31 Mac 2011

Pembunuhan Banting: Peguam Dibicara Julai

26 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM: Seorang peguam, N. Pathmanabhan akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi di sini pada Julai ini atas tuduhan membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu yang dilaporkan hilang bersamanya.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Akhtar Tahir menetapkan perbicaraan berjalan selama tiga bulan bermula 4 Julai hingga 30 September.

Pathmanabhan, 42, akan dibicarakan bersama tiga pekerja ladangnya, iaitu T. Thilaiyagan, 20, R. Matan, 21, dan R. Khatavarayan, 31, yang turut didakwa melakukan kesalahan itu.

Terdahulu, semua mereka mengaku tidak bersalah atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47; pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38; peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 30 Ogos 2010 di Lot 2001 Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting, dekat sini. Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 yang memperuntukkam hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

mStar/-

Empat Maut Pesawat Ringan Terhempas di Australia

26 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

SYDNEY: Penyiasatan sedang dijalankan selepas empat orang terbunuh dan dua lagi cedera parah apabila sebuah pesawat ringan terhempas di wilayah New South Wales.

Pesawat dengan enam tempat duduk itu terhempas ketika cuaca agak baik lewat semalam berdekatan kawasan tempat meletak karavan di utara wilayah berkenaan.

Ketika empat orang terunuh, seorang bapa dan anak perempuannya berusia 13 tahun terselamat apabila pesawat berkenaan terhempas kurang satu kilometer berdekatan Lapangan Terbang Moree, kira-kira 600 kilometer dekat Sydney.

"Pesawat itu kelihatan mahu menuju lapangan terbang dan secara tiba-tiba ia terjatuh dari langit," kata penduduk tempatan, Lex Baguley kepada wartawan.

Seorang lagi saksi berkata, pesawat itu mungkin terlanggar pokok. -AFP

Tarian poco-poco haram?

26 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

Langkah tarian ini, ke depan, ke belakang, ke kiri dan ke kanan dikatakan menyerupai bentuk salib.

Barangkali ramai peminat tarian poco-poco di negara ini terkejut apabila mengetahui tarian yang berasal dari negara seberang ini adalah haram. Tarian ini sangat popular di negara kita pada masa kini.

Ia bukan sahaja dilakukan oleh orang kebanyakan malah oleh golongan atasan dalam pelbagai bentuk majlis keraian. Jabatan kerajaan juga tidak ketinggalan mengadakan tarian poco-poco sebagai menggantikan senaman pagi untuk peserta kursus.

Namun dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak kali ke-186 yang diadakan pada 24 hingga 26 Januari 2011 lalu memutuskan bahawa tarian atau senaman poco-poco diharamkan. Surat berkenaan ditandatangani Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria.

Asas pengharaman kerana ia mempunyai kaitan dengan kepercayaan agama, juga pemujaan roh berdasarkan kajian yang menyatakan ia sering diamalkan di Jamaica serta bercirikan agama Kristian. Mesyuarat tersebut juga telah mengambil keputusan bahawa pengharaman tersebut akan diwartakan.

Langkah tarian ini, ke depan, ke belakang, ke kiri dan ke kanan dikatakan menyerupai bentuk salib. Sinar Harian cuba mendapatkan komen atau pendapat daripada tokoh agama berkenaan pengharaman tarian poco-poco ini.

Sinar Harian/-

Kira-Kira 3,000 Mangsa Banjir Kini Berada Di Pusat Pemindahan Di Perlis

26 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KANGAR: Kira-kira 3,000 mangsa banjir dari 729 keluarga dipindahkan ke 31 pusat pemindahan banjir di Perlis sehingga pukul 10 malam Rabu.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Perlis berkata daripada jumlah itu, seramai 2,147 orang dari 546 keluarga ialah di Kangar manakala yang lain dari Padang Besar dan Arau.

Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Datuk Azizan Hamid berkata banjir yang berlaku sejak Isnin lepas itu adalah akibat taburan hujan yang tinggi dan bukannya berpunca dari empangan Timah Tasoh.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis Ir Nishad Mohamad berkata empangan Timah Tasoh terpaksa melepaskan air yang berlebihan apabila kadar taburan hujan begitu tinggi.

"Air empangan Timah Tasoh dialirkan melalui Sungai Perlis ke laut dan tidak mungkin ia menyebabkan banjir," katanya.

Sementara itu, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Fauziah Abdul Rashid berangkat melawat mangsa banjir di beberapa pusat pemindahan banjir, antaranya Sekolah Kebangsaan Sena dan Sekolah Kebangsaan Behor Empiang. - BERNAMA

Adun DAP gesa sedia peruntukan besar untuk SAR

26 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM, 30 Mac: Adun Sekinchan, Ng Swee Lim menggesa Kerajaan Negeri Selangor memberikan peruntukan besar kepada semua Sekolah Agama Rakyat (SAR).

Wakil rakyat DAP itu membuat gesaan demikian ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Dr Halimah Ali.

Menurut Swee Lim, memandangkan keadaan SAR ini agak ketinggalan, dengan kewangan yang disalurkan dalam jumlah besar itu membolehkan mereka menambahbaikkan bangunan dan persekitaran sekolah agar lebih selesa.

Hari ini masuk hari kedua persidangan Dun Selangor untuk penggal pertama sidang kedua belas yang dirasmikan Sultan Selangor pada 28 Mac lalu dan sesi sidang pula bermula semalam sehingga 5 April depan.

Dr Halimah di dalam jawapannya, menyatakan ucapan terima kasih di atas perhatian tinggi Adun Sekinchan itu meskipun bukan beragama Islam tetapi tetap prihatin dengan perihal SAR berbanding dengan pembangkang yang bersikap sebaliknya.

Terdahulu, ketika menjawab soalan asal, Dr Halimah berkata, sebanyak 769 Sekolah Agama Rakyat (SAR), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) mendapat bantuan pendidikan daripada Kerajaan Negeri Selangor.

Semua bantuan itu, jelasnya, berjumlah RM32 juta bagi tahun 2009 dan 2010 dalam usaha mencapai matlamat kerajaan memperkasakan pendidikan di negeri ini sebagai Hub Pendidikan dan Hub Ilmuan.

"Sebanyak 820 permohonan dibuat 2009 dan 2010 dengan 769 permohonan diluluskan sebanyak 320 sekolah bagi 2009 manakala 449 sekolah untuk 2010 dengan pecahan mengikut sekolah adalah 160 buah bagi SAR, 77 (SJKC), 97 (SJKT) bagi 2009 manakala bagi 2010 adalah sebanyak 252 (SAR), 100 (SJKC) dan 97 (SJKT).

"Jumlah permohonan 2010 meningkat berbanding 2009 iaitu sebanyak 134 permohonan dan jumlah permohonan yang diluluskan juga meningkat sebanyak 129 permohonan.

"Bagi SJKC dan SJKT permohonan yang dibuat dapat diproses dengan baik tanpa ragu-ragu kerana sekolah yang membuat permohonan adalah berdaftar dengan Kementerian Pelajaran, namun berbeza dengan SAR yang tidak berdaftar dengan mana-mana pihak sama ada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) atau Kementerian Pelajaran," tegasnya.

Tambahnya, program bantuan agihan pendidikan sekolah-sekolah ini adalah merupakan di antara langkah-langkah diambil kerajaan negeri bagi memantapkan visi pendidikan untuk menjadikan Selangor sebagai Hub Ilmuwan dan Hub Pendidikan.

"Bagi mencapai matlamat itu, kerajaan negeri memberikan perhatian kepada beberapa perkara seperti keadaan infrastruktur dan kemudahan pendidikan yang ada di sekolah, kemahiran peningkatan pengajaran dan pembelajaran di kalangan guru-guru sekolah, kualiti para pelajar terutama dari aspek akademik dan sahsiah serta kelicinan dan pengurusan sekolah yang sistematik dan efektif.

"Selain bantuan pendidikan itu, katanya, kerajaan negeri turut memberi latihan kursus perguruan kepada guru-guru SAR di mana guru-guru itu tidak pernah diberi kursus dan pihak sekolah juga tidak ada dana yang mencukupi untuk tujuan itu," jelasnya lagi.

Dalam pada itu, ujarnya, kerajaan negeri melalui Yayasan Selangor (YS) turut mewujudkan dermasiswa dan meluluskan pembinaaan Tadika Rakyat di negeri Selangor pada 2009.

Dr Halimah berharap Kerajaan Negeri Selangor akan mendapat sumber rezeki kewangan yang lebih di masa akan datang untuk memberikan lebih manfaat besar kepada rakyat negeri terutamanya dalam bidang pendidikan.

Katanya, beliau sendiri secara peribadi ingin melihat SAR yang berjumlah 500 buah itu akan dapat dibantu dalam usaha kerajaan mencapai matlamat yang diidamkan oleh kerajaan negeri, selama ini yang inginkan Selangor menjadi Hub Ilmu Hub Pendidikan.

Harakahdaily/-
Oleh : Ismail Hashim

Perompak rempuh lori samun bahan RM1 juta

26 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

SEREMBAN: Sekumpulan perompak merempuh sebuah lori syarikat keselamatan yang membawa bahan semikonduktor bernilai lebih RM1 juta sebelum melarikannya di
Lorong Senawang 2/3 Kawasan Perindustrian Senawang di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Mohd Yusoff Awang, berkata dalam kejadian jam 11.45 pagi itu, seorang perompak memandu sebuah treler curi dan melanggar bahagian depan lori terbabit menyebabkannya berhenti di tengah jalan.

“Pada masa sama, empat lagi rakannya bersenjatakan parang yang menaiki kereta datang dari belakang lori berkenaan sebelum mengarahkan tiga pengawal keselamatan menyerah diri.

“Mereka tidak bertopeng kemudian memecahkan pintu belakang lori berkenaan dan memindahkan barangan dibawa ke dalam kereta sebelum melarikan diri,” katanya.

Beliau berkata, pengawal keselamatan yang memandu lori cedera ringan akibat rempuhan dan dua lagi tidak mengalami kecederaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan menggunakan senjata.

Berita Harian/-



Nilai Harta Pusaka Gagal Diselesaikan Kini Cecah RM42 Bilion

26 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

PETALING JAYA: Nilai harta pusaka yang dibekukan berikutan kes gagal diselesaikan pewaris kerana ketiadaan wasiat kini dianggar mencecah RM42 bilion.

Ketua Pegawai Pemasaran, Amanah Raya Bhd (ARB) Ahmad Saruji berkata, anggaran itu meliputi kira-kira sejuta kes di negara ini.

Kajian ARB pula mendapati hanya dua peratus rakyat Malaysia menulis wasiat, yang membolehkan segala maklumat harta didaftarkan, sekali gus memudahkan urusan pembahagian, katanya kepada pemberita, di sini, Rabu.

Katanya lagi, bagi membudayakan penulisan wasiat pada kalangan masyarakat, ARB dengan kerjasama syarikat pengurusan harta pusaka Islam, Warisan Mukmin Sdn Bhd melancarkan kempen 'Tahun Menulis Wasiat 2011'.

"Kami tidak mahu masalah ini bertambah lagi. Kempen ini akan diadakan sepanjang tahun ke seluruh negara untuk menyampaikan mesej kepentingan menulis wasiat sekali gus mengelakkan masalah lain yang timbul terutamanya keretakan institusi kekeluargaan," katanya.

Sempena kempen tersebut, orang ramai boleh memiliki dokumen wasiat bagi menguruskan pengurusan harta pusaka bernilai ribuan ringgit dengan hanya melibatkan kos permulaan serendah RM30 sebulan serta bayaran bulanan yang fleksibel.

Kempen tersebut yang bermula dari Januari hingga Disember tahun ini adalah untuk memudahkan masyarakat membuat wasiat sekali gus mengelakkan pembekuan harta dan perbalahan keluarga.

Sementara itu Pengerusi Warisan Mukmin Datuk Mohd Nahwari Hashim berkata syarikat itu mensasarkan pendaftaran 5,000 wasiat sehingga akhir tahun ini.

mStar/-

Tak berbangkit MPKB BRI abai kebajikan peniaga

26 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KOTA BHARU, 31 Mac: 'Tunggal pun dikatakan hantu..' Mungkin inilah yang dapat digambarkan apabila Persatuan Peniaga Arked MPKB mendakwa kerajaan negeri tidak berpegang kepada janji.

Kelmarin anggota jawatankuasa persatuan itu mendakwa menerima surat kuning supaya mengosongkan bangunan mulai hari ini, sedangkan sebelum itu dijanjikan sebelum 31 Mei depan.

Seorang anggota jawatankuasa persatuan itu mendakwa notis penamatan sewa dikeluarkan Blue Lang Marketing.

Sedangkan pengurus syarikat terbabit, Wan Muhamad Azha Wan Omar memberitahu notis kuning yang dikeluarkan bagi menyatakan pihaknya

tidak lagi bertanggungjawab ke atas kutipan sewa, bil elektrik dan kebersihan premis selepas 30 Mac dan peniaga dikehendaki menjelaskan tunggakan sewa dan bil elektrik sehingga 31 Mac.

”Peniaga mungkin salah faham terutamanya kepada peniaga di tingkat satu,” katanya seperti dilaporkan sebuah akhbar semalam.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB BRI) menjelaskan pihak perunding mengesahkan Arked MPKB tidak lagi selamat diduduki kerana terdedah kepada litar pintas kabel elektrik.

Yang Dipertuanya, Nazran Muhamad berkata, air sentiasa bocor dan mengalir sehingga menyebabkan kekuatan konkrit semakin merosot dan
menurun.

”Ini tidak ekonomik untuk dibaiki kerana kos sangat besar di samping rumit dari segi pelaksanaan.

”Selaras dengan peruntukan Akta Jalan, Parit dan Bangunan, adalah menjadi tanggungjawab pihak berkuasa tempatan untuk memastikan keselamatan semua bangunan di kawasannya,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya MPKB BRI telah membuka tawaran dan bersetuju pembangunan semula tapak Arked MPKB kepada sebuah syarikat dengan keseluruhan pulangan sebanyak RM6.8 juta.

”Pembangunan semula tapak Arked MPKB merupakan satu usaha ke arah mempertingkatkan pertumbuhan ekonomi setempat, di samping membuka peluang-peluang pekerjaan kepada penduduk Kota Bharu,” ujarnya.

Oleh itu kata beliau sepatutnya tidak berbangkit soal jual beli bangunan arked kepada pemaju kerana perkara tersebut sudah selesai.

Nazran berkata, sebelum Arked MPKB diroboh, MPKB BRI telah membeli ruang niaga di tingkat satu Bazar Tengku Anis bagi menyelesaikan masalah dihadapi peniaga.

Bagaimanapun katanya, peniaga tingkat atas Arked MPKB tidak bersetuju berpindah ke Bazar Tengku Anis sebaliknya memilih Bazar Tok Guru.

”Keluasan lot di Bazar Tok Guru sepatutnya tidak berbangkit kerana saiz tersebut telah pun dipersetujui bersama dalam mesyuarat pada 20 Januari 2010 yang turut dihadiri wakil peniaga Arked MPKB dan ArkedUda.

”Persetujuan saiz lot tersebut bagi membolehkan semua peniaga dikedua-dua bazar ditempatkan di ruang niaga tingkat bawah Bazar Tok
Guru,” katanya.

Difahamkan pada mesyuarat yang diadakan itu peniaga diwakili Abdul Salim Ahmad daripada Arked MPKB dan Wan Lukman Wan Salleh (Arked Uda).

Ketika itu wakil peniaga terbabit memohon penempatan semula semua peniaga berdaftar di Arked MPKB dan Arked Uda seramai 415 orang.

Manakala sebahagian besar peniaga makanan di tingkat bawah Arked MPKB bersetuju menerima tawaran lot di sekitar Bazar Tengku Anis dan terminal bas di Lembah Sireh.

Nazran berkata, kerajaan negeri dan MPKB-BRI telah menjalankan tanggungjawab yang sepatutnya bagi menjaga kebajikan peniaga selaras dengan dasar Membangun Bersama Islam.

”Tidak berbangkit langsung kerajaan negeri mengabaikan kebajikan dan kepentingan peniaga malah lebih bersifat prihatin bagi menjaga masa depan mereka,” ujarnya.

Harakahdaily/-
Oleh : M Faqih

Gempa Bumi Di Kepulauan Fiji

26 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Gempa bumi 6.2 pada skala Ritcher berlaku di Kepulauan Fiji pada 8.12 pagi, Khamis.

Jabatan Meteorologi Malaysiajn sedang memantau perkembangan tersebut.

mStar/-

Menteri Luar Libya Letak Jawatan

26 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

LONDON: Menteri Luar Libya, Mussa Kussa, terbang ke Britain dan mengumumkan beliau meletakkan jawatan serta tidak mahu mewakili rejim pemerintah Tripoli itu.

Kenyataan Pejabat Luar Negera, berkata Mussa tiba di Lapangan Terbang Farnborough, barat London.

"Beliau melakukan perkara itu atas kehendak sendiri. Beliau memberitahu kami sudah meletakkan jawatan.

Musa adalah pemimpin kanan kerajaan Muammar Gaddafi dan beliau tidak mahu mewakili kerajaan rejim itu di peringkat antarabangsa," tambahnya lagi. - AFP

Pencemaran Radiasi Di Kesan Di Pesisir Pantai Fukushima

26 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

TOKYO: Air laut di luar loji kuasa tenaga nuklear di timur laut Jepun dikesan mengandungi 3,335 kali ganda bahan radioaktif iodin peringkat tinggi dan setakat ini belum ada tanda air yang tercemar itu telah mengalir ke laut.

Jumlah iodin –131 ditemui di luar pesisir kira-kira 300 meter daripada selatan reaktor nukelar Fukushima Daichi bagaimanapun tidak menimbulkan ancaman kepada kesihatan manusia namun maklumat tersebut disebarkan bagi memberikan kesedaran kepada masyarakat, kata jurucukap daripada Agensi Nuklear dan Keselamatan Industri, Hidehiko Nishiyama pada Rabu.

Di Malaysia, orang ramai mula bimbang mengenai pencemaran radiasi yang mungkin di bawa oleh makanan import dari Jepun.

Beberapa rangkaian makanan menjual sushi dan restoran makanan Jepun di negara ini memberi jaminan bahawa makanan yang dijual adalah selamat dan bebas daripada pencemaran radiasi.

mStar/-

Jangan benarkan isu video seks lupakan kita kepada isu pokok

26 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

SUKAR sekali untuk saya menulis kolum kali ini. Selepas hampir dua jam terpaku di depan komputer, melayari pelbagai laman, kaki semakin lenguh menyengat dan pinggang sakit, namun idea belum juga muncul. Apa lagi yang menyiksakan bagi mana-mana penulis selain kebuntuan mencari ilham sedangkan masa bergerak pantas.

Juru fisioterapi Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) sering mengingatkan saya agar jangan terlalu "berlama-lamaan" menaip. Harus mengadakan senaman ringan atau paling tidak, menggerak-gerakkan anggota badan setiap 15 minit.

Tetapi, adatlah, apabila asyik menulis atau ligat mencari bahan mengejar dead-line, tiga empat jam berlari pantas, segala nasihat terabai. Sedar-sedar, kaki tidak dapat dibengkok dan terasa kebas.

Kalau boleh memang saya mahu menghindari topik yang hangat dibicarakan, iaitu kes video seks-lucah yang didakwa membabitkan Anwar Ibrahim. Menyebutnya pun sudah meloyakan, apatah lagi dikaitkan dengan pelacur China.

Ia terpampang di dada akhbar, memenuhi muka depan, hinggakan anak bongsu saya, berusia lapan tahun bertanyakan ibunya, "seks itu apa, bu?"

Isteri sekadar menjeling tajam ke arah saya, mungkin menagih jawapan yang beradab. Kemusykilan si anak tidak dapat dirongkai. Kebetulan Harakah juga menjadikannya berita utama dan turut dibaca anak kecil.

Ya, sukar juga untuk kami menyorot isu lain dalam keadaan negara hiruk-pikuk tertumpu kepada kontroversi berkenaan. Lebih penting, pembaca menuntut penjelasan dan fitnah mesti disanggah.

Saya kira ramai lagi yang mempunyai pengalaman hampir serupa. Misalnya, apa yang mahu dijelaskan kepada anak-anak yang bertanyakan soal liwat ketika keluarga menonton berita TV jam lapan malam, yang seakan-akan memperincikan perlakuan songsang terkutuk itu apabila melaporkan perbicaraan mahkamah.

Bayangkan, insiden 12 tahun lalu masih segar di ingatan, sehingga mencetuskan gelombang kebangkitan rakyat. Tragedi mata lebam makin menghangatkan iklim politik. Tilam diusung ke mahkamah, bersama cebisan lendir dan bulu.

