09 Mac 2011

Anwar: Mahathir terdesak, cuba lindungi anaknya

04 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

Tuduhan-tuduhan yang dilontar oleh Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam buku 'A Doctor in the House' atau ‘Doktor Dalam Rumah’ adalah untuk menutup penyelewengan semasa pemerintahan mantan perdana menteri itu dan demi menjamin masa depan politik anaknya, Muhkriz, kata ketua pembangkang itu.

“Sebenarnya apa yang saya lihat ialah ketakutan dia (Mahathir) terhadap perubahan kerana kezaliman yang berlaku semasa pemerintahannya seperti yang didedahkan dalam buku Barry Wain: Malaysia Maverick. Beliau menghabiskan RM100 bilion lebih (duit rakyat), kata Anwar.

"Mahathir juga mahu menjamin masa depan anaknya seperti yang dilakukan oleh Hosni Mubarak terhadap anaknya Gamal. Dia mahu menjamin anaknya dalam golongan terulung di negara. Ini yang menjadi pertimbangan dia," kata Anwar kepada TVSelangor.

Dalam buku mengenai kisah hidupnya itu, Mahathir sekali lagi mengulangi dakwaan fitnah perlakuan moral Anwar.

Katanya, beliau tidak terkejut dengan pusingan terbaru tuduhan liar oleh Mahathir dan menegaskan bahawa masyarakat celik terhadap motif Mahathir untuk terus menyerang beliau.

Ketuan umum PKR itu berkata pembohongan Mahathir terserlah dalam buku Doktor Dalam Rumah, khususnya apabila mendakwa beliau (Anwar) tidak menafikan tuduhan liwat terhadapnya apabila perkara itu dibincangkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi Umno sebelum dia di pecat dari parti.

"Nyata satu lagi pembohongan jahat ialah Mahathir mendakwa kononnya saya mengaku (tuduhan) dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno. Saya tidak akan terkejut sekiranya kuncu-kuncu Umno akan mengesahkan (demikian),” kata Anwar.

"Tetapi kita ada rakaman mesyuarat itu. Sepertimana yang saya ingat, perjalanan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno itu telah bocor dan tidak ada sama sekali pengakuan saya kononnya mengesahkan tuduhan.” kata Anwar.

Meskipun sering mendakwa Anwar kononnya mengamalkan seks liar, Mahathir tidak sekali pun menghadirkan diri di mahkamah untuk memberi keterangan pada perbicaraan Anwar pada tahun 1998, walaupun atas desakan peguambela mantan timbalan perdana menteri itu.

Sebaliknya Mahathir memilih untuk terus melontarkan tuduhan-tuduhan itu di luar mahkamah, dan di atas kedudukannya sebagai perdana menteri ketika itu.

Selepas berundur dari jawatan itu, Mahathir meneruskan serangan ke atas Anwar dengan sokongan pemimpin-pemimpin Umno yang melihat ketua pembangkang itu sebagai musuh utama parti mereka yang harus ditumpaskan.

Mahathir memuatkan 20 halaman dalam memoirnya mengenai bagaimana beliau mendapat tahu tentang dakwaan kisah seks Anwar dengan lelaki dan wanita, yang membawa kepada pemecatannya pada 1998.

Ia diceritakan di bawah bab bertajuk 'Anwar's Challenge' dalam memoir setebal 800 halaman itu.

Antaranya, Mahathir menceritakan bagaimana beliau menemubual empat gadis yang memberitahunya bagaimana mereka dipujuk untuk bertemu seorang yang sangat berpengaruh, oleh seorang lelaki India yang mereka kenali sebagai Nalla.

Katanya, lelaki itu telah membawa setiap gadis itu secara berasingan ke sebuah rumah di Kenny Hills. Di situ mereka bertemu seorang yang mereka dikenalpasti sebagai timbalan perdana menteri. Mereka diminta menanggalkan pakaian untuk mengadakan hubungan seks.

Kedua-dua mereka, tulisnya lagi, enggan berbuat demikian tetapi yang dua lagi bersetuju. Mereka bersedia bercakap dengan polis dan dengan beliau, tetapi berkeras tidak mahu memberi keterangan di mahkamah.

Malaysiakini/-

ADUN Titi Serong dan Sinar Harian raikan anak-anak yatim

4 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -
PARIT BUNTAR : Prihatin dengan nasib dan kebajikan anak-anak yatim, Sinar Harian dengan kerjasama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim Abdullah telah menganjurkan majlis meraikan anak-anak yatim sekitar Parit Buntar Sabtu lalu, di Parit Buntar Inn, disini.

Seramai 20 anak-anak yatim sekitar kawasan itu diraikan di dalam satu majlis ringkas yang dirasmikan oleh YB ADUN yang turut menyampaikan sumbangan.


Khalil yang berkongsi pengalaman menjadi anak yatim sejak berusia 10 tahun turut memuji langkah Sinar Harian, malah keprihatinan Sinar Harian itu sangat menceriakan anak-anak yatim pada hari tersebut.

"Majlisnya ringkas tetapi bernilai besar disisi Allah swt. kerana kita meraikan anak-anak yatim yang sangat memerlukan.."

Apa yang dianjurkan oleh Sinar Harian wajar dipuji kerana ia mampu menarik minat masyarakat, berjaya memberi kesamarataan dalam setiap berita dan program tanpa melupakan golongan yang memerlukan, " katanya.

Sinar Harian turut mendapat kerjasama penaja-penaja seperti Nasmir Nasi Kandar, ABM Zulaikha Sdn Bhd., Butik Borong Bandar Perda, Kedai Wahab Bandar Perda, Perniagaan Rohaya dan Abu Bakar, Hasan Ibrahim, HNI Enterprise, dan stesyen minyak Petronas Nibong Tebal, yang menyumbangkan barang keperluan.

Penang Cop Bikers turut hadir meraikan dan memeriahkan majlis.

Gaddafi beri amaran kepada Barat

04 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

TRIPOLI: Presiden Libya, Muammar Gaddafi hari ini memberi amaran keras agar negara Barat agar jangan mencampuri hal ehwal negaranya.

Beliau berkata demikian dalam perbualan telefon dengan Perdana Menteri Greece, George Papandreou yang dipetik agensi berita Jana.
“Greece adalah rakan Libya dan mereka boleh menyampaikan nasihat ini kepada Kesatuan Eropah (EU)," katanya.
Gaddafi dilaporkan menghubungi sendiri Papandreou dengan memberi amaran sebarang keganasan yang berlaku di Libya sehingga menggugat keselamatan dan kestabilan akan memberi kesan kepada keamanan di negara utara Afrikan, negara Mediterranean dan Eropah.

Amaran itu susulan keputusan NATO dan EU untuk mengadakan rundingan dengan negara di utara Afrika bagi mencari jalan penyelesaian menghadapi rejim Gaddafi di Brussels, esok dan Jumaat ini.

Sinar Harian/-

08 Mac 2011

Parlimen: 4,118 Kes Bunuh Diri Dari 2001 Hingga 2010

03 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Sebanyak 4,118 kes bunuh diri dilaporkan sejak 2001 sehingga 2010, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata, antara faktor yang sering dikaitkan dengan kes bunuh diri yang dikategorikan sebagai kes mati mengejut ialah tekanan perasaan akibat kegagalan dalam hidup, masalah keluarga dan kematian orang tersayang.

"Faktor lain ialah mengalami penyakit jiwa seperti kemurungan dan trauma, terlibat dengan jenayah (bagi mengelak hukuman), terlibat dengan dadah dan menghidap penyakit yang tidak dapat dirawat," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Sim Tong Him (DAP-Kota Melaka) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Selasa.

Sim ingin tahu jumlah kes membunuh diri dari tahun 2001 hingga 2010 dan punca kejadian serta badan bukan kerajaan (NGO) yang berusaha untuk mencegah kejadian tersebut.

Hishammuddin berkata, masalah kewangan yang kritikal seperti menanggung hutang yang banyak dan terlibat dengan judi juga merupakan penyebab individu membunuh diri.

Beliau berkata, terdapat beberapa NGO yang berusaha menangani dan mencegah kejadian bunuh diri.

"Usaha ini dilakukan melalui program seperti khidmat kaunseling, ceramah, bengkel dan seminar mengenai kemahiran kaunseling dan pencegahan bunuh diri serta kempen kesedaran mengenai kesihatan mental," katanya.

Penyakit Kencing Manis

Rabiulakhir 1432H. [MOD] -
Mohd Shukri Mohamed Talib

Penyakit kencing manis telah diketahui semenjak tamadun purba lagi dan telah direkodkan oleh tamadun Mesir, Hindu, Cina dan Yunani (Greek). Tanda-tanda penyakit kencing manis, seperti dahaga yang melampau dan kerap kencing, telah digambarkan oleh orang Mesir di atas paprus pada 1550 BC. Pakar perubatan India juga telah membahagikan pengidap kencing manis kepada dua kategori semenjak abad ke lima lagi. Nama lain kencing manis ialah diabetes yang bererti pancur air, dinamakan oleh pakar perubatan Yunani (Greek), Areteus dari Cappadocia semenjak 2,000 tahun dahulu.

Perkataan mellitus kemudiannya ditambah oleh Willis bagi menunjukkan terdapat gula dalam air kencing. Salah satu daripada ujian bagi mengesan pengidap kencing manis yang terawal adalah mencurahkan air kencing pada tanah dan melihat samada semut menghurungi tempat tersebut. Bukti kaitan kelenjar pankreas dengan punca penyakit kencing manis dijumpai pada tahun 1897, apabila dua orang pakar sains, Minkowski dan Von Mering membuktikan hubungan kelenjar pankreas dengan kencing manis dengan membuang kelenjar pankreas pada anjing, menyebabkan anjing tersebut mengidap kencing manis. Walaupun penyakit kencing manis telah lama diketahui, kawalan penyakit kencing manis yang berkesan hanya diketahui pada 1921 apabila Frederick G. Banting dan Best menjumpai fungsi insulin sebagai pengawal kandungan glukosa dalam darah.

Apakah Insulin ?

Insulin merupakan sejenis hormon yang dihasilkan oleh sel kelenjar pankreas yang dikenali sebagai Langerhans islets ( kepulauan kecil ). Insulin bertugas untuk menceranakan glukosa dan bertindak membenarkan glukos dalam darah menembusi dinding sel.

Jenis-jenis Kencing Manis (Diabetes mellitus)

Kencing manis boleh dibahagikan kepada beberapa jenis iaitu :

1. Diabetes bersandar insulin
2. Diabetes bebas insulin
3. Diabetes ketika Hamil (Gestational diabetes)
4. Diabetes bentuk lain


Diabetes bersandar insulin

Diabetes jenis pertama juga dikenali sebagai diabetes bersandar insulin (IDDM - 'Insulin Dependent' ) atau diabetes awal remaja. Pengidap diabetes bersandar insulin boleh hidup seperti normal selagi mereka menerima suntikan insulin, tetapi mereka akan menerima maut sekiranya mereka tidak mendapat suntikan insulin dalam tempoh yang agak singkat. Ini adalah disebabkan penguraian sumber bahan tenaga lain oleh badan seperti lemak bagi menggantikan tenaga dari glukos. Penguraian sumber bahan tenaga lain akan menghasilkan bahan sampingan seperti ketones yang menyebabkan keadaan hiperglisemia (hyperglycemia). Ketones merupakan molekul asid yang mampu menyebabkan kegagalan metabolisma dan sel badan gagal berfungsi. Keadaan ini sekiranya berlarutan akan mengakibatkan pengidap kencing manis menjadi koma dan menemui maut sekiranya tidak dirawat. Diabetes jenis pertama ini terbentuk apabila sistem imunisasi badan memusnahkan sel beta kelenjar pankreas, satu-satunya jenis sel yang menghasilkan hormon insulin yang digunakan untuk penghadaman glukos kepada tenaga. Diabetes ini sering didapati pada golongan kanak-kanak dan remaja yang memerlukan beberapa suntikan insulin setiap hari, atau menggunakan pam insulin, untuk terus hidup. 5% hingga 10% pengidap diabetes merupakan dari jenis kencing manis jenis I. Mereka yang berisiko mengidap kencing manis jenis I adalah serangan sistem imunisasi sendiri (autoimmune), genetik, dan alam sekeliling.

Diabetes bersandar insulin lebih kerap dikesan di masyarakat Barat. Ini mungkin disebabkan oleh genetik, kesedaran yang lebih luas dikalangan masyarakat barat, atau kurang kesedaran dikalangan masyarakat Asia mengenai penyakit diabetes dikalangan kanak-kanak. Lambat mendapatkan rawatan bagi diabetes bersandar insulin boleh membawa maut, oleh itu sekiranya diabetes bersandar insulin tidak dikesan dengan lebih awal, pengidap diabetes tidak berpeluang untuk dirawat. Bagaimanapun peningkatan kes diabetes dikalangan masyarakat Asia mungkin sebahagiannya disebabkan oleh peningkatan kesedaran mengenai penyakit diabetes dikalangan umum. Ini menyebabkan lebih ramai orang sempat mendapatkan rawatan di hospital.

Pengidap diabetes bersandar insulin perlu disuntik sebelum makan dan kadang-kala insulin tambahan perlu disuntik pada waktu malam sebelum tidur. Ibu bapa hendaklah menyimpan rekod bacaan paras gula anak mereka untuk perhatian dan tindakan susulan daripada doktor dan pakar pemakanan. Paras gula yang direkodkan itu amat penting untuk membolehkan doktor mengubah suai pemakanan kanak-kanak terbabit dan mengubah dos insulin. Ini disebabkan kekurangan dan lebihan paras gula dalam darah boleh meninggalkan kesan buruk dan pelbagai gejala kepada pesakit diabetes.

Bagaimanapun sekiranya terlalu banyak insulin diambil atau disuntik, keadaan sebalinnya mungkin berlaku. Keadaan ini yang dikenali sebagai hipoglisemia disebabkan kekurangan glukos dalam darah dan boleh diatasi dengan mudah dengan pengambilan makanan atau minuman yang bergula.

Diabetes bebas insulin - jenis kedua

Diabetes bebas insulin (jenis kedua) juga dikenali sebagai diabetes peringkat permulaan dewasa. 90% hingga 95% daripada pengidap kencing manis mengidap diabetes bebas insulin (jenis kedua). Diabetes bebas insulin (jenis kedua) biasanya bermula dengan ketahanan insulin, dimana badan tidak menggunakan insulin dengan berkesan. Apabila keperluan menggunakan insulin meningkat, kelenjar pankreas tidak lagi mampu mengeluarkan insulin pada kadar mencukupi. Diabetes bebas insulin (jenis kedua) biasanya berlaku seiring dengan faktor usia lanjut, gemuk (obesity), terencat ketahanan glukos, keturunan atau bangsa (genetik) dan kurang bersenam. Diabetes bebas insulin (jenis kedua) juga semakin meningkat dikalangan kanak-kanak dan golongan remaja di Malaysia

Diabetes ketika Hamil (Gestational diabetes)

Diabetes ketika hamil merupakan sejenis alahan glukos yang dikenal pasti pada sebahagian wanita ketika mengandung. Diabetes ketika hamil sering didapati di kalangan orang Amerika keturunan Afrika, Hispanik/Latin, dan Red Indian. Diabetes ketika hamil juga biasa didapati dikalangan wanita kuat makan, atau wanita yang dari keturunan pengidap diabetes. Ketika mengandung, diabetes ketika hamil memerlukan rawatan untuk menurunkan paras gula dalam darah agar tidak memberi kesan kepada kandungan. Selepas mengandung, kebanyakan wanita 90% hingga 95% kembali sembuh. Sebahagian kecil pula antara 5% hingga 10% didapati mengidap diabetes bebas insulin (jenis kedua). Wanita yang mengalami diabetes ketika hamil mempunyai risiko 20% hingga 50% mengidap diabetes dalam tempoh 5 hingga 10 tahun. Diabetes ketika hamil juga meningkatkan lagi risiko bayi mempunyai paras bilirubin yang tinggi (demam kuning) berbanding bayi normal.

Diabetes bentuk lain

Terdapat diabetes yang disebabkan oleh faktor genetik (peringkat permulaan dewasa), pembedahan, dadah, kurang zat permakanan, jangkitan, dan penyakit lain. Diebetes bentuk lain membentuk 1% hingga 5% daripada semua penyakit kencing manis yang dikenal pasti.

Nazri : Kenyataan yang lucu dan mempersendakan dirinya sendiri .

03 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -
Hafizi Pauzi

PARIT BUNTAR, 9 Mac : Ketua Penerangan PAS Perak, YB Drs. Khalil Idham Lim menjawab ulasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang mana beliau mengatakan bahawa proses pilihan raya di Malaysia adalah adil dan telus dan setanding di Negara luar dengan mangambil contoh keputusan PRU12 dimana BN kehilangan banyak kerusi.

“Saya sendiri tidak pasti Negara luar mana yang dimaksudkan, ayatnya tergantung,” katanya ketika ditemui di sini.

“Saya ingin mengatakan bahawa jika benar PRU 12 diurus tadbir mengikut lunas demokrasi yang telus, bermakna media dibebaskan, SPR serta Polis tidak diperkudakan , undi pos dimansuhkan, guna dakwat kekal dan kempen diberi tempoh yang sesuai dengan tiada sebarang halangan ketika ceramah dijalankan, maka ketika itu barulah adil, sekarang tidak,” katanya lagi.

Malah menurut Khalil kebebasan berkempen di Malaysia jauh dari yang diharapkan berdasarkan pengalamannya berkecimpung sepenuh masa dalam politik tanahair.

"BN sejak sekian lama mempergunakan seluruh jentera dan agensi kerajaan untuk mempertahankan kuasa. Sedangkan semuanya itu adalah milik rakyat dan tidak sepatutunya digunakan oleh BN" jelasnya.

Khalil juga menegaskan jika Pakatan Rakyat cima berdepan dengan jentera BN, pasti mereka telah lama dapat ditumbangkan.

"Kerana itu saya sifatkan pelanggaran demokrasi dengan menyalahgunakan harta rakyat adalah talian hayat yang masih ada dengan BN untuk terus kekal berkuasa". Katanya

Berdasarkan salah laku BN yang disifatkan punca kepada segala masalah rakyat hari ini, BN bukan sahaja gagal mengurus tadbir Malaysia, malah telah meletakkan seluruh rakyat Malaysia pada tahap yang amat bahawa dalam segenap aspek.

Menurutnya yang juga Ketua Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, kesalahan BN selaku pemegang amanah rakyat tidak boleh dimaafkan lagi, seluruh nasib rakyat telah diperjudi kan BN.

Rakyat dihimpit dengan kenaikan harga barang berikutan peningkatan harga minyak kali yang ke emapt bagi RON 97, terkini saman ekor setiap masa memburu rakyat, tujuannya bukan mendidik, tetapi rakyat dipaksa untuk membayarnya, kalau tidak disenarai hitamkan.

Dalam pada itu Khalil yang juga Adun Titi Serong mengingatkan supaya kerajaan tidak memandang rendah terhadap suara rakyat. baginya juga usara rakyat adalah suara penentu kepada jatuh bangunya sesebuah kuasa dan kerajaan.

Sebagaimana yang disebut oleh Menteri Besar Kelantan perihal suara rakyat yang terpendam, kerajaan diingat supaya jangan cabar rakyat dan Pakatan Rakyat akan terus buktikan fakta penyelewengan BN terhadap rakyat.

"Kerana itu saya menganggap kenyataan Nazri sebagai kenyataan yang lucu dan mempersendakan dirinya sendiri dengan menyembunyikan realiti yang sebenar tentang proses pilihanraya di Malaysia yang berpat sebalh" Jelasnya

“Jika nak banding dari segi indeks kebebasan media, bandinglah dengan finland serta Sweden, indeks kebebasan media 2010 meletakkan Malaysia hampir sama dengan Zambia,” katanya.

Kenyataan Akhbar : Barisan Nasional yang memerintah secara kuku besi.

03 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -
YB V. Sivakumar

Pada Persidangan Parlimen penggal keempat (ke-4) selepas Pilihanraya Umum Ke-12, tercatat satu lagi peristiwa hitam yang memburukkan lagi imej negara di arena antarabangsa. Hari ini kita dapat melihat satu persidangan yang cacat yang pasti akan menjadi bahan ketawa seluruh umat manusia yang percaya dan berpegang kepada amalan demokrasi.

Persidangan yang dibuka oleh Yang Dipertuan Agong pada 7 Mac telah dilangsungkan tanpa adanya Ketua Pembangkang iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim. Perlakuan ini telah menjejaskan amalan demokrasi dan juga dengan jelasnya menggambarkan kekejaman kerajaan Barisan Nasional yang memerintah secara kuku besi.

Apa gunanya ada Parlimen apabila Ketua Pembangkang dinafikan hak untuk berbahas mengenai isi kandungan titah ucapan DiRaja yang akan menjadi landasan dasar-dasar dan arah tuju negara?

Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang telah digantung dari menghadiri persidangan Parlimen selama 6 bulan oleh Speaker Dewan Rakyat. Ini sudah tentu atas arahan kerajaan Barisan Nasional yang zalim. Perdana Menteri dan Menteri-Menteri Kabinet bersama-sama ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional yang lain kecut untuk menjawab soalan-soalan yang dibangkitkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim khususnya soalan berkaitan dengan hubungan negara kita dengan APCO.

Parlimen adalah satu-satunya tempat yang mempunyai imuniti untuk Wakil Rakyat membangkitkan apa jua isu berkaitan negara kita ini. Tidak ada sesiapa yang mempunyai kuasa untuk menghalang ahli-ahli Parlimen untuk membangkitkan sesuatu masalah yang melibatkan negara ini. Atas tujuan itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah bangkitkan isu APCO bersama bukti-bukti yang kukuh. Tetapi beliau telah dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan di dalam Persidangan Dewan Rakyat lepas.

Jawatankuasa ini telah mengambil keputusan untuk menggantung beliau untuk masa selama 6 bulan. Beliau seharusnya diberi peluang untuk memberikan penjelasan sepenuhnya berkaitan dengan tuduhan beliau yang menyatakan bahawa kerajaan Malaysia menandatangani kontrak dengan syarikat APCO yang juga berfungsi sebagai penasihat bagi Israel.

Kontrak ini telah menelan belanja sebanyak RM70 juta. Wang ini adalah wang rakyat Malaysia yang boleh dipersoalkan oleh Ketua Pembangkang. Apatah lagi, secara langsung, perkara ini melibatkan keselamatan negara kita. Tetapi kerajaan Barisan Nasional yang zalim ini telah menggunakan jalan pintas yang juga boleh sifatkan sebagai taktik pengecut kerajaan Barisan Nasional, untuk menghalang Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi penjelasan dan menunjukkan bukti-bukti yang kukuh mengenai hujah beliau di Dewan Rakyat.

Kerajaan Barisan Nasional telah mempergunakan Speaker Dewan Rakyat untuk mengambil tindakan menggantungkan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada menghadiri persidangan selama 6 bulan. Satu daripada komponen utama Parlimen Malaysia ialah Ketua Pembangkang. Datuk Seri Anwar Ibrahim seharusnya diberi ruangan yang secukupnya untuk membahaskan perkara-perkara yang difikirkan perlu untuk kebaikan, kemajuan, kebajikan dan kesejahteraan Malaysia. Tetapi malangnya, beliau tidak hadir ke Parlimen pada persidangan kali ini kerana telah digantung oleh pihak kerajaan untuk melarikan diri daripada kesalahan mereka sendiri

Selangor lancar Dasar Tahfiz Al-Quran

03 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM, 8 Mac: Kerajaan Negeri Selangor melancarkan Dasar Tahfiz Al-Quran dengan lima objektif utama antaranya melahirkan 500 huffaz profesional pada 2020.

Dasar itu dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di sini malam tadi yang berkata, ia merupakan yang pertama dilaksanakan di Malaysia.

Visi dasar itu menjurus ke arah melahirkan generasi Al-Quran profesional yang mahir, berilmu, beriman, beramal, bersepadu, berakhlak mulia, berdaya saing dan berketrampilan seiring dengan keperluan masa kini.

Objektif dasar itu untuk menambahkan bilangan huffaz serta meningkatkan kualiti pendidikan tahfiz Al-Quran, kerjasama kerajaan negeri dengan semua pihak hingga mampu melahirkan lebih ramai hafiz dan menjadi tempat rujukan utama bagi segala permasalahan berkaitan Al-Quran.

Selain itu, menjadi pusat melahirkan guru Al-Quran yang terlatih dan profesional demi memenuhi tuntutan keperluan masyarakat serta pusat latihan pengurudan dan pentadbiran Institut Tahfiz Al-Quran.

Jawatankuasa pelaksana dasar ini juga akan terus mengadakan Hari Huffaz, Akademi Imam, Kursus Tarannum, Karnival Huffaz Selangor, Ijtimak Huffaz Selangor dan Majlis Pengiktirafan Hafiz.

Sebelum itu, Abdul Khalid berucap merasmikan Pertandingan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Selangor 2011 yang berlangsung di Auditorium Dewan Jublee Perak, Bangunan SUK, dekat sini.

Sambutan terhadap majlis ini amat memberangsangkan berikutan premis luas itu sesak dan penuh dengan huffaz.

Selesai acara rasmi, Abdul Khalid menyampaikan elaun tunai kepada sekitar 30 huffaz yang berjaya di dalam temuduga yang diadakan sebelum ini.

Malam tadi, seramai dua penghafaz lelaki menjawab lima soalan dengan cara menyambung ayat Al-Quran yang kelihatannya sangat mudah bagi mereka berbuat demikian.

Bagi mereka yang menghafaz 10 juzuk menerima bayaran sebanyak RM1,200, 20 juzuk (RM1,800) dan 30 juzuk (RM3,000).

Seorang penerima elaun, Mohd Adib Badri Shah Al, 20, dari Klang bersyukur kerana berjaya dalam percubaan pertama kategori 10 juzuk dengan membawa pulang wang tunai RM1,200.

Adib baharu sahaja tamat 30 juzuk pada temuduga itu November lalu dari Institut Tahfiz Al-Quran Gemencheh, Negeri Sembilan.

Anak kelima ini berazam untuk menyertai lagi temuduga ini di masa akan datang untuk menguji kemahiran.

Mengikut buku dasar ini, aktiviti menghafaz atau ishbat ini melibatkan program untuk peserta 18 tahun ke atas bertujuan menjadikan program pemberian elaun sebagai aktiviti ko-kurikulum huffaz.

Program ini juga untuk meningkatkan istiqamah huffaz dalam usaha memelihara hafazan Al-Quran, menjadikan golongan huffaz sebagai penggerak yang terancang dalam membudayakan Al-Quran melalui masjid dan surau serta memartabatkan generasi pembawa Al-Quran.

Aktiviti ujian ini dilaksanakan sebanyak dua kali setahun; Mei dan November di mana bayaran dibuat dua bulan kemudian melibatkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kerjasama pertubuhan yang berkaitan.

Harakahdaily/-
Oleh : Ismail Hashim.

Rumah Kos Rendah : Untuk rakyat susah atau kroni Umno ?

03 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

Rumah: Umno perlu ambil perhatian titah Agong

KUALA LUMPUR, Ahli Parlimen Padang Terap, Nasir Zakaria (gambar) berkata, titah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin mengenai kemudahan perumahan kepada golongan kurang berkemampuan harus diambil serius oleh Umno BN.

Ini kerana katanya, berlaku ketidakadilan dalam pemberian rumah-rumah berkenaan apabila Umno BN memilih kroni mereka untuk menerima rumah kos rendah itu.

"Bagi saya sebagai golongan muda, projek ini hendaklah sampai kepada sasaran. Apa yang berlaku apabila kita (Pakatan Rakyat) kemuka permohonan rumah ini tidak dilayan sebaliknya mereka lebih memilih kumpulan-kumpulan daripada BN.

"Ketua Umno bahagian memainkan peranan besar dalam memastikan siapa yang patut dapat rumah ini," kata beliau.

Tambahnya, semua pihak tidak kira daripada mana-mana parti berhak diberi peluang untuk membantu rakyat yang sudah.

"Semua orang tidak kira BN ke, Pakatan Rakyat ke layak dan mempunyai akses untuk membantu golongan susah," katanya.

Tuanku Mizan semasa semasa merasmikan mesyuarat pertama penggal keempat Parlimen hari ini menyentuh mengenai Rancangan Malaysia Kesepuluh iaitu lebih 30,000 unit rumah di bawah program perumahan rakyat akan dibina untuk disewa dan dijual kepada golongan yang memerlukan.

Himpunan berita politik Pakatan Rakyat

Hari Wanita: Kembali kepada syariah Islam

03 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 8 Mac: Umat Islam di negara ini perlu kembali kepada syariah Islam sepenuhnya dalam menjalani kehidupan agar kesejahteraan sosial, ekonomi dan politik dapat dinikmati dalam erti kata sebenar.

Ketua Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Ustazah Maznah Daud membuat saranan itu sempena sambutan 100 tahun Hari Wanita Sedunia 2011, hari ini.

Di samping itu, katanya perjuangan pembelaan hak wanita pula hendaklah selaras dengan apa yang digariskan oleh syarak iaitu untuk memartabatkan kedudukan wanita yang benar-benar sejahtera merangkumi kehidupan dunia dan akhirat.

“Keadaan ini akan hanya dapat dikembalikan apabila syariah Islam itu dilaksanakan sepenuhnya dan manusia menjalani kehidupan mengikut apa yang telah disusun oleh Allah SWT,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau menambah, pembangunan potensi wanita mesti berasaskan kepada satu sistem nilai yang menyeluruh meliputi pengukuhkan jati diri yang juga merangkumi aspek aqidah dan pegangan hidup, akhlak, jasadiah dan insaniah.

Semua pihak, katanya perlu terus memberikan sokongan kepada kaum wanita untuk memajukan diri dalam bidang pendidikan agar wanita dapat sama-sama menyumbang dalam sektor pekerjaan.

Namun, tambahnya pada masa yang sama tidak mengambil kesempatan dan mengeksploitasi wanita dari sudut ekonomi dan kewangan.

Beliau turut menyatakan penilaian secara sepintas lalu dalam situasi Malaysia, menunjukkan bahawa kedudukan wanita di negara ini sudah jauh ke hadapan dari segi penglibatan mereka di dalam kerjaya dan pembangunan masyarakat serta negara.

Beliau berkatanya, ianya juga sekali gus menggambarkan polisi pendidikan negara dalam memberi peluang yang sama rata kepada kaum wanita untuk mendapat pendidikan, telah berjaya mendapat respon serta kesan yang positif daripada kalangan kaum wanita bagi membolehkan mereka meningkatkan keupayaan diri dan berdaya saing dalam kehidupan.

Katanya, jika kesaksamaan menjadi kayu ukur kejayaan yang diperjuangkan, dapat dilihat bahawa wanita di Malaysia telah berupaya menceburi dalam hampir kesemua bidang yang diceburi oleh kaum lelaki.

Namun demikian, ujarnya pada masa yang sama gejala sosial seperti penderaan, penindasan, keganasan, penipuan dan ketidakadilan terhadap wanita serta kanak-kanak terus berlaku dengan meluasnya.

“Tidak kurang juga mereka yang berpendidikan tinggi dan berjawatan tinggi yang turut terjebak di dalam gejala-gejala ini.

“Keadaan ini memberi gambaran bahawa kemajuan dan kejayaan material yang dicapai oleh kaum wanita masa kini yang tidak disertai dengan pembangunan spiritual tidak dapat menjamin dan tidak berupaya untuk melindungi diri mereka khususnya dan ahli masyarakat amnya dari segala bentuk ketidakadilan dan kekejaman,” katanya..

Menurutnya, walaupun wanita telah maju dari sudut pendidikan tetapi dalam banyak hal masih banyak indeks kesejahteraan wanita yang lemah.

Sekali gus, ujarnya ini menunjukkan bahawa perjuangan wanita yang hanya menekankan kesaksamaan gender di dalam semua bidang semata-mata berdasarkan pencapaian material, bagi meningkatkan martabat wanita dan mencapai keadilan tidak mencukupi untuk menjadi penyelesaiaan menyeluruh kepada isu yang dihadapi oleh wanita masa kini.

“Apa yang jelas, adalah kehidupan ummah pada masa kini dilihat makin jauh menyimpang dari landasan hidup syariah yang telah disusun oleh Allah SWT,” katanya lagi.

Harakahdaily/-

Pembelian Kapal Perang Laut RM6.7 Bilion Tidak Berasas

03 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 7 MAC: Keputusan kerajaan Umno-BN membelanjakan RM6.7 Bilion membeli enam kapal perang laut generasi kedua tidak berasas dan bercanggah dengan retorik kerajaan pusat bahawa negara mungkin muflis.

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng dalam soalannya kepada Menteri Pertahanan, Datuk Zahid Hamidi di Parlimen pagi tadi turut mempersoalkan ketelusan tender pembinaan kapal tersebut kerana tiada tender terbuka dikeluarkan bagi pembinaan kapal tersebut.

Kata beliau, tindakan kerajaan seolah-olah mengenepikan kebajikan rakyat kerana kerajaan sanggup menarik subsidi sebanyak RM1.7 Bilion yang diberikan kepada rakyat dengan alasan kerajaan tiada peruntukkan mencukupi tetapi mampu pula membelanjakan lebih RM6 Bilion untuk pembelian kapal perang laut ini.

Beliau seterusnya mempersoalkan adakah tindakan kerajaan Malaysia membeli dan menaik taraf pertahanan laut ini mencerminkan wujudnya ancaman luar kepada Malaysia kerana pembelian dibuat untuk kapal perangn laut yang serba moden.

Selain itu, beliau juga bertanyakan apakah rasional di sebalik kenaikan harga pembelian kapal-kapal laut tersebut yang meningkat dari RM5.3 Bilion ke RM6.7 bilion memandangkan perkiraan kos hanya dibuat baru-baru ini.

" Sekarang kerajaan membelanjakan RM6 bilion untuk kapal peronda ini, adakah rasional dan apakah jaminan projek ini tidak menyebabkan berlakunya lebihan kos?,"soal beliau.

Menjawab soalan Lim Lip Eng, Zahid berkata perolehan bagi enam kapal perang laut tidak dibuat secara tender dan diberi terus kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd bagi memenuhi syarat perjanjian perbadanan yang dibuat pada 11 Disember, 1995.

Sebelum ini, kerajaan melalui Kementerian Pertahanan pernah membuat pesanan yang serupa kepada Penang Shipyard and Construction - Naval Dockyard Sdn Bhd (PSC-ND) tetapi disebabkan penyelewengan serius menyebabkan kerajaan terpaksa menjamin keluar syarikat berkait kerajaan tersebut.

Kerajaan Umno-BN pada masa itu juga terpaksa menanggung kos tambahan akibat kelewatan menyiapkan kapal-kapal berkenaan dan bagi menyelamatkan syarikat serta projek berkenaan, kerajaan Umno-BN bertindak menggabungkan PSC-ND dengan Boustead Holdings Bhd menjadi Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara tahun 2005, penyelewengan dalam PSC-ND telah membebankan kerajaan dengan tambahan kos kira-kira RM200 juta.

Berang dengan kenyataan Lim Lip Eng yang mendedahkan beberapa kepincangan yang berlaku, Zahid kemudiannya menyalahkan Lim Lip Eng sambil menyuruh ahli parlimen itu kembali ke sekolah.

Keadaan itu kemudiannya membangkitkan sedikit kekecohan dalam Dewan Rakyat apabila ahli-ahli parlimen pembangkang meminta Zahid menarik balik kenyataan beliau terhadap Lim Lip Eng.

" Tuan Yang di-Pertua, saya rasa elok ahli parlimen Segambut masuk Tabika semula kerana tidak dapat membezakan,"kata Zahid yang disambut bantahan ahli-ahli parlimen pembangkang.

Tv Selangor/-

Harussani kena jawab, bilakah Nik Aziz menyatakan bahawa undi PAS masuk syurga

03 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

Nik Aziz Tuntut Harunssani Jelas Isu 'Undi PAS Masuk Syurga'

KOTA BHARU 8 MAC : Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menghantar surat rasmi kepada mufti Perak, Tan Sri Harunssani Zakaria bagi menyatakan hasratnya mahu berjumpa tokoh agama itu bagi merungkai perselisihan pendapat antara mereka.

Surat itu juga antara lain menuntut Harunssani menjelaskan tulisannya sebelum ini yang mendakwa Nik Aziz yang juga menteri besar Kelantan, pernah berkata 'undi PAS masuk syurga'.

Tulisan mufti itu disiarkan oleh akhbar Mingguan Malaysia 6 Mac lalu, iaitu hari pengundian bagi pilihan raya kecil dewan undangan negeri Kerdau dan Merlimau.

"Hari ini saya telah menghantar surat rasmi kepada sohibus samahah Tan Sri Harussani, mufti Perak memohon penjelasan di atas tulisan beliau di dalam Mingguan Malaysia 6 Mac 2011.

"Saya memohon supaya beliau menjelaskan bilakah saya menyatakan bahawa undi PAS masuk syurga," katanya melalui Facebook hari ini.

Kedua-dua tokoh itu sering bercanggah pendapat berhubung isu agama dan jika pertemuan yang dicadangkan itu menjadi kenyataan, ini adalah kali pertama berlaku mereka akan duduk semeja.

"Semoga beliau memberikan respon,"kata Nik Aziz lagi.

Semalam, Dewan Pemuda PAS Perak juga telah menghantar surat jemputan kepada Harussani berhubung perkara yang sama.

Mereka menawarkan diri untuk menjadi orang tengah bagi menjayakan pertemuan tersebut.

Menurut Pemuda PAS Perak, sudah tiba masanya untuk kedua-dua tokoh itu bersemuka dengan cara yang lebih terhormat dan beradab bagi menjernihkan keadaan dan menyelesaikan kemelut yang hanya merugikan umat Islam.

Mereka berpendapat, dengan menghormati ilmu Harussani, pihaknya merasakan kaedah itu adalah yang terbaik bagi menidakkan semua pandangan yang telah dikemukakan secara terbuka.

Pemuda PAS Perak juga sebelum ini antara yang tidak senang dengan beberapa pandangan mufti itu khususnya dalam isu ancak membabitkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abd Kadir.

Himpunan berita politik Pakatan Rakyat

Saman ekor dera bukan didik rakyat - Abdul Hadi

03 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 8 Mac: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang meminta kerajaan mencari pendekatan lain yang lebih sesuai berbanding saman ekor kerana ia lebih mendera rakyat bukannya mendidik.

"Sepatutnya kerajaan mendidik rakyat supaya mematuhi peraturan jalan raya bukannya mendera rakyat sebagaimana berlaku dalam kes saman ekor ini," kata beliau.

Sekurang-kurangnya dua kali beliau membangkitkan perkara ini dalam dua program berbeza. Pertama ketika bercakap kepada wartawan di Kerdau Selasa lepas dan sekali lagi ketika bercakap dengan kakitangan editorial Harakah Rabu lepas.

Beliau mengulas kesusahan yang dihadapi oleh beribu-ribu rakyat negara ini yang terpaksa beratur di balai-balai polis untuk membayar saman bagi mengelakkan kenderaan mereka di senarai hitamkan.

"Ini mendera rakyat bukan mendidik rakyat," kata Abdul Hadi yang juga anggota Parlimen Marang sambil menyokong tindakan yang diambil oleh Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menganjurkan Kempen Anti Saman Ekor (Kase).

Baru-baru ini, Kase menyeru Kementerian Pengangkutan bersedia mengadakan pertemuan dengan pihak-pihak berkepentingan termasuk Kase bagi membincangkan dan menjelaskan beberapa isu yang ditimbulkan seperti penswastaan penguatkuasaan peraturan lalu lintas dan kos-kos terlibat.

"Ini bagi memastikan wang rakyat digunakan untuk kepentingan rakyat sendiri, bukan syarikat-syarikat kroni," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai merujuk kepada sistem penguatkuasaan automatik (AES) iaitu penggunaan kamera statik dan bergerak untuk mengambil gambar kesalahan memandu melebihi had laju, melanggar arahan lampu isyarat dan memandu di lorong bas bagi kenderaan selain bas.

Sistem ini dikendalikan dua syarikat swasta iaitu Beta Tegap Sdn Bhd dan Commercial Circle (M) Sdn Bhd yang mendapat pulangan 35 peratus daripada setiap enam juta saman yang dikeluarkan manakala kerajaan mendapat 65 peratus pulangan.

"Apa maksudnya ini? Ini bermaksud proses penguatkuasaan peraturan lalu lintas di bawah akta ini telah diswastakan. Apa rasionalnya peraturan lalu lintas diswastakan oleh Kerajaan?" soalnya yang juga ahli Parlimen Pokok Sena.

Pengunaan AES ini mula berkuatkuasa hari ini di seluruh negara.

Simulasi Pilihanraya PAS Miri Mantapkan Persiapan PAS Miri

03 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

Miri, 8 Mac 2011- Sebagai rangka persiapan mantap terakhir Jentera
Pilihanraya ,PAS Kawasan Miri dan Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi
Manusia (JUHAM) PAS Pusat telah menganjurkan kursus Simulasi
Pilihanraya di sini minggu yang lalu. Latihan dihadiri seramai 60
peserta jentera PAS Miri terdiri dari jentera Majlis Tindak DUN(MTD)
Senadin,Pujut,Piasau dan 6 orang dari DUN Jepak.

Latihan selama 1 hari merupakan siri terakhir setelah lebih 7 siri
berterusan telah diadakan sebelum ini. Lebih menarik kursus kali ini
turut melibatkan latihan Simulasi Hari Pengundian melibatkan latihan
Polling Agent Counting Agent (PACA) secara praktikal bagi memantapkan
pemahaman petugas.Latihan praktikal dan kertas kerja dibentangkan oleh
Ahmad Zamri, Timbalan Pengarah JUHAM Pusat dan Abang Ahmad Kerdee
Abang Masagus, Penasihat Guaman PAS Negeri Sarawak.

Pada sidang media selepas latihan Simulasi ,PAS Kawasan Miri telah
melancarkan Kempen Anti Saman Ekor(KASE) yang telah pun dilancarkan
dan mendapat respon positif di seluruh Malaysia. Ia bertujuan
menyediakan khidmat nasihat dan bantuan guaman pada rakyat yang
tertindas dek saman ekor yang dikenakan tanpa notis yang sah dari
pihak berkuasa. Pada sebelah malam ;rombongan PAS Kawasan Miri
diketuai YDP Kawasan,Tuan Haji Jofri,,Abang Ahmad Kerdee,Penasihat
Guaman PAS Sarawak ,Pengerusi dan SU DHPP,Mr Yeo dan Mr John Barah
telah menyertai rombongan ke Kg Pasir,Lutong bagi mendengar
permasalahan penduduk setempat dan mengadakan dialog isu setempat.

Program itu mendapat sambutan baik masyarakat dan PAS Kawasan Miri
berjanji untuk membawa permasalah penduduk ke pihak berwajib pada
kadar segera. Dalam keadaan pemimpin BN hidup mewah dan Pegawai SESCO
dari luar dibayar pada harga gaji melampau;masih ramai rakyat di Miri
hanya bergantung pada Generator sebagai sumber tenaga elektrik dan
system perparitan yang amat teruk sekali. Janji Peter Chin,Lee Kim
Shin dan George Chan hanya sekadar menanam tebu di bibir
sahaja,begitulah keluhan rakyat disini. Janji mereka 2011,MASA UNTUK
BERUBAH KEPADA PAKATAN RAKYAT!

www.pas-miri.blogspot.com

Fitnah Terbesar Mahathir Terhadap Anwar

03 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

Kemenangan "awal" Datuk Seri Anwar Ibrahim di mahkamah hari ini tentunya suram dengan satu lagi pusingan serangan peribadi Tun Mahathir Mohamad terhadap mantan timbalannya, kali ini menerusi buku autobiografinya.

Anwar pagi tadi berjaya mendapatkan perintah mahkamah untuk menolak beberapa bahan bukti yang diperolehi oleh polis secara tipu helah namun kini berdepan dengan asakan fitnah Mahathir menerusi buku berjudul "Doktor Dalam Rumah."

Oleh kerana didokong oleh Umno-Barisan Nasional dan seluruh jentera kerajaan, Mahathir merasakan beliau masih mempunyai hak mutlak membuat tuduhan-tuduhan liar terhadap Anwar walaupun bukan lagi menjadi Perdana Menteri.

Segala percubaan Anwar untuk mempertahankan dirinya di mahkamah daripada serangan-serangan Mahathir sebelum ini tidak berhasil kerana ia berkait dengan tahap kewibawaan sistem kehakiman negara ketika ini.

Dalam membuat tuduhan-tuduhan liar menerusi buku "Doktor di dalam rumah" Mahathir hanya mendedahkan sifat semula jadinya untuk berbohong apabila perlu demi melindungi kredibilitinya sendiri.

Ramai tentunya masih ingat bahawa setelah membuat pelbagai tuduhan terhadap Anwar pada tahun 1998, Mahathir enggan hadir di mahkamah apabila diberi peluang penuh untuk memberi keterangan pada perbicaraan pertama Anwar.

Beliau menggunakan segala pengaruh dan kuasa selaku Perdana Menteri untuk mengelak daripada memberi keterangan atau disoal balas oleh peguam Anwar ketika itu.

Jika Mahathir hadir di mahkamah untuk mempertahankan tuduhan-tuduhannya, seluruh masyarakat - di dalam dan luar negara tentunya akan "tabik" dengan ketelusan beliau.

Sebaliknya beliau memilih untuk terus melontarkan tuduhan-tuduhan liar itu di luar mahkamah dan meneruskannya walaupun setelah Anwar dihumban dalam penjara ketika itu.

Hari ini, walaupun tidak lagi menjadi Perdana Menteri, tabiat buruk berbohong susah dikikis oleh Tun.

Sudah tentu tuduhan-tuduhan terbaru beliau akan didokong oleh pemimpin-pemimpin Umno sekarang, kerana walaupun diaibkan dan dihina dengan pelbagai cara, Anwar masih menjadi saingan politik utama kepada Umno.

Di Johor, polis digunakan untuk melarang Anwar daripada berceramah baru-baru ini. Di PRK Kerdau baru-baru ini, kereta Anwar di serang oleh samseng upahan Umno.

Malah parti itu terpaksa mengitar semula hikayat-hikayat lama berupa fitnah menerusi Umi Hafilda yang secara kebetulan mengisytiharkan dirinya peminat no 1 Mahathir.

Tuduhan-tuduhan yang dilemparkan oleh Mahathir dalam buku nukilannya kali ini memang pedas dan mengaibkan Anwar serta keluarga termasuk anak-anak beliau.

Namun hakikatnya ialah, Mahathir memecat Anwar bukan kerana isu "moral" tetapi kerana bimbang hayat politiknya sendiri sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno tercabar oleh kemaraan politik Anwar.

Mereka yang arif dengan politik Umno tentunya tahu latar belakang kebimbangan Mahathir pada tahun 1998 susulan kejatuhan Presiden Suharto selepas memerintah Indonesia secara autokratik selama 32 tahun.

Maka bermulalah komplot untuk mengaibkan Anwar dengan tuduhan menghinakan supaya beliau ditolak oleh kaum Melayu yang menjadi tunggak Umno.

Bermulalah proses menyingkirkan pengarang-pengarang kanan media massa yang dilihat sebagai rapat kepada Anwar dan diganti dengan mereka yang "tetap setia" kepada dua Tun - Mahathir dan Daim Zainuddin.

Pada masa sama bermula jugalah proses untuk mencipta dan menyediakan saksi-saksi dalam bentuk pekerja seks yang Mahathir mendakwa "hanya memberi keterangan kepada beliau dan polis."

Akhirnya tidak seorang pun daripada mereka dibawa ke mahkamah - kerana hakim dan pendakwaraya mempunyai "persefahaman' begitu baik untuk mensabitkan Anwar.

Percayalah, jika Anwar dibelit dengan isu moral, tidak mungkin Mahathir menyimpan beliau selama 18 tahun dalam barisan penyokong politiknya. "Berita' dan "bukti" keterlanjuran Anwar, jika benar , sudah tentu sampai lebih awal pada Mahathir untuk diambil tindakan.

Realitinya adalah, Mahathir berbohong dan mendalangi komplot mensabitkan Anwar di mahkamah setelah memecatnya pada 2 September 1998, demi kelangsungan politik beliau sendiri.

Beberapa pembohongan "kecil" Mahathir terdedah ketika itu, umpamanya Anwar "menumbuk" matanya sendiri ketika dalam tahanan sehingga lebam, dan mantan Timbalan Perdana Menteri kononnya adalah agen Yahudi, CIA dan sebagainya.

Namun hari ini jelas, Mahathir menyimpan pembohongan terbesarnya terhadap Anwar untuk buku autobiografinya, dengan tujuan menjamin buku "Doktor dalam rumah" laris jualannya.

Tv Selangor/-