09 Oktober 2010

Wang yang disatukan:Bila mahu dibersihkan?

29 Syawal 1431 H
Oleh: Dzulkefly Ahmad

Asalnya memang malas hendak melayan isu ini. Memang kata orang, kerja orang politik senantiasa hendak menjatuhkan lawan. Mutakhir tampak macam UMNO mencetus isu, mengambil sebanyaknya "mileage" dan kemudiannya meninggalkan isu begitu sahaja. Pakatan hanya "mengekor" sahaja dan bertindak reaktif. Contohnya mana isu Teo Nie Ching masuk masjid, isu Kalimah Allah dsbnya.

Tak putus-putus serangan dibuat. Tapi kali ini UMNO silap congak. PAS dan Pakatan tidak akan izinkan UMNO mencetuskan isu dan melenyapkan isu ini begitu sahaja. Kali ini, PAS akan lanjutkan sehingga terlondeh UMNO! Isu ini akan akhirnya ke Parlimen lagi!

Apabila Reezal Merican Naina Merican pertama-tama mendedahkan bahawa Kerajaan Pulau Pinang telah menggunakan wang sumbangan sebanyak RM500,000 daripada Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang untuk pemberian wang ehsan RM100 kepada warga emas, UMNO menyangka Ketua Penerangan Pemuda UMNO itu bijak mencari isu membunuh lawan politiknya.

Serangan ini dianggap berjaya dan berkesan mencetuskan rasa marah orang Islam, khususnya warga emas yang memulangkan wang RM100 itu. Mereka bertujuan menjatuhkan wibawa Ketua Menteri Lim Guan Eng. Lantas ada yang "berlakon" memulangkan pemberian itu kembali.

UMNO menggeletek keseronokan melihat taktiknya menimbulkan kemarahan terhadap kerajaan Pulau Pinang dan Ketua Menteri itu berjaya. Ketika mendapat tentangan, serangan beralih sasaran. Kali ini ditujukan ke arah program pembayaran RM1000 kepada waris ketika warga emas meninggal. Kedua-dua ini dikatakan dari sumber haram hasil derma RM2juta daripada Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang.

Kerajaan Pulau Pinang telah secara jelas mengatakan bahawa sumber kedua-dua program tersebut adalah dari peruntukan belanjawaan 2010 sebanyak RM20 juta hasil penjimatan penjimatan dari urustadbir CAT (kecekapan, pertanggungjawaban dan ketelusan). Tuduhan UMNO jelas meleset.

Tetapi peduli mereka tentang fakta dan kebenaran. Yang penting mereka telah "spin" -"putar-belit" dan mampu yakinkan rakyat yang tidak membaca media alternatif dan internet - golongan yang bengantung seluruh maklumat dari media BN/UMNO - Utusan Malaysia, Berita Harian dan RTM.

Begitu juga program Rakan Anti-Kemiskinan (RAK). RAK adalah program kerajaan Pulau Pinang untuk membasmi kemiskinan tegar dengan mengeluarkan keluarga daripada garis pendapatan RM400 sebulan kepada sekurang-kurangnya RM500 sebulan.

UMNO kecewa. Program murni terus ini diserang UMNO, kononnya sumber haram dan dari judi.

Pegawai Kewangan Negeri sendiri Farizan Darus telah menegaskan bahawa sumber RM2 juta daripada Kelab Lumba Kuda diasingkan dan dikhusus pemberiannya hanya kepada orang bukan Islam. Memang miskin tegar bukan hanya terdiri dari bukan Islam. Tentunya tidak salah menyalurkan wang derma kepada orang bukan Islam sementara orang Islam tidak diberikan dari sumber ini.

Bukankah ini satu usaha murni dari kerajaan negeri Pulau Pinang mempastikan orang Islam mendapat pemberian yang halal?

Persoalan yang hendak ditanya rakyat, khususnya umat Islam ialah, Sejak bila pulak UMNO pandai membezakan sumber rezeki halal dan haram? Sebabnya? Judi dan UMNO ini sinonim sejak azali lagi!

Sejarah merakamkan betapa UMNO mengingkari fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti Pulau Pinang pada tahun 1951 iaitu Tuan Haji Abdullah Fahim (Ayahanda mantan PM Abdullah Ahmad Badawi) bahawa judi loteri adalah haram. Ini dikatakan punca mengapa ulama meninggalkan UMNO lantas akhirnya menubuhkan PAS.

Ertinya halal dan haram dalam UMNO tidak pernah menjadi masalah sejak penubuhannya mereka lagi. Malahan, tumbesaran UMNO tidak sangat memperhitungkan halal-haram sejak Merdeka lagi.

Ini terbukti apabila kalangan ulamak di dalam UMNO membantah loteri kebajikan adalah haram. Pemimpin UMNO tidak mempedulikan bantahan ulamak dalam UMNO, berakhir dengan episod penubuhan PAS pada 24 November 1951.

Sampai sekarang kita tidak dengar suara membantah secara agresif dalam UMNO supaya judi dihapuskan, malahan baru sahaja kerajaan UMNO BN meluluskan lesen judi bola 2010sempena pertandingan Piala Dunia kepada Syarikat Ascot Sport Vincent Tan Berjaya Group pada 6 Mei 2010 tetapi terpaksa digantung buat sehingga kini.

Peliknya kerajaan Negeri Pulau Pinang yang pertama mengharamkan judi bola sekaligus memusnahkan rancangan UMNO untuk membenarkan lesen judi bola di Malaysia. Kerajaan PAS lebih awal lagi tidak mengizinkan lesen judi di premis-premis di Kelantan dan berbincang dengan semua tokoh agama-agama lain.

Isu pokok yang hendak diketengahkan ialah sumber pendapatan. Timbalan Perdana Menteri turut tumpang semangkok mengambil kesempatan untuk memukul kerajaan Pakatan Rakyat kononnya orang Islam cukup peka dengan sumber pendapatan mereka bukan dari sumber haram seperti judi.

Kalau benar TPM peka dan UMNO peka dengan sumber pendapatan perlu bersih dan halal, mengapa kerajaan UMNO/BN sejak berdekad lamanya masih mengumpulkan semua pendapatan dari cukai dan bukan cukai dari sumber yang haram seperti Cukai Dosa atau "Sin Tax", rokok, judi, arak dsbnya masih tidak lagi dipisahkan bahkan disatukan dalam "Wang yang Disatukan" atau "Consolidated Fund" di peringkat kerajaan Pusat?

Ahli Parlimem Kuala Selangor pernah membangkitkan perkara ini, seperti juga beberapa ahli Yang Berhormat yang lain, tetapi pimpinan Melayu UMNO membisu seribu bahasa. Tiba-tiba nak tunjuk warak dan alim kononnya peka dengan sumber pendapatan -halal dan haram. Kemuncak hipokrasi UMNO!

Seluruh rakyat perlu diberitahu bahawa pimpinan UMNO menipu rakyat lagi khusus kakitangan kerajaan bahawa penerimaan gaji mereka adalah tidak jelas dari sumber yang halal kerana telah "disatukan".

Dalam amalan Kewangan Islam, sumber yang jelas boleh dipisahkan dari sumber yang haram bagi pembersihan pendapatan. Tentunya gaji kakitangan mampu dibayar dari sumber yang jelas halalnya.

Sudah sampai waktunya pimpinan negara bertindak menyelamatkan pembayaran imbuhan kakitangan kerajaan untuk umat Islam di segi gaji dan bayaran yang mereka terima. Hanya "political will" atau iltizam politik yang tinggi serta kepekaan terhadap agama yang mendalam yang akan mampu membuat perubahan seperti ini. UMNO/BN tidak diharapkan untuk membuat perubaan ini.

Hanya kerajaan Pakatan Rakyat termasuk kepekaan pimpinan bukan Islam dari Pakatan tampaknya lebih peka dari kelompok elit UMNO yang tegar dengan rasuah dalam kerasukan haloba tempolok masing-masing, meninggalkan kepentingan umat Islam dan mengorbankan kesejahteraan rakyat seluruhnya.

Harakahdaily/-

Galas: Kelantan cadang 4 Nov cuti peristiwa

29 Syawal 1431 H
Oleh: Rizal Tahir

KOTA BHARU, 7 Okt: Kerajaan Kelantan kemungkinan akan mengisytiharkan cuti peristiwa pada 4 November ini berikutan tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Galas yang jatuh pada hari bekerja, iaitu Khamis.

Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Nik Mat berkata, ianya bagi memudahkan pengundi untuk keluar mengundi, khususnya yang tinggal di luar kawasan.

Katanya lagi, urusan mengundi bukan satu perkara main-main, dan sesuatu yang menyukarkan jika ianya jatuh pada hari bekerja.

“Jadi bila begini tentu sekali akan berlaku kelam kabut dan sebagainya bila hari mengundi jatuh pada hari bekerja,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas tarikh penamaan calon dan PRK Dun Galas jatuh pada hari bekerja.

Beliau sebelum itu merasmikan majlis Ekspo Pelancongan 2010 Matta Fair disebuah pasaraya di sini sebentar tadi.

Pada masa yang sama beliau melahirkan rasa tidak puas hati terhadap sikap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menentukan tarikh penamaan calon dan mengundi pada hari bekerja.

Sambungnya, tindakan itu amat tidak wajar apa lagi Persidangan Dun Kelantan (Belanjawan) masih berjalan.

“Terang-terang saya katakan SPR ni menjaga Umno dan Barisan Nasional (BN), langsung tidak jaga orang lain.

“Sepatutnya tanya juga pihak sini (Kelantan) boleh kah buat tarikh tu, dia (SPR) tahu waktu tu sidang Dun Kelantan sedang berjalan,”ujarnya.

Beliau yang juga Mursyidul Am PAS mendakwa, tindakan yang hanya mementingkan diri dan sebelah pihak tanpa memikirkan orang lain itu akan membangkitkan rasa benci terhadap kerajaan pusat.

Menurutnya lagi, SPR hanya berfikir untuk menyenangkan Umno BN sahja dengan mengenepikan kepentingan pihak lain.

Semalam SPR mengumumkan tarikh penamaan calon 26 Oktober ini, manakala tarikh mengundi pada 4 November.

Harakahdaily/-

Campur tangan politik punca PDRM terjejas

29 Syawal 1431 H
Oleh: Mohd Nor Yahya

KOTA BHARU, 7 Okt: Pakar undang-undang perlembagaan menyifatkan campur tangan keterlaluan kerajaan (politik) dalam institusi Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyebabkan kredibiliti jabatan itu tercemar dan boleh menghakis kepercayaan rakyat.

Prof Dr Abdul Aziz Bari dari Universiti Islam antarabangsa (UIAM) berkata, jabatan polis sekarang dilihat dipergunakan parti pemerintah bagi mempertahankan hegemoni politik.

”Maka tidak hairanlah apabila polis terlalu banyak bidang kuasa sehingga kebebasan rakyat untuk bersuara pun terhalang.

“Seharusnya pihak polis perlu bertindak dengan bijak dan bukan menyekat kebebasan rakyat bersuara kerana ia dibenarkan dalam perlembagaan,” katanya ketika ditemui di Bengkel Penjelasan Perlembagaan Mengenai Konsep Federalisme di Bilik Gerakan Negeri di sini, hari ini.

Sebelum ini mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mendedahkan ada campur tangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam institusi polis sehingga membelakanginya sebagai ketua jabatan.

Menurut Musa ada pegawai-pegawainya dikawal, sedangkan tanpa disedari perbuatan itu salah.

Dr Abdul Aziz berkata, kerajaan pusat mempunyai banyak saluran untuk menyebarkan maklumat kepada rakyat termasuk Jabatan Penyiaran Malaysia dan media harian.

Sedangkan katanya, pembangkang tidak mempunyai kemudahan tersebut kecuali ceramah politik bagi menjelaskan sesuatu isu kepada rakyat.

Oleh itu, beliau mencadangkan Jabatan Polis dibebaskan daripada tuan politik kerana peranan mereka menjaga ketenteraman awam.

”Jabatan Polis adalah milik rakyat dan mereka lebih memahami kehendak setempat termasuk polisi kerajaan negeri,” katanya.

Beliau juga berpendapat jabatan polis tidak perlu diberi tanggungjawab yang melampaui bidang tugas mereka bagi memperlihatkan kecekapan agensi berkenaan.

Harakahdaily/-

Jamuan Ilmuan Perantau ditangguh

29 Syawal 1431 H

BANGI, 7 Okt: Program Anak Terengganu di perantauan iaitu Jamuan Aidilfitri Ilmuan Perantau yang dijadualkan pada 9 Oktober (Sabtu) ini di Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi terpaksa ditangguhkan.

Penyelaras program, Zulhilmi Abd Rahman berkata, program itu terpaksa ditangguhkan ke satu tarikh akan akan dimaklumkan kemudian di atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Beliau bagi pihak penganjur memohon maaf di atas penangguhan tersebut.

Harakahdaily/-

Himpunan generasi kedua Felda 10 Okt

29 Syawal 1431 H

SHAH ALAM, 7 Okt: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) akan mengadakan satu himpunan generasi kedua Felda di perantauan pada 10 Oktober (Ahad) ini di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam.

Majlis akan bermula pukul 8 malam itu akan menampilkan AJK PAS Pusat, Mohamad Sabu, Mazlan Aliman (Pengerusi Anak), Azman Shapawi Abd Rani (Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat) dan Khalid Samad (MP Shah Alam).

Menurut pengarah program, Mohd Nasaie Ismail, himpunan itu dibuat untuk melancarkan Anak Lembah Klang dan juga memberi pendedahan isu-isu Felda kepada warga Lembah Klang.

Selain anak, cucu dan menantu peneroka Felda, katanya penganjur juga menjemput orang ramai untuk hadir beramai-ramai bagi mendengar ucapan pimpinan khususnya berkaitan isu Felda dan isu politik negara mutakhir ini.

“Program ini merupakan rentetan usaha-usaha memperjuangkan hak peneroka Felda dan isu berkaitan dengan tanah. Selepas melancarkan Anak generasi kedua Felda), Bapa (Felcra), Anak Lembah Klang ini akan mengukuhkan lagi gerakan menuntut hak-hak peneroka,” katanya.

Menurutnya, pada tarikh yang sama sebelah siangnya akan diadakan pertemuan dengan alumni kakitangan Felda yang turut sama memberi sokongan terhadap usaha itu.

Harakahdaily/-

Penduduk 'gaduh' lagi dengan TNB, tiga ditahan

29 Syawal 1431 H
Oleh: Wong Teck Chi

Kekecohan sekali lagi tercetus di kampung baru Rawang apabila pekerja Tenaga Nasional Bhd (TNB) cuba memulakan kerja-kerja pembinaan kabel bervoltan tinggi di kawasan berkenaan.

Lebih 12 pekerja TNB yang diiringi oleh kira-kira 50 polis tiba tanpa sebarang pengumuman dan memulakan kerja-kerja pada jam 9 pagi.

Menurut beberapa saksi, pekerja TNB cuba menimbus kawasan berlopak di tapak berkenaan bagi memudahkan jentera berat ke kawasan itu.

Namun puluhan penduduk yang mengetahui perkembangan itu cuba menghalang mereka dan pertelingkahan kecil berlaku.

Seorang pekerja TNB terjatuh ke dalam longkang dalam pergelutan itu yang kemudiannya menyaksikan pertikaman lidah antara kedua-dua pihak.

Kejadian itu memaksa pihak berkuasa menahan tiga individu. Mereka adalah seorang penduduk kampung dan dua pembantu kepada ADUN Rawang, Gan Pei Nei.

Beberapa saksi mendakwa kejadian yang menimpa pekerja TNB itu tidak ada kaitan dengan ketiga-tiga individu yang ditahan itu.

Penduduk sebelum ini melahirkan kebimbangan mereka kerana khuatir pembinaan menara berkenaan sekali gus juga akan menyebabkan kampung itu terbahagi dua.

Mereka membawa kes berkenaan ke Mahkamah Persekutuan pada November lalu tetapi mahkamah memutuskan bahawa TNB mempunyai hak untuk meneruskan projek itu.

Mahkamah juga memerintahkan TNB supaya membayar pampasan berjumlah RM10.4 juta kepada penduduk terlibat yang telah mereka melaksanakan.

Apabila siap kelak, projek yang melibatkan pemasangan kabel voltan tinggi sepanjang 59km, kira-kira satu kilometer jaraknya dari Kampung Sg Terentang itu akan menyaksikan pembinaan lima menara satu tiang.

Projek CAR akan meningkatkan pengeluaran tenaga elektrik daripada 33kV kepada 275kV dan membantu mengatasi kekurangan kuasa di Lembah Klang.

Malaysiakini/-

Masjid, al-Quran dibakar

29 Syawal 1431 H

RAMALLAH - Penyerang tidak dikenali membakar sebuah masjid dan beberapa naskhah kitab al-Quran selain menconteng dinding masjid dengan kata-kata kesat yang ditulis dalam bahasa Hebrew di sebuah kampung di Tebing Barat, Isnin lalu.

Pendatang haram Yahudi dilaporkan bertanggungjawab atas perbuatan yang meningkatkan lagi ketegangan dalam proses damai Timur Tengah yang tergendala selepas dimulakan, awal bulan lalu.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengeluarkan kenyataan mengecam serangan itu dalam percubaan menyelamatkan imej Israel selepas dikritik pemimpin dunia kerana enggan melanjutkan tempoh pembekuan pembinaan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat.

Pembinaan penempatan haram Yahudi menjadi halangan utama dalam proses damai Palestin-Israel apabila negara rejim itu terus membina rumah di atas tanah milik Palestin bagi 300,000 warga Israel.

Tiada sebarang tahanan atau dakwaan berhubung serangan itu dibuat.

Sementara itu, wakil pendatang Yahudi yang mengecam serangan itu menghadiahkan beberapa naskhah baru al-Quran kepada mas-jid tersebut, kel:marin.

Sinar Harian/-

Orang luar campur

29 Syawal 1431 H

IPOH – Demonstrasi aman melibatkan 30 pemuda mendakwa mereka sebagai ahli DAP Cawangan Buntong yang menyatakan sokongan terhadap Timbalan Pengerusi DAP, M Kulasegaran disifatkan sebagai palsu.

Naib Pengerusi, A Sivanesan berkata, pemuda itu boleh mengaku mereka ahli DAP, sedangkan beliau tidak kenal dan tidak pernah nampak pun wajah mereka dalam parti sebelum ini.

Menurutnya, ini semua hanya wayang dan propaganda individu serta kumpulan tertentu yang bermotifkan politik untuk memperlihatkan kepada masyarakat kononnya DAP sedang mengalami krisis kepimpinan.

“Tindakan sekumpulan pemuda ini jelas bertentangan dengan pendirian parti yang penyokong atau pemimpin tidak boleh jadi musuh kepada parti DAP.

“Kalau melihat senario dalam parti-parti lain pun turut mengalami masalah yang sama, tapi bila terkena pada kami, ia diperbesarkan seolah-olah krisis meruncing melanda DAP,” katanya kepada pemberita di Wisma DAP di sini, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan 30 pemuda menganjurkan demonstrasi aman di perkarangan Wisma DAP, di sini, semalam kononnya mengaku penyokong kepada M Kulasegaran.

Sivanesan berkata, realitinya tiada sebarang krisis yang timbul dalam parti tapi hanya perselisihan faham kecil di antara pemimpin tertinggi.

Katanya, Kulasegaran sendiri telah bertemu dengan beliau sebelum berlepas ke Nepal menyatakan pendirian tidak akan berundur, mahupun melepaskan sebarang jawatan dalam parti, sebaliknya akan terus bekerjasama dengan semua kepimpinan DAP.

“Apa yang mencurigakan, penganjuran demonstrasi ini besar kemungkinan melibatkan pihak ketiga kerana kelihatan seorang bekas Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) berlegar-legar di perkarangan wisma DAP.

“Ini jelas menunjukkan bahawa ada orang luar yang cuba memecahkan belah pemimpin DAP,”katanya.

Sinar Harian/-

08 Oktober 2010

Samsuri yang cukup menyenangkan

29 Syawal 1431 H
Oleh: Ahmad Lutfi Othman

Sepatutnya saya bertemu dan bersembang panjang dengannya ketika majlis jamuan menjelang Ramadan lalu di hadapan pejabat editorial Harakah, Jalan Pahang Barat. Sudah agak lama kami tidak berjumpa. Selepas menjalani pembedahan pintasan jantung akhir April lalu, ada-ada saja rintangan yang menghalang.

Hari itu, saya tidak dapat lama melayani teman-teman yang datang. Pertama, masih uzur dan mudah penat kalau banyak bergerak. Kedua, disebabkan empat wartawan negeri turut hadir, saya memanfaatkannya untuk bermesyuarat ringkas. Tidak mudah untuk bersembang dengan mereka. Segera saya naik ke tingkat dua.

DIAJAK BERCERITA

Ketika kami berbincang santai, tertera panggilan dari Samsuri. Belum sempat menjawab, terputus. Saya mengharapkan Samsuri Roslan akan menunggu di bawah. Tentu ramai lagi kawan-kawan di Harakah yang boleh diajak bercerita.

Mesyuarat selalunya tidak memakan masa lama. Tapi, saya yang masih bercuti, leka berbual. Azan Asar mengejutkan saya bahawa ada rakan akrab yang menanti lama.

"Ana dah balik," jawab Samsuri, tetap dengan nada ceria apabila saya menelefonnya. Pastinya tiada siapa menduga bahawa saya baru saja terlepas peluang terakhir mendengar celoteh dan jenakanya.

Hinggalah pagi Rabu, 6 Syawal, saya mengusiknya lewat SMS: "Tak habis raya lagi ka?" Aidilfitri kali ini saya tahu Samsuri ke kampung isterinya, di Gerik, Perak.

Jawapan yang saya terima cukup mengejutkan: "Abah tidak sihat, kena stroke, sekarang di ICU Hospital Ipoh." Terpukul saya menerima khabar duka itu.

Tanpa membuang masa saya mencari seseorang yang boleh membawa saya segera ke Ipoh. Anak saudara, Rozani Morad, yang juga kenalan Samsuri, menyanggupi.

DESTINASI PALING JAUH

Ipoh hanya memerlukan dua jam untuk sampai, namun sepanjang empat bulan berehat panjang selepas "by-pass", destinasi paling jauh yang saya gagahi adalah rumah mentua di Kota Warisan, Sepang. Itu pun kaki agak bengkak di subuh raya pertama.

"Niat dan usaha yang baik tidak boleh ditangguhkan," kata pendorong isteri saya, memutuskan segala keraguan untuk menziarahi Samsuri. Saya risau keadaan tubuh yang uzur menghalangi.

Namun resah menampar lebih kuat jika saya hanya mendengar berita dari jauh tanpa bersemuka dengannya.

Unit Rawatan Rapi (ICU) kerap menyuntik kesedaran dan keinsafan. Wajah-wajah keluarga yang menunggu di luar wad tidak dapat menyembunyikan kegelisahan dan harapan yang cukup tinggi. Apatah lagi saudara dan teman rapat yang tidak putus-putus berdoa.

Seorang rakan pernah berkata: "Aku rasa masjid atau surau yang paling khusyuk adalah raung solat di hospital. Pergantungan kepada Allah cukup rapat dan dekat." Saya sempat menunaikan solat Asar di masjid baru berdekatan Hospital Ipoh.

MENEROPONG KEKERDILAN DIRI

Menatap Samsuri yang terlantar, masih tidak sedarkan diri di katil, seperti meneropong kekerkedilan diri. ICU Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, terasa syahdu.

Lebih kurang 13 tahun lalu, saya berkejar dari Kuala Lumpur ke Ipoh, juga bersama Rozani yang baru berkahwin, selepas mendengar berita ayahnya, Morad Ismail meninggal dunia semasa memandu kereta untuk masuk ke sebuah masjid. Almarhum Morad ialah ayah Rozani, iaitu abang ipar yang juga sepupu saya.

Selama 135 hari lalu, selama tiga hari saya turut meniti detik-detik getir di ICU, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Isteri Samsuri, Siti Faizah Abu ternyata tabah dan cekal. Empat anak mereka, semuanya perempuan, memberi kekuatan buat Faizah. Dua daripadanya menuntut di utara semenanjung - Arau dan Sungai Petani. Yang tinggal bersama mereka di Taman Seri Puteri, Meru, anak paling kecil, 10 tahun dan seorang lagi pelajar tingkatan dua.

Faizah menjelaskan Samsuri "sihat-sihat aja" menyambut 1 Syawal di rumah keluarganya di Gerik, sehinggalah pada tengah malam raya ketiga. Beliau muntah-muntah sebelum diserang angin ahmar dan dikejarkan terus ke Hospital Gerik. Tanpa menunggu lama Samsuri dipindahkan ke Ipoh.

AYAT-AYAT SUCI

Samsuri tidak bergerak. Langsung tiada apa-apa reaksi apabila saya mengenggam erat tangan kanannya. Saya bisikkan ke telinganya kalimah Tauhid, ayat-syat suci dan kata-kata perangsang. Matanya dilihat berkedip, mungkin sebagai respons awal.

Saya beralih ke sebelah anggota kirinya. Genggaman saya seperti bersambut. Rozani memberitahu, air mata Samsuri menitik. Bacaan doa saya tersekat-sekat. Saya yakin rakan baik saya itu mendengarnya.

Hampir setiap hari selepas itu saya bertanya khabar melalui SMS ke telefon bimbit Samsuri. Meskipun jawapan anak-anaknya ringkas namun ia sarat dengan sejuta pengharapan. Mereka memaklumkan ada petanda kecil perubahan positif pada Samsuri.

Namun, Zulkifli Sulong, Ketua Pengarang Harakahdaily yang menziarahinya lima hari selepas saya, memaklumkan Samsuri masih koma. Tentunya saya dapat memahami impian tinggi anak-anak Samsuri agar abah mereka segera pulih.

"Saya yakin Samsuri cukup kuat semangatnya, apatah lagi keluarganya bagi hadapi saat-saat genting ini," SMS saya kepada anggota keluarganya.

Saya mula mengenali Samsuri ketika belajar di tahun akhir Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Jalan Gurney (kini Jalan Semarak), Kuala Lumpur, 1985-86.

Gelodak perjuangan mahasiswa, terutama ketika saya menerajui Persatuan Mahasiswa (PMUTM) menentang tindakan keras universiti memecat sembilan pelajar wanita berpurdah menemukan kami; saya sebagai aktivis pelajar dan Samsuri wartawan akhbar politik, Watan. (Sebenarnya rakan sejawatnya, "seorang lagi Samsuri", iaitu Samsuri Mamat yang lebih banyak melaporkan "kegiatan nakal" saya).

TABIR DALAMAN

Beliau banyak membantu saya mengasah bakat penulisan dan mendedahkan kisah belakang tabir pergolakan dalaman Umno. Penulis muda seperti saya amat perlukan dorongan.

Sokongan moral paling kuat apabila tulisan kita yang penuh kelemahan tersiar. Samsuri dan beberapa rakan lain di Watan ketika itu, antaranya Daud Ibrahim, menyediakan ruang untuk saya bereksperimen.

Semasa di kampus, selain Watan, saya lebih kerap menyumbang artikel kepada tabloid Mingguan Bumi, yang diasas dan dikelola oleh Almarhum Pak Hussein Yaakob. Pak Hussein, atas nama pena Ibnu Muslim, kemudiannya menjadi kolumnis Harakah yang diminati ramai, termasuk ketika saya menerajui lidah rasmi PAS itu.

Tarikh 27 Oktober 1987 bukan saja merampas kebebasan lebih 100 aktivis masyarakat di bawah Operasi Lalang ISA. Sehari selepas itu, ia mencatat detik hitam buat wartawan Watan (yang diterbitkan dua kali seminggu), dan dua harian berpengaruh, The Star dan Sin Chew Jit Poh digantung penerbitan.

Yang pasti Watan dan The Star yang muncul selepas itu sudah tidak sama lagi, terbatas dengan pelbagai sekatan.

BUKU POLITIK POPULAR

Saya memilih untuk membuka syarikat penerbitan sendiri, dengan menumpang pejabat abang saya, Dinsman di Plaza Pekeliling, Jalan Tun Razak. Majalah tanpa permit, antaranya "Demokrasi Zaman Mahathir" dan "Selepas 3 Tahun Memali", tidak mudah menembusi pasaran. Ramai pengedar dan pekedai tidak bersedia berdepan risiko dirampas KDN. Saya kemudiannya memilih pendekatan buku-buku politik popular.

Secara tidak rasmi, Samsuri adalah pembekal maklumat dan pentafsir gerak politik yang kadang-kadang sukar ditelah. Darinya saya memperolehi scoop dan berani membuat ramalan - elemen yang amat diperlukan dalam penulisan buku politik.

Di antara buku awal ialah Anwar Lawan Ghafar?, yang saya mulakan penulisannya setahun sebelum bekas Menteri Kewangan itu secara rasmi mencabar Ghafar Baba dalam pertandingan Timbalan Presiden Umno.

Samsuri menemani saya mengunjungi rumah terbuka Aidilfitri Anwar di Bukit Damansara. Saya pergi semata-mata untuk menyerahkan naskhah awal buku itu kepada Anwar sendiri (akhirnya disampaikan kepada Khalid Jaafar di majlis berkenaan), yang saya kenali dengan lebih dekat semasa beliau menjadi Menteri Pendidikan.

Pada awal 1986, surat tahniah saya sebagai Setiausaha Agung PMUTM atas perlantikannya menggantikan Abdullah Ahmad Badawi, sekali gus berbau "ugutan" kepada Anwar, dijadikan tajuk depan Watan, dan kandungan warkah itu disiarkan sepenuhnya di muka dalam.

Surat itu sebenarnya dihantar ketika saya bersama pimpinan pelajar dari seluruh negara mengadakan pertemuan pertama dengan Anwar.

DIPECAT UTM

Seminggu selepas itu, sekali lagi saya dijadikan berita utama Watan apabila dipecat daripada UTM! Tidak hairanlah jika ramai yang mengandaikan saya dipecat ekoran kritikan terbuka kepada Anwar, walhal realitinya tiada berkaitan pun. Saya sebenarnya keuziran dan tidak dapat memasuki dewan peperiksaan akhir (tahun kelima kursus sarjana muda kejuruteraan awam).

Satu demonstrasi besar selepas solat Jumaat membantah pemecatan saya membabitkan ramai pemimpin pelajar sekitar Lembah Klang. Antara pemimpin pelajar yang hadir ialah Saifuddin Ismail Nasution, ketika itu Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Pertanian Malaysia (PMUPM).

Saya masih ingat, ia diadakan sehari selepas tarikh penamaan calon pilihan raya umum 1986. Kampus UTM hanya beberapa langkah daripada pusat FRU (Pasukan Simpanan Persekutuan), yang siap bertindak untuk mematahkan apa juga demonstrasi yang dianjurkan.

Teriakan reformasi yang bergema pada awal September 1998 tambah mengeratkan lagi hubungan saya dengan Samsuri. Saya melepaskan jawatan di majalah Tamadun (yang memecah rekod kerana diulang cetak sebanyak tiga kali dalam edisi khas pemecatan Anwar sehingga mencecah 140,000 naskhah) dan bersama Samsuri menerbitkan semula majalah Detik yang dimilikinya. Permit Detik atas nama Samsuri.

FENOMENA DETIK

Samsuri menyerahkan sepenuhnya majalah itu kepada saya, dari segi editorial dan urusan bisnes. Meskipun berdepan kemungkinan tindakan represif KDN, Samsuri langsung tidak membayangkan "syarat-syarat tidak bertulis" kepada saya. Walhal beliau lebih dianggap dekat dengan Umno walaupun semasa bertugas di Watan, Samsuri banyak melaporkan aktiviti pembangkang.

Hampir setiap hari kami berlabun panjang di pejabat saya, Penerbitan Pemuda, Medan Idaman, Gombak. Kalau turun kedai mamak, Hameed atau Restoran Nasi Kandar Deen, tidak cukup dengan tiga gelas teh tarik. Juadah paling digemarinya adalah nasi kandar kambing, ditambah telur ikan. Dalam serius, terselit lucunya. Guraunya cukup menyenangkan.

Apabila berbual bersamanya, saya tanpa segan boleh berkongsi apa saja, baik impian, idea, harapan, cita-cita, angan-angan ... ya, segalanya. Ceritalah, dan dia akan sanggup mendengar walaupun sebahagiannya hanya impian yang mustahil untuk digapai.

Ketika gelisah, dia menenangkan. Ketika bimbang, dia menenteramkan. Ketika bosan, dia menceriakan. Ketika sedih, terutama masa kematian anak kedua saya, Nurul Syafiqah, 11 tahun, Samsuri yang paling awal menyabarkan.

Malah, dia telah menyiapkan satu bab panjang kenang-kenangan bersama Syafiqah, yang saya rancang untuk terbitkan dalam bentuk buku. Malangnya, buku itu berbengkalai dan tulisan Samsuri yang begitu menyentuh itu hilang bersama PC saya yang rosak.

Hampir setiap bulan, apabila saya menziarahi emak mentua di Bandar Baru Klang, kami pasti bersembang lama di kedai mamak berdekatan. Rumah Samsuri hanya 15 minit perjalanan dari situ.

NAFAS PENDEK

Majalah Detik hanya sempat setahun genap bernafas di bawah kelolaan saya. Keputusan pilihan raya umum ke-10, 29 November 1999, yang mengejutkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad telah menamatkan riwayat majalah yang dilihat mendokong kuat gerakan reformasi itu.

Samsuri sudahpun membayar RM500 kepada KDN untuk pembaharuan permit Detik tetapi arahan politik boleh membatalkan apa jua keputusan pegawai kerajaan. Kontroversi Detik, yang dianggap majalah berat sebelah menyokong pembangkang, telah dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno. Memang benar kami banyak mengedarkan majalah itu secara percuma semasa tempoh berkempen pilihan raya umum ke-10.

Samsuri nampak tenang saja sedangkan saya gelisah diamuk amarah. Pengharaman Detik menggerakkan penubuhan Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) dan lobi memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP). Bersama rakan-rakan kami menyiapkan "keranda" untuk menguburkan Detik.

Saya "menghasut" Samsuri supaya bangkit menentang namun dia tetap tersenyum: "Anta lawanlah dengan cara anta."

Pagi Ahad lalu, 3 Oktober, SMS saya bertanyakan perkembangan Samsuri lambat dijawab. Sebelah petangnya SMS itu mendapat respons dengan panggilan telefon.

Hairan juga saya. Belum sempat salam dilafaz, suara terputus. Ingat saya, anaknya mungkin tersalah tekan nombor.

Deringan ketiga membawa berita sedih. "Pakcik Lutfi ya? Abah baru meninggal sebentar tadi."

KEHILANGAN AMAT TERASA

Secepat itu saya kehilangan sahabat yang paling istimewa, anak kelahiran Kampung Raja Musa, Kuala Selangor, 48 tahun, anak kepada pasangan Roslan Sulaiman dan Suliah Siam.

Ibunya juga meninggal dunia selepas diserang angin ahmar. Samsuri sempat membawa saya menziarahi ibunya di Jengka, Pahang. Mereka berhijrah ke tanah rancangan Felda pada 1974.

Semasa mengucup dahinya buat kali terakhir selepas solat jenazah, air mata saya tumpah, tidak dapat ditahan lagi. Sebak. Pilu. Tetapi lebih sayu dan menghiris bila terpandang anak bongsunya yang masih menunggu kedua-dua kakaknya yang belum tiba dari utara.

Sahabat sebaik dan sehebat Samsuri sukar dicari ganti. Sungguh, ia ibarat satu dalam seribu. Samsuri cukup menyenangkan dan amat memahami.

PERBUALAN TERAKHIR

Dalam perbualan terakhir kami, saya banyak bercakap tentang kematian. Tapi saat itu saya membayangkan, saya yang selalu sakit akan pergi dahulu. Ajal maut tiada siapa dapat menduga.

Moga segala kesalahannya diampuni Ilahi dan keluarganya tabah menghadapi dugaan sukar ini. Mudah-mudahan amal baiknya diterima Allah. Usia memang terbatas namun kenangan bersahabat akan terpahat selamanya.

Ketika mahu menutup catatan ini, muncul mesej dalam facebook saya, dari Presiden Pena, Mohamad Saleeh Rahamad: "Saya juga terkenang Samsuri, yang sangat baik masa kerja di Watan dulu ... kenangan hebat dengan arwah, tapi lama betul tak jumpa. Sedih."

Saleeh teman sejawat Samsuri semasa Watan diketuai Mohd Khairune Ali. Ramai nama-nama besar wartawan politik bersama akhbar politik terkemuka itu.

Harakahdaily/-

Kemelut PKR tak akan jejas PAS pertahan Galas

28 Syawal 1431 H
Oleh: Abdul Rahim Sabri

PAS menganggap pendedahan Rahimi Osman - bekas pembantu Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim - berhubung dua akuan bersumpah yang didakwanya "tidak tepat", tidak akan menjejaskan peluang Pakatan Rakyat dalam kempen pilihan raya kecil DUN Galas 4 November ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, perkara berkenaan "tidak ada kena mengena dengan pilihan raya ini" kerana terdapat banyak isu tempatan yang boleh diketengahkan.

"Ia tidak ada kena mengena dengan pilihan raya ini. Banyak isu tempatan (yang boleh diketengahkan). Ia tidak ada masalah," katanya dalam satu sidang media di ibu pejabat parti itu di ibunegara pagi ini.

Mustaffa menjawab soalan pemberita berhubung satu sidang akhbar - yang dipercayai ada kaitan dengan perbicaraan liwat terhadap Anwar yang sedang berjalan - oleh bekas pembantu ketua umum PKR itu.

Sidang akhbar itu sepatutnya diadakan di restoran Lotus di Klang pada jam 4 petang semalam, tetapi kemudiannya dibatalkan berikutan kemunculan sekumpulan lelaki yang membantahnya.

Rahimi bagaimanapun sempat memberitahu wartawan bahawa dia telah membuat laporan polis di ibu pejabat polis daerah Klang berhubung dua akuan sumpah (SD) yang dibuat pada 2008 adalah tidak tepat dan beliau dipaksa berbuat demikian.

Mengenai pelantikkan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai pengarah pilihan raya di Galas, Mustaffa berkata pelantikan yang dianggap sebagai 'senjata rahsia' Umno itu mungkin membawa padah.

Katanya, Razaleigh memang tidak dinafikan sebagai pemimpin berpengaruh Umno di Kelantan, namun beliau mempunyai banyak pandangan yang berbeza dengan Putrajaya.

“Beliau umpama pedang dua mata,” kata Mustaffa.

Sejak menganggotai Umno semula pada 1996, Razaleigh dilihat dipinggirkan oleh Umno tetapi dibiarkan 'berkuasa' di parlimen Gua Masang yang mana Galas terletak.

Sejak beberapa tahun itu, Razaleigh seringkali membidas Umno berhubung dasar parti dan kerajaan. Antara yang terbaru ialah keenganan kerajaan persekutuan memberikan royalti minyak kepada Kelantan.

"PAS menganggap Ku Li merupakan pemimpin yang paling berpengaruh (di Gua Musang). Kita hormatinya....Kita tidak boleh pandang mudah. Kita masuk pilihan raya ini, saya yakin Datuk Abdul Halim dan jentera operasi akan memainkan peranan," katanya.

Mustaffa merujuk kepada pengarah pilihan raya PAS pusat, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman yang turut hadir bersama pada sidang media hari ini.

Abdul Halim pula berkata PAS optimis untuk mempertahankan kerusi DUN berdasarkan analisis dalam pilihan raya umum lalu.

Dalam pilihan raya itu, menurutnya, jumlah pengundi di DUN Galas yang memilih calon BN sebanyak 3,826, manakala calon PAS mendapat 4,143.

"Dari segi (perangkaan) ini sahaja, Kalau Ku Li (Tengku Razaleigh) menjadi calon, dia (BN) akan kalah. Dari fenomena ini, tidak sukar untuk PAS mempertahankan kerusi itu," katanya.

Ditanya mengenai calon PAS, Mustaffa berkata parti itu dijangka bermesyuarat minggu depan untuk membincangkan perkara itu selepas menerima senarai pendek calon yang layak daripada PAS Kelantan.

Malaysiakini/-

DAP dakwa penunjuk perasaan bukan ahlinya

28 Syawal 1431 H

Pengerusi DAP Cawangan Taman Pertama di Buntung, Tang Yaw Hooi berkata, sekumpulan kurang 20 lelaki yang berdemonstrasi di hadapan ibu pejabat DAP Perak di Ipoh, semalam bagi mendesak Timbalan Pengerusi DAP Perak, M Kulasegaran keluar daripada parti itu bukan ahlinya.

Menurut Tang, nama mereka itu tidak tersenarai dalam pendaftaran ahli DAP.Beliau berkata demikian selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh hari ini bagi meminta polis menyiasat latar belakang kumpulan itu.

Semalam, selain mendesak supaya Kulasegaran keluar daripada DAP dengan alasan pemimpin berketurunan India dalam DAP dipinggirkan, mereka juga mengecam kepimpinan DAP Perak.

Naib Pengerusi DAP Perak, A Sivanesan, yang mengiringi Tang membuat laporan itu, berkata bantahan itu dilakukan "kumpulan dalaman" yang cuba membuat kacau.

Katanya, Kulasegaran, yang kini berada di Nepal ketika dihubungi, menafikan pembabitan dengan kumpulan berkenaan.

Malaysiakini/-

PKR: Ada 'tangan' di belakang Rahimi

28 Syawal 1431 H
Oleh: Jimadie Shah Othman

Dua peguam yang didakwa memaksa Rahimi Osman membuat dua akuan bersumpah memberi amaran mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas pembantu Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

Peguam N Surendran berkata, kenyataan Rahimi itu jelas pembohongan dan fitnah terhadap dua anak guamnya Latheefa Koya dan Saiful Izham Ramli.

"Tanpa ragu, kami rasakan ia merupakah satu fitnah. Kami akan keluarkan surat peguam supaya beliau menarik balik kenyataan itu, membuat permohonan maaf terbuka atau menghadapi tindakan undang-undang," kata Surendran.

Ditanya sama ada beliau akan memberikan seminggu kepada Rahimi menarik balik dakwaannya semalam, Surendran berkata: "Lebih cepat daripada itu."

"Saya rasa dia tak perlu seminggu. Dia tahu dia berbohong. Hanya perlu 24 jam untuk tarik balik," katanya.

Semalam, Rahimi mendakwa akuan bersumpah kedua dipinda kandungannya untuk memalit dan memfitnah Najib dan Rosmah dalam konspirasi terhadap Anwar dalam kes liwat ketua pembangkang itu.

Beliau mendakwa telah dipaksa menandatangani dua akuan bersumpah "yang tidak benar" tanpa diberikan salinannya.

Selari dengan kenyataan kepada polis

Menurutnya juga, selain membuat laporan polis dan menceritakan hal sebenar beliau telah membuat satu akuan bersumpah yang baru. Dokumen itu didakwa dikemukakan bersama laporan polisnya.

Sementara itu bercakap dalam sidang media di ibu pejabat PKR tengah hari ini, Latheefa dan Saiful Izham secara rasmi menafikan dakwaan Rahimi bahawa lelaki itu dipaksa membuat akuan bersumpahnya yang mengaitkan Datuk Seri Najib Razak dan Rosmah Mansor.

Menurut mereka, Rahimi (kiri) - rakan Mohd Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa diliwat Anwar - sebaliknya membuat akuan tersebut dengan kerelaan.

Latheefa dan Saiful Izham - kedua-duanya pemimpin kanan PKR - juga mempersoalkan dakwaan Rahimi semalam memandangkan ia dibuat selepas dua tahun setengah.

Menceritakan sebab akuan bersumpah itu dibuat, Latheefa yang juga ketua penerangan PKR memberitahu ia bertujuan menghadapi kemungkinan Rahimi dipanggil sebagai seorang saksi dalam kes perbicaraan liwat Anwar.

Lagi pun, menurut Latheefa, maklumat yang diberikan Rahimi kepada mereka selari dengan dengan kenyataannya kepada pihak polis pada 23 Julai 2008.

"Beliau sahkan bahawa beliau tahu Saiful (Bukhari) telah menemui Najib dan Rosmah," kata Latheefa.

Sivarasa: Bab kedua lagi beberapa hari

"Beliau juga memberitahu polis bahawa dibawa oleh Mumtaz Jaafar, rakan baik Rosmah untuk menemuinya dan Najib.

"Rahimi kongsi maklumat ini dengan kami selepas memberikan keterangan kepada polis.

Manakala Saiful Izham pula yang mendakwa terkejut dengan berita

semalam mendakwa Rahimi membuat kenyataan media itu bagi memberikan kesan negatif terhadap perjalanan posiding melibatkan kes Anwar.

"Saya hairan, sekiranya dia ditahan, mana mungkin dia dengan parti selepas itu, turun berkempan dalam pilihan raya kecil, khususnya di Permatang Pauh," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden PKR R Sivarasa pula berkata, pihaknya mengesyaki ada pihak lain di belakang Rahimi.

"Ada tangan di belakang dia yang merancang episod baru ini? Itu akan kita ceritakan (kemudian).

"Itu akan jadi bab kedua dalam beberapa hari lagi. Kami akan beritahu," kata Sivarasa masih berteka-teki.

Malaysiakini/-

Rahimi karut, manipulasi akuan bersumpah

28 Syawal 1431 H
Oleh: Dzulfikar Mashoor

PETALING JAYA, 7 Okt: Naib Presiden PKR, Sivarasa Rasiah menganggap laporan polis terbaru yang dibuat oleh Rahimi Osman adalah karut bagi memanipulasi akuan bersumpah.

Rahimi, bekas pegawai khas Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam menuduh dua peguam - Latheefa Koya dan Saiful Izham Ramli memaksanya menamakan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor pernah berjumpa Saiful Bukhari Azlan (saksi utama kes liwat) dalam akuan bersumpah (SD) keduanya pada 28 Jun tahun lalu.

Walhal katanya, Rahimi sendiri pada 23 Jun tahun lalu mempertahankan akuan bersumpah itu ketika memberi keterangan kepada polis.

"Ia suatu manipulasi fakta yang tidak benar," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR, di sini.

Manakala, Latheefa dan Saiful masing-masing turut menafikan dakwaan Rahimi kononnya memaksa diubah inti akuan bersumpah pertamanya di Quality Hotel sebelum ini.

Rahimi turut mengaku bahawa turut menyaksikan konsultansi Latheefa dan Saiful di Quality Hotel pada 28 Jun lalu memandangkan beliau merupakan kenalan paling akrab kepada Saiful Bukhari Azlan, saksi utama yang mengaku diliwat Anwar.

"Dari pemerhatian saya terhadap Rahimi, kedatangannya adalah untuk memberikan kerjasama kepada pihak kami (peguam).

"Saya boleh sahkan di sini bahawa tidak ada apa-apa paksaan ke atas beliau," tegas Sivarasa.

Disebabkan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Subang tidak menolak kemungkinan bahawa wujudnya satu lagi konspirasi untuk memburuk-burukkan parti serta Anwar, Ketua Umum PKR.

"Kita nampak ada tangan di belakangannya untuk merancangkan episod buruk ini," tegasnya.

Sebelum pada itu, Latheefa memberitahu bahawa Rahimi ketika akuan bersumpah kedua ditulis mengaku bahawa Mumtaz sebenarnya bertanggungjawab membawa Saiful Bukhari berjumpa Najib dan Rosmah.

Saiful Izham pula kemudiannya membangkitkan unsur keraguan yang tidak munasabah di sebalik kenyataan media serta laporan polis yang dibuat Rahimi itu.

"Yang menjadi kehairanan kami, sekiranya beliau ditahan oleh kami secara paksa, mana mungkin beliau bersama-sama dengan parti selepas dari itu untuk membantu kempen-kempen, khususnya di Permatang Pauh," ujar Saiful.

Manakala, peguam N. Surendren yang mewakili Latheefa dan Saiful Izham kemudiannya menuntut supaya Rahimi memohon maaf dalam masa 24 jam serta menarik balik tuduhan berunsur fitnah itu.

Tindakan undang-undang akan dikenakan, termasuk ke atas beberapa media arus perdana sekiranya Rahimi enggan berbuat demikian.

Harakahdaily/-

Manek Urai belum tunai, apa pula janji di Galas

28 Syawal 1431 H
Oleh: Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 7 Okt: PAS mengingatkan Umno Barisan Nasional agar tidak menabur janji pada pilihan raya kecil (PRK) Dun Galas kerana janji mereka di Manek Urai dahulu belum ditunaikan.

Pengarah Jabatan Pilihan raya PAS Pusat, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman berkata, Umno BN tidak wajar membuat janji baru selagi belum menunaikan janji lama.

"Janji di Manek Urai dahulu belum selesai, apa lagi yang mereka (Umno BN) nak janji di Gua Musang?" soal beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS Dun galas dalam satu sidang media di Pejabat PAS Agung, Jalan Raja Laut, hari ini.

Abdul Halim yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa juga berkata, PAS optimis untuk mempertahankan kerusi di Dun berkenaan berdasarkan analisis pada pilihan raya umum lalu.

Menurut beliau, pada pilihan raya itu, jumlah pengundi di Dun Galas yang memilih calon BN sebanyak 3,826 manakala calon PAS mendapat 4,143.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustaffa Ali pula ketika mengulas mengenai pelantikan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai pengarah pilihan raya di Galas berkata, perkara itu ada baik dan buruk kepada Umno BN dan PAS.

Beliau berkata, PAS mengakui Tengku Razaleigh merupakan pemimpin berpengaruh Umno di Kelantan, namun beliau juga mempunyai banyak perbezaan pandangan dengan kerajaan pusat.

"Itu hak BN untuk melantik sesiapa sahaja sebagai pengarah (pilihan raya) tetapi saya melihat Ku Li akan mempunyai tanggungjawab besar dalam pilihan raya ini dan menjadi 'pedang dua mata'.

"Memang PAS menganggap Ku Li orang yang berpengaruh atas isu royalti dan sebagainya tapi dari segi perspektif lain dia merupakan pedang dua mata.

"Kalau dia menjadi pengarah dan BN kalah itu satu satu perkara yang boleh digunakan Pakatan tapi kalau dia menang dia boleh menaikkan imej BN," kata beliau.

Ujarnya juga, PAS tidak memandang remeh PRK kali ini dan akan menyusun strategi sebaik mungkuin dengan dibantu Pakatan Rakyat dari seluruh negeri.

"Kita tidak pandang mudah perkara ini sebab itu kita akan masuk PRK ini dan yakin Datuk Halim dengan pengalaman yang lama dan mengetahui politik di Kelantan ini akan bersama dengan pengarah jentera operasi akan dapat memainkan peranan yang terbaik dibantu oleh Pakatan Rakyat dari setiap negeri," katanya.

Menyentuh mengenai hari pembuangan undi yang jatuh pada hari berkerja, Mustafa berkata, ianya akan mempengaruhi peratusan keluar mengundi namun yakin kedua-dua parti akan mengerahkan pengundi untuk melaksankan tanggungjawab itu.

"Oleh sebab hari mengundi pada hari berkerja, tidak akan berlaku maksimum keluar mengundi tapi kalau semua kerah mungkin peratusan keluar mengundi tinggi.

"Saya nampak kedua-dua parti akan kerah pengundi untuk keluar mengundi," katanya.

Abdul Halim pula berkata, faktor musim haji juga mempengaruhi peratusan keluar mengundi.

"Yang keluar mengundi tidak akan sampai 80 peratus seperti dinyatakan SPR sebab orang sudah mula pergi Mekah. Walaupun saya belum buat analisis di Gua Musang tapi inilah realitinya samaada PAS atau Umno," katanya.

Sementara itu, Mustaffa memberitahu, pengarah pilihan raya PAS Kelantan, Abdul Fatah Harun dilantik sebagai pengarah jentera operasi.

Mengenai calon yang akan bertanding, Mustafa berkata, perkara tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat minggu hadapan selepas menerima senarai pendek calon yang layak daripada PAS Kelantan.

Harakahdaily/-

PKR Yakin Dapat Tawan Johor

28 Syawal 1431 H
Oleh: ZABIDIE

SENAI - Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kulaijaya, Zabidie Abas yakin parti itu dapat menawan Johor dengan perancangan dan strategi yang diatur secara berkesan.

Beliau berkata, PKR negeri ini akan memperkukuhkan dan memperkuatkan parti selain membuat perancangan bagi menarik golongan belia muda negeri ini sertai parti berkenaan.

“Kita dalam cubaan menarik warga Felda, Orang Asli dan juga bagi undi pos untuk memihak kepada kita dan ini adalah langkah permulaan PKR menawan Johor.

“Kita memerlukan masa untuk menawan belia muda sertai kami, namun saya pasti satu hari nanti kita akan berjaya mendapat sokongan yang ramai,” katanya kepada Sinar Harian selepas kunjungannya ke pejabat Sinar Harian di sini, kelmarin.

Menurutnya, hubungan parti itu sesama sendiri adalah baik dan ia perlu dikekalkan bagi memastikan nama baik parti tidak tercemar.

“Setakat ini seperti mana mesyuarat cabang yang baru selesai baru-baru ini, ia berjalan dengan baik dan apa yang kita harapkan ia akan terus berkekalan.

“Banyak juga yang telah kita cuba lakukan namun untuk menarik jumlah belia yang ramai ke dalam parti ini perlu mengambil masa dan kita akan terus berjuang bagi memastikan impian tercapai,” katanya.

Zabidie berkata, tidak mustahil untuk PKR menawan negeri ini satu hari nanti jika setiap pemimpin cabang memainkan peranan masing-masing dalam memperkukuhkan parti selain melakukan pelbagai aktiviti dan memberi semangat belia untuk sertai parti berkenaan.