31 Mac 2011

NGO Cina Pula Bantah Interlok

26 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Belum pun reda isu 'paria' dalam novel Interlok, kini timbul pula kontroversi terbaru melibatkan dakwaan isu pendatang dan ketuanan Melayu dalam karya Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain itu.

Sekumpulan NGO Cina dan India tampil bersama mengaitkan novel setebal 426 halaman itu dengan agenda menggambarkan masyarakat Cina dan India sebagai pendatang.

"Interlok sepenuhnya menyeru kepada fahaman ketuanan Melayu. Pada pandangan kami, novel ini bukan sahaja tidak sihat (untuk bacaan pelajar) tetapi juga beracun," dakwa Naib Presiden Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) Cheng Su Chean, lapor Malaysiakini.

Pada sidang media di sini, Rabu, Cheng mendakwa beliau dan beberapa wakil NGO yang hadir sama mewakili 45 lagi pertubuhan Cina dan India di seluruh negara.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif KLSCAH Tang Ah Chai, Presiden Yayasan Tamil K Uthayasoorian, Presiden Persatuan Progresif India Malaysia AP Raja Retinam dan Presiden Persatuan Pelajar India Malaysia Kishur Goonasaran yang juga anggota Pasukan Bertindak Interlok Nasional (NIAT).

Cheng turut mendakwa novel itu hampir sama dengan program Biro Tata Negara yang dikatakan ejen "pembasuhan minda" dan mempromosikan perkauman serta perpecahan.

"Interlok menyampaikan mesej utama bahawa Cina, India dan kumpulan minoriti sebagai rakyat kelas kedua sebagai tambahan kepada idea pengasingan antara masyarakat asal (Melayu) dan bangsa asing (Cina dan India)," katanya.

Sehubungan itu, beliau mendesak kerajaan menggugurkan buku tersebut sebagai teks sastera untuk sekolah menengah, bukan dipinda atau ditapis mana-mana bahagian.

"Pendirian kami, kami hormat kebebasan bersuara untuk pengarangnya Abdullah Hussain dan kami tidak menentang buku ini dijual di kedai-kedai," kata Cheng yang juga timbalan ketua wanita bahagian wanita dewan itu.

"Tetapi penyelesaiannya, Interlok tidak patut dijadikan buku teks di sekolah," ujarnya.

Ditanya tentang agenda ketuanan Melayu yang dimaksudkan memandangkan novel itu turut mengkritik bangsa itu, Uthayasoorian menjawab memang perkataan itu tidak disebut dalam Interlok.

Bagaimanapun, tambahnya, cerita tentang pendatang dalam buku itu menggambarkan idea itu.

Manakala Kishur pula mendakwa, walaupun terdapat kritikan pada orang Melayu, terdapat novel itu membawa mesej tersirat bahawa mereka mesti bangkit.

"Ini mesej ketuanan Melayu," katanya.

Sementara bagi Tang pula, karya yang ditulis untuk pertandingan sepuluh tahun merdeka lebih 40 tahun lalu itu cuba menggambarkan bahawa negara ini "tanah orang Melayu".

"Melayu sebagai tuan tanah, Cina dan India sebagai pendatang. Ia tidak selari dengan konsep 1Malaysia," tambahnya.

mStar/-

Tiada ulasan: