25 Januari 2011

PRK DUN TENANG - BERSABARLAH NORMALA, PERTAHANKAN MARUAH KAMU DAN ISLAM BIARPUN KAMU TEWAS

20 Safar 1432H.
Oleh : WFAUZDIN NS.






ADAKAH Normala Sudirman calon PAS di PRK Dun Tenang akan menjual maruah diri dan agamanya hanya kerana mahukan undi dari pilihanraya ini nanti? Beliau kini digasak begitu hebat oleh puak-puak sekutu Apco yang mengaku Islam dan juga puak-puak sekutu Apco yang Non Muslim di dalam kempen di Tenang sekarang.

Tuduhan `zina' ke atas Normala bebas diperkatakan melalui blog pro sekutu Apco Yahudi Laknatullah ini. Memang itu ajaran Apco jika inginkan sesuatu kejayaan hendaklah berani melakukan fitnah dan mencipta pembohongan. Jika mahukan undi, kamu mesti tentang mereka habis-habisan walaupun terpaksa menghina ugama kamu sendiri. Inilah yang berlaku di Tenang sekarang. PAS terpaksa hadapi ini semua dengan dibantu oleh sekutunya dari PKR dan DAP.

Puak sekutu Apco itu amat tidak senang sekali apabila melihat calon PAS Normala mempertahankan hukum Islam dengan tidak bersalam dengan lelaki yang bukan Muhrimnya. Mereka lebih senang bersekongkol atau bersetuju dengan pemimpin yang pernah melakukan aksi lucah dan berzina di hadapan kamera, dan pemimpin yang digelar `Bintang Porno' ini lah yang memperlekehkan hukum Islam. Itulah yang diajar oleh Apco Yahudi Laknatullah.

Saya tidak tahu sejauh mana keimanan penganut-penganut ugama Islam di kawasan Dun Tenang. Mereka kini berhadapan dengan dugaan yang amat berat iaitu memilih di antara menyelamatkan agama Islam atau memungut umpan dan habuan duniawi yang ditaburkan oleh sekutu Apco. Saya pun tidak pasti sampai bila orang-orang Melayu yang berada di Dun Tenang masih sanggup dibuli dan dicucuk hidung mereka seolah-olah Allah tidak menganugerahkan mereka untuk berfikir.

Memang benar, sekarang mereka boleh bermewah dengan apa yang mereka perolehi terutamanya para Peneroka Felda. Tidakkah mereka bimbang nikmat yang mereka perolehi ini nanti akan hilang dan akan digantikan dengan kesengsaraan akibat tindakan mereka bersekutu dengan penghina Islam ini? Fikir-fikirkan lah sebelum terlambat. Mengejar habuan dunia jangan sampai menentang perjuangan Islam.

PAS bangga DAP, PKR jawab isu bersalam

20 Safar 1432H.

KUALA LUMPUR, 24 Jan: Umno yang memperdagangkan Islam dan memperkudakan mereka yang arif dalam agama untuk menghalalkan apa sahaja tindakan pemimpinnya.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad menyatakan demikian sebagai mengulas ucapan Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang menuduh PAS memperdagangkan agama kerana telah melanggar fatwa dengan mencalonkan wanita menjadi calon di pilihan raya kecil Tenang.

“Nampaknya fikiran menteri yang jaga urusan agama sama seperti Tun Dr Mahathir yang membangkitkan isu yang sama.

“PAS tidak hairanlah dengan Tun yang sudah berada di hujung senja, jika dibandingkan dengan Datuk Jamil Khir yang masih muda dan arif berkenaan agama,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Katanya, mungkin Jamil buat-buat lupa, kerana PAS pernah melantik Khatijah Sidik di Parlimen Dungun pada tahun 1959.

“Sila buka balik sejarah, baru boleh beri komen dan keluar hukum,” ujarnya.

Katanya, kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek dan diikuti pula oleh Ketua Wanita Gerakan, Datuk Tan Lian Hoe yang memainkan isu Cikgu Normala Sudirman yang enggan bersalam dengan lelaki adalah lambang orang agama dalam Umno gagal menerapkan Islam dalam BN.

PAS, ujarnya boleh memaafkan dua pemimpin daripada parti komponen BN yang tidak memahami situasi itu.

“Persoalannya apa yang tokoh-tokoh agama buat sepanjang 53 tahun berkawan dengan MCA dan Gerakan untuk menerangkan masalah hukum asas. Mungkin mulut orang agama dalam Umno sudah penuh dengan sagon,” katanya.

Justeru, tegasnya PAS merasa bangga isu bersalam itu dijawab oleh rakan-rakan DAP dan PKR yang bukan Islam.

Harakahdaily/-

Pakatan Selangor tekad dapatkan majoriti 2/3

20 Safar 1432H.
Oleh : Ismail Hashim.

SHAH ALAM, 24 Jan: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, walaupun sidang Dewan Negeri Selangor hari ini gagal untuk meluluskan pindaan Undang-undang Tubuh Negeri, namun keputusan itu tidak mematahkan semangat Pakatan Rakyat.

Menurutnya, isu ini menguatkan lagi tekad PR untuk membuktikan kewibawaan mereka dan memperolehi majoriti dua pertiga dalam pilihan raya akan datang supaya pindaan ini dapat dibangkitkan semula.

Abdul Khalid menegaskan demikian ketika bercakap dalam sidang media sebaik selesai mengusulkan tempoh mesyuarat pada hari ini dilanjutkan sehingga jam 7 malam bagi memastikan semua urusan sidang selesai.

Dalam sidang sejak pagi tadi, semua wakil BN mengambil sikap tidak menyokong usul pindaan Undang-undang Tubuh Negeri Selangor yang dibawa oleh Abdul Khalid dalam usaha mengembalikan kuasa Sultan dan MB untuk melantik tiga ex-officio termasuk SUK.

Menurut kenyataan Speaker Dun Selangor, Datuk Teng Chang Khim, dewan memerlukan dua pertiga, iaitu 38 sokongan dari 56 Adun sedangkan PR hanya mempunyai 35 kerusi sahaja dan BN (21).

Dalam pada itu, Khalid berkata, mereka masih berpendirian Sultan Selangor dan MB berhak untuk memainkan peranan dalam pemilihan tiga ex-officio demi memastikan dasar-dasar kerajaan negeri dapat dilaksanakan dengan sempurna.

"Walaupun pihak Persekutuan nampaknya terus mengenepikan suara rakyat Selangor dan enggan menghormati semangat Federalisme atau bertemu setengah jalan, kerajaan negeri akan berusaha memastikan pentadbiran kerajaan negeri akan terus berjalan dengan baik dan selancar mungkin demi kebajikan rakyat Selangor," tegasnya.

Bersama menjunjung amanah rakyat, tegasnya, Kerajaan Pakatan Rakyat akan terus menggandakan usaha untuk menjalankan tugas dan meneruskan agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor yang memperjuangkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Terdahulu, beliau mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada semua yang terlibat menjayakan sidang kali ini terutama Speaker yang berjaya menjalankan tugas secara profesional.

Harakahdaily/-

Muhyiddin pengadu domba nombor satu

20 Safar 1432H.
Oleh : Nazri Abdullah.

KUALA LUMPUR, 24 Jan: Datuk Mahfuz Omar menyifatkan Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai 'pengadu domba nombor satu' apabila menyokong tindakan pemimpin MCA menakutkan masyarakat Cina dengan isu negara Islam.

Beliau yang juga Naib Presiden PAS berkata, sikap Timbalan Presiden Umno itu bukan sesuatu yang pelik, malah yakin itulah mainan pemimpin Umno sejak melihat sokongan bukan Islam kepada Pakatan semakin bertambah.

Tambahnya, tindakan itu juga menjelaskan betapa Muhyidin yang juga Timbalan Perdana Menteri tidak ada isu untuk berdepan Pakatan Rakyat pada pilihan raya kecil Dun Tenang kali ini.

"Satu ketika bila berdepan masyarakat Melayu dia (Muhyidin) kata PAS nak hapus negara Islam, kononnya mahu menanam kebencian orang Islam kepada PAS.

"Tapi bila berdepan pengundi bukan Islam dia kata PAS mahu tegak negara Islam kerana mahu takutkan orang bukan Islam menyokong PAS.

"Beginilah orang tak ada isu, pengadu domba nombor satu," katanya.

Sehubungan itu beliau mahu rakyat menilai sikap pemimpin Umno dan BN yang disifatkannya mampu mengancam keselamatan negara.

Sebelum ini, isu negara Islam yang dibangkitkan oleh presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan disifatkan oleh Muhyiddin sebagai tindakan "mengingatkan masyarakat Cina".

Muhyiddin juga dilaporkan berkata "ada baiknya" MCA berbuat demikian kerana sehingga kini, PAS tidak pernah menukarkan perlembagaan yang menggariskan agenda untuk menubuhkan negara Islam.

Bagaimanapun, Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang membidasnya dengan menyifatkan ia "isu lama" dan masyarakat Cina tidak akan terpedaya dengannya.

Berhubung isu calon PAS, Normala Sudirman yang memakai sarung tangan sewaktu bersalam pula, Mahfuz menggesa Umno BN berhenti mempolitikkan isu tersebut dan menghormati pegangan seseorang dalam beragama.

"Sama macam kita menghormati orang Hindu tak makan lembu, bukan bermakna lembu itu kotor, tetapi sebab pegangan agama," katanya.

Harakahdaily/-

Hamas cipta kejayaan di sebalik tekanan

20 Safar 1432H.
Oleh : Aziz Muda.

KUALA LUMPUR, 24 Jan: Kerajaan Hamas Palestin di bawah pimpinan Perdana Menteri, Ismail Haniyyah berjaya melakar beberapa kejayaan, walaupun ditekan pelbagai sudut oleh regim zionis Israel dan konco-konconya terutama sejak peperangan 22 hari tahun 2009 lalu.

Jurucakap yang juga ketua rombongan pegawai-pegawai Kementerian Luar Negeri Palestin yang berkunjung ke Malaysia, Hani I. Y. Abu Owda menjelaskan, antaranya termasuklah kejayaan Hamas membuka kolej perubatan dan membina beberapa buah pusat menghafaz Al-Quran.

(Foto: Tuan Guru Abdul Hadi menyampaikan cenderahati kepada Hani IY Abu Owda.)

Menurut beliau, hasilnya, kini Hamas telah berjaya melahirkan ramai doktor dari kalangan rakyat tempatan yang antara lain bukan sahaja dapat membantu orang ramai bagi kepentingan perubatan, tetapi juga membantu perjuangan Hamas sendiri.

"Selain itu, Kerajaan Hamas telah berjaya melahirkan lebih kurang 1,000 orang hafiz (hafiz dan hafizah) setiap tahun sejak berakhirnya peperangan dengan Israel tahun 2009 lalu," katanya.

Beliau yang juga Pengarah Besar Pejabat Perdana Menteri memberitahu demikian dalam kunjungan rasminya ke Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini, hari ini, untuk bertemu Presiden PAS, DatukSeri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Menurut beliau, sokongan orang ramai terhadap perjuangan Hamas di Palestin kini semakin membanggakan, terutama sejak selepas kematian Allahyarham Syeikh Ahmad Yasin.

"Dalam masa yang sama, tentangan yang diterima oleh Hamas dari regim zionis Israel dan koncu-koncunya sebenarnya semakin dahsyat selepas tamatnya peperangan 22 hari dengan Israel tahun 2009 lalu menerusi pelbagai cara," katanya.

Bagaimanapun, beliau turut menyuarakan kesyukuran, kekaguman dan ucapan terima kasihnya bagi mewakili Perdana Menteri kepada seluruh umat Islam di negara ini khasnya dan negara-negara lain amnya kerana telah memberikan sokongan pelbagai sudut kepada Hamas dan umat Islam di Palestin sejak dulu hingga kini.

Hamas berjaya menubuhkan kerajaan setelah mendapat sokongan majoriti rakyat Palestin pada pilihanraya tahun 2006 lalu.

Sejak itu, wakil-wakilnya telah beberapa kali berkunjung ke Malaysia untuk bertemu Presiden dan pemimpin-pemimpin PAS, manakala kunjungan hari ini merupakan kunjungan pertama bagi tahun ini.

Dalam pertemuan itu, beliau turut menyampaikan salam penghargaan daripada Perdana Menteri Kerajaan Hamas di Gazza, Ismail Haniyyah kepada Abdul Hadi dan pemimpin-pemimpin serta ahli-ahli PAS di seluruh negara.

Selain beliau, rombongan tersebut turut dianggotai Muat Haniyyah yang juga anak kepada Perdana Menteri Ismail Haniyyah, Dr Mahmoud Z. M. El Madhoun yang juga Pengarah Besar Program Latihan Diplomasi, Rami J.H. Al Ghamri yang juga jurutera dan Read Abu Dayer yang juga pegawai di Jabatan Perdana Menteri.

Rombongan mereka tiba di Pejabat Agung PAS sekitar jam 12.30 tengah hari dengan disambut oleh Abdul Hadi, Timbalan Presiden, Ustaz Nasharudin Mat Isa dan AJK PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi.

Turut hadir pada pertemuan itu, Setiausaha Politik kepada Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha dan AJK Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Mohd Faiz Nawi dan Amran Al-Malizi.

Harakahdaily/-

Umno derhaka: Dulu, kini dan selamanya

20 Safar 1432H.

AMPANG, 25 Jan: Seluruh rakyat negeri Selangor dan Malaysia semalam telah menyaksikan satu lagi sejarah penderhakaan pemimpin Umno BN, kata Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.

Tambahnya, tindakan Adun Umno BN yang menolak usul pindaan Undang-undang Tubuh Negeri Selangor bagi tujuan mengembalikan kuasa Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sudah cukup melayakkan syarat buat mereka untuk bergelar “Umno Penderhaka Sejati, Dulu, Kini dan Selamanya”.

“Selama ini Umno mengaku kononnya merekalah Juara Melayu, tetapi bila mana usul pindaan mahu mengembalikan kuasa Raja-raja Melayu, terutama Yang Mulia Raja Selangor dibentangkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, mereka menolak mentah-mentah pula,” ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Beliau yang juga Keua Wanita PKR berkata, insiden semalam juga akan menjadi satu lagi ‘trade-mark’ kegagalan agenda Ketuanan Melayu Umno, selepas tragedi penarikan kuasa Raja-raja Melayu 1993.

“Dakwaan bahawa Umno parti pemusnah dan penindas bangsa Melayu kini tidak lagi diragui dan sudah terbukti benar,” katanya.

Justeru, ujarnya rakyat kini telah sedar, siapa Juara Melayu sebenar, siapa Hang Tuah tulen, yakni yang pastinya bukanlah Umno “Si Penderhaka Sejati, Dulu, Kini dan Selamanya”.

Ketua Pembangkang Dun Selangor, Datuk Satim Diman semasa membahaskan perkara itu semalam menegaskan beliau dan 20 Adun dari Barisan Nasional serta Adun Bebas tidak akan menyokong usaha kerajaan negeri untuk meminda Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri seperti yang dibentangkan oleh Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Harakahdaily/-

PAS nafi calonnya tanya 'kenapa jual arak'

20 Safar 1432H.
Oleh : Abdul Rahim Sabri.

PAS menafikan laporan sebuah akhbar berbahasa Cina - China Press - yang memetik ahli parlimen Labis Chua Tee Yong sebagai berkata calon PAS Normala Sudirman bertanya kepada seorang peniaga Cina "kenapa jual minuman arak".

"Cikgu Mala telah menafikan sekeras-kerasnya bahawa itu adalah tuduhan berniat jahat," kata naib presiden PAS, Salahuddin Ayub.

"(Ia) satu perancangan yang jahat untuk menimbulkan keresahan dan ketakutan orang Cina," katanya dalam satu sidang media di bilik operasi PAS di Tenang hari ini.

Sehubungan itu, Salahudin yang juga bekas ketua pemuda PAS Pusat mencabar Chua menyatakan di mana, bila dan tempat, calon PAS Normala (kiri) bercakap sedemikian.

"Itu tidak benar sama sekali,"tegas Salahudin.

Mengulas mengenai kejadian provokasi seperti membakar bendera, pengedaran risalah daripada pihak yang tidak bertanggungjawab dan kumpulan bermotor membuat bising di tengah malam, Salahudin berkata semua perkara tersebut bukan daripada PAS.

Sementara itu, ketua penerangan PAS Johor Mazlan Aliman berkata beliau menghantar surat tawaran berdebat dengan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan berhubung isu berkaitan dengan Felda.

Surat tersebut akan diserahkan oleh naib presiden Persatuan Anak-anak Peneroka Felda (Anak) Shamsul Bakri pagi esok, yang akan mewakili beliau.

Bagaimanapun masa dan tempat akan dimaklumkan kemudian kepada pihak media.

Malaysiakini/-

Perkhidmatan bas wanita harus dipuji

20 Safar 1432H.
Oleh : Nur Idayu Abd Rahman.

Usaha Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn Bhd (RapidKL) membuka lapan laluan baru utama bagi perkhidmatan bas wanita dan dua Rapid Bas Wanita bagi setiap satu laluan pada waktu puncak harus dipuji.

Unit Siswi Karisma (Sisma), sebuah sayap mahasiswa wanita di bawah Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (Karisma) menyokong tindakan RapidKL dalam memastikan keselamatan golongan wanita untuk sampai ke destinasi terutama ketika waktu berpenumpang tinggi.

Tindakan ini dilakukan setelah tempoh percubaan bas wanita yang telah dilancarkan selama sebulan dan berakhir pada 31 Disember lepas mendapat pujian dan maklum balas baik dari pengguna wanita yang berpuas hati dengan perkhidmatan ini.

Rata-rata pengguna wanita yang terdiri dari penjawat awam dan swasta menyatakan kelegaan apabila mereka tidak perlu lagi bersesak-sesak dengan lelaki dan terhindar dari sebarang kemungkinan gangguan seksual semasa menggunakan perkhidmatan bas wanita sewaktu pergi dan pulang dari kerja mahupun belajar.

Langkah ini bukan lagi baru di negara kita setelah Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengasingkan satu koc untuk wanita dalam memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna wanita pada April tahun lalu.

Perkhidmatan seumpama ini juga sebenarnya sudah lama dilaksanakan di luar negara seperti di Rusia, Mexico, Iran, Brazil dan Emiriah Arab Bersatu dengan hasrat mengelakkan gangguan seksual sejak tahun 2007 .

Sisma juga mendesak agar langkah penyediaan pengangkutan awam yang lebih sempurna diwujudkan bagi membolehkan pengguna-pengguna pengangkutan awam mempunyai ruang peribadi yang secukupnya di dalam bas mahupun tren pada waktu puncak, supaya pengguna pengangkutan awam tidak dibebankan dengan tekanan.

Termasuk juga mewujudkan perkhidmatan yang lebih mesra terhadap golongan OKU dan warga emas yang masih kurang diberi perhatian.

Begitupun, Sisma memandang langkah serius masih perlu diambil bagi menangani masalah gangguan seksual yang memerlukan penyelesaian jangka masa panjang tanpa mengenal lokasi mahupun destinasi.

Masyarakat seharusnya dididik agar menghormati kaum wanita dan bukan memandang kaum wanita sebagai suatu golongan yang lemah dan tertindas namun sebagai golongan yang dilindungi dan dipelihara kerana keistimewaannya serta martabat yang diangkat dalam agama Islam.

Harakahdaily/-

MB: Debat 'Talkin untuk Umno Perlis' buang masa

20 Safar 1432H.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu hari ini mengajak ahli Umno negeri itu menumpukan kepada usaha memastikan kemenangan BN dalam pilihan raya umum akan datang.

Tindakan itu, kata beliau yang juga menteri besar Perlis, adalah jauh lebih berfaedah daripada berdebat mengenai isu 'Talkin untuk Umno Perlis'.

"Bagi saya debat itu hanya membuang masa dan rakyat Perlis sendiri akan meluat dengan isu perdebatan tersebut," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan sempena Tahun Baru Cina, di sini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cabaran debat yang dilontar bekas Ketua Penerangan Umno negeri Datuk Hashim Suboh baru-baru ini.

Md Isa juga enggan mengulas lanjut mengenai isu tersebut.

'Talkin Untuk Umno Perlis' ditimbulkan oleh sekumpulan ahli Umno negeri itu yang dikatakan tidak berpuas hati dengan pemilihan Md Isa sebagai pengerusi badan perhubungan.

Talkin itu dikatakan sebagai amaran bahawa Umno Perlis kini dalam keadaan 'tenat'.

Malaysiakini/-

Polis siasat SMS disyaki berunsur judi di Tenang

20 Safar 1432H.

Polis tidak menolak kemungkinan wujud sindiket perjudian yang mahu mengambil kesempatan daripada pilihan raya kecil DUN Tenang pada 30 Januari ini yang kempennya sedang rancak berjalan sekarang.

Jurucakap polis bagi pilihan raya tersebut, Supt Abdul Aziz Ahmad berkata Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat menerima satu laporan daripada orang awam pagi tadi mengenai SMS yang dikatakan meminta penerimanya memberi maklum balas mengenai parti yang menjadi pilihan pada hari pengundian nanti.

Pilihan raya kecil DUN Tenang menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azahar Ibrahim dengan calon PAS, Normala Sudirman.

"Polis sedang menyiasat kes ini dan kita akan dapatkan kerjasama daripada agensi yang berkenaan termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk mendapatkan modus operandi pihak berkenaan.

"Penghantar mungkin bergerak dengan kumpulan politik atau kumpulan perjudian," kata Abdul Aziz pada sidang media di Markas Taktikal Polis Diraja Malaysia di Labis hari ini.

Kumpulan ini dipercayai cuba menggunakan data untuk mendapatkan kebarangkalian tentang pihak mana yang akan memenangi pilihan raya tersebut bagi tujuan perjudian.

Abdul Aziz meminta orang ramai yang menerima SMS berkenaan supaya tidak melayaninya tetapi melaporkan kepada polis bagi siasatan lanjut.

Mengenai perkembangan kempen pilihan raya itu, beliau berkata dalam tempoh 24 jam lepas, sebanyak tujuh laporan diterima yang membabitkan soal pemasangan bendera dan poster.

Beliau berkata laporan itu dibuat ekoran terdapat bendera dan poster parti yang tidak bertanding dalam pilihan raya berkenaan tetapi turut digantung.

"Kita telah pun bekerjasama dengan pihak berkuasa Majlis Daerah Labis untuk menurunkan kesemua poster yang tidak berkenaan termasuk poster dan bendera yang dipasang di tempat yang tidak sesuai," kata Abdul Aziz.

Beliau berkata polis telah meluluskan 22 permohonan permit bagi tujuan ceramah kepada BN dan PAS.

"Kesemua 22 ceramah telah dijalankan dan kita tak terima sebarang laporan mengenai ceramah yang tidak mempunyai permit," jelasnya.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Sulaiman Taha, 59, dari BN pada 17 Disember lepas.

Malaysiakini/-

P'raya Tenang: Isu 'jabat tangan' makan diri?

20 Safar 1432H.
Oleh : Kow Gah Chie.

Pemimpin dan jentera pilihan raya kecil MCA di Tenang meningkatkan serangan terhadap PAS berhubung isu negara Islam dan keengganan calonnya, Normala Sudirman (bawah) bersalam dengan orang lelaki. Persoalannya ialah sama ada strategi itu akan berjaya mengalih sokongan 5,766 pengundi Cina kepada BN.

Tinjauan Malaysiakini di kalangan pengundi Cina di kawasan pilihan
raya Tenang menunjukkan bahawa dua isu tersebut memberi kesan minimum terhadap mereka.

Sebaliknya, apa yang lebih penting pada mereka ialah prestasi kedua-dua calon berkenaan.

Mereka yang ditemui Malaysiakini menegaskan bahawa undi untuk PAS tidak bermakna menyokong parti Islam itu, mahupun menyokong
agendanya mengenai negara Islam.

Mereka juga berkata, mereka telah diabaikan oleh bekas ADUN dari Umno, Datuk Sulaiman Taha.

Tinjauan itu dijalankan semalam di bandar Labis Tengah dan Tenang Station - yang merupakan dua daripada lima kawasan majoriti pengundi Cina di Tenang - mendapati hampir semua yang ditemui berpendapat MCA tidak seharusnya memainkan isu berjabat tangan itu kerana ia melibatkan agama calon.

Ditanyakan mengenai rancangan PAS untuk mengisyatiharkan Malaysia sebagai negara Islam, sesetengah daripada mereka mengakui merasa takut ketika isu itu pertama kali dibangkitkan dalam pilihan raya umum 1999 tetapi selepas bertahun berlalu, kini perasaan itu tidak seperti dahulu lagi.

Sebahagiannya menceritakan mengenai pengumuman mantan perdana menteri Dr Mahathir Mohamad pada 21 September 2001 mengisytiharkan Malaysia sebagai negara Islam, yang menurut mereka, tidak membawa banyak perubahan terhadap negara ini.

Yang lainnya pula berpendapat jika dan bila benar-benar diisytiharkan sebagai 'negara Islam', mereka tidak ada masalah selagi ia tidak menjejaskan sistem pendidikan Cina, hak untuk makan, alkohol dan berjudi, dan selagi kerajaan terus melayan masyarakat Cina dengan baik.

Isu negara Islam yang dimainkan oleh MCA mungkin boleh menarik sokongan pengundi yang berumur tetapi generasi muda pula mempunyai pandangan yang berbeza.

Tinjauan itu juga memberi gambaran mengenai sikap sebahagian pengundi di situ.

"Pengundi di Tenang selama ini menyokong MCA di peringkat parlimen (kerusi Labis), tetapi menyokong pembangkang di peringkat DUN (Bekok dan Tenang), bagi mewujudkan semak dan imbang," kata salah seorang pengundi yang ditemui.

Pengundi Cina merupakan 38.6 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi di Tenang. Dalam pilihanraya umum lalu, PAS memperolehi sokongan lebih daripada separuh pengundi di tiga kawasan majoriti Cina, iaitu bandar Labis Timur, bandar Labis Tengah dan Labis.

Malaysiakini/-

Badrul cabar keputusan Speaker di mahkamah

20 Safar 1432H.

ADUN Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah memfailkan permohonan untuk mendapatkan pengisytiharan mahkamah bahawa beliau masih merupakan wakil rakyat kerusi berkenaan.

Permohonan itu, yang difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini, antara lain adalah untuk membuktikan bahawa pengisytiharan Speakar DUN Selangor, Datuk Teng Chang Khim kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa kerusinya kosong, adalah batal dan tidak sah.

Minggu lalu, Teng mengumumkan bahawa kerusi DUN Pelabuhan Klang kosong selepas Badrul Hisham gagal menghadiri sidang DUN, tanpa cuti, sejak 15 Julai tahun lalu.

Notis kekosongan tersebut telah dihantar ke SPR Jumaat lalu untuk memaklumkan mengenainya dan suruhanjaya itu mempunyai 60 hari untuk mengadakan pilihan raya kecil dari tarikh notis tersebut dikeluarkan.

Badrul Hisham diwakili oleh adalah peguam Umno, Hafarizam Harun daripda Tetuan rizam Wan & Aisha Mubarak

Sementara itu, Bernama melaporkan, ketika memfailkannya pada 3.30 petang, Badrul Hisham, 50, menamakan Teng Chang sebagai defendan pertama dan SPR sebagai defendan kedua.

Perintah-perintah deklarasi yang lain yang dipohon oleh plaintif termasuk pengisytiharan bahawa keputusan defendan pertama yang mengisytiharkan kerusi tersebut telah kosong adalah ultra vires Artikel LXIX Undang-undang Tubuh Negeri Selangor dan adalah batal dan tidak sah.

Beliau memohon ganti rugi teladan dan punif dan kos permohonan beliau ditanggung oleh defendan pertama.

Dalam alasan permohonannya, Badrul Hisham menyatakan bahawa beliau telah hadir persidangan Dewan Undangan Negeri pada 12 dan 15 Julai 2010 dan hanya tidak hadir penggal ketiga persidangan antara 8 dan 16 November kerana mendapatkan rawatan perubatan tradisional akibat masalah kesihatan.

Beliau menjelaskan tiada persidangan antara 15 Julai hingga 8 November dan defendan pertama seharusnya mengambil kira tempoh ketidakhadiran enam bulan perlulah bermula 8Nov seperti yang dinyatakan dalam Undang-Undang Tubuh Negeri dan bukan sebaliknya.

Badrul Hisham menegaskan hanya defendan kedua sahaja mempunyai hak dan kuasa untuk menentukan sama ada terdapat kekosongan kerusi di bawah Seksyen 12 Akta Pilihan Raya 1958.

Plaintif juga mendakwa Speaker juga telah dimaklumkan melalui surat mengenai ketidakhadiran beliau antara 8 dan 16 November, lapor agensi berita nasional itu.

Namun, beliau (Badrul Hisham) mendakwa Speaker enggan menerima alasannya dan memutuskan bahawa ketidakhadiran plaintif adalah tanpa kebenaran.

Badrul Hisham berkata Teng sebagai Speaker tidak mempunyai dasar atau alasan untuk membuat keputusan sebegitu dan telah menyalahgunakan kuasa dan bertindak secara mala fide, tidak munasabah, tidak adil dan mempunyai niat politik yang berkepentingan sendiri.

Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Badrul Hisham memberitahu pemberita bahawa pengurusan kes berkenaan telah ditetapkan pada 17 Februari dan pihak-pihak terlibat perlu mengemukakan afidavit masing-masing sebelum tarikh berkenaan.

Malaysiakini/-

Cina Islam @ Tenang - Cikgu Normala sarapan bersama pengundi

Pagi ini krew Cina Islam berada bersama Cikgu Mala sejak 8.30 pagi tadi. Menyantuni setiap pelanggan di warung Chempelak Barat untuk program Sarapan Bersama Pengundi, Cikgu Mala disambut meriah. Keramahan CIkgu Mala dapat disaksikan daripada kepilan foto dibawah.


Seterusnya program pada pagi ini diteruskan menziarahi penduduk di Felda Chempelak Barat.




Anggota wataniah tidak tergolong pengundi pos

20 Safar 1432H.

PAS lega dengan penjelasan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa anggota Wataniah tidak digolongkan dalam kalangan pengundi pos.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata perkara itu dijelaskan oleh Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman dalam pertemuan dengan pemimpin parti pembangkang di Ibu Pejabat SPR di Putrajaya hari ini.

"Kita mendengar kenyataan yang dibuat oleh Menteri Pertahanan bahawa akan diwujudkan pasukan Wataniah bagi setiap kawasan Parlimen dan mereka akan dikategorikan dalam pengundi pos.

"Tetapi kita dapat jaminan (daripada SPR) bahawa anggota Wataniah tidak termasuk dalam undi pos," katanya kepada pemberita selepas pertemuan itu.

Antara yang hadir ialah Anggota Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong dari DAP dan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) R. Sivarasa.

Sivarasa berkata dalam pertemuan itu, mereka menyatakan pendirian untuk menyokong pindaan perlembagaan bagi pendaftaran pengundi secara automatik dan mengurangkan umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Selain itu, isu persempadanan semula kawasan Parlimen, memperkenalkan dakwat kekal di jari pengundi, tempoh masa berkempen dan pilihan raya negeri Sarawak turut dibangkitkan, katanya.

Malaysiakini/-

'Pindaan halang langgar kuasa negeri, sultan'

20 Safar 1432H.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata cadangan pindaan Perkara 52(1) Undang-undang Tubuh Selangor 1959 dibuat supaya generasi akan datang tidak lagi tertanya-tanya dan tiada pihak yang berani melanggar kuasa kerajaan negeri dan sultan.

Pakatan Rakyat, tegas Khalid lagi, memberikan komitmen menjunjung perlembagaan persekutuan dan undang-undang tubuh negeri serta Rukun Negara, yang menjadi asas kepada kerajaan Selangor hari ini.

Pakatan juga, tambahnya, berhasrat menegakkan kedudukan dan peranan Raja-raja Melayu yang dinyatakan dalam perlembagaan persekutuan.

Berikut teks ucapan Abdul Khalid:

Dengan izin Allah SWT, dan di atas perkenan Tuanku, dapat patik dan seluruh wakil rakyat di seluruh negeri Selangor, negeri naungan Tuanku, hadir ke Dewan yang mulia ini bagi patik sekalian melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat Selangor Darul Ehsan.

Patik mengaku, akur dan insaf terhadap ingatan Tuanku bahawa Tuanku memberi perkenan akan Mesyuarat Dewan di bawah Peraturan 10(3) Peraturan-Peraturan Tetap Dewan Undangan Negeri Selangor ini dan patik percaya dan yakin semua wakil rakyat cukup rasional dan bertanggungjawab kepada rakyat di kawasan mereka. Tuanku tidak sama sekali diheret ke dalam kepentingan mana-mana kolompok kepartian di sepanjang perbahasan di dalam dewan ini.

Patik ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh wakil rakyat yang hadir kerana ia jelas menunjukkan permasalahan yang kita bincangkan ini adalah permasalahan dan masa hadapan negeri. Wakil-wakil rakyat juga tidak mahu bermuka dua dan membelakangi rakyat yang memilih mereka.

Patik bangga isu yang besar ini dapat mencantumkan pemikiran kami semua terhadap isu utama negeri, perihal yang mendesak dan mempunyai kepentingan awam ini, meskipun kami berbeza daripada segi perjuangan dan ideologi politik. Patik sekalian berusaha memartabatkan dewan yang mulia ini dengan tatatertib yang baik serta kata-kata yang melambangkan rakyat negeri ini adalah rakyat bertamadun. Ampun Tuanku.

Dato' Speaker, ahli-ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri Selangor, ahli-ahli dewan negeri, ahli-ahli parlimen yang turut hadir, pengamal undang-undang, ketua-ketua jabatan, kakitangan kerajaan, ahli-ahli politik, para mahasiwa, wakil-wakil media massa dan seluruh hadirin pada pagi yang mulia ini.

Dalam tempoh hampir tiga tahun Pakatan Rakyat memegang teraju pentadbiran negeri Selangor, terdapat beberapa kendala yang perlu dilalui dengan berhemah. Semuanya itu adalah asam garam yang memang perlu dilalui oleh mana-mana pemimpin politik yang dinamik. Demikianlah, bagi saya, Selangor selaku negeri tunjang negara, perlu bersedia menghadapi suasana di luar jangka perjalanan biasa. Kita perlu bersedia melakukan perubahan sebesar manapun, seandainya perubahan itu mampu membawa kebaikan kepada rakyat negeri ini.

Peristiwa pelantikan setiausaha kerajaan negeri mempunyai hikmah tersendiri. Kita tidak menganggapnya kemelut besar, bukan juga krisis perlembagaan. Natijahnya, kita menerimanya dengan hikmah. Ia memberi peluang kepada kita untuk memperbetul perkara salah yang menjadi amalan selama ini. Prinsip "biasakan yang betul dan betulkan yang biasa" adalah prinsip murni yang dapat dijadikan amalan harian kita selepas ini.

Maka, tindakan kerajaan persekutuan atas tiket ketua setiausaha negara melantik pegawai eksekutif ex-officio dengan membelakangkan Menteri Besar yang dipilih rakyat lantas berselindung pula di sebalik istana yang ditaati rakyat adalah amalan salah, menghina kebijaksanaan rakyat dan kedaulatan negeri. Penghinaan ini wajib kita perbetulkan. Berpegang pada tanggungjawab itulah maka kita kembali ke dewan yang mulia ini untuk mengadakan mesyuarat dewan di bawah Peraturan 10(3) Peraturan-Peraturan Tetap Dewan Undangan Negeri Selangor. Mesyuarat kali ini adalah untuk membuat pembentangan bagi mengemukakan pindaan terhadap Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor 1959, khususnya pada Perkara 52(1).

Selaku Menteri Besar, saya berasa bertanggungjawab untuk memperbetul amalan sumbang yang selama ini dilakukan pentadbiran Umno sejak pindaan Perlembagaan 1993. Pindaan tersebut ternyata mengakibatkan peranan Negeri dan Sultan bercelaru dan kabur. Justeru itu, hari ini kita hendak meletakkan duduk perkara dengan sejelas-jelasnya. Pentadbiran sebelum ini gagal dan tidak mampu membetulkannya kerana walaupun mereka mentadbir negeri, namun pemikiran mereka terpasung dan hati mereka berkiblatkan Putrajaya. Dalam perkataan lain mereka tidak mempunyai kekuatan diri untuk bangun mempertahankan hak rakyat negeri ini hatta hak Duli Yang Maha Mulia Sultan.

Berburu ke padang datar,
Tembak rusa belang kakinya,
Berguru kepalang ajar,
Bagai bunga kembang tak jadi.

Sidang dewan yang dimuliakan,

Berbeza daripada kerajaan terdahulu, kini kita kerajaan Pakatan Rakyat hendak melakukan pindaan dan perubahan agar generasi mendatang tidak lagi berada dalam kekaburan hatta kecelaruan. Selaku penggubal undang-undang yang bertangggungjawab dan mempunyai kekuatan ilmu, iman dan jati diri, kita hendak melakukan yang terbaik. Akhirnya, tidak ada lagi individu mahupun puak yang berani melanggar kuasa negeri mahupun kuasa Sultan.

Saya perlu menggunakan masa sedikit lama bagi menghuraikan kronologi yang menyebabkan Mesyuarat Dewan di bawah Peraturan 10(3) ini diadakan agar ia menjadi lakaran sejarah untuk rujukan penggubal undang-undang pada masa hadapan dan bagi kajian ilmiah pelajar dan pengamal undang-undang agar tiada lagi pengamal undang-undang yang buta sejarah.

Namun, sebelumnya izinkan saya mengimbas kembali sejarah dan latar belakang yang melatari pindaan perlembagaan 1993, khususnya senario politik negara ketika itu. Ia amat perlu dikhabarkan kerana rakyat negeri Selangor berhak untuk mengetahui sejarah dan fakta sebenar dan sebagai negeri yang berdaulat, Dewan Yang Mulia inilah forum terbaik untuk melakarkannya.

Apatah lagi terdapat segelintir manusia yang menuduh Pakatan Rakyat gila kuasa dan hendak melemahkan kedudukan istana dengan tindakan kita hari ini. Kenyataan ketua setiausaha negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan bahawa negeri tidak mempunyai kuasa dalam pelantikan tiga pegawai eksekutif menggambarkan beliau seorang yang menurut buku secara membuta tuli hingga mengenepikan unsur-unsur penting dalam tata kelola pentadbiran yang baik seperti adat, amalan secara konvensyen dan ketetapan bersama yang diterima pakai. Selaku orang tertinggi dalam perkhidmatan awam, amat malang beliau lupa tentang sejarah dan amalan-amalan biasa yang pernah dan patut diamalkan di dalam mewujudkan sistem pentadbiran yang efisyen.

Begitu juga dengan peguam Umno Dato' Salehudin Saidin yang mengatakan bahawa pindaan yang hendak kita lakukan ini bukan untuk mengembalikan kuasa raja tetapi Menteri Besar. Kenyataan ini bertentangan dengan kefahaman KSN. Ini membuktikan bahawa Umno lebih cenderung untuk memutar belit kefahaman undang-undang dan tidak melihat undang-undang sebagai sesuatu yang boleh dilaksanakan dengan baik.

Mereka sebenarnya mempunyai ingatan yang singkat; a short memory.Nampaknya, ada benarnya tohmahan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa "Melayu mudah lupa". Mereka lupa bahawa permasalahan hari ini timbul akibat tindakan Kerajaan Persekutuan yang bersikap seperti 'constitutional monarchy' dan mempermainkan kuasa negeri sekali gus mencemar semangat federalisme.

Dato' Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat;
Sebagaimana yang kita tegaskan beberapa kali, termasuk dalam manifesto Pilihan Raya Ke-12 dan dasar bersama Pakatan Rakyat, kami komited untuk menjunjung Perlembagaan, baik Perlembagaan Persekutuan mahupun Perlembagaan Negeri yakni Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor. Malahan, prinsip-prinsip Rukun Negara dijadikan landasan dalam pentadbiran kita.

Pada premis yang sama Pakatan Rakyat komited untuk mempertahankan kedudukan dan peranan Raja-Raja Melayu sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan. Malahan dalam Kongres Tahunan Parti Keadilan Rakyat beberapa tahun yang lalu kami zahirkan dengan jelas komitmen kita untuk mengembalikan kedudukan Raja-Raja yang berjaya dihakis oleh pentadbiran Umno, khususnya semasa kepemimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Justeru itu, adalah sangat lucu dan tidak masuk akal apabila mantan Perdana Menteri itu mendakwa bahawa perkenan Sultan adalah perlu untuk kelulusan Rang Undang-Undang sedangkan beliau sendiri yang meminda peruntukan berkenaan dan memadam kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja. Begitu juga dengan kenyataan Timbalan Perhubungan Umno Selangor Dato Seri Noh Omar pada 7 Januari yang menuduh Pakatan Rakyat gila kuasa dan tidak mungkin berjaya melakukan pindaan kerana tiada perkenan istana.

Kepemimpinan Umno Selangor agak berdolak dalik umpama lalang; mula-mula mengugut mahu memboikot, selepas itu mahu hadir dengan bersyarat pula. Apa-apapun, kita menerima kehadiran mereka sama ada yang jahil mahupun yang ada sedikit ilmu. Sebelum itu, saya ingin bertanya: adakah Umno meminta perkenan Sultan sebelum meminda Undang-undang Tubuh Negeri Selangor pada Mac 1993? Bukankah ia dilakukan secara senyap-senyap?

Dato Speaker yang dimuliakan,
Memandangkan Kedaulatan Raja-Raja turut diperkatakan dan tohmahan derhaka begitu kerap dilemparkan terhadap kami maka adalah menjadi tanggungjawab saya untuk menyatakan duduk perkara yang sebenar. Bagi maksud tersebut izinkan saya mengimbas kembali secara ringkas konflik antara Umno dengan Raja-Raja sejak awal 1980-an lagi. Secara ringkas, Krisis Perlembagaan 1983 berlaku akibat tindakan para pemimpin negara ketika itu, melakukan beberapa tindakan di luar adab dan peruntukan Perlembagaan itu sendiri, dalam perkataan lain, mereka begitu tega membelakangi Raja-Raja.

Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan berbunyi: "tiada apa-apa undang-undang yang menyentuh secara langsung keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran raja-raja boleh diluluskan dengan ketiadaan persetujuan Majlis Raja-Raja". Bagaimanapun, para pemimpin utama ketika itu lantas melakukan beberapa tindakan secara rahsia dengan membawa pindaan itu ke Kabinet dan kemudiannya ke Parlimen tanpa terlebih dahulu mendapat perkenan Majlis Raja-Raja.

Antara pindaan yang berjaya dilakukan adalah Perkara 66(5). Peruntukan asal berbunyi: "Rang undang-undang akan dikuatkuasakan apabila yang di-Pertuan Agong menandatangani". Peruntukan pindaan pula adalah "Rang undang-undang akan dikuatkuasakan sebagai Undang-undang apabila ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong. Jika di atas apa-apa sebab Rang Undang-undang itu tidak ditandatangani dalam tempoh 15 hari selepas Rang Undang-undang itu disembahkan kepada Yang Di-Pertuan Agong, baginda dianggap telah menandatangani Rang Undang-undang tersebut dan Rang Undang-undang itu, berkuatkuasa sebagai Undang-undang".

Begitu juga dengan pindaan kepada Perkara 10(1), iaitu kalau Perdana Menteri mendapati darurat patut diisytiharkan di mana-mana juga di negara ini maka Perdana Menteri boleh menasihatkan Yang di-Pertuan Agong dan Yang di-Pertuan Agong mesti menerima nasihat tersebut. Di sinilah bermulanya penghakisan secara terancang terhadap kuasa Raja-Raja di negara ini, bermula pada pindaan tahun 1983 itu.

Pindaan yang amat drastik itu sudah dilakukan secara rahsia dan membelakangi Majlis Raja-Raja. Namun, apabila rahsia terbongkar ia ditentang oleh Raja-Raja. Umno pada ketika itu membuat road show ke seluruh negara mengutuk Raja-Raja. Akhirnya, setelah membuat beberapa rundingan krisis itu diselesaikan dengan beberapa kompromi:

(1) Pertama, Umno bersetuju menggugurkan pindaan yang sudah diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara itu.
(2) Kedua, Yang di-Pertuan Agong diberi kuasa memulangkan Rang Undang-undang yang baginda tidak berkenan kepada Parlimen,
(3) Ketiga, pindaan terhadap kuasa perkenan di negeri-negeri, digugurkan,
(4) Keempat, kuasa mengisytiharkan darurat dikembalikan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Dato' Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat;
Langit tidak selalunya cerah. Mendung tidak bererti hujan. Umno terpaksa berlindung dan memohon belas ihsan istana apabila menghadapi masalah politik beberapa tahun kemudian, iaitu apabila Umno diisytiharkan pertubuhan haram oleh mahkamah pada 1987. Pimpinan Umno lantas kembali merayu kuasa Sultan untuk menubuhkan Umno Baru dan memohon Sultan Johor untuk melancarkannya di Istana Besar Johor Bahru.

Bagaimanapun, hubungan Umno dengan istana tegang semula apabila Umno tersungkur 39-0 di Kelantan pada Pilihan Raya 1990. Ibarat kacang melupakan kulit, Perhimpunan Agung Umno dijadikan medan memaki hamun Raja-Raja. Ada perwakilan yang meminta Perlembagaan dipinda untuk membataskan kuasa Raja-Raja. Tetapi ia tidak berlaku kerana mereka tidak tahu peruntukan mana yang hendak dipinda. Namun begitu, Umno memaksa Raja-Raja membuat aku janji dan lahirlah apa yang disebut sebagai "Perisytiharan Prinsip-Prinsip Perlembagaan 1992". Bagaimapun, ini hanyalah penegasan dan komitmen Raja-Raja terhadap peruntukan-peruntukan yang berkenaan; tidak ada apa-apa pindaan yang dibuat.

Hubungan tegang Umno dengan Raja-Raja memuncak pada hujung 1992 hingga membataskan peruntukan mengenai kuasa mengampun Raja-Raja dan keistimewaan imuniti. Maka, berlakulah Pindaan Perlembagaan Persekutuan 1993 dan penubuhan Mahkamah Khas Raja-Raja.

Ketika krisis itulah Umno menggunakan kesempatan untuk membuat pindaan yang tidak ada kena mengena dengan isu yang menjadi punca terhadap masalah ketika itu. Ia termasuklah pindaan pada perlembagaan negeri yang saya hendak sentuh selepas ini. Di kesempatan ini, saya suka mencadangkan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat, terutama daripada Umno-BN supaya membaca kembali pelbagai berita dan rencana tentang krisis Perlembagaan yang disiarkan dalam Utusan Malaysia, Berita Harian dan the New Straits Times dari November 1992 hingga Mac 1993. Ketahuilah, siapakah yang "beriya-iya dan bersikap biadap" hendak menghakis kuasa istana dan menghapuskan imuniti Raja-Raja Melayu?

Izinkan saya memetik beberapa kenyataan Tun Dr Mahathir ketika pembentangan usul pindaan pada 18 Januari 1993 yang selepas itu kita dapati beliau telah memungkirinya. Tun Mahathir ketika itu menyatakan;

"Kelulusan ( pindaan Perlembagaan 1993) secara ini terhad kepada perkara- perkara yang tidak menyentuh hak-hak dan keistimewaan-keistimewaan Raja-Raja. Untuk meminda peruntukan Perlembagaan yang menyentuh Raja-Raja, Majlis Raja-Raja perlu memberi persetujuan". Kata beliau lagi, "Di peringkat negeri, tidak ada pindaan dibuat kepada Perlembagaan negeri. Dengan itu tidak ada undang-undang yang boleh diluluskan tanpa ditandatangani oleh Raja. Ini bermakna kuasa Raja-Raja di negeri-negeri mengatasi kuasa Dewan-Dewan Undangan Negeri yang mewakili rakyat".

Beliau meneruskan hujah, "Justeru itu dalam sejarah Malaysia yang merdeka, tindakan Raja-Raja dan pihak-pihak yang berlindung di belakang Raja yang melampaui hak dan keistimewaan Raja, semakin lama semakin serius. Kemungkinannya ialah ia akan menjadi lebih serius lagi di masa-masa hadapan. Jika tidak ada pindaan undang-undang, seperti yang dicadangkan ini, tidak syak lagi bahawa perkara-perkara yang lebih buruk akan berlaku yang mana ini akan menyebabkan institusi Raja dibenci oleh rakyat. Bukanlah mustahil jika satu hari kelak tuntutan dibuat untuk menghapuskan Sistem Beraja sama sekali walau apa pun yang diperuntukan oleh Perlembagaan".

(Nah... itu yang diperkatakan ketika itu, ugutan dan amaran keras diselit secara terbuka dan biadab. Demi kemudahan rujukan generasi akan datang saya kepilkan teks ucapan Tun Dr Mahathir bertarikh 18 Januari 1993 bersama teks ucapan saya ini di hansard Dewan Negeri).

Dato' Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat;
Bukan setakat itu sahaja: pada 1994 Tun Mahathir mungkir janji dan formula yang menyelesaikan krisis 1983 yang sebutkan di awal bicara tadi dipinda di luar pengetahuan Raja-Raja. Menurut pindaan ini, kuasa memulangkan Rang Undang-Undang oleh Yang di-Pertuan Agong dimansuhkan dan peruntukan yang mencetuskan krisis 1983 itu dimasukkan kembali. Dengan yang demikian, peruntukan yang ada sekarang, iaitu Perkara 66(4) dan (4A) - adalah sebuah Rang Undang-undang yang menjadi undang-undang secara automatik selepas 30 hari meskipun baginda tidak memberi perkenan. Kedudukan Raja-Raja di negeri-negeri juga sama sebagaimana yang tertera pada seksyen 11(2A) dan (2C), Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan.

Pindaan-pindaan ini menimbulkan banyak persoalan politik dan undang-undang. Ia termasuklah pelanggaran syarat yang dikenakan oleh Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan, iaitu ia dengan jelas menyatakan bahawa "Tiada undang-undang yang secara langsung menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja".

Perkara 38(4) itulah yang menjadi batu penghalang kepada hasrat Dr. Mahathir pada 1983 dan 1993 dan mungkin kerana itulah beliau tidak peduli dan tidak membawa pindaan 1994 itu kepada Raja-Raja. Meskipun pindaan 1994 belum dibawa ke mahkamah, namun ada kalangan sarjana undang-undang yang berpendapat bahawa pindaan yang dibuat pada 1994 itu tidak sah kerana melanggar Perlembagaan; khususnya Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan.

Dato' Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat;
Meskipun kita menyedari bahawa Tun Dr. Mahathir sudah menjadi dan menerima sejarah, namun ia tidak menghalang kita daripada berasa aneh kerana hari ini Tun Mahathir tiba-tiba menyatakan pendirian yang berbeza. Bagaimanapun, ini tidaklah begitu memeranjatkan apabila kita mengimbas kembali pergolakan politik yang dinyatakan tadi. Umno sememangnya sentiasa berdolak-dalik dan tidak konsisten dan acap kali berselindung di sebalik istana apabila berlaku himpitan politik.

Dato' Speaker,
Jelas sekali hujah Tun Mahathir ketika itu berbeza sekali daripada apa yang dilakukan Umno selepas itu. Mereka lantas melakukan pindaan Undang-undang Tubuh Negeri meskipun menyentuh kuasa Sultan, dalam situasi yang tergesa-gesa dan penuh kekaburan. Hari ini perbuatan mereka yang tidak beradab itu terbongkar satu persatu. Jelik dan memalukan. Ini termasuklah topik permasalahan yang kita depani ketika ini Perkara LII ( 1 ) Undang-undang Tubuh Negeri Selangor.

Perkara LII ( 1 ) yang asal berbunyi;

"(1) Ke bawah Duli Yang Maha Mulia mestilah atas cadangan Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan dengan Suratcara di bawah Tandatangan Baginda dan Mohor Kerajaan melantik seorang yang memegang jawatan sepenuh masa dalam perkhidmatan awam untuk menjadi Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri:

Dengan syarat sebelum bertindak atas cadangan itu oleh Suruhanjaya Perkhidmatanyang berkenaan, ke bawah Duli Yang Maha Mulia mesti mempertimbangkan nasihat Menteri Besar dan boleh sekali merujukkan cadangan itu kepada Suruhanjaya Perkhidmatan supaya ia boleh dipertimbangkan semula."

Pindaan yang dilakukan pada 1993 dan terpakai sehingga kini berbunyi;

" LII ( 1 ) Maka hendaklah diwujudkan jawatan Setiausaha Kerajaan, Penasihat Undang-undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri; dan perlantikan ke jawatan-jawatan itu hendaklah dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan dari kalangan anggota mana-mana perkhidmatan awam yang relevan. "

Dato' Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat;
Demikianlah, secara ringkas senario dan perkembangan politik negara yang melatari pemansuhan kuasa Sultan hinggalah terkesan dalam hal perlantikan tiga orang pegawai ex-officio dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) oleh pentadbiran Umno pada 1993. Pakatan Rakyat berpendapat pindaan tersebut telah mengakibatkan kesan negatif kepada pentadbiran negeri. Bagi menyokong hujah ini, izinkan saya menegaskan kedudukan dan peranan istana, kerajaan dan perkhidmatan awam dalam pentadbiran negeri.

Jika kita teliti peruntukan-peruntukan perlembagaan dan perakuan dalam Laporan Suruhanjaya Reid 1957 kita dapat rumuskan kedudukan dan peranan istana, kerajaan yang memerintah dan perkhidmatan awam.

Ia diperkuat dengan amalan yang secara konsisten dipatuhi di kesemua negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen atau Westminster. Sebahagian besar amalan konsisten yang membentuk apa yang disebut Konvensyen Perlembagaan (Constitutional Convention) itu kini dikanunkan sebagai undang-undang dalam Perlembagaan kita; baik Perlembagaan Persekutuan mahupun Perlembagaan Negeri.

Kedudukan dan peranan Raja-Raja cukup jelas. Mereka adalah Raja Berperlembagaan, iaitu Yang di-Pertuan Agong - di peringkat Persekutuan - adalah ketua negara manakala Raja-Raja pula adalah ketua negeri. Perdana Menteri dan Menteri Besar pula adalah ketua kerajaan yang dilantik daripada kalangan Ahli-ahli Dewan. Meskipun mereka dilantik oleh ketua negeri mereka bertanggungjawab kepada Dewan. Inilah bentuk demokrasi yang dilaksanakan menurut sistem Westminster.

Dalam kerangka tersebut Menteri Besar dan kabinetnya yakni Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) - mesti bertanggungjawab terhadap segala keputusan dan dasar yang digubal dan dilaksanakan. Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja tidak dipertanggungjawabkan sebaliknya bertindak menurut nasihat. Konsep itu sebenarnya adalah untuk melindungi Istana daripada terperangkap dalam kontroversi dan politik. Sebenarnya, Raja-Raja menjadi lambang negeri dan perpaduan rakyat, yang menjangkaui politik kepartian.

Raja-Raja diberi banyak keistimewaan; termasuk peruntukan dalam Senarai Di Raja (Civil List) yang tidak boleh dikurangkan. Mereka juga mempunyai peranan besar sebagai ketua agama negeri masing-masing. Kuasa pemerintahan atau eksekutif diletakkan secara formal di tangan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja. Bagaimanapun, pelaksanaan kuasa ini diletakkan di tangan kerajaan yang memerintah kerana mereka sahaja yang boleh disoal oleh wakil-wakil rakyat.

Mengambil prinsip tersebut sebagai landasan, ia menjelaskan kedudukan dan peranan perkhidmatan awam. Oleh sebab mereka tidak dipilih maka mereka berperanan menjalankan arahan dan dasar yang ditetapkan oleh kerajaan yang memerintah. Bagaimanapun, sebagaimana juga istana mereka kekal di situ walau apapun bentuk dan warna politik kerajaan yang memerintah.

Persoalannya, apakah kerajaan yang memerintah mempunyai kuasa mutlak?

Jawapannya sudah tentu tidak, kerana selain terpaksa menjawab soalan di dalam dewan mereka perlu berhadapan dengan rakyat apabila tiba pilihan raya. Tegasnya, kerajaan yang memerintah dalam kerangka yang benar-benar demokratik tidak mungkin mempunyai kuasa mutlak. Umno menuduh Pakatan Rakyat gila kuasa dengan pindaan ini kerana mereka beranalogi Pakatan Rakyat juga mempunyai budaya politik seperti mereka!

Adalah menjadi pengetahuan umum bahawa Umno mahu membolot dan mengongkong segala-galanya; istana, kehakiman, dewan, perkhidmatan awam dan badan-badan lain termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Dalam pada itu media juga dikongkong melalui undang-undang. Rakyat juga tidak dapat bebas dengan adanya pelbagai kekangan untuk bersuara, berhimpun dan menubuhkan persatuan.

Umno ketakutan terhadap janji Pakatan Rakyat yang hendak menghapuskan ini semua; Umno tidak biasa dan tidak berani bermain dalam lapangan yang sama rata dan adil. Sebab itu belum apa-apa lagi, Umno sudah membuat pelbagai tohmah dan tuduhan terhadap inisiatif Pakatan Rakyat.

Dato' Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat;
Pakatan Rakyat ingin mengembalikan peruntukan yang asal kerana kami yakin bahawa peruntukan itu memberi ruang konsultasi kepada semua pihak; baik Istana, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam mahupun Kerajaan Negeri untuk memainkan peranan masing-masing secara telus dan terbuka.

Kerajaan Negeri yakin bahawa tatkala ia mempunyai hak untuk menasihatkan sultan ia juga sedar bahawa kedudukan berkecuali dan profesional perlu diberi peluang. Dalam pada itu kami juga sedar bahawa Duli Tuanku sebagai sultan yang begitu lama dan berpengalaman sebagai Raja Muda - yang paling lama dalam sejarah negara, sebelum memegang tampuk pemerintahan Negeri.

Pastinya DYMM Tuanku mempunyai input untuk diberi dalam soal perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri. Inilah perkongsian pintar yang bukan sahaja selaras dengan kehendak pengurusan ekonomi semasa tetapi juga selaras dengan kehendak Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi dan asasi dalam negeri.

Kalau kita perhatikan pindaan yang dibuat oleh Umno pada 1993 - yakni Perkara 52(1) Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor sebagaimana dinyatakan di atas - ia kelihatan begitu ganjil. Saya katakan demikian, kerana ia tidak menyebut pihak berkuasa yang diberi kuasa melantik. Sepatutnya ada kuasa tertentu yang diperuntukkan; contohnya sama ada Sultan atau Suruhanjaya Perkhidmatan Awam. Hal ini cukup ganjil tetapi begitulah hakikatnya. Saya tidak dapat menolak ia terjadinya begitu kerana tindakan yang gopoh dan tergesa-gesa.

Cuba bandingkan dengan perlantikan yang sama di peringkat Persekutuan sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perkara 144, khususnya Fasal 3, 4 dan 5 yang ada sekarang yang kesemua mempunyai format yang sama dengan peruntukan yang lama dalam Undang- undang Tubuh Negeri Selangor.

Apa-apa pun, gopoh mahupun tidak, kita berpendapat bahawa pindaan yang dibuat pada 1993 itu tidak sah kerana ia tidak diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja sebagaimana yang dikehendakki oleh Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan.

Kerajaan negeri juga berpendapat bahawa masalah yang cuba diselesaikan oleh Pindaan Perlembagaan Persekutuan pada 1993 adalah menangani isu imuniti Raja-Raja, maka kuasa pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri tidak harus disentuh. Tidak ada rekod menunjukkan bahawa Raja-Raja bersetuju dengan pindaan berkenaan kerana yang menjadi pertikaian ketika itu adalah imuniti. Kelihatannya Umno menggunakan kesempatan untuk mencuri kuasa Sultan dalam keadaan yang gusar dan membingungkan ketika itu.

Kerajaan negeri berpendapat bahawa peruntukan asal Undang-Undang Tubuh Negeri perlu dikembalikan kerana Pakatan Rakyat komited dengan peranan Raja-Raja sebagai salah satu agen semak dan imbang - checks and balances - dalam perlembagaan. Kami percaya bahawa konsep Raja Berperlembagaan bermaksud raja yang kuasa mereka terbatas dan dipandu oleh peruntukan dan semangat Perlembagaan. Umno berpendapat sebaliknya; nampaknya bagi mereka, Raja Berperlembagaan ialah raja yang boleh dicucuk hidung dan diseret ke sana ke sini mengikut kehendak mereka sebagaimana yang mereka lakukan sejak awal 1980-an hinggalah sekarang.

Dato' Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat;
Sebagaimana yang saya janjikan di awal bicara tadi, saya ingin menggalurkan kronologi pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri supaya Ahli-Ahli Yang Berhormat jelas akan duduk perkara yang sebenar.

Ia perlu kerana media - khususnya yang dimiliki oleh Umno-BN memutar belit fakta yang sebenar. Hal yang sama juga dilakukan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang sepatutnya menjadi wahana milik seluruh rakyat tetapi merelakan institusi mereka diperkudakan oleh kelompok yang terdesak.

Saya ingin menegaskan bahawa meskipun saya adalah ketua kerajaan negeri, namun saya bukan sahaja tidak dimaklumkan dalam hal pemilihan Setiausaha Kerajaan Negeri malah saya telah dibelakangi.

Pada 26 Oktober 2010 Pusat Sumber Manusia di bawah pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri selaku jurucakap kepada Jabatan Perkhidmatan Awam telah menyerahkan kepada saya lapan ( 8 ) nama calon yang difikirkan layak untuk jawatan Setiausaha Kerajaan bersama dengan Nota Amalan yang mengandungi prosedur dan tatacara pelantikan. Nota ini menyatakan bahawa:

(1) Suruhunjaya Perkhidmatan Awam (SPA) akan menghantar senarai calon yang difikirkan layak (Gred 54 ke atas) kepada Menteri Besar.
(2) Menteri Besar kemudiannya memilih calon atau calon-calon yang sesuai dan menyenaraipendekkan dan menyerahkannya kepada DYMM Sultan Selangor bagi memohon perkenan Tuanku.
(3) Setelah Tuanku berkenan memilih nama yang dicadangkan, Menteri Besar hendaklah menyerahkan semula nama tersebut kepada SPA untuk tujuan penyediaan dokumentasi lantikan.

Amalan ini jelas dan tertib; iaitu yang bermaksud tiada fungsi diberikan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri dan pegawai kerajaan dalam istana untuk berperanan dalam lantikan Setiausaha Kerajaan Selangor yang baharu. Malahan, daripada segi adabnya, kesemua pihak ini tiada hak untuk mencampuri urusan ini.

Pada 8 November 2010 saya menubuhkan Jawatankuasa Pemilihan untuk memilih tiga (3) orang calon yang paling layak daripada 8 nama pegawai yang dicadangkan. Jawatankuasa Pemilihan ini diketuai oleh Dato' Speaker sendiri dengan dua anggota lain, iaitu YB Dato' Dr. Hassan bin Mohamed Ali dan YB Tuan Dr Xavier Jeyakumar.

Panel Pemilihan ini bukanlah ditubuhkan untuk melakukan sesi temu duga tetapi melakukan proses temu bual sebagai usaha kita mewujudkan satu proses yang telus di samping menekankan unsur-unsur kompetensi dalam pemilihan. Pada masa yang sama proses temu bual diharapkan dapat memberi peluang kepada para calon menghayati dan memupuk aspirasi wakil rakyat yang memerintah.

Panel juga tidak dibebankan dengan jangkamasa tertentu kerana tidak wujud keperluan untuk tergopoh gapah. Apa yang penting kita mahu mencari calon yang sebaik mungkin untuk menggalas tanggungjawab berat Setiausaha Kerajaan.

Pada 22 November 2010 Jawatankuasa Pemilihan memulakan proses menemubual semua calon. Pada 3 Disember 2010 Jawatankuasa memaklumkan kepada saya bahawa enam calon sudah ditemu bual dan tiga nama dipilih untuk dicadangkan serta memberitahu bahawa dua calon tidak mahu mengambil bahagian.

Seterusnya, setelah menjalankan beberapa saringan dan pengesahan maka pada 17 Disember 2010 saya menulis surat kepada Istana untuk memaklumkan DYMM Sultan Selangor tentang prosedur pemilihan yang dijalankan Kerajaan Negeri dan tiga calon akhir yang dipilih untuk cadangan. Saya nyatakan dengan jelas, meskipun demikian, saya terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan DYMM Sultan untuk pandangan dan nasihat jika Tuanku mempunyai keraguan terhadap cadangan tersebut.

Pada 20 Disember 2010 saya menulis surat kepada Pusat Sumber Manusia untuk memaklumkan bahawa saya sudah menghantar tiga nama calon kepada DYMM Sultan Selangor dan masih menunggu maklum balas. Surat berkenaan juga memberitahu saya akan bercuti ke luar negara pada 20 Disember hingga 30 Disember dan sebarang pengumuman mengenai pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri perlu dirujuk kepada saya terlebih dahulu.

Pada 21 Disember 2010, Istana, menerusi Setiausaha Sulit kepada DYMM Sultan Selangor, Dato' Muhamad Munir Bani telah menulis surat kepada Setiausaha Sulit kepada Dato' Menteri Besar, Tuan Haji Mustapha bin Talib. Bersama surat itu dilampirkan surat bertarikh 10 Disember 2010 yang dialamatkan kepada Dato' Ramli Mahmud bekas Setiausaha Kerajaan Negeri sebagai balasan surat yang beliau hantar pada 3 Disember.

Untuk makluman sidang dewan, surat 3 Disember tersebut telah menghantar tiga (3) cadangan nama kepada DYMM Sultan. Surat pada 10 Disember pula memaklumkan kepada Dato' Ramli Mahmud bahawa DYMM Sultan Selangor sudah berkenan terhadap pelantikan Dato' Muhamad Khusrin Munawi. Namun, kedua-dua surat ini pun tidak dihantar salinan kepada saya selaku Menteri Besar.

Pada 24 Disember 2010 Pejabat Dato' Menteri Besar menjawab surat bertarikh 21 Disember dari Dato' Mohamad Munir untuk menyatakan bahawa Dato' Menteri Besar tidak pernah diberitahu keputusan yang dibuat bertarikh 10 Disember 2010 itu. Sehubungan itu, Pejabat Dato' Menteri Besar memohon perkenan untuk mengadap DYMM Sultan untuk perbincangan.

Pada 27 Disember 2010 saya menulis surat sekali lagi memohon untuk menghadap DYMM Sultan untuk perbincangan. Pada tarikh ini juga, tanpa sepatah nota makluman kepada saya, Ketua Setiausaha Negara (KSN) lantas mengumumkan Dato' Mohamad Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Negeri yang baharu.

Pada 3 Januari 2011 saya mendapat perkenan menghadap DYMM Sultan Selangor dan DYMM Tuanku menitahkan bahawa setelah Perlembagaan Negeri dipinda pada 1993, baginda tidak mempunyai kuasa untuk menolak atau menerima keputusan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

Saya maklumkan kepada Tuanku bahawa saya hendak pertahankan hujah saya bahawa pelantikan yang tidak mendapat kebenaran Kerajaan Negeri yang sah dipilih rakyat Selangor adalah salah di sisi amalan dan adab hatta harus dibincangkan semula. Pada hari yang sama saya menulis kepada SPA menyatakan Kerajaan Negeri ingin membincangkan semula pelantikan Dato' Mohamad Khusrin dan tidak bersedia mengadakan majlis angkat sumpah kerahsiaan sehingga perkara ini selesai.

Pada 4 Januari 2011, saya menulis surat kepada DYMM Sultan memohon supaya majlis angkat sumpah kesetiaan yang dijadualkan pada 6 Januari ditangguhkan sehingga Kerajaan Negeri menyelesaikan perkara pelantikan tersebut.

Meskipun demikian pada 6 Januari 2011, saya dan barisan Exco turut hadir ke majlis di Istana Bukit Kayangan sebagai menzahirkan rasa taat setia dan kasih kepada DYMM Sultan dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda yang pada ketika itu menerima darjah kebesaran dari DYMM Ayahanda Sultan. Pada masa yang sama kita maklum bahawa Dato' Mohamad Khusrin dikehendaki melakukan angkat sumpah kesetiaan terhadap DYMM Tuanku.

Pada majlis tersebut, DYMM Tuanku telah bertitah dengan begitu jelas bahawa baginda tidak menyokong mana-mana parti politik dan kesal terhadap sikap sesetengah golongan yang memutar belit kenyataan baginda.

Tuanku Sultan juga dengan tegas menyatakan baginda senang dengan amalan profesional, nasihat menasihati yang kita amalkan. Ketegasan baginda tersebut telah memberi kekuatan kepada kita untuk memanggil Mesyuarat Dewan di bawah Peraturan 10(3) ini bagi mengimarahkan lagi amalan konsultasi dalam pentadbiran dan perhubungan antara Istana dengan barisan Eksekutif.

Dato' Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat;
Demikianlah kronologi peristiwa isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri yang membawa kepada perkara di hadapan kita hari ini.

Apakah pengajaran yang boleh diambil daripada keseluruhan episod ini? Pengajarannya ialah, jika pelantikan Setiusaha Kerajaan Negeri, Pegawai Undang-Undang dan Pegawai Kewangan Negeri tidak dilakukan secara telus, ia boleh diputarbelitkan oleh banyak pihak; sama ada daripada Setiausaha Kerajaan Negeri, pegawai kerajaan di istana dan di pejabat Dato' Menteri Besar, atau di Perkhidmatan Awam yang tiada urusan kerja dalam hal penempatan pegawai kerajaan.

Menyedari hakikat ini, Pakatan Rakyat tidak akan meneruskan amalan yang ternyata bercanggah dengan amalan Pakatan Rakyat, yakni bertindak secara telus, kompeten dan penuh pertanggungjawaban dalam apa-apa hal dan modus operandi pentadbiran negeri.

Saya tegaskan di sini, meskipun kerangka Perlembagaan kita menyebelahi Kerajaan Persekutuan saya yakin bahawa sekiranya ia dibenarkan beroperasi dalam semangat demokrasi, mungkin negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat boleh melaksanakan pentadbiran dengan baik. Malangnya, ini tidak berlaku dan semangat federalisme yang dikandung oleh Perlembagaan dilanggar secara terang-terangan.

Dato' Speaker dan Ahli-Ahli Dewan yang mulia ini,
Pindaan yang dicadangkan ini adalah tanda komitmen Pakatan Rakyat untuk mentadbir negeri berdaulat ini menurut aspirasi dan amanah yang diberikan rakyat bertunjangkan konsep keihsanan dan kepedulian rakyat. Rakyat Selangor tidak meminta lebih. Mereka hanya mahu hak mereka sebagai rakyat negeri yang menyumbangkan 30 peratus kekayaan negara Malaysia.

Saya mengakhiri pembentangan ini, dengan melontarkan beberapa soalan yang berikut:

1.Keterlaluankah kami apabila kami mahu mengembalikan hak Sultan dan hak Negeri yang telah dirampas secara salah oleh Umno Persekutuan yang memperkudakan kepemimpinan Umno-BN Selangor?

2.Derhakakah kami jika kami mahu mengembalikan kedaulatan Negeri dan baginda Sultan yang memerintah negeri yang berdaulat ini?

3.Derhakakah mereka jika mereka menolak atau lari daripada menerima usul pindaan ini?

Mohon, soalan-soalan ini dijawab di dalam Dewan yang mulia ini.

Oleh itu, Dato' Speaker dan Ahli-ahli Dewan yang dimuliakan, saya mohon mencadangkan.

Malaysiakini/-