13 September 2010

MB rai 2000 anak Kelantan Perantauan

4 Syawal 1431H.

KOTA BHARU,12 Sept: Kerajaan Kelantan sentiasa menghargai sokongan anak Kelantan di Perantauan terhadap pemerintahan PAS negeri itu yang kini memasuki tahun ke dua puluh, kata Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menurutnya, beliau terharu dengan sokongan padu anak Kelantan yang menggambarkan rakyat negeri ini tidak mudah ditipu oleh musuh politik yang sering membawa berita palsu terhadap pentadbiran negeri ini.

“Saya amat bangga kerana setiap kali pilihanraya umum diadakan, anak Kelantan di luar akan pulang untuk membantu PAS dan dapat memberi kemenangan besar dan Alhamdulillah sehingga kini sudah memasuki tahun ke20” ujar beliau juga.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meraikan anak Kelantan di Perantauan anjuran Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri dengan kerjasama Persatuan Anak Kelantan di Perantauan( PERAKAN) malam tadi.

Sebelum itu, ketika menyampaikan amanat kepada orang ramai yang hadir memenuhi Dewan Konvesyen Kelantan Trade Centre (KTC), beliau berkata perjuangan yang dibawa oleh kepimpinan ulama di Kelantan sudah melakukan banyak perubahan.

“Sudah banyak perubahan kita laksanakan dan setiap yang kita lakukan adalah untuk kepentingan rakyat negeri ini dan ia sentiasa berasaskan Islam serta amalan berbaik baik dengan bukan Islam adalah satu cara kita tadbir negeri ini,” katanya lagi.

Program tahunan tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi, Dr.Muhammad Fadzli Hassan, Exco negeri,Wakil-wakil Rakyat serta Presiden Perakan Mohamad Radzi Yusof.

Malam tersebut juga turut menyaksikan lelongan gambar " Wajah-wajah Tuan Guru" dan mendapat pembida tertinggi dengan nilaian RM1500 yang dibeli oleh anak Kelantan yang bertugas di Perak.

Harakahdaily/-

Cerita Anjing Pintar dan Orang Buta Islam di Singapura

4 Syawal 1431H.
MatSinga

Berikut adalah satu cerita dari Singapura yang saya petik dari Berita HarianSingapura. Bukannya apa, isu ni agaknya boleh buka mata pihak yang mudah melatah di Malaysia? Sambil tu nak tukar sikit suasana seram sejuk di Malaysia terkini.Teringin juga nak dengar sajak dan syair dari pakar-pakar Islam dari kedua-dua pihak (BN & PR). Saja nak jolok sikit lagi, dalam Islam, anjing dan babi tu sama ke tidak? Kalau sama, sikit punya haru jika ada orang buta Islam yang diheret oleh 'babi yang telah dipintarkan' gi jalan-jalan masuk pasaraya. Kalau orang buta Islam tu nak gi solat camne heh? Babi atau anjing pintar tu nak parking kat mana heh? Hai dunia dah tua betui lah ni!!! Mari kita bersama semarakkan suasana Idilfitri!

Berita Harian SIngapura - 8 Sep 2010

RUANGAN FORUM

Kecewa isu Muslim buta diizin bawa anjing pandu jalan

SAYA merujuk kepada artikel yang mengizinkan orang Islam yang buta membawa anjing untuk membantu mereka berjalan (BH, 23 Ogos).

Saya kecewa kerana tiba- tiba Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) membenarkan perkara itu.

Malah, ini termasuk membenarkan orang buta itu membawa anjingnya masuk ke restoran yang ditanggung halal.

Mungkin kita lupa beberapa tahun lalu terdapat seorang pemuda bukan Muslim yang menghina Muslim kerana tidak dapat menyentuh anjing di lelaman blognya. Berikutan kenyataannya, dia diambil tindakan.

Sebelum ini, kita ada ramai lagi Muslim buta, termasuk beberapa penyanyi seperti S. Jibeng dan Rashid Noor. Mereka tidak pernah menggunakan anjing, namun masih boleh mencari rezeki dengan menyanyi.

Malah, ada rancangan Suria yang menyiarkan kehidupan sepasang suami isteri buta dan mereka boleh hidup tanpa bantuan anjing.

Saya meluahkan perkara ini dengan harapan kita usah terlalu memperlekehkan hukum Islam. Sedangkan selama ini orang bukan Muslim sendiri amat menghormati kita dalam perkara ini.

Saya juga tidak mahu perkara seperti ini menimbulkan kekeliruan pada orang bukan Muslim dan pada orang Muslim sendiri.

Ini terutamanya mereka yang cetek pengetahuannya tentang Islam atau golongan muda kita yang berfikiran liberal.

Asmahani Ali

http://cyberita.asia1.com.sg/mforum/story/0,6879,172413,00.html?

PAS ucap takziah, gesa pendakwaan segera

4 Syawal 1431H.
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 12 Sept: PAS mengucapkan takziah kepada keluarga jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga orang lagi yang telah dibunuh secara kejam.

"Bagi pihak PAS, kita merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan harap mereka tabah menerima ketentuan ini.

"Kes pembunuhan ini menggemparkan negara," kata Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man..

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengesahan pihak polis bahawa Sosilawati, 47, dan pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, serta pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, telah dibunuh.

Mayat mereka juga dibakar, manakala abunya dibuang ke dalam sebuah sungai dekat Ladang Gadong, di Tanjung Sepat, Banting.

"Kita mahu pendakwaan segera dibuat terhadap mereka yang bertanggungjawab melakukan pembunuhan ini," katanya lagi.

Menurutnyan kes tersebut juga menggemparkan negara dan menunjukkan peningkatan kadar jenayah dalam negara.

"Kita harap pihak polis berusaha mengekang jenayah, jangan hanya kepong ceramah pembangkang sahaja," katanya.

Kes ini juga jelasnya merupakan cabaran buat Ketua Polis Negara yang baru, Tan Sri Ismail Omar untuk menyelesaikan kes tersebut.

Kesemua mangsa sebelum ini dilaporkan hilang sejak 30 Ogos semasa berada di Banting untuk urusan pembelian tanah.

Seminggu selepas itu, polis menemui kereta BMW milik Sosilawati di Pangsapuri Angsana USJ 1, Subang Jaya dan kereta BMW milik Ahmad Kamil di kawasan perumahan berhadapan sebuah hotel di Subang Jaya.

Polis sekurang-kurangnya telah menahan empat lelaki membantu siasatan.

Terdapat sumber menyatakan mereka termasuk dua orang peguam.

Mengulas dakwaan wujud campurtangan pihak ketiga dalam PDRM, beliau menggesa satu suruhanjaya diraja perlu ditubuhkan.

"Kita tidak mahu dalam kes pembunuhan ini juga ada campurtangan pihak ketiga.

"Kita juga bimbang beberapa laporan polis yang dibuat terhadap pemimpin Umno BN sampai ke hari ini tidak diambil tindakan. Adakah ini juga wujud campurtangan pihak ketiga," soalnya.

Tengku Muhammad Faris Petra akan dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan

4 Syawal 1431H.

Tanda tanya dan desas-desus mengenai berita yang tersebar sejak akhir-akhir ini mengenai pemasyhuran Pemangku Sultan Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra, sebagai Sultan Kelantan terjawab dengan rasminya dalam blog thekelantaninsider.blogspot.com seperti yang disiarkan pada jam 12.00 tengah malam sebentar tadi.

Berikut ini adalah kenyataan penuh pihak berkenaan :-

1. Dengan izin Allah, Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra, dijangka akan dimasyhurkan (tetapi bukan ditabalkan) sebagai Sultan Kelantan yang baru pada hari Isnin 13 September 2010 Masihi bersamaan dengan 4 Syawal 1431 Hijrah.

2. Pemasyhuran ini adalah dibuat berdasarkan kepada peruntukan Perkara 23A yang telah dimasukkan ke dalam Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua) melalui Warta Kerajaan Kelantan bertarikh 22 Julai 2010.

3. Perkara 23A ini berbunyi:

“Kelucutan Takhta Kerajaan kerana kecacatan yang besar dan berat
23A. Jika sekiranya setelah disiasat dengan sepenuhnya dan secukupnya, Majlis Perajaan Negeri berpendapat bahawa Raja ada mempunyai apa-apa kecacatan yang besar dan berat yang menyalahi sifat-sifat Raja, yang tidak dibenarkan oleh Hukum Syarak untuk menjadi Raja, maka seorang Pengganti hendaklah dipilih dan dilantik oleh Majlis Perajaan Negeri untuk menjadi Raja mengikut syarat-syarat di bawah Bahagian ini.”

4. Kemasukan Perkara 23A ke dalam Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua) ini pula adalah dibuat berdasarkan kepada Perkara 3(2) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua)

5. Perkara 3(2) ini berbunyi:

“Syarat-syarat mengenai -

(a) naik Takhta Kerajaan dan pangkat kebesaran adat istiadat Melayu;
(b) pelantikan dan sifat seseorang bakal atau bakal-bakal Raja kepada Takhta Kerajaan, Raja Perempuan atau Pemangku Raja ataupun ahli-ahli Majlis Pangkuan Raja bagi Negeri;
(c) pembuangan, menarik balik atau menurunkan daripada Takhta Raja itu atau bakal Raja ataupun bakal-bakal Rajanya;
(d) pelantikan dan sifat Ketua-Ketua Pemerintah ataupun pangkat kebesaran adat istiadat Melayu yang serupa itu dan ahli-ahli Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu, Majlis Penasihat Raja ataupun badan-badan yang serupa itu; dan
(e) penubuhan, aturan, pengesahan dan pelucutan pangkat-pangkat, gelaran, kehormatan, kebesaran adat istiadat Melayu dan pekurniaan serta sifat pemegang-pemegangnya dan kawalan bagi istana, balai-balai penghadapan dan istana-istana raja,
bolehlah dipinda oleh Yang Maha Mulia dengan Perwawai yang dikeluarkan dengan persertaan dan persetujuan Majlis Penasihat Raja, tetapi tidaklah boleh dipinda dengan mana-mana jalan yang lain.”

6. Selaras dengan perasaan kasih sayang yang mendalam Pemangku Raja Kelantan kepada ayahanda dan bonda Baginda, Baginda telah memastikan bahawa taraf dan kedudukan mereka setelah pemasyhuran Baginda kekal terpelihara melalui satu lagi peruntukan yang telah turut dimasukkan ke dalam Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua).

7. Perincian mengenai kesemua perkara ini dijangka akan dijelaskan oleh Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Dato’ Mohd Aiseri Alias, di dalam satu sidang media yang dijangka akan diadakan di Istana Negeri, Kubang Kerian, pada jam 2 petang hari yang sama.

8. Sukacita ditegaskan bahawa Menteri Besar Kelantan, Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, memang bercakap benar apabila menyatakan bahawa beliau belum menerima surat jemputan rasmi untuk menghadiri upacara ini sewaktu beliau berkata demikian.

9. Ketidakselesaan kami ke atas tindakan sebuah akhbar tempatan mendedahkan, di samping ketidaksediaan kami mengumumkan, perkara ini lebih awal adalah disebabkan kesedaran kami mengenai wujudnya cubaan untuk menggagalkan upacara ini.

10. We hereby would also like to take this opportunity to reply to lawyer Rashid Zulkifli’s assertion, as reported in today’s Malaysiakini, that he will challenge the legality of this proclamation on the ground that the Regent, by virtue of the Regent being only the Regent instead of the Sultan, does not have the power to make these constitutional amendments.

11. Our simple answer to lawyer Rashid Zulkifli is: Please kindly take the trouble to read, if you had not, or reread, if you had, the ruling made by the High Court judge, Justice Mohamad Ariff Md Yusof, on 29 January 2010, with regard to this matter.

12. For the benefit of everyone, here is what the learned judge said:
(i) “the definition of the term “His Royal Highness” under the Kelantan Constitution would refer to the Regent in cases when the Sultan is incapacitated from attending to the affairs of the state”.
(ii) “there is no limitation imposed to the Regent to exercise his power and functions during the period”.

Di sini disertakan laporan akhbar mengenai keputusan Hakim Mohamad Ariff Md Yusof yang disebutkan. Disebabkan kami perlu memenuhi janji kami tetapi dalam masa yang sama kami menghadapi masalah untuk meng"upload" dokumen-dokumen rasmi kerajaan yang berkaitan, maka dokumen-dokumen ini akan dimuatkan di dalam Posting 33 yang akan disiarkan di dalam blog ini sebaik sahaja proses peng"uploadan"nya diselesaikan.

ALLAHU AKBAR!

Tengku Fakhry loses case against Regent
(The Star, 30 Januari 2010)
KUALA LUMPUR: Kelantan Regent Tengku Muhammad Faris Petra’s action to revoke his brother Tengku Muhammad Fakhry Petra’s membership in the Kelantan Succession Council cannot be reviewed, ruled the High Court.
In dismissing the latter’s judicial review application, High Court judge Justice Mohamad Ariff Md Yusof yesterday ordered the prince to pay costs to the Regent and seven others named in the civil action.
He ruled that the action of the Regent in revoking his brother’s membership in the council on Sept 16, last year could not be challenged in any court of law as the subject matter was non-justiciable.
“It is non-justiciable as it involves the Kelantan Succession Council and the prerogative powers of His Royal Highness, in this case, the Regent. The court of law is not a suitable forum to decide over this subject matter.”
In his findings, Justice Mohamad Ariff said the definition of the term “His Royal Highness” under the Kelantan Constitution would refer to the Regent in cases when the Sultan is incapacitated from attending to the affairs of the state.
In elaborating his grounds, Justice Mohamad Ariff said there is no limitation imposed to the Regent to exercise his power and functions during the period.

Penjelasan isu tabal Tengku Faris malam ini

3 Syawal 1431H.


KOTA BHARU, 12 Sept: Penjelasan mengenai kedudukan isu pemasyuran Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan akan dibuat di dalam blog thekelantaninsider.blogspot.com pada jam 12 tengah malam ini.

KOTA BHARU, 12 Sept: Penjelasan mengenai kedudukan isu pemasyuran Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan akan dibuat di dalam blog thekelantaninsider.blogspot.com pada jam 12 tengah malam ini.

Menurut satu kenyataan yang dibuat oleh blog separa rasmi istana Kelantan itu, adalah diharapkan agar penjelasan, yang turut akan melampirkan dokumen-dokumen tertentu akan membolehkan rakyat yang mungkin sedang tertanya-tanya mendapat maklumat yang tepat mengenainya.

Kenyataan ini dipercayai dibuat ekoran laporan muka depan akhbar Umno, Utusana Malaysia semalam yang melaporkan berita spekulasi kononnya mereka men dapat makumat Tengku Faris akan ditabalkan sebagai Sultan Kelantan Isnin esok.

Laporan sensasi ini mengejutkan banyak pihak kerana kerajaan negeri sendiri tidak tahu menahu hal ini.

Menteri Besar Tuan Guru Nik Aziz sendiri tidak tahu menahu hal ini.

Blog yang selalu menyiarkan berita dan pandangan dari pihak Tengku Faris ini juga melahirkan rasa terkejut mereka dengan laporan muka depan akhbar itu.

Kebakaran kabel TNB di Jambatan Pulau Pinang

Kejadian ini menyebabkan gangguan elektrik di sebahagian kawasan di Bayan Baru, Georgetown dan Gelugor/Gambar-gambar oleh Amran Harun


3 Syawal 1431H.

Ribuan kenderaan terkandas lebih tiga jam di atas Jambatan Pulau Pinang akibat kebakaran kabel bervoltan tinggi Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kilometer 2 menghala ke sini Jumaat.

Kejadian jam 10.02 pagi itu turut menyebabkan trafik menghala keluar dan masuk ke pulau itu dilapor sesak sepanjang lebih 10 kilometer, selain lorong kanan di kedua-dua arah di atas jambatan ditutup.





Prof: Pemangku raja K'tan boleh dimasyhur sultan baru

3 Syawal 1431H.

Kongsi Pakar Perlembagaan, Abdul Aziz Bari berkata Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra, boleh dilantik sebagai sultan yang baru - di tengah-tengah laporan yang menyebut kemungkinan istiadat permasyhuran itu akan berlangsung esok.

Abdul Aziz, yang banyak menulis mengenai kesultanan dan perlembagaan negara, berkata permasyhuran itu harus dilakukan oleh Majlis Perajaan, yang diberi tugas tersebut dalam perlembagaan Kelantan.

Menurut Abdul Aziz, majlis tersebut sama seperti Majlis Raja-Raja yang mempunyai kuasa yang sama untuk melantik dan memecat Yang di-Pertuan Agong.

Menurutnya, prinsip Islam serta pertimbangan perlembagaan berat kepada pelantikan sultan yang baru ketika sultan masih gering dan tidak mampu menjalankan tugas perlembagaan baginda.

Bagaimanapun, beliau menyuara keprihatinnya berhubung berita mengenai permasyhuran tersebut, yang disifatkannya sebagai 'agak misteri'.

"Prosesnya harus terbuka dan telus," katanya.

Jumaat lalu, Utusan Malaysia memetik sumber sebagai berkata, Tengku Muhammad Faris akan dimasyhurkan sebagai sultan Kelantan yang baru bagi menggantikan ayahandanya, Tuanku Ismail Petra, yang sudah setahun gering.

Laporan itu menyebut bahawa istiadat permasyhuran itu akan berlangsung di Istana Balai Istana Besar mulai jam 11.30 pagi.

Bagaimanapun, Menteri Besar Kelantan Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat berkata beliau tidak tahu mengenai istiadat permasyhuran tersebut, kerana tidak menerima surat rasmi dari pihak istana mengenai hal itu.

Manakala pengelola Istana Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad, ketika dihubungi oleh Bernama semalam, enggan mengulas tentang perkara itu.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan anggota Exco kerajaan negeri Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata kepada pemberita di Kota Bharu kelmarin dengan mengesahkan dia menerima surat jemoutan untuk menghadiri jamuan Aidilfitri bersama Pemangku Raja di Istana Balai Besar esok.

Polis: Sosilawati dan 3 lagi dibunuh, dibakar

3 Syawal 1431H.

Kongsi 0Jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga orang lagi, telah dibunuh dan mayat mereka dibakar, manakala abunya dibuang ke dalam sebuah sungai dekat Ladang Gadong, di Tanjung Sepat, Banting, demikian menurut polis.

Pengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohd Bakri Zinin berkata bagaimanapun, polis masih memerlukan pengesahan forensik untuk memastikan perkara itu.

Beliau memberita pemberita demikan dalam satu sidang akhbar di ibupejabat polis Banting.

Sosilawati, 47, dan pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, serta pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos semasa berada di Banting untuk urusan pembelian tanah.

Seminggu selepas itu, polis menemui kereta BMW milik Sosilawati di Pangsapuri Angsana USJ 1, Subang Jaya dan kereta BMW milik Ahmad Kamil di kawasan perumahan berhadapan sebuah hotel di Subang Jaya.

Sebelum itu, pasukan forensik polis memasuki kawasan sebuah ladang pertanian bersepadu di Tanjong Sepat dekat Banting bersama-sama dengan sekurang-kurangnya dua suspek yang dipercayai terlibat dengan kehilangan Sosilawati dan tiga orang lagi.

Petugas media yang berada di jalan masuk ke Ladang Gadong melihat dua konvoi kenderaan dengan kawalan ketat polis memasuki kawasan itu, dan dua lelaki dilihat memakai pakaian lokap.

Menurut seorang anggota polis, mereka memasuki sebuah kawasan yang terletak kira-kira 100m dari jalan utama kawasan berkenaan, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kehilangan pengasas syarikat kosmetik Nouvelle Visages (NV) itu.

Pasukan forensik turut ke sebuah restoran, terletak kira-kira empat kilometer dari ladang itu untuk menjalankan siasatan.

Helikopter polis juga dilihat berlegar-legar di kawasan itu.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar memberitahu pemberita di Kuala Lumpur bahawa polis percaya kes itu dapat diselesaikan segera berikutan penangkapan sekurang-kurangnya empat lelaki.

Ismail enggan menyatakan identiti mereka yang ditahan, walaupun ada sumber menyatakan mereka termasuk dua orang peguam.

- Bernama

12 September 2010

Tidak ada Pertabalan cuma jemputan majlis hari raya di istana

3 Syawal 1431H.

Desas-desus Istana Kelantan akan memasyhurkan Pemangku Raja Tengku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail Petra sebagai Sultan Kelantan Isnin ini ditamatkan dengan pengesahan pembesar negeri bahawa mereka hanya dijemput menghadiri majlis hari raya.

"Saya mengakui menerima surat untuk ke majlis jamuan, itu saja," kata anggota Exco kerajaan negeri Datuk Mohd Amar Nik Abdullah kepada pemberita di Kota Bharu hari kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri itu juga berkata surat tersebut menjemput beliau menghadiri jamuan Aidilfitri bersama Pemangku Raja di Istana Balai Besar pada Isnin ini.

Semalam, sebuah akhbar melaporkan Tengku Muhammad Faris Petra akan dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan pada satu istiadat di Balai Rong Seri di Istana Balai Besar pada pukul 11.30 pagi Isnin ini, berasaskan jemputan meminta semua kenamaan dan pembesar negeri memakai pakaian rasmi hitam.

Ketika mengulas laporan itu dua hari lepas, Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz berkata beliau tidak menerima jemputan rasmi mengenai istiadat tersebut.

Dalam pada itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Aiseri Alias ketika ditemui di majlis rumah terbuka di kediamannya hari ini enggan menafi atau mengiyakan perkara tersebut.

"Tunggulah, kita akan beritahu. Kita tidak membiarkan media kerana mereka rakan rapat kita," katanya.

Sebelum ini, Pengelola Istana Kelantan Datuk Abdyul Halim Hamad juga mengambil sikap serupa.

Pakistan dan ujian besar Ramadhan

3 Syawal 1431H.
Muhammad Nuruddin Bashah

Bulan Ramadhan yang berlalu tahun ini meninggalkan bekas yang besar kepada sanubari umat Islam. Selepas reda sedikit isu sekatan Israel terhadap Gaza dengan hadirnya tumpuan dunia bertimpa-timpa ke Gaza, Pakistan pula menjadi lombong tadahan derma antarabangsa apabila jutaan rakyat Pakistan menderita dilanda banjir dahsyat.

Jutaan mangsa banjir di Pakistan menyambut ketibaan Ramadan semalam dengan tidak menerima bekalan air bersih dan makanan apabila banyak hasil pertanian musnah akibat bencana terburuk dalam sejarah negara itu.

Negara seluas 796,095 km persegi dengan keluasan tanah 770,875 km persegi dan air seluas 25,220 km persegi kini menerima malapetaka besar apabila wilayah kaya makanannya, Punjab telah dilanda banjir akibat musim tengkujuh tahun ini. Pakistan ditimpa banjir bermula di kawasan Barat laut sehingga merebak ke selatan. Negara ini sudah biasa menyambut ‘banjir’ sepanjang lembah Indus pada setiap bulan Julai dan Ogos setiap tahun tetapi kali ini ujian Allah yang terburuk sejak 80 tahun.

Keadaan bertambah buruk setelah kebanyakan jalan raya dan jambatan rosak teruk menyebabkan harga barangan naik tiga kali ganda di beberapa wilayah sehingga menyukarkan 14 juta mangsa banjir meneruskan kehidupan. Indeks Harga Pengguna (CPI) inflasi meningkat 12.34% pada bulan pertama (Julai) , menunjukkan tekanan inflasi terus menghantui pengguna selepas banjir.

Malapetaka ini benar-benar menjadi sebab musabab rukhsoh yang cukup jelas sehingga Mufti Pakistan, Muneebur Rehman turut menyatakan kelonggaran berpuasa dibenarkan kepada mangsa namun ia perlu diganti semula selepas Ramadan berakhir.

Menurut Manuel Bessler yang mengetuai Pejabat PBB untuk Hal Ehwal Penyelarasan Kemanusiaan Pakistan memberitahu sidang media di Geneva, Banjir terburuk dalam sejarah Pakistan kini melibatkan pada mulanya lebih 4 juta penduduk dan meningkat sehingga 13.8 juta penduduk (daripada keseluruhan 174 juta penduduk Pakistan) dan mengakibatkan 1,600 orang terkorban. Bermakna hampir 8% rakyat Pakistan kini dilanda musibah.

Kini Ketika banjir di barat daya mula surut, setakungan air yang besar mengalir ke daerah-daerah selatan yang baru, seperti Punjab dan wilayah Sindh. Jumlah kawasan yang terlibat di Punjab mencapai tujuh kawasan manakala 350,000 penduduk telah dipindahkan ke wilayah jiran Sindh.

Jika di kelantan hanya ratusan penduduk sahaja yang mungkin mengalami pengalaman meranduk air setinggi dada, tetapi di Pakistan jutaan penduduk mencari tempat perlindungan meranduk air yang dalam, hampir mencecah paras leher dan dada terpaksa membawa barang-barang di atas kepala mereka.

Petaka banjir selalunya dikaitkan dengan iklim semulajadi sesebuah negara. Bagaimana pula dengan Pakistan? Cuaca paling lembab di Pakistan adalah pada bulan Julai ketika purata hujan adalah 138 mm (5.4 in) selama 9 hari. Kelembaban tahunan relatif rata-rata adalah 37,9% dan kelembapan bulanan relatif rata-rata berkisar dari 20% pada bulan Mei hingga mencecah 58% pada bulan Ogos. Bermakna kata ramadha yang jatuh pada bulan Ogos tahun ini benar-benar terjadi pada musim tengkujuh Pakistan.

Sebahagian besar daerah di Punjab yang mengalami banjir besar ini mengalami musim sejuk cukup sejuk, sering disertai dengan hujan. Pada pertengahan Februari suhu mula meningkat cuaca musim bunga berterusan sehingga pertengahan Mei. Kawasan Punjab mempunyai tiga musim utama, cuaca panas (April-Jun) ketika suhu meningkat setinggi 110F. Musim hujan (Julai hingga September). Rata-rata curah hujan tahunan berkisar antara 96 cm sub-wilayah pegunungan dan 46 cm di dataran. Cuaca sejuk adalah antara Oktober hingga April apabila suhu turun serendah 40F.

Di Punjab, yang dikenali sebagai "bakul makanan" Pakistan kerana kaya dengan sumber pertanian, lebih 1,300 penduduk terlibat dengan bencana ini dan sekurang-kurangnya 25,000 rumah musnah. Punjab bukan sekadar syurga makanan pakistan malah Bahasa tempatannya iaitu bahasa Punjab digunakan lebih 48% penduduk seluruh Pakistan walaupun bahasa Urdu dan Inggeris adalah bahasa ‘common’ dalam pentadbiran dan pendidikan.

Lebih menarik lagi Pakistan yang juga merupakan negara yang agak akrab dengan AS kini terpaksa menerima kempen rayuan derma oleh PBB sendiri. Dalam hal ini masyarakat dunia ingin menilai sejauh mana eratnya hubungan AS terhadap pakistan dalam hal kecemasan sebegini. Jelas, Pakistan yang dahulunya pernah menajdi pusat madrasah penghasilan para mujahidin Afghan dan palestin (berpusat di pensyawar) kemudiannya telah dijinakkan oleh Amerika. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah merayu bantuan ratusan juta dollar Amerika untuk membantu mangsa banjir di Pakistan yang kini jumlahnya lebih tinggi berbanding bencana tsunami pada 2004.

Menurut laporan Reuter, banjir yang paling serius di Pakistan dalam beberapa ini akan mengalami masalah ekonomi dan politik yang amat rumit bagi pakatan nuklear AS. Kerajaan Asif Ali adalah kerajaan yang direstui Amerika. Tidak hairan jika Amerika sanggup berhabisan lebih 50 juta US dollar untuk membantu mangsa banjir. Sebelum ini Amerika memang menyuap banyak sogokan kepada Pakistan untuk menahan kemaraan mujahidin/Taliban Pakistan dengan memberikan suntikan sebesar 5 juta USD. Bantuan yang datang dari Amerika dan sekutu seperti Jepun, Eropah dan Arab Saudi diberikan dalam sebuah persidangan di Tokyo.

Amat memalukan apabila kritikan hebat dunia dilontar terhadap Asif Ali Zardari (Presiden pakistan) yang hanya menyaksikan kepayahan rakyatnya dari Eropah. Dalam saat rakyat diuji, Presiden ini masih lagi ingin bercuti ke luar negara. Sewajarnya beliau malu dengan seorang bukan Islam seperti Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon yang bertungkus lumus berkempen derma kilat ke negaranya sendiri sedangkan beliau masih bercuti ke Perancis dan Britain.

kemudian orang-orang Yang zalim (penderhaka) itu mengubah perkataan (perintah kami) Yang dikatakan kepada mereka Dengan melakukan sebaliknya; maka Kami turunkan ke atas orang-orang Yang zalim itu bala bencana dari langit, Dengan sebab mereka sentiasa berlaku fasik (menderhaka). (Al Baqarah ayat 59)

Pihak berkuasa Pakistan kini terpaksa memikirkan program pembangunan tempat tinggal semula yang cukup besar modalnya lantaran anggaran 13 juta penduduk negara itu terpaksa dipindahkan setelah rumah mereka musnah berikutan banjir terburuk dalam tempoh 80 tahun di seluruh negara tersebut.

Angka itu lebih tinggi berbanding unjuran awal Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menjangka hanya 4 juta terlibat, namun kesan bencana itu menyamai gempa bumi Kashmir pada 2005 yang mengorbankan 73,000 penduduk.

Tidak kurang juga analisa kasar para umat islam bahawa bencana ini adalah satu rahmat pula kepada umat islam Afghanistan kerana gencatan operasi keganasan Amerika di bumi Afghan. Tentera Amerika Syarikat (AS) di Afghanistan telah menunda operasi menentang militan Taliban bagi membantu memindahkan jutaan penduduk Pakistan dengan menggunakan 10 buah helikopter pengangkut. Jika tidak, di mana Amerika ingin letakkan muka mereka kepada sekutu mereka jika tidak membantu Pakistan yang menyokong banyak dasar luar Amerika.

Di Malaysia, Pakatan Rakyat tidak ketinggalan menyalurkan bantuan apabila pihak Harakah berjaya menyalurkan USD10 ribu untuk kegunaan segera mangsa yang terlibat dan akan disusuli dengan bantuan berikutnya. Bantuan pula akan disampaikan wakil mereka yang telah berangkat ke negara itu bersama Yayasan Amal Malaysia pada 31 Ogos lalu.

Yayasan Amal telah menampilkan komitmen dan kesungguhan jitu membantu mangsa banjir di Acheh sebelum ini dalam masa pihak tertentu dari negara kita sendiri yang lebih gemar bergambar dan menjual publisiti semata-mata semasa kejadian bencana alam sebegini. Terlalu banyak laporan ‘kisah benar’ bantuan rasmi daripada negara umat Islam sendiri yang tidak 100% disampaikan kepada mangsa malah ada ketirisan wang dan bahan bantuan akibat korupsi dan pecah amanah. Sikap menangguk di air yang keruh selalu benar terjadi di celahan keterhimpitan hidup mangsa bencana.

Kembali kepada isu suasana bencana, pemindahan segera telah dijalankan memandangkan kadar kenaikan air sungai semakin meningkat. Ketika ini kira-kira 600,000 orang masih berlindung di khemah sementara di wilayah Sindh sejak bencana itu manakala kira-kira 150,000 warga Pakistan terpaksa dipindahkan ke tempat lebih tinggi apabila air dari Sungai Indus menenggelamkan berpuluh-puluh bandar dan perkampungan di selatan Pakistan.

Bantuan kecemasannya memang perlu untuk negara ini memandangkan kadar penduduk luar bandarnya masih setinggi 62%. Mangsa banjir ini majoritinya adalah golongan yang susah dan sederhana. Malangnya media barat memomokkan bahawa gerakan ekstrimis seperti (dilabelkan oleh AS) Taliban tidak mahu menyalurkan bantuan sekiranya Pakistan masih ingin menerima lambakan wang pihak ‘kafir’. Pada penulis kita tidak perlu menjadi bebal untuk mempercayai media yang menganggap Taliban masih mengenepikan kemanusian hanya semata-mata mengutamakan ideologi perjuangan yang berlawanan dengan politik sekular pemerintah.

Antara isu penting yang wajar direnungkan oleh umat islam, sehingga kini bantuan makanan untuk bencana alam sebegini masih lagi didominasi oleh NGO atau pertubuhan dari Barat atau dunia bukan islam. Umat islam yang rata-rata memiliki tanah yang cukup dengan pertanian masih belum berjaya menjayakan misi takaful membantu sesama ummah serata dunia. WFP adalah antara NGO Amerika yang kini kelihatan cukup berjasa membantu mangsa. WFP kini menyalurkan 80 kg tepung gandum, 4,5 kg biskut tenaga tinggi dan 4 liter minyak untuk setiap keluarga yang terkena bencana. Bantuan ini akan berterusan selama tiga bulan lamanya.

Sebarang musibah pastinya ada faedah atau hikmah yang diselitkan oleh Allah SWT. Generasi Islam baru dikatakan bermula di Pakistan apabila ribuan mangsa kini mulai insaf dan kenal diri. Pakistan yang beragama rasmi islam, juga seperti Malaysia, rakyatnya masih ramai yang jahil agama serta tidak menunaikan solat dan ibadah puasa.

Sebagai contoh di Khemah perlindungan tajaan Al-Khidmat Foundationdi Karachi, jumlah mangsa yang mula mempelajari solat dan menunaikan puasa meningkat lebih 50%. Reformasi dalam diri insan boleh berlaku melalui dakwah sekeliling, da jika gagal ia boleh berlaku apabila berlakunya musibah seperti ini. Lihat sahaja perubahan sikap dan paradigma muslim di Acheh selepas bencana Tsunami dahsyat Disember 2004 dahulu. Masyarakat Pakistan sebelum banjir rata-rata mempercayai bomoh dan ahli spiritual melebihi para ulama’ dan mufti. Kata mereka “Floods have done a huge damage to us, but it has also brought back to our religion.”

Bersamalah kita mengambil iktibar. Kata Allah,

"Sesungguhnya Kami (diutuskan) untuk menurunkan atas penduduk bandar ini azab dari langit, disebabkan mereka melakukan kejahatan (kufur dan maksiat)". ( Al Ankabut ayat 34)

Muhammad Nuruddin Bashah
Sekreteriat MUDA-Teras

11 September 2010

Balik kampung...

2 Syawal 1431H.
Jarjani Usman

“Dan kampung akhirat itu lebih baik bagi mereka yang bertaqwa. Maka apakah kamu sekalian tidak mengerti?” (QS. Al-A’raf: 169).

Mudik atau balik kampung di waktu-waktu tertentu, seperti pada waktu hari raya, pertanda manusia dianugerahi perasaan rindu. Tidak sedikit manfaat bagi orang-orang yang diselimuti rasa rindu akan kampungnya. Antara lain, boleh mengingatkan akan asal usul, tempat dilahirkan atau dibesarkan suatu ketika dulu, dan bahkan tempat akan kembali nanti suatu masa nantri. Yang disebutkan terakhir kiranya amat penting di antara semuanya, karena banyak orang yang lupa akan tempat kembalinya yang sebenar.

Bahawa setiap manusia berasal dari tanah memang sudah sangat difahami, sebagaimana difahami bahwa manusia akan kembali ke tanah sesudah nyawa berpisah dari jasad. Juga difahami bahwa manusia pasti akan menuju kampung akhirat. Namun pemahaman itu tidak sebanding dengan persiapannya. Dengan kata lain, persiapan ke akhirat tidak semeriah persiapan pulang kampong di dunia.

Padahal kalau diteliti ayat di atas, kampung akhirat jauh lebih baik dari dan tidak ada bandingnya dengan kampung dunia. Dengan demikian, seharusnya siapapun lebih meriah mempersiapkan kepulangan ke kampung akhirat. Rasa sedih tiada bekal waktu pulang kampong di dunia tidak sesedih tanpa bekal waktu pulang ke kampung akhirat. Ke akhirat, kalau balik kampung kita boleh berhutang jika ada kekurangan namun siapapun tidak boleh berhutang kalau tidak membawa bekal diakhirat kelak. Setiap orang hanya mampu dengan nasibnya sendiri. Juga, di sana akan kekal selama-lamanya. Sedangkan balik kampung cuma beberapa hari sahaja.

Oleh kerana itu, beruntunglah orang-orang yang sentiasa merindukan kampung akhirat dan seawal mungkin mempersiapkan bekal sebanyak-banyaknya. Iaitu, orang-orang yang senantiasa tidak melepaskan sedikit pun kesempatan untuk beribadah dan berbuat kebaikan. Itulah orang-orang beriman. Makanya, orang-orang seperti ini akan dialu-alukan kedatangannya ke kampung akhirat.

SMS : Salam, Maaf, dan Silaturrahim

2 Syawal 1431H.
Jarjani Usman

“Kalian tidak akan masuk surga hingga kalian beriman. Kalian tidak akan beriman sampai kalian saling mencintai. Mahukah aku tunjukkan pada kalian suatu amalan yang jika kalian melakukannya kalian akan saling mencintai? Sebarkanlah salam di antara kalian” (HR. Muslim).

Apa yang paling dinantikan muslim yang taat setelah selesai Ramadhan atau memasuki bulan Syawal ialah kembali suci. Tentunya suci dari dosa dengan Allah dan sesama manusia. Dosa dengan Allah mungkin sudah terampun setelah sebulan penuh beribadah dan berdoa memohon keampunan. Namun, dosa dengan manusia tentunya belum lekang sebelum meminta maaf. Makanya penting ber-sms (salam, maaf, dan silaturrahim).

Salam disunatkan bagi setiap muslim. Sebagaimana namanya, salam itu artinya damai atau sejahtera. Lebih afdhal tentunya kalau mengucapkan salam seperti yang dianjurkan, yaitu: “Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.” Sebab, sudah ditambah dengan doa agar mendapat rahmat dan berkah dari Allah. Jika salam ini selalu digunakan, insya Allah tali ukhuwah dengan sesama akan terikat erat.

Maaf dengan sesama manusia juga merupakan amalan yang mulia. Manusia memiliki sejumlah keterbatasan, mulai keterbatasan mengenali perilakunya apakah telah menganiaya orang lain dengan sengaja atau tidak, sampai keterbatasan mengendalikan emosi dan kata-kata. Keranana itu, sangat dianjurkan untuk meminta maaf dengan sesama insan.

Silaturrahim juga termasuk perbuatan mulia. Sebagaimana namanya, silah artinya hubungan, sedangkan ar-rahim artinya kasih sayang. Dengan demikian, kalau silaturahim dibina karena Allah, dijamin akan menciptakan kedamaian di dunia ini.

Kerana itu, hambar makna hari kemenangan Aidil Fitri sebelum membina damai dengan salam yang baik, memaafkan satu sama lain, dan bersilaturrahim. Namun, dari semua perbuatan itu, yang paling baik menurut Rasulullah ialah yang memulainya. Misalnya, memulai salam, memulai minta maaf, dan memulai silaturrahim.

Pendekatan rasional, wasatiyyah berdepan bakar al-Quran

2 Syawal 1431H.
Mohd Saifullah Mohd Zulkifli

Umat Islam di AS dalam keadaan dilema apabila Sambutan Aidilfitri bertembung dengan tarikh yang hampir sama dengan sambutan memperingati tragedi 911. Lebih teruk adalah apabila kempen ‘Ground Zero’ yang membantah pembinaan masjid dan Pusat Kebudayaan Islam yang terletak berhampiran dengan tempat tragedi Pusat Dagangan Dunia (WTC) yang telah runtuh, dilancarkan. Protes besar-besaran rencana akan dilakukan pada hujung minggu ini menjangkakan akan turut dihadiri pemimpin seluruh dunia yang anti-Islam termasuklah Geert Wilders.

Lebih menakutkan adalah apabila ada pihak yang ingin menganjurkan hari membakar al-Quran iaitu Terry Jones, paderi daripada Dove World Outreach Centre yang berpusat di Gainesvaille, Florida. Pertubuhan ini adalah hanya pertubuhan kecil yang pengaruhnya adalah sekitar 60 orang. Namun dengan teknologi semasa, maklumat Terry John, dan idea Hari Membakar Quran tersebar melalui laman sosial facebook beliau. Pada awal tahun ini, beliau telah menulis sebuah buku Islam is of the Devil.

Imam Musri, Presiden Pertubuhan masyarakat Islam di Florida, AS berjumpa dengan paderi Terry Jones, Dove World Outreach pada hari Khamis untuk berbincang dan berdialog berhubung isu hari membakar al-Quran yang dijadualkan esok, Sabtu petang. Selepas perbincangan tertutup itu, ternyata paderi tersebut mempunyai pandangan yang salah tentang Islam. Beliau berpendapat bahawa Al-Quran adalah punca kepada tindakan terroris 911.

Di akhir perbincangan tertutup tersebut paderi Terry Jones tetap berpendirian untuk meneruskan agenda untuk mencemar kitab suci Islam dengan membakar lebih daripada 200 naskah al-Quran. Pihak berkuasa AS, termasuk Presiden Obama turut menentang tindakan tersebut dan pihak badan-badan pelbagai agama termasuk Kristian menentang tindakan tersebut.

Walaupun berdepan dengan pendirian keras seperti itu, ummat Islam di AS tidak putus asa untuk memberi pemahaman Islam sebenar kepada paderi ini. Imam Musri menghadiahkan paderi tersebut senaskah kitab Al-Quran. Imam Musri juga menutup pertanyaan media dengan menyatakan hasrat bahawa pihaknya bersama pertubuhan Islam yang lain akan terus mendamping dan berdialog dengan Paderi Terry demi memberikan maklumat yang benar tentang Islam.

Selaku ummat Islam yang sedar akan cabaran baru yang kita hadapi, marilah kita ambil iktibar peristiwa Umar al-Khattab yang ingin membunuh adiknya kerana masuk Islam. Tetapi sebaik sahaja tiba di rumah, dia mendengar bacaan suci al-Quran. Al-Quran telah melunakkan hati Umar yang keras. Bacaan surah Taha daripada kitab Al-Quran ini terdapat mukjizat yang besar yang didengarkan kepada Umar secara tidak sengaja.

Umar yang kemudiannya terus berjumpa Rasulullah s.a.w. Baginda menepa Umar sambil duduk berhadapan dan bertentang mata dengan Umar, baginda pun bertanya: “Bila lagi kamu hendak menerima Islam wahai Ibnu Al Khattab? Adakah kamu hendak menunggu sehingga ditimpa bala dan ancaman dari Allah sebagaimana yang menimpa Al Walid bin al Mughirah? Ya Allah, inilah Umar bin Al Khattab, Ya Allah muliakan Islam dengan Umar bin al Khattab ini!”

Tanpa sebarang banyak pertanyaan apatah lagi cuba melawan lalu Umar pun melafazkan kata-kata yang sangat mengejutkan semua pihak. “Aku menyaksikan bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan engkau Muhammad adalah Rasulullah!”

Di Hari kemenangan kita pada 1 Syawal ini, marilah kita doakan paderi Terry Jones agar hatinya dilembutkan Al-Quran yang beliau ingin bakar sepertimana peristiwa kemasukkan Umar al-Khattab ke dalam Islam. Jika saya dibenarkan menggunakan doa yang sama yang oleh Rasulullah: “Bila lagi kamu hendak menerima Islam? Adakah kamu hendak menunggu sehingga ditimpa bala dan ancaman dari Allah sebagaimana yang menimpa Al Walid bin al Mughirah? Ya Allah, inilah Terry dan mereka yang belum menerima hidayah Mu, Ya Allah muliakanlah mereka dengan hidayahMu”

Saya menulis makalah ini pada pagi 1 Syawal, sehingga waktu ini saya masih tidak tahu sama ada Terry Jones bersama pengikut gerejanya akan membatalkan atau tidak, tetapi jika rancangan untuk membakar al-Quran itu diteruskan ummat Islam seharusnya mengambil sikap yang tenang dan rasional.

Islam adalah agama yang menghormati agama lain apatah lagi kepada agama samawi atau agama wahyu yang kita kenali sebagai ahli kitab. Dalam maslahah sebegini saya yakin bahawa tidak menjadi ancaman kepada Islam jika Jones dan pengikutnya membakar al-Quran kerana mereka adalah golongan jahil yang tidak tahu terhadap Islam berbanding tindakan ummat Islam yang mengambil jalan kekerasan dan ganas yang hanya memburukkan imej Islam dan mengiyakan segala fitnah adalah lebih jahat daripada tindakan Jones yang membakar kita suci al-Quran.

Dalam hal ini, kita perlu memberi kepercayaan kepada ulama kita termasuk pertubuhan-pertubuhan Islam untuk menjawab kontroversi yang bakal berlaku. Kita juga perlu doakan sahabat-sahabat kita di AS agar terus kuat menghadapi fitnah besar kepada agama kita dan terus istiqamah berdakwah memberi pemahaman Islam yang sebenar. Sokongan dan dorongan dari semua ummat Islam adalah amat diharapkan. Jalan yang terbaik untuk berdoa dan mengamalkan apa yang diajar oleh Islam, dengan mempamerkan qudwah hasanah, contoh teladan yang baik terutama kepada mereka yang salah faham terhadap Islam.

Teladan juga kepada kita yang tinggal di negara majoriti ummat Islam agar tidak lakukan apa yang berlaku di negara majoriti bukan Islam. Jika kita berasa jijik dengan tindakan membakar al-Quran kitab suci Islam dan tidak menghormati ummat Islam yang minoriti seperti di barat, maka sewajarnya adalah baik juga jika kita menghormati kesucian agama lain dan mengiktiraf hak kaum minoriti di negara sendiri. Malangnya kita masih mendengar gereja dibakar dan hak untuk mengamalkan agama bukan Islam sentiasa mempunyai halangan.

Secara kesimpulan yang saya ingin lontarkan adalah permasalahan salah faham terhadap Islam tidak boleh diselesaikan dengan reaksi ganas dan kekerasan. Pendekatan rasional dan pertengahan ‘wasatiyyah’ mampu membetulkan salah faham tersebut. Jika kita mahukan masyarakat bukan Islam melihat Islam sebagai agama yang indah dan bukan ancaman, maka wajar untuk kita tunjukkan kebenaran tersebut di negara-negara yang kita tinggal sebagai majoriti termasuk Malaysia.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, wa lillahi Hamd.

Mohd Saifullah Mohd Zulkifli,
Petaling Jaya, Selangor.
www.saifullahzulkifli.blogspot.com

Umat islam di China menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan penuh meriah.

1 Syawal 1431H.

Bermula pukul 7.30 pagi hari ini, Jalan Niujie Beijing telah ditutup secara sementara kepada semua kenderaan bagi menjamin kelancaran pelbagai aktiviti sambutan. Dengan ini, Jalan Niujie telah menjadi tempat perayaan yang paling meriah di bandar Beijing.

Pagi-pagi, Masjid Pudong, Shanghai dibanjiri ribuan jemaah tempatan dan penganut Islam asing yang menunaikan solat sunat Aidilfitri di sana.

Hari raya Aidilfitri juga disambut di Wilayah Autonomi Hui Ningxia di bahagian utara China. Kerajaan tempatan telah menetapkan hari cuti bagi hari raya Aidilfitri dan hari raya Aidil-Adha akan diperpanjangkan kepada 2 hari daripada 1 hari mulai pada tahun ini.

Selain itu, di Daerah Autonomi Bai, Dali Provinsi Yunnan di bahagian selatan China, persatuan agama Islam tempatan mengadakan majlis sambutan pada setiap tahun walaupun jumlah penduduk Islam di sana tidak begitu ramai. Pada tahun ini, majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri diadakan pada 8 September lalu. Majlis tersebut turut dihadiri oleh pegawai utama kerajaan tempatan.

Selamat Hari Raya.

1 Syawal 1431H.
Drs. Khalil Idham Lim

Pada kesepatan ini saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada semua pengunjung Blog Cina Islam, tidak kira di mana saja anda berada di dalam ataupun di luar negara.

Marilah kita mengambil segala pengajaran dan hikmah dari ibadah selama bulan Ramadhan untuk memastikan sambutan Hari Raya pada kali ini benar-benar berarti setelah kita mencapai kemenangan yang diharapkan.

Besarlah harapan saya dengan menyusun jari sepuluh untuk memohon kemaafaan dari segala salah silap dan kealpaan selama ini, sesungguhnya saya sangat insaf dan menyedari bahawa sebagai insan biasa saya tidak lepas dari melakukan kesalahan dan kesilapan.

Tidak ada sesuatu yang paling manis sebagai seorang insan dan hamba Allah yang daif ini bila Allah mengampunkan dosa-dosa kita dibulan Ramadhan yang mulia dan saudara memaafkan kesalahan saya.

Pada masa yang sama saya mengajak diri saya dan saudara sekalian untuk terus meningkatkan keazaman dan tekad untuk memastikan ibadah puasa sunat 6 hari di bulan Syawal kita tuniakan. Tidaklain untuk mencapai tahap seperti puasa setahun sebagaimana yang disabdakan oleh Baginda Rasulullah.

Selain itu marilah kita meneruskan amal-amal soleh yang kita mampu lakukan dibulan Ramadhan seperti solat berjemaah, banyak bersedekah, bersederhana dalam makan dan minum serta segala akhlak mulia yang dituntut dalam Islam.

Sesungguhnya sinar kegemilangan Islam akan sirna dalam masa yang makin hampir, ayuh kita terus layar bahtera perjuangan ini sehingga kebatilan dapat kita runtuhkan dibumi tercinta ini, salam Aidil Fitri, MAAF ZAHIR BARIN, Wassalam.