Siapa sebenarnya yang dibicarakan di mahkamah ketika itu? Anwar atau maruah-kehormatan orang Melayu sendiri yang dipertaruhkan? Permainan politik yang sepatutnya beroperasi dalam kerangka akhlak dan adab menjadi cukup kotor dan hina.

Ekoran daripada itu, Anwar merengkok di penjara selama enam tahun. Tidak lama selepas pembebasannya, pilihan raya umum 2004 menyusul. Mungkin personaliti Abdullah Ahmad Badawi menyebabkan tiada isu-isu kontroversi membabitkan soal dalam kelambu dan keaiban peribadi.

Tsunami politik, Mac 2008 menyentak. PRU12 dikatakan membawa elemen politik baru yang lebih segar. Politik yang tidak lagi terkepung dengan sentimen perkauman atau bermodalkan fitnah-tohmah, sebaliknya bercirikan idealisme luhur, membahaskan isu-isu ketelusan, keadilan, tata kelola pemerintahan yang baik, serta memartabatkan hak asasi manusia.

Ekoran itu, peralihan kuasa dalam Umno dan kerajaan dipercepatkan. Malangnya, isu skandal peribadi muncul semula, juga membabitkan Anwar. Sekali lagi rakyat Malaysia terpaksa menyaksikan episod yang begitu mengaibkan.

Istilah-istilah "geli-geleman" diperdengarkan kembali. Dalam kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh, pada pertengahan Ogos 2008, isu sumpah Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa diliwat heboh diperkatakan.

Tunas politik baru yang mula berputik seperti terbantut. Di Perak, politik ugut bercampur-aduk dengan tawaran rasuah bagi membeli Adun Pakatan Rakyat. Akhir Ogos 2008, kita juga mendengar kes-kes pelik seperti "habuan sedekah seks" yang dibawa ke mahkamah oleh pihak Badan Pencegah Rasuah (BPR, sekarang SPRM).

Tidak lama selepas itu, Februari 2009, kerajaan PAS-DAP-KeADILan yang diterajui Mohammad Nizar Jamaluddin tumbang.

Rupanya budaya politik kuno masih dominan dan akar tunjangnya masih menjalar kukuh.

Belum selesai kes liwat II, negara gempar lagi. Keaiban dipamerkan secara terbuka. Bagai mengulangi babak sebelum ini, perebutan "kuasa politik" juga menjadi paksinya. Dato' T tidak menunggu lama untuk tampil bangga membuat pengakuan. Lebih malang, menteri yang "menjaga polis dan undang-undang", Hishammuddin Hussein dan Nazri Aziz, berkokok dengan nada politik yang tebal.

Jelas mereka membela Dato' T, yang ketika itu belum dikenali. Tanpa mengetahui hujung-pangkalnya, Anwar dibelasah cukup-cukup. Sah, ia satu permainan politik tahap murahan. Ketua Pembangkang itu mahu diperosok sedalam-dalamnya -- dengan apa jua cara.

Tiada kelihatan langsung fokus Hishammuddin untuk menegakkan undang-undang. Hanya atas alasan tiada laporan polis dibuat, acara menonton video lucah di hotel mewah Carcosa Seri Negara itu seolah-olah bukan suatu kesalahan. Kecekapan, kebebasan dan tahap profesionalisme pihak polis diperjudikan. Sehinggalah Anwar sendiri membuat aduan rasmi di Balai Polis Dang Wangi baru siasatan dibuka.

Cuba kita gambarkan, sekiranya video lucah yang dipertontonkan kepada para wartawan itu menjadikan Perdana Menteri, Najib Razak atau timbalannya Muhyiddin, atau anggota kabinet yang lain sebagai sasaran, apakah pihak polis dan Hishammuddin sendiri selaku Menteri Dalam Negeri akan sabar menunggu laporan polis sebelum dapat bertindak?

Saya yakin, jika targetnya adalah Najib, seluruh kekuatan polis dan perisikan akan dikerah untuk menangkap Dato' T belumpun sempat tayangan adegan ranjang itu berakhir. Ia bukti amalan double-standard atau talam dua muka yang hanya merendahkan lagi kredibiliti pihak polis pada pandangan publik.

Mulut celupar Nazri memang sukar dikawal. Mengulas tayangan aksi seks melampau di Carcosa, Nazri bertegas bahawa tidak salah bagi penganjur di sebalik tayangan itu berbuat demikian. "Awak bagi tau apa yang salah. Semua orang kata ia melanggar undang-undang, tetapi bagi tahu saya, undang-undang mana? Sesiapa yang tahu, perlu tampil dan maklumakan kepada kami," katanya.

Menurutnya, jika tayangan yang diaturkan Dato' T dibuat untuk mencari keuntungan, maka ia satu kesalahan. "Ada pepatah menyebut, jangan bunuh pembawa berita," kata Nazri mempertahankan Dato' T daripada kesan undang-undang terutama Seksyen 5(1) Akta Penapisan Filem 2002 dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

Apabila bekas Ketua Menteri Melaka, Abd Rahim Tamby Chik muncul membuat pengakuan bersama ahli perniagaan, Shazryl Eskay Abdullah (sambil mendakwa Bendahari Perkasa, Shuib Lazim turut terlibat) bahawa mereka bertiga adalah Dato' T, misteri video lucah itu mula tersingkap.

Sekali lagi, yang timbul adalah persoalan "kuasa dan dendam kesumat", bukannya isu akhlak atau kebenaran yang mahu ditegakkan. Siapa tidak kenal Rahim dan sejarah hitam politiknya? Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang pernah disumbat ke penjara Kajang selama 18 bulan pada 1998 tentu masih menyimpan cerita menarik Rahim.

Saya sendiri pernah menulis dua buku politik tentang Rahim. Pertama, sebelum beliau bertanding sebagai Ketua Pemuda Umno pada 1993, dalam regu Anwar, Team Wawasan. Tajuk buku itu, Anwar Salah Pilih, jelas menggambarkan peringatan saya bahawa Anwar melakukan kesilapan besar memasukkan Rahim ke dalam pasukannya.

Buku kedua, Siapa Dalang?, diterbitkan selepas Rahim dipaksa meletakkan jawatan atas alasan kepincangan moral. Anwar dilihat berperanan penting dalam kes penyingkiran Rahim.

Saya difahamkan ramai penyokong Anwar lega apabila mengetahui Rahim menjadi dalang pengedaran video lucah itu. Malah, ahli-ahli Umno sendiri "terkejut" dengan pembabitan Rahim, yang dijangka akan membawa lebih banyak masalah kepada Najib dan BN sendiri.

"Silap jalan, jika terbukti ia fitnah semata-mata, isu ini boleh menguburkan Umno dalam PRU13 nanti," kata seorang aktivis Umno. "Kalaupun Umno mahu berkonspirasi, Rahim adalah orang yang terakhir menjadi pilihan Umno," tambahnya.

Namun begitu, episod ini baru saja bermula, penamatnya masih sukar untuk ditelah. Pengakuan Rahim tidak bermakna segalanya nampak mudah. Kita belum lagi mendengar reaksi Najib. Percaturan sedang berjalan. Seorang pemerhati politik berkata: "Pihak yang tidak banyak melakukan kesalahan akan lebih selamat."

Petang tadi (Jumaat) seorang rakan sempat berpesan kepada saya, jika kita tidak dapat menerima fitnah dilemparkan kepada Anwar, maka kita juga usah terjerat dalam perangkap sama apabila secara terbuka membuat tuduhan-tuduhan berkaitan perlakuan seks kepada Rahim. Begitu juga dengan dakwaan berterusan kepada Najib, berkaitan Altantuya.

Beliau meminta saya membaca tulisan terbaru Dr Mohd Asri Zainul Abidin. Bekas Mufti Perlis itu menegaskan tindakan mendedahkan keaiban peribadi sebagai senjata politik dilarang agama. "Sama ada PAS, Umno dan KeADILan; ramai individu dalam parti-parti itu telah terbabit dalam perkara yang diharamkan oleh syarak ini. Tuduhan seks, arak, kaki judi dan seumpamanya sudah menjadi ringan di lidah mereka," tulisannya dipetik.

Artikelnya yang bertajuk Video Lucah dan Dosa Politik itu diakhiri dengan rumusan: "Marilah kita bermufaraqah atau meninggal segala pelakon atau watak yang selekeh dan rela menghalalkan apa sahaja untuk kepentingan politik mereka.

Tanpa mengira parti! Mereka mesti diusir dari pemainan bodoh ini. Kita tentang semua pelakon politik yang suka menyelak kain orang. Tak kira kerajaan atau pembangkang. Kita dijadikan 'penonton bodoh' yang seakan merelakan apa sahaja watak yang mereka lakonkan.

Politik kita memerlukan nafas baru dan dibersihkan dari golongan yang jijik dan kotor ini! Kita perlukan politik idea, bagaimana dan cara membangunkan umat dan rakyat agar hidup berdisiplin, bermaruah dan bertamadun. Bukan cerita-cerita bodoh seperti ini!"

Bagaimanapun, ingatan Anwar di majlis solat hajat di kediamannya, malam 24 Mac lalu patut menjadi renungan penggerak Pakatan. Seperti dilaporkan Harakahdaily, Anwar menekankan: "Saya masih mempertahankan bahawa fokus masih program Buku Jingga.

Saya memohon agar rakan-rakan terus membaca. Jangan benarkan isu (fitnah liwat, video seks) mengheret kita jauh daripada isu pokok kerana ia akan merugikan kita.

"Jangan lupa menumpukan isu pokok dalam kerangka untuk mengangkat martabat umat dengan akhlak dan ilmu. Buku Jingga adalah dasar ekonomi alternatif. Ini menunjukkan ia ada ruang untuk dikembangkan sekiranya kita menguasai Putrajaya."

Yang pasti, medan tempur di Sarawak yang nampak sedikit terabai dengan isu ini perlu diberikan perhatian serius. Fokus harus disasarkan ke sana.

Ahmad Lutfi Othman

NGO Cina Pula Bantah Interlok

26 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Belum pun reda isu 'paria' dalam novel Interlok, kini timbul pula kontroversi terbaru melibatkan dakwaan isu pendatang dan ketuanan Melayu dalam karya Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain itu.

Sekumpulan NGO Cina dan India tampil bersama mengaitkan novel setebal 426 halaman itu dengan agenda menggambarkan masyarakat Cina dan India sebagai pendatang.

"Interlok sepenuhnya menyeru kepada fahaman ketuanan Melayu. Pada pandangan kami, novel ini bukan sahaja tidak sihat (untuk bacaan pelajar) tetapi juga beracun," dakwa Naib Presiden Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) Cheng Su Chean, lapor Malaysiakini.

Pada sidang media di sini, Rabu, Cheng mendakwa beliau dan beberapa wakil NGO yang hadir sama mewakili 45 lagi pertubuhan Cina dan India di seluruh negara.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif KLSCAH Tang Ah Chai, Presiden Yayasan Tamil K Uthayasoorian, Presiden Persatuan Progresif India Malaysia AP Raja Retinam dan Presiden Persatuan Pelajar India Malaysia Kishur Goonasaran yang juga anggota Pasukan Bertindak Interlok Nasional (NIAT).

Cheng turut mendakwa novel itu hampir sama dengan program Biro Tata Negara yang dikatakan ejen "pembasuhan minda" dan mempromosikan perkauman serta perpecahan.

"Interlok menyampaikan mesej utama bahawa Cina, India dan kumpulan minoriti sebagai rakyat kelas kedua sebagai tambahan kepada idea pengasingan antara masyarakat asal (Melayu) dan bangsa asing (Cina dan India)," katanya.

Sehubungan itu, beliau mendesak kerajaan menggugurkan buku tersebut sebagai teks sastera untuk sekolah menengah, bukan dipinda atau ditapis mana-mana bahagian.

"Pendirian kami, kami hormat kebebasan bersuara untuk pengarangnya Abdullah Hussain dan kami tidak menentang buku ini dijual di kedai-kedai," kata Cheng yang juga timbalan ketua wanita bahagian wanita dewan itu.

"Tetapi penyelesaiannya, Interlok tidak patut dijadikan buku teks di sekolah," ujarnya.

Ditanya tentang agenda ketuanan Melayu yang dimaksudkan memandangkan novel itu turut mengkritik bangsa itu, Uthayasoorian menjawab memang perkataan itu tidak disebut dalam Interlok.

Bagaimanapun, tambahnya, cerita tentang pendatang dalam buku itu menggambarkan idea itu.

Manakala Kishur pula mendakwa, walaupun terdapat kritikan pada orang Melayu, terdapat novel itu membawa mesej tersirat bahawa mereka mesti bangkit.

"Ini mesej ketuanan Melayu," katanya.

Sementara bagi Tang pula, karya yang ditulis untuk pertandingan sepuluh tahun merdeka lebih 40 tahun lalu itu cuba menggambarkan bahawa negara ini "tanah orang Melayu".

"Melayu sebagai tuan tanah, Cina dan India sebagai pendatang. Ia tidak selari dengan konsep 1Malaysia," tambahnya.

mStar/-

Wanita Sebagai Ahli Neraka

26 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

Rambut digantung dan otak mendidih

Saidina Ali Karramallahahu wajhah berkata, ‘saya dengan Fatimah menghadap Rasulullah SAW, kami dapati baginda sedang menangis, lalu kami berkata kepadanya, ‘Apakah yang menyebabkan ayahanda menangis, ya Rasulullah?’, Baginda menjawab, ‘Pada malam aku diisrakkan hingga kelangit, di sana aku melihat perempuan-perempuan dalam keadaan azab yang amat dahsyat, dengan itu aku menangis bila mengenangkan azab yang diterima oleh mereka,

Ali bertanya, ‘Apakah yang ayahanda lihat di sana?’ Rasulullah SAW bersabda, ‘aku melihat ada perempuan digantung rambutnya, otak kepalanya menggelegak. Aku melihat perempuan yang digantung lidahnya dan tangannya dikat kebelakang dan iqthran (timah cair yang panas) dicurah ke dalam tekaknya. Aku melihat perempuan tergantung kedua kakinya dengan terikat, tangannya terikat keubun-ubunnya, dan aku lihat perempuan memakan tali perutnya sendiri.’

‘Aku melihat perempuan yang telinganya pekak dan matanya buta, diisikan ke dalam peti yang diperbuat dari api neraka, otaknya keluar daripada lubang, badannya berbau busuk kerana berpenyakit sopak dan kusta’

‘Aku melihat perempuan yang kepalanya seperti babi, badannya seperti himar, beribu-ribu kesengsaraannya yang dihadapi. Aku lihat perempuan yang rupanya seperti anjing,kala dan ular masuk ke kemaluannya atau mulutnya atau kelepasannya. Malaikat memukulnya dengan curung api neraka.’

Sebab-sebab wanita masuk neraka
Fatimah pun berdiri dan bertanya kepada ayahnya, ‘ Ayahanda yang dikasihi, apakah kesalahan yang dilakukan oleh perempuan-perempuan itu?’

Rasulullah menjawab, ‘Fatimah, adapun perempuan-perenpuan yang digantung rambutnya itu ialah perempuan yang tidak menutup auratnya daripada yang bukan muhrimnya. Perempuan yang tergantung lidahnya ialah perempuan yang menggunakan lidahnya untuk memaki dan menyakiti hati suaminya.’

‘Perempuan yang digantung tubuh mereka ialah yang menyusukan anak orang lain dengan tidak mendapat keizinan suaminya. Perempuan yang kedua kakinya tergantung ialah perempuan yang keluar dari rumahnya tanpa keizinan suaminya dan perempuan yang tidak mahu bersuci daripada haid dan nipas. Perempuan yang memakan dirinya sendiri itu ialah kerana mereka berhias untuk lelaki yang bukan suaminya dan suka mengumpat orang’.

‘Perempuan yang memotong badannya sendiri dengan gunting api neraka, kerana ia memperkenalkan dirinya kepada orang lain. Perempuan yang diikat kedua kaki dan tangannya ke atas ubun-ubunnya, ialah kerana ia boleh sembahyang tetapi tidak mengerjakannya, dan tidak mahu mandi janabah’

‘Perempuan yang kepalanya seperti babi dan badannya seperti himar ialah ahli pengumpat dan pendusta. Perempuan yang berupa seperti anjing ialah perempuan yang suka buat fitnah dan membenci suaminya.’

‘Perempuan yang menyakiti hati suaminya dengan lidahnya, pada hari Qiamat nanti Allah jadikan lidahnya sepanjang tujuh puluh hasta, kemudian diikat ke belakang tengkuknya.’

Sementara itu Saidina Abu Bakar As-Siddiq menyatakan, ‘Aku mendengar Rasulullah bersabda, ‘Perempuan yang menggunakan lidahnya untuk menyakiti hati suaminya, ia akan mendapat laknat dan kemurkaan Allah, laknat para malaikat dan laknat oleh manusia.’

Tidak bersyukur kepada suami
Usamah bin Zaid meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: ‘Seseorang perempuan itu, apabila ia mengerjakan sembahyang lima waktu, dan berpuasa dalam bulan Ramadhan, dan memelihara kehormatannya dan taat setia kepada suaminya, masuklah ia ke dalam syurga dari mana jua pintu syurga yang ia kehendaki.’

Sabda Rasulullah SAW lagi:
‘Selain dari itu, ahli neraka diperintah masuk kedalam neraka, dan aku telah berdiri menghadap Rasulullah SAW seraya bertanya: ‘Ya Rasulullah, kebanyakkan orang yang masuk kedalamnya ialah perempuan. ‘Rasulullah SAW menjawab: ‘Kebanyakan penghuni neraka itu adalah perempuan kerana perempuan gemar sekali mengkufurkan suaminya.

Seberapa banyakpun nikmat yang telah diperolehinya, dia masih belum rasa puas hati dan cukup sehingga terus merayu suaminya untuk mendapatkan harta yang banyak.’

p/s: Ambillah manfaat, dengar, taat dari apa yang kita bacakan.

Khalil : BN gagal dan tidak mampu berubah


26 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -


PARIT BUNTAR, 31 Mac : Adun Titi Serong, YB Drs. Khalil Idham Lim berkata sejarah membuktikan Barisan Nasional gagal dan tidak mampu berubah, slogan bahawa BN mampu berubah tidak ubah seperti kata-kata kosong dan janji manis pemimpin BN. Ucapan sedemikian tidak lebih dari usaha untuk mengaburi mata rakyat supaya kembali menyokong BN.


Menurutnya usaha BN untuk menarik sokongan rakyat sering meningkat apabila hampir dengan Pilihanraya, kerana itu baginya lagi rakyat mestilah berhati-hati dengan media pengampu yang akan memaparkan janji-janji manis pemimpin BN.


Menyentuh mengenai peranan pemimpin yang diamanahkan oleh rakyat memimpin beliau menegaskan bahawa pemimpin BN telah mengkhianati amanah yang telah diberikan lebih 50 tahun.


“Pemimpin BN telah mengkhianati amanah yang telah diberikan lebih 50 tahun. Kerana itu negara memerlukan pemerintah yang bijak mengawal aset Negara untuk manfaat rakyat secara holistik, bukannya hanya untuk berapa kerat elit kerajaan seperti yang diamalkan oleh BN” katanya ketika ditemui di sini.


Tambahnya, pemerintah dalam apa jua keadaan mesti mendahulukan rakyat, ianya bukan sekadar slogan seperti yang dilaungkan oleh pemimpin BN namun satu kwwajipan yang sepatutnya berlaku dalam amalan memerintah di Malaysia.


"Bagi saya BN telah mempersendakan rakyat dengan pelbagai slogan, namun jauh dari realiti pelaksanaannya" jelasnya


“Saya ingin mempersoalkan kenapakah banyak dasar-dasar yang tidak dikaji dengan baik sebelum ia dilaksanakan? sehinggakan bayak wang rakyat telah dibazirkan” soalnya.


Dalam pada itu beliau yang juga Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak menggesa rakyat perlu menilai semula semua slogan BN termasuk sebagaimana yang dilaung-laungkan di Sarawak sekarang.


"Rakyat sarawak secara matang dan sedar mesti melihat kepada tempoh yang cukup panjang dan peluang yang telah diberikan kepada BN, kenapa sekarang baru BN berjanji untuk berubah" Soalnya


“Kini banyak bukti sebagaimana yang dipaparkan di media baru betapa banyaknya kelemahan BN mentadbir urus Malaysia, situasi ini memberi petunjuk bahawa Negara berada dalam situasi tidak selamat,Oleh itu saya menyeruh seluruh rakyat malaysia supaya " ubah sekarang selamatkan Malaysia", jelasnya ketika mengakhiri sesi temubual.