31 Mac 2011

Pencemaran Radiasi Di Kesan Di Pesisir Pantai Fukushima

26 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

TOKYO: Air laut di luar loji kuasa tenaga nuklear di timur laut Jepun dikesan mengandungi 3,335 kali ganda bahan radioaktif iodin peringkat tinggi dan setakat ini belum ada tanda air yang tercemar itu telah mengalir ke laut.

Jumlah iodin –131 ditemui di luar pesisir kira-kira 300 meter daripada selatan reaktor nukelar Fukushima Daichi bagaimanapun tidak menimbulkan ancaman kepada kesihatan manusia namun maklumat tersebut disebarkan bagi memberikan kesedaran kepada masyarakat, kata jurucukap daripada Agensi Nuklear dan Keselamatan Industri, Hidehiko Nishiyama pada Rabu.

Di Malaysia, orang ramai mula bimbang mengenai pencemaran radiasi yang mungkin di bawa oleh makanan import dari Jepun.

Beberapa rangkaian makanan menjual sushi dan restoran makanan Jepun di negara ini memberi jaminan bahawa makanan yang dijual adalah selamat dan bebas daripada pencemaran radiasi.

mStar/-

Jangan benarkan isu video seks lupakan kita kepada isu pokok

26 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

SUKAR sekali untuk saya menulis kolum kali ini. Selepas hampir dua jam terpaku di depan komputer, melayari pelbagai laman, kaki semakin lenguh menyengat dan pinggang sakit, namun idea belum juga muncul. Apa lagi yang menyiksakan bagi mana-mana penulis selain kebuntuan mencari ilham sedangkan masa bergerak pantas.

Juru fisioterapi Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) sering mengingatkan saya agar jangan terlalu "berlama-lamaan" menaip. Harus mengadakan senaman ringan atau paling tidak, menggerak-gerakkan anggota badan setiap 15 minit.

Tetapi, adatlah, apabila asyik menulis atau ligat mencari bahan mengejar dead-line, tiga empat jam berlari pantas, segala nasihat terabai. Sedar-sedar, kaki tidak dapat dibengkok dan terasa kebas.

Kalau boleh memang saya mahu menghindari topik yang hangat dibicarakan, iaitu kes video seks-lucah yang didakwa membabitkan Anwar Ibrahim. Menyebutnya pun sudah meloyakan, apatah lagi dikaitkan dengan pelacur China.

Ia terpampang di dada akhbar, memenuhi muka depan, hinggakan anak bongsu saya, berusia lapan tahun bertanyakan ibunya, "seks itu apa, bu?"

Isteri sekadar menjeling tajam ke arah saya, mungkin menagih jawapan yang beradab. Kemusykilan si anak tidak dapat dirongkai. Kebetulan Harakah juga menjadikannya berita utama dan turut dibaca anak kecil.

Ya, sukar juga untuk kami menyorot isu lain dalam keadaan negara hiruk-pikuk tertumpu kepada kontroversi berkenaan. Lebih penting, pembaca menuntut penjelasan dan fitnah mesti disanggah.

Saya kira ramai lagi yang mempunyai pengalaman hampir serupa. Misalnya, apa yang mahu dijelaskan kepada anak-anak yang bertanyakan soal liwat ketika keluarga menonton berita TV jam lapan malam, yang seakan-akan memperincikan perlakuan songsang terkutuk itu apabila melaporkan perbicaraan mahkamah.

Bayangkan, insiden 12 tahun lalu masih segar di ingatan, sehingga mencetuskan gelombang kebangkitan rakyat. Tragedi mata lebam makin menghangatkan iklim politik. Tilam diusung ke mahkamah, bersama cebisan lendir dan bulu.

Siapa sebenarnya yang dibicarakan di mahkamah ketika itu? Anwar atau maruah-kehormatan orang Melayu sendiri yang dipertaruhkan? Permainan politik yang sepatutnya beroperasi dalam kerangka akhlak dan adab menjadi cukup kotor dan hina.

Ekoran daripada itu, Anwar merengkok di penjara selama enam tahun. Tidak lama selepas pembebasannya, pilihan raya umum 2004 menyusul. Mungkin personaliti Abdullah Ahmad Badawi menyebabkan tiada isu-isu kontroversi membabitkan soal dalam kelambu dan keaiban peribadi.

Tsunami politik, Mac 2008 menyentak. PRU12 dikatakan membawa elemen politik baru yang lebih segar. Politik yang tidak lagi terkepung dengan sentimen perkauman atau bermodalkan fitnah-tohmah, sebaliknya bercirikan idealisme luhur, membahaskan isu-isu ketelusan, keadilan, tata kelola pemerintahan yang baik, serta memartabatkan hak asasi manusia.

Ekoran itu, peralihan kuasa dalam Umno dan kerajaan dipercepatkan. Malangnya, isu skandal peribadi muncul semula, juga membabitkan Anwar. Sekali lagi rakyat Malaysia terpaksa menyaksikan episod yang begitu mengaibkan.

Istilah-istilah "geli-geleman" diperdengarkan kembali. Dalam kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh, pada pertengahan Ogos 2008, isu sumpah Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa diliwat heboh diperkatakan.

Tunas politik baru yang mula berputik seperti terbantut. Di Perak, politik ugut bercampur-aduk dengan tawaran rasuah bagi membeli Adun Pakatan Rakyat. Akhir Ogos 2008, kita juga mendengar kes-kes pelik seperti "habuan sedekah seks" yang dibawa ke mahkamah oleh pihak Badan Pencegah Rasuah (BPR, sekarang SPRM).

Tidak lama selepas itu, Februari 2009, kerajaan PAS-DAP-KeADILan yang diterajui Mohammad Nizar Jamaluddin tumbang.

Rupanya budaya politik kuno masih dominan dan akar tunjangnya masih menjalar kukuh.

Belum selesai kes liwat II, negara gempar lagi. Keaiban dipamerkan secara terbuka. Bagai mengulangi babak sebelum ini, perebutan "kuasa politik" juga menjadi paksinya. Dato' T tidak menunggu lama untuk tampil bangga membuat pengakuan. Lebih malang, menteri yang "menjaga polis dan undang-undang", Hishammuddin Hussein dan Nazri Aziz, berkokok dengan nada politik yang tebal.

Jelas mereka membela Dato' T, yang ketika itu belum dikenali. Tanpa mengetahui hujung-pangkalnya, Anwar dibelasah cukup-cukup. Sah, ia satu permainan politik tahap murahan. Ketua Pembangkang itu mahu diperosok sedalam-dalamnya -- dengan apa jua cara.

Tiada kelihatan langsung fokus Hishammuddin untuk menegakkan undang-undang. Hanya atas alasan tiada laporan polis dibuat, acara menonton video lucah di hotel mewah Carcosa Seri Negara itu seolah-olah bukan suatu kesalahan. Kecekapan, kebebasan dan tahap profesionalisme pihak polis diperjudikan. Sehinggalah Anwar sendiri membuat aduan rasmi di Balai Polis Dang Wangi baru siasatan dibuka.

Cuba kita gambarkan, sekiranya video lucah yang dipertontonkan kepada para wartawan itu menjadikan Perdana Menteri, Najib Razak atau timbalannya Muhyiddin, atau anggota kabinet yang lain sebagai sasaran, apakah pihak polis dan Hishammuddin sendiri selaku Menteri Dalam Negeri akan sabar menunggu laporan polis sebelum dapat bertindak?

Saya yakin, jika targetnya adalah Najib, seluruh kekuatan polis dan perisikan akan dikerah untuk menangkap Dato' T belumpun sempat tayangan adegan ranjang itu berakhir. Ia bukti amalan double-standard atau talam dua muka yang hanya merendahkan lagi kredibiliti pihak polis pada pandangan publik.

Mulut celupar Nazri memang sukar dikawal. Mengulas tayangan aksi seks melampau di Carcosa, Nazri bertegas bahawa tidak salah bagi penganjur di sebalik tayangan itu berbuat demikian. "Awak bagi tau apa yang salah. Semua orang kata ia melanggar undang-undang, tetapi bagi tahu saya, undang-undang mana? Sesiapa yang tahu, perlu tampil dan maklumakan kepada kami," katanya.

Menurutnya, jika tayangan yang diaturkan Dato' T dibuat untuk mencari keuntungan, maka ia satu kesalahan. "Ada pepatah menyebut, jangan bunuh pembawa berita," kata Nazri mempertahankan Dato' T daripada kesan undang-undang terutama Seksyen 5(1) Akta Penapisan Filem 2002 dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

Apabila bekas Ketua Menteri Melaka, Abd Rahim Tamby Chik muncul membuat pengakuan bersama ahli perniagaan, Shazryl Eskay Abdullah (sambil mendakwa Bendahari Perkasa, Shuib Lazim turut terlibat) bahawa mereka bertiga adalah Dato' T, misteri video lucah itu mula tersingkap.

Sekali lagi, yang timbul adalah persoalan "kuasa dan dendam kesumat", bukannya isu akhlak atau kebenaran yang mahu ditegakkan. Siapa tidak kenal Rahim dan sejarah hitam politiknya? Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang pernah disumbat ke penjara Kajang selama 18 bulan pada 1998 tentu masih menyimpan cerita menarik Rahim.

Saya sendiri pernah menulis dua buku politik tentang Rahim. Pertama, sebelum beliau bertanding sebagai Ketua Pemuda Umno pada 1993, dalam regu Anwar, Team Wawasan. Tajuk buku itu, Anwar Salah Pilih, jelas menggambarkan peringatan saya bahawa Anwar melakukan kesilapan besar memasukkan Rahim ke dalam pasukannya.

Buku kedua, Siapa Dalang?, diterbitkan selepas Rahim dipaksa meletakkan jawatan atas alasan kepincangan moral. Anwar dilihat berperanan penting dalam kes penyingkiran Rahim.

Saya difahamkan ramai penyokong Anwar lega apabila mengetahui Rahim menjadi dalang pengedaran video lucah itu. Malah, ahli-ahli Umno sendiri "terkejut" dengan pembabitan Rahim, yang dijangka akan membawa lebih banyak masalah kepada Najib dan BN sendiri.

"Silap jalan, jika terbukti ia fitnah semata-mata, isu ini boleh menguburkan Umno dalam PRU13 nanti," kata seorang aktivis Umno. "Kalaupun Umno mahu berkonspirasi, Rahim adalah orang yang terakhir menjadi pilihan Umno," tambahnya.

Namun begitu, episod ini baru saja bermula, penamatnya masih sukar untuk ditelah. Pengakuan Rahim tidak bermakna segalanya nampak mudah. Kita belum lagi mendengar reaksi Najib. Percaturan sedang berjalan. Seorang pemerhati politik berkata: "Pihak yang tidak banyak melakukan kesalahan akan lebih selamat."

Petang tadi (Jumaat) seorang rakan sempat berpesan kepada saya, jika kita tidak dapat menerima fitnah dilemparkan kepada Anwar, maka kita juga usah terjerat dalam perangkap sama apabila secara terbuka membuat tuduhan-tuduhan berkaitan perlakuan seks kepada Rahim. Begitu juga dengan dakwaan berterusan kepada Najib, berkaitan Altantuya.

Beliau meminta saya membaca tulisan terbaru Dr Mohd Asri Zainul Abidin. Bekas Mufti Perlis itu menegaskan tindakan mendedahkan keaiban peribadi sebagai senjata politik dilarang agama. "Sama ada PAS, Umno dan KeADILan; ramai individu dalam parti-parti itu telah terbabit dalam perkara yang diharamkan oleh syarak ini. Tuduhan seks, arak, kaki judi dan seumpamanya sudah menjadi ringan di lidah mereka," tulisannya dipetik.

Artikelnya yang bertajuk Video Lucah dan Dosa Politik itu diakhiri dengan rumusan: "Marilah kita bermufaraqah atau meninggal segala pelakon atau watak yang selekeh dan rela menghalalkan apa sahaja untuk kepentingan politik mereka.

Tanpa mengira parti! Mereka mesti diusir dari pemainan bodoh ini. Kita tentang semua pelakon politik yang suka menyelak kain orang. Tak kira kerajaan atau pembangkang. Kita dijadikan 'penonton bodoh' yang seakan merelakan apa sahaja watak yang mereka lakonkan.

Politik kita memerlukan nafas baru dan dibersihkan dari golongan yang jijik dan kotor ini! Kita perlukan politik idea, bagaimana dan cara membangunkan umat dan rakyat agar hidup berdisiplin, bermaruah dan bertamadun. Bukan cerita-cerita bodoh seperti ini!"

Bagaimanapun, ingatan Anwar di majlis solat hajat di kediamannya, malam 24 Mac lalu patut menjadi renungan penggerak Pakatan. Seperti dilaporkan Harakahdaily, Anwar menekankan: "Saya masih mempertahankan bahawa fokus masih program Buku Jingga.

Saya memohon agar rakan-rakan terus membaca. Jangan benarkan isu (fitnah liwat, video seks) mengheret kita jauh daripada isu pokok kerana ia akan merugikan kita.

"Jangan lupa menumpukan isu pokok dalam kerangka untuk mengangkat martabat umat dengan akhlak dan ilmu. Buku Jingga adalah dasar ekonomi alternatif. Ini menunjukkan ia ada ruang untuk dikembangkan sekiranya kita menguasai Putrajaya."

Yang pasti, medan tempur di Sarawak yang nampak sedikit terabai dengan isu ini perlu diberikan perhatian serius. Fokus harus disasarkan ke sana.

Ahmad Lutfi Othman

NGO Cina Pula Bantah Interlok

26 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Belum pun reda isu 'paria' dalam novel Interlok, kini timbul pula kontroversi terbaru melibatkan dakwaan isu pendatang dan ketuanan Melayu dalam karya Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain itu.

Sekumpulan NGO Cina dan India tampil bersama mengaitkan novel setebal 426 halaman itu dengan agenda menggambarkan masyarakat Cina dan India sebagai pendatang.

"Interlok sepenuhnya menyeru kepada fahaman ketuanan Melayu. Pada pandangan kami, novel ini bukan sahaja tidak sihat (untuk bacaan pelajar) tetapi juga beracun," dakwa Naib Presiden Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) Cheng Su Chean, lapor Malaysiakini.

Pada sidang media di sini, Rabu, Cