidi. Beliau juga menyatakan dasar kerajaan Pakatan Rakyat adalah tidak mengira agama atau bangsa, jelasnya ini dibuktikan pada hari ini kita beri sumbangan kepada pelajar dari kaum melayu, Cina dan India.

Drs. Khalil juga menegaskan program ini adalah untuk kali kedua dalam masa terdekat dan akan diteruskan dengan satu program ketiga iaitu penyampaian bantuan pakaian sekolah kepada sejumlah 60 orang pelajar yang layak dan dipilih oleh ketua-ketua kampung dalam Parlimen Parit Buntar.

Ibu bapa memenuhi dewan.


Tegasnya program ini membuktikan tohmahan bahawa apabila kita memerintah kita tidak mampu meneruskan agenda kerajaan lepas. Sekaligus kata beliau membukti keprihatinan kerajaan Negeri perak melalui yayasan perak dalam memajukan bidang pendidikan.

"Sumbangan pada hari ini adalah tanda ke bersamaan kami dengan usaha gigih pelajar, ibubapa dan guru sehingga kejayaan diperolehi" Ucap Drs. Khalil.

Mengulas mengenai gambar Menteri Besar dan Halangan untuk masuk ke sekolah, Drs. Khalil berharap ianya tidak memakan tempoh yang agak lama.

Perak beri dermasiswa RM 3.3 juta untuk 550 pelajar miskin

IPOH , 1 Jan : - Kerajaan Pakatan Rakyat Perak telah menyumbangkan sejumlah lebih RM3juta kepada pelajar-pelajarnya dari keluarga yang miskin yang melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Pemberian ini sekaligus menyangkal sekerasnya tuduhan pembangkang Umno-BN yang menidakkan usaha kerajaan negeri memberikan bantuan dermasiswa dengan dana yang tinggi untuk anak-anak Perak melanjutkan pengajian di universiti-universiti Islam luar negara.

Demikian ditegaskan oleh Exco Agama, Pendidikan Islam, Wanita dan Kebajikan, Mohd. Zainuddin Mohd. Yusof berhubung tuduhan tidak berasas itu.

Katanya walaupun Pakatan Rakyat baru berusia tidak sampai setahun 'jagung' tetapi tidak sekali mengabaikan tanggongjawab terhadap pelajar-pelajar dari keluarga miskin untuk menyambungkan pelajaran mereka di Universiti-universiti Islam luar negara dengan bantuan dermasiswa mengikut kadar dana mencukupi.

"Kini Kerajaan Perak dalam usaha murni itu telah menghantar seramai 550 pelajar ke beberapa Universiti Islam luar negara dengan dermasiswa sebanyak RM3,325,000.00 demi meringankan beban tanggungan keluarga mereka,? katanya kepada Harakahdaily.

Zainuddin menjelaskan pecahan pelajar dan jurusan yang terdiri daripada 25 orang pelajar dalam fakulti Sarjana (Masters), 360 pelajar dalam Sarjana Muda (Mesir), 50 pelajar Sarjana Muda (Indonesia), 50 orang (Jordan), 25 orang dalam Sarjana Muda di negara-negara lain dan 40 menduduki Sarjana Muda Perubatan.

Manakala sumber dana kewanganya, tegas beliau, adalah dari Majlis Agama Islam Negeri Perak melalui bahagian Zakat yang dikutip pada sepanjang tahun dari Umat Islam negeri ini dimana hasilnya amat memberangsangkan bagi digunakan semula dalam pembangunan kehidupan ummah.

Zainuddin menyeru masyarakat Islam yang mampu menyumbang dana dan zakat disamping mendapat pahala yang besar disisi Allah SWT termasuk dapat meningkatkan ekonomi rakyat. http://www.harakahdaily.net/

01 Januari 2009

ADUN Titi Serong dilantik Timbalan Exco Agama

IPOH, 30 Dis :- Pengerusi Kelab penyokong Kerajaan yang juga ADUN Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim telah dilantik sebagai Timbalan Pengerusi,Jawatankuasa Agama, Pendidikan Islam, Wanita dan Kebajikan, demikian satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Pengerusi, Jawatankuasa Agama, Pendidikan Islam,Wanita dan Kebajikan,Y.B. Tuan Haji Mohd. Zainudin bin Mohd.Yusof disni hari ini.

Satu surat perlantikan rasmi akan dikeluarkan dalam kadar segera oleh pejabat Exco agama.

YB. Mohd Zainuddin ketika dihubungi menyatakan perlantikan itu adalah dengan tujuan melicinkan lagi pentadbiran Kerajaan negeri khususnya dalam portfolio yang diwakilinya.

Beliau juga mengatakan antara perkara yang dirancang bersama timbalan barunya ialah mengadakan lawatan rasmi kesemua daerah di negeri Perak, diharapkan lawatan itu dapat diatur secepat mungkin dengan kerjasama dari Pegawai Tadbir Agama (PTA) Daerah dan agensi yang berkaitan dengan Jawatankuasa yang beliau wakili.

31 Disember 2008

Isu Pemilihan Ketua Kampung Baru diputar belit media.

Saya kesal dengan sikap media yang tidak habis-habis memutar belit berita Kerajaan Negeri Perak dengan pemberitaan yang berat sebelah serta mengambarkan apa yang dilakukan semuanya salah dan tidak betul. Terkini dalam isu pemilihan Ketua Kampung Baru Gunung Rapat di DUN Simpang Pulai yang hangat diperkatakan media arus perdana sekarang.
Sebenarnya tidak ada percangahan antara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Pulai, Chan Ming Kai dan Ahli Parlimen Gopeng, Dr. Lee Boon Chye dengan dasar Kerajaan Negeri seperti yang digambarkan oleh Utusan .

Yang berlaku cuma kesilapan maklumat dan salah faham yang sedang dan akan diselesaikan segera oleh kedua-dua belah pihak.Pemilihan ketua kampung tradisional yang kebanyakannya didiami oleh orang Melayu telah selesai dilakukan di semua kampung di Negeri Perak dengan cara pemilihan. Namun begitu pemilihan ketua kampung baru tertangguh beberapa ketika dan akan diselesaikan pada tahun 2009.

Sedangkan apa yang berlaku di Kampung Baru Gunung Rapat adalah kes yang terpencil yang cuba diperbesarkan malah digunakan oleh media yang tidak bertanggungjawab bagi melagakan YAB Menteri besar dengan dua orang wakil rakyat tersebut.Sebetulnya apa yang dilakukan adalah tidak bercanggah kerana mereka mengambil kira keputusan asal cara memilih ketua kampung tradisional sebelum pengumuman baru yang dikeluarkan oleh Menteri Besar seperti disiarkan malaysiakini.

Disebabkan proses yang diumumkan lebih awal dengan cara pengundian bagi memilih ketua kampung itu , adalah satu kewajaran ianya diteruskan bagi menentukan calon dan seterusnya calon yang terpilih akan disahkan oleh Kerajaan Negeri seperti yang dinyatakan oleh YAB Menteri Besar siapakah yang paling layak.

Saya yakin ini adalah masalah kecil yang sengaja diperbesarkan bagi menutup masalah yang lebih besar. Pihak yang memutar belit berita ini difahamkan tidak menemui semua pihak untuk memberitakan keadaan yang sebenar. Pemberitaan yang dilihat sangat berat sebelah itu adalah andaian dan rekaan orang yang tidak bertanggungjawab semata-mata.

Perkataan MB Perak "terkilan" adalah perkataan yang tidak pun diucap oleh YAB Menteri Besar.Nasihat saya kepada semua ADUN Pakatan Rakyat dalam BBC supaya sentiasa berhati-hati dalam melaksanakan tugas kerana ada saja "pihak" yang ingin mencuri peluang bagi memutar belit setiap tindakan yang dilakukan kerana mereka mempunyai "agenda tersembunyi" yang semua sudah maklum.

Berita awal yag disiarkan mengenai ketua kampung bari itu sila lihat disini http://www.malaysiakini.com/news/95486. dan di http://www.utusan.com.my/utusan/info.aspy=2008&dt=1230&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_05.htm

Drs. Khalil : Sidang Parlimen dan DUN Perak perlu dihargai oleh rakyat bukan hanya KBSM

BAGAN SERAI, 25 Dis :- Rakyat hendaklah memahami tugas yang dilaksanakan oleh Wakil Rakyat di dalam Sidang Parlimen DUN, bukan hanya mengharapkan kunjungan wakil rakyat dalam KBSM (Khawin, Beranak, Sakit dan Mati) sahaja, demikian antara ucapan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Perak, Drs. Khalil Idham Lim semasa menyampaikan ceramah di Markaz PAS Bagan Serai di sini.


Beliau menyampaikan ceramah dengan mengunakan LCD dengan memaparkan gambar-gambar menarik yang menarik minat penonton yang memenuhi dewan.

ADUN Gunung Semanggol(berbaju kuning) duduk bersama hadirin untuk meyaksikan tayangan LCD


Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Penyelia DUN Kubu Gajah,Nazri Din dan YDP Pas kawasan yang juga ADUN Gunung Semanggol, Hj. Ramli Tusin.

Semasa menyampiakan ceramahnya, Nazri Din menjelaskan terdapat wakil rakyat di Perak pada masa pemerintahan kerajaan dulu yang meluluskan pemberian tanah kepada ibu kandung sendiri. Ini membuktikan salah guna kuasa yang ada dikalangan mereka.

Kerajaan sentiasa akan menyokong kegiatan yang sihat untuk remaja.

PARIT BUNTAR, 25 Dis :-Perak berhasrat untuk melahirkan pemain yang baik di peringkat negeri Perak dan Daerah Kerian oleh itu semua akitiviti sukan yang sihat untuk remaja yang dianjurkan oleh semua pihak akan dibantu sebaik mungkin. Demikian antara ucapan ADUN Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim semasa merasmikan Jamuan Makan Malam Kelab Bolasepak Kampung Kedah di sini.

"Sebagai menghargainya saya luluskan geran NGO tahun 2009 sebanyak RM 3000, jersi tambahan kepada kelab, dan keperluan bolasepak untuk tahun yang sama" . Umum Drs. Khalil sambil menerima tepukan gemuruh .

Beliau juga berharap semangat dalam permain bolasepak dan setia kawan tidak mengira bangsa dan agama akan ujud dalam kelab ini. Seterusnya diamalkan dalam masyarakat berbilang kaum di negara kita.

"Manusia perlukan kepada jiran dan bantuan orang lain, mustahil manusia sekaya mana pun dia akan melakukan semua kerja nya sendiri tanpa bantuan orang lain . Sistem kehidupan ini dibawa dalam permainan bolasepak. Kalau tidak ada yang serahkan bola kekaki kita mana mungkin gol dihasilkan". Nasihat Drs. Khalil kepada pemain.

Tegasnya ,semangat ini juga dibawa ke dalam sebuah keluarga yang bahagia, walaupun tangisan, rengetan anak-anak pasti akan menceriakan sesebuah keluarga.

Penyampaian cenderamata kepada pemain.


Diakhir ucapan beliau mengucapkan penghargaan atas jasa dan semangat kental dari pengurus , pemain dan kerjasama dari ibubapa sehingga segala akitiviti dari kelab berjalan lancar pada tahun 2008.

Sebelum itu pengurus pasukan berkenaan, En. Azhar Osman semasa memberikan ucapan aluan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberi sumbangan dan sokongan sehingga mengumpul dana lebih dari 10 ribu ringgit pada tahun 2008. Selain itu beliau juga mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa yang hadir sama dalam program itu.

Ketibaan ADUN disambut oleh pemain.


30 Disember 2008

Tumpu pembangunan, bebas daripada kemelut ekonomi

IPOH: Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah bertitah supaya gerak kerja pembangunan dan membebaskan negara daripada kemelut ekonomi yang sedang melanda dunia menjadi tumpuan bagi tahun baru Islam 1430 Hijrah.

Baginda menyeru supaya tahun ini juga dijadikan tahun di mana pemimpin kurang berpolemik, kurang berpolitik, kurang bercanggah dan bertelagah kerana ada kalanya kegiatan politik yang keterlaluan bukan sahaja tidak produktif tetapi bersifat 'counter' produktif.

“Dalam menghadapi suasana begini, pemimpin wajib meletakkan keutamaan rakyat, mencari kata sepakat, pendekatan selari untuk menangani masalah dan cabaran yang memerlukan penyatuan pendekatan dan persefahaman pelaksanaan,” titah baginda ketika merasmikan Perhimpunan Sambutan Maal Hijrah 1430 Negeri Perak di sini hari ini.

Turut berangkat ialah Raja Puan Besar Perak Tuanku Zara serta Raja Dihilir Raja Jaafar Raja Muda Musa, Puan Muda Perak Raja Normahani Raja Shahar Shah dengan diiringi Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan isteri Datin Seri Fatimah Taat.

Tahun ini juga perlu dijadikan tahun mencerminkan negara memiliki kekuatan untuk bertindak tegas memerangi rasuah, membuktikan keberanian negara melaksanakan keadilan iaitu menjatuhkan hukuman kepada mereka yang menodai amanah, kepercayaan dan tanggungjawab, titah baginda.

“Tahun 1430 Hijrah juga hendaklah tahun bagi setiap rakyat membuktikan kejujuran dan keikhlasan dan selaras dengan ajaran Islam, bersedia melakukan sifat bermuhasabah, memperlihatkan semangat kebertanggungjawaban sendiri yang tinggi dengan secara rela mengundurkan diri dari memegang amanah iaitu secara rela meletakkan jawatan apabila nama baik telah tercalar atau tercemar,” titah baginda.

Raja Nazrin Shah turut bertitah ekonomi pada 1430 juga diramalkan mengalami pertumbuhan yang paling lemah dalam tempoh 25 tahun di mana aktiviti pengurangan kredit yang sedang dilaksanakan akan mengakibatkan persekitaran ekonomi global muram sekaligus memberi tekanan kepada perbelanjaan pengguna dan korporat.

“Bahawa negara kita tidak terlepas daripada menghadapi kesan negatif dari suasana ekonomi yang muram ini. Berapakah peluang baru pekerjaan yang dapat diwujudkan? Dan bagaimana nasib graduan yang akan meninggalkan kampus universiti dan anak-anak yang akan tamat pengajian di sekolah?

“Bagaimana pula dengan nasib mereka yang mungkin terpaksa menelan pahit menghadapi realiti terpaksa diberhentikan kerja. Bagaimana perit yang perlu ditanggung di kalangan mereka yang berada dalam kemiskinan,” titah baginda.berita harian.

Tunku Mukhriz dilantik Yang di-Pertuan Besar ke-11

KUALA PILAH: Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Mukhriz Tuanku Munawir dilantik sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 dengan Istiadat Pemasyhuran baginda diadakan di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti, jam 3.46 petang ini.

Pemilihan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baru itu diadakan berikutan kemangkatan Tuanku Ja'afar Tuanku Abdul Rahman kerana angin ahmar, pagi kelmarin.

Pemilihan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baru diputuskan oleh Datuk Undang Yang Empat, iaitu Datuk Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Undang Luak Johol, Datuk Undang Luak Jelebu dan Datuk Undang Luak Rembau mengikut Perlembagaan Negeri.

Pelantikan pengganti Almarhum Tuanku Ja'afar membabitkan di kalangan Putera Yang Empat iaitu terdiri daripada Tunku Mukhriz; Tunku Laxamana Tunku Naquiyuddin Tuanku Ja'afar; Tunku Muda Serting, Tunku Imran Tuanku Ja'afar dan Tunku Panglima Besar, Tunku Nazaruddin Tuanku Ja'afar.