08 Oktober 2010

Samsuri yang cukup menyenangkan

29 Syawal 1431 H
Oleh: Ahmad Lutfi Othman

Sepatutnya saya bertemu dan bersembang panjang dengannya ketika majlis jamuan menjelang Ramadan lalu di hadapan pejabat editorial Harakah, Jalan Pahang Barat. Sudah agak lama kami tidak berjumpa. Selepas menjalani pembedahan pintasan jantung akhir April lalu, ada-ada saja rintangan yang menghalang.

Hari itu, saya tidak dapat lama melayani teman-teman yang datang. Pertama, masih uzur dan mudah penat kalau banyak bergerak. Kedua, disebabkan empat wartawan negeri turut hadir, saya memanfaatkannya untuk bermesyuarat ringkas. Tidak mudah untuk bersembang dengan mereka. Segera saya naik ke tingkat dua.

DIAJAK BERCERITA

Ketika kami berbincang santai, tertera panggilan dari Samsuri. Belum sempat menjawab, terputus. Saya mengharapkan Samsuri Roslan akan menunggu di bawah. Tentu ramai lagi kawan-kawan di Harakah yang boleh diajak bercerita.

Mesyuarat selalunya tidak memakan masa lama. Tapi, saya yang masih bercuti, leka berbual. Azan Asar mengejutkan saya bahawa ada rakan akrab yang menanti lama.

"Ana dah balik," jawab Samsuri, tetap dengan nada ceria apabila saya menelefonnya. Pastinya tiada siapa menduga bahawa saya baru saja terlepas peluang terakhir mendengar celoteh dan jenakanya.

Hinggalah pagi Rabu, 6 Syawal, saya mengusiknya lewat SMS: "Tak habis raya lagi ka?" Aidilfitri kali ini saya tahu Samsuri ke kampung isterinya, di Gerik, Perak.

Jawapan yang saya terima cukup mengejutkan: "Abah tidak sihat, kena stroke, sekarang di ICU Hospital Ipoh." Terpukul saya menerima khabar duka itu.

Tanpa membuang masa saya mencari seseorang yang boleh membawa saya segera ke Ipoh. Anak saudara, Rozani Morad, yang juga kenalan Samsuri, menyanggupi.

DESTINASI PALING JAUH

Ipoh hanya memerlukan dua jam untuk sampai, namun sepanjang empat bulan berehat panjang selepas "by-pass", destinasi paling jauh yang saya gagahi adalah rumah mentua di Kota Warisan, Sepang. Itu pun kaki agak bengkak di subuh raya pertama.

"Niat dan usaha yang baik tidak boleh ditangguhkan," kata pendorong isteri saya, memutuskan segala keraguan untuk menziarahi Samsuri. Saya risau keadaan tubuh yang uzur menghalangi.

Namun resah menampar lebih kuat jika saya hanya mendengar berita dari jauh tanpa bersemuka dengannya.

Unit Rawatan Rapi (ICU) kerap menyuntik kesedaran dan keinsafan. Wajah-wajah keluarga yang menunggu di luar wad tidak dapat menyembunyikan kegelisahan dan harapan yang cukup tinggi. Apatah lagi saudara dan teman rapat yang tidak putus-putus berdoa.

Seorang rakan pernah berkata: "Aku rasa masjid atau surau yang paling khusyuk adalah raung solat di hospital. Pergantungan kepada Allah cukup rapat dan dekat." Saya sempat menunaikan solat Asar di masjid baru berdekatan Hospital Ipoh.

MENEROPONG KEKERDILAN DIRI

Menatap Samsuri yang terlantar, masih tidak sedarkan diri di katil, seperti meneropong kekerkedilan diri. ICU Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, terasa syahdu.

Lebih kurang 13 tahun lalu, saya berkejar dari Kuala Lumpur ke Ipoh, juga bersama Rozani yang baru berkahwin, selepas mendengar berita ayahnya, Morad Ismail meninggal dunia semasa memandu kereta untuk masuk ke sebuah masjid. Almarhum Morad ialah ayah Rozani, iaitu abang ipar yang juga sepupu saya.

Selama 135 hari lalu, selama tiga hari saya turut meniti detik-detik getir di ICU, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Isteri Samsuri, Siti Faizah Abu ternyata tabah dan cekal. Empat anak mereka, semuanya perempuan, memberi kekuatan buat Faizah. Dua daripadanya menuntut di utara semenanjung - Arau dan Sungai Petani. Yang tinggal bersama mereka di Taman Seri Puteri, Meru, anak paling kecil, 10 tahun dan seorang lagi pelajar tingkatan dua.

Faizah menjelaskan Samsuri "sihat-sihat aja" menyambut 1 Syawal di rumah keluarganya di Gerik, sehinggalah pada tengah malam raya ketiga. Beliau muntah-muntah sebelum diserang angin ahmar dan dikejarkan terus ke Hospital Gerik. Tanpa menunggu lama Samsuri dipindahkan ke Ipoh.

AYAT-AYAT SUCI

Samsuri tidak bergerak. Langsung tiada apa-apa reaksi apabila saya mengenggam erat tangan kanannya. Saya bisikkan ke telinganya kalimah Tauhid, ayat-syat suci dan kata-kata perangsang. Matanya dilihat berkedip, mungkin sebagai respons awal.

Saya beralih ke sebelah anggota kirinya. Genggaman saya seperti bersambut. Rozani memberitahu, air mata Samsuri menitik. Bacaan doa saya tersekat-sekat. Saya yakin rakan baik saya itu mendengarnya.

Hampir setiap hari selepas itu saya bertanya khabar melalui SMS ke telefon bimbit Samsuri. Meskipun jawapan anak-anaknya ringkas namun ia sarat dengan sejuta pengharapan. Mereka memaklumkan ada petanda kecil perubahan positif pada Samsuri.

Namun, Zulkifli Sulong, Ketua Pengarang Harakahdaily yang menziarahinya lima hari selepas saya, memaklumkan Samsuri masih koma. Tentunya saya dapat memahami impian tinggi anak-anak Samsuri agar abah mereka segera pulih.

"Saya yakin Samsuri cukup kuat semangatnya, apatah lagi keluarganya bagi hadapi saat-saat genting ini," SMS saya kepada anggota keluarganya.

Saya mula mengenali Samsuri ketika belajar di tahun akhir Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Jalan Gurney (kini Jalan Semarak), Kuala Lumpur, 1985-86.

Gelodak perjuangan mahasiswa, terutama ketika saya menerajui Persatuan Mahasiswa (PMUTM) menentang tindakan keras universiti memecat sembilan pelajar wanita berpurdah menemukan kami; saya sebagai aktivis pelajar dan Samsuri wartawan akhbar politik, Watan. (Sebenarnya rakan sejawatnya, "seorang lagi Samsuri", iaitu Samsuri Mamat yang lebih banyak melaporkan "kegiatan nakal" saya).

TABIR DALAMAN

Beliau banyak membantu saya mengasah bakat penulisan dan mendedahkan kisah belakang tabir pergolakan dalaman Umno. Penulis muda seperti saya amat perlukan dorongan.

Sokongan moral paling kuat apabila tulisan kita yang penuh kelemahan tersiar. Samsuri dan beberapa rakan lain di Watan ketika itu, antaranya Daud Ibrahim, menyediakan ruang untuk saya bereksperimen.

Semasa di kampus, selain Watan, saya lebih kerap menyumbang artikel kepada tabloid Mingguan Bumi, yang diasas dan dikelola oleh Almarhum Pak Hussein Yaakob. Pak Hussein, atas nama pena Ibnu Muslim, kemudiannya menjadi kolumnis Harakah yang diminati ramai, termasuk ketika saya menerajui lidah rasmi PAS itu.

Tarikh 27 Oktober 1987 bukan saja merampas kebebasan lebih 100 aktivis masyarakat di bawah Operasi Lalang ISA. Sehari selepas itu, ia mencatat detik hitam buat wartawan Watan (yang diterbitkan dua kali seminggu), dan dua harian berpengaruh, The Star dan Sin Chew Jit Poh digantung penerbitan.

Yang pasti Watan dan The Star yang muncul selepas itu sudah tidak sama lagi, terbatas dengan pelbagai sekatan.

BUKU POLITIK POPULAR

Saya memilih untuk membuka syarikat penerbitan sendiri, dengan menumpang pejabat abang saya, Dinsman di Plaza Pekeliling, Jalan Tun Razak. Majalah tanpa permit, antaranya "Demokrasi Zaman Mahathir" dan "Selepas 3 Tahun Memali", tidak mudah menembusi pasaran. Ramai pengedar dan pekedai tidak bersedia berdepan risiko dirampas KDN. Saya kemudiannya memilih pendekatan buku-buku politik popular.

Secara tidak rasmi, Samsuri adalah pembekal maklumat dan pentafsir gerak politik yang kadang-kadang sukar ditelah. Darinya saya memperolehi scoop dan berani membuat ramalan - elemen yang amat diperlukan dalam penulisan buku politik.

Di antara buku awal ialah Anwar Lawan Ghafar?, yang saya mulakan penulisannya setahun sebelum bekas Menteri Kewangan itu secara rasmi mencabar Ghafar Baba dalam pertandingan Timbalan Presiden Umno.

Samsuri menemani saya mengunjungi rumah terbuka Aidilfitri Anwar di Bukit Damansara. Saya pergi semata-mata untuk menyerahkan naskhah awal buku itu kepada Anwar sendiri (akhirnya disampaikan kepada Khalid Jaafar di majlis berkenaan), yang saya kenali dengan lebih dekat semasa beliau menjadi Menteri Pendidikan.

Pada awal 1986, surat tahniah saya sebagai Setiausaha Agung PMUTM atas perlantikannya menggantikan Abdullah Ahmad Badawi, sekali gus berbau "ugutan" kepada Anwar, dijadikan tajuk depan Watan, dan kandungan warkah itu disiarkan sepenuhnya di muka dalam.

Surat itu sebenarnya dihantar ketika saya bersama pimpinan pelajar dari seluruh negara mengadakan pertemuan pertama dengan Anwar.

DIPECAT UTM

Seminggu selepas itu, sekali lagi saya dijadikan berita utama Watan apabila dipecat daripada UTM! Tidak hairanlah jika ramai yang mengandaikan saya dipecat ekoran kritikan terbuka kepada Anwar, walhal realitinya tiada berkaitan pun. Saya sebenarnya keuziran dan tidak dapat memasuki dewan peperiksaan akhir (tahun kelima kursus sarjana muda kejuruteraan awam).

Satu demonstrasi besar selepas solat Jumaat membantah pemecatan saya membabitkan ramai pemimpin pelajar sekitar Lembah Klang. Antara pemimpin pelajar yang hadir ialah Saifuddin Ismail Nasution, ketika itu Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Pertanian Malaysia (PMUPM).

Saya masih ingat, ia diadakan sehari selepas tarikh penamaan calon pilihan raya umum 1986. Kampus UTM hanya beberapa langkah daripada pusat FRU (Pasukan Simpanan Persekutuan), yang siap bertindak untuk mematahkan apa juga demonstrasi yang dianjurkan.

Teriakan reformasi yang bergema pada awal September 1998 tambah mengeratkan lagi hubungan saya dengan Samsuri. Saya melepaskan jawatan di majalah Tamadun (yang memecah rekod kerana diulang cetak sebanyak tiga kali dalam edisi khas pemecatan Anwar sehingga mencecah 140,000 naskhah) dan bersama Samsuri menerbitkan semula majalah Detik yang dimilikinya. Permit Detik atas nama Samsuri.

FENOMENA DETIK

Samsuri menyerahkan sepenuhnya majalah itu kepada saya, dari segi editorial dan urusan bisnes. Meskipun berdepan kemungkinan tindakan represif KDN, Samsuri langsung tidak membayangkan "syarat-syarat tidak bertulis" kepada saya. Walhal beliau lebih dianggap dekat dengan Umno walaupun semasa bertugas di Watan, Samsuri banyak melaporkan aktiviti pembangkang.

Hampir setiap hari kami berlabun panjang di pejabat saya, Penerbitan Pemuda, Medan Idaman, Gombak. Kalau turun kedai mamak, Hameed atau Restoran Nasi Kandar Deen, tidak cukup dengan tiga gelas teh tarik. Juadah paling digemarinya adalah nasi kandar kambing, ditambah telur ikan. Dalam serius, terselit lucunya. Guraunya cukup menyenangkan.

Apabila berbual bersamanya, saya tanpa segan boleh berkongsi apa saja, baik impian, idea, harapan, cita-cita, angan-angan ... ya, segalanya. Ceritalah, dan dia akan sanggup mendengar walaupun sebahagiannya hanya impian yang mustahil untuk digapai.

Ketika gelisah, dia menenangkan. Ketika bimbang, dia menenteramkan. Ketika bosan, dia menceriakan. Ketika sedih, terutama masa kematian anak kedua saya, Nurul Syafiqah, 11 tahun, Samsuri yang paling awal menyabarkan.

Malah, dia telah menyiapkan satu bab panjang kenang-kenangan bersama Syafiqah, yang saya rancang untuk terbitkan dalam bentuk buku. Malangnya, buku itu berbengkalai dan tulisan Samsuri yang begitu menyentuh itu hilang bersama PC saya yang rosak.

Hampir setiap bulan, apabila saya menziarahi emak mentua di Bandar Baru Klang, kami pasti bersembang lama di kedai mamak berdekatan. Rumah Samsuri hanya 15 minit perjalanan dari situ.

NAFAS PENDEK

Majalah Detik hanya sempat setahun genap bernafas di bawah kelolaan saya. Keputusan pilihan raya umum ke-10, 29 November 1999, yang mengejutkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad telah menamatkan riwayat majalah yang dilihat mendokong kuat gerakan reformasi itu.

Samsuri sudahpun membayar RM500 kepada KDN untuk pembaharuan permit Detik tetapi arahan politik boleh membatalkan apa jua keputusan pegawai kerajaan. Kontroversi Detik, yang dianggap majalah berat sebelah menyokong pembangkang, telah dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno. Memang benar kami banyak mengedarkan majalah itu secara percuma semasa tempoh berkempen pilihan raya umum ke-10.

Samsuri nampak tenang saja sedangkan saya gelisah diamuk amarah. Pengharaman Detik menggerakkan penubuhan Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) dan lobi memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP). Bersama rakan-rakan kami menyiapkan "keranda" untuk menguburkan Detik.

Saya "menghasut" Samsuri supaya bangkit menentang namun dia tetap tersenyum: "Anta lawanlah dengan cara anta."

Pagi Ahad lalu, 3 Oktober, SMS saya bertanyakan perkembangan Samsuri lambat dijawab. Sebelah petangnya SMS itu mendapat respons dengan panggilan telefon.

Hairan juga saya. Belum sempat salam dilafaz, suara terputus. Ingat saya, anaknya mungkin tersalah tekan nombor.

Deringan ketiga membawa berita sedih. "Pakcik Lutfi ya? Abah baru meninggal sebentar tadi."

KEHILANGAN AMAT TERASA

Secepat itu saya kehilangan sahabat yang paling istimewa, anak kelahiran Kampung Raja Musa, Kuala Selangor, 48 tahun, anak kepada pasangan Roslan Sulaiman dan Suliah Siam.

Ibunya juga meninggal dunia selepas diserang angin ahmar. Samsuri sempat membawa saya menziarahi ibunya di Jengka, Pahang. Mereka berhijrah ke tanah rancangan Felda pada 1974.

Semasa mengucup dahinya buat kali terakhir selepas solat jenazah, air mata saya tumpah, tidak dapat ditahan lagi. Sebak. Pilu. Tetapi lebih sayu dan menghiris bila terpandang anak bongsunya yang masih menunggu kedua-dua kakaknya yang belum tiba dari utara.

Sahabat sebaik dan sehebat Samsuri sukar dicari ganti. Sungguh, ia ibarat satu dalam seribu. Samsuri cukup menyenangkan dan amat memahami.

PERBUALAN TERAKHIR

Dalam perbualan terakhir kami, saya banyak bercakap tentang kematian. Tapi saat itu saya membayangkan, saya yang selalu sakit akan pergi dahulu. Ajal maut tiada siapa dapat menduga.

Moga segala kesalahannya diampuni Ilahi dan keluarganya tabah menghadapi dugaan sukar ini. Mudah-mudahan amal baiknya diterima Allah. Usia memang terbatas namun kenangan bersahabat akan terpahat selamanya.

Ketika mahu menutup catatan ini, muncul mesej dalam facebook saya, dari Presiden Pena, Mohamad Saleeh Rahamad: "Saya juga terkenang Samsuri, yang sangat baik masa kerja di Watan dulu ... kenangan hebat dengan arwah, tapi lama betul tak jumpa. Sedih."

Saleeh teman sejawat Samsuri semasa Watan diketuai Mohd Khairune Ali. Ramai nama-nama besar wartawan politik bersama akhbar politik terkemuka itu.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: