08 Oktober 2010

Wo Xin Chang Dan

28 Syawal 1431 H

Tidur di Atas Kayu Api dan Mencecap Hempedu

Asal Usul:

Pada zaman Chunqiu atau Musim Bunga dan Gugur (tahun 770-476 Sebelum Masihi), negeri Wu telah melancarkan serangan besar-besaran terhadap negeri Yue. Dalam serangan itu, raja negeri Wu tercedera parah, dan mangkat tidak berapa lama kemudian.

Putera raja tersebut, Fu Chai, ketika naik takhta, pun bersumpah akan membela kemangkatan ayahandanya. Sejak itulah, Fu Chai mula menjalankan latihan yang rapi bagi tenteranya, sehingga mereka menjadi sebuah pasukan penempur yang cukup hebat. Tiga tahun selepas itu,

baginda mengetuai tenteranya, melancarkan serangan ke atas negeri Yue sekali lagi, dan berjaya menangkap raja negera tersebut, Gou Jian.

Setelah pulang ke negeri Wu, Fu Chai meminta Gou Jian supaya tinggal di sebuah pondok usang yang berdekatan dengan makam ayahandanya untuk menjaga kuda. Gou Jian berpura-pura taat dan tunduk pada segala perintah Fu Chai. Namun, hatinya benar-benar penuh dengan perasaan untuk membalas dendam.

Beberapa tahun kemudian, Gou Jian telah dibebaskan. Setelah pulang ke negeri Yue, baginda segera mula menubuhkan sebuah pasukan penempur secara sulit. Untuk mengingatkan dirinya supaya jangan lupa akan penghinaan dan penderitaan yang dialaminya selama ini,

baginda pula memilih untuk tidur di atas timbunan kayu api. Setiap pagi setelah bangun dari tidur, dan setiap malam sebelum tidur, baginda akan mencecap hempedu yang pahit, sambil bertanya kepada dirinya,

"Apakah beta sudah lupa akan penghinaan dan penderitaan yang pernah beta alami?"

Lalu, baginda akan menjawab dengan suara yang lantang,

"Tidak, beta tidak pernah lupa!"

Di samping menyusun strategi berperang yang kemas, Gou Jian juga menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap urusan negeri. Dengan terlaksananya beberapa langkah untuk memajukan sektor pertanian, serta meningkatkan taraf pendidikan rakyat,

hanya dalam masa beberapa tahun sahaja, negeri Yue telah berkembang hingga menjadi sebuah negeri yang cukup kuat. Dengan persiapan yang demikian, Gou Jian akhirnya berjaya menumbangkan negeri Wu.

Catatan Keterangan:

Peribahasa "Wo Xin Chang Dan" atau "Tidur di Atas Kayu Api dan Mencecap Hempedu" ini, membawa erti, menggembleng tenaga dan keupayaan diri, bertekad dan bersabar untuk mencapai suatu tujuan atau cita-cita, terutamanya untuk membalas penghinaan dan penderitaan yang telah dialami.

CRI/-

Tiada ulasan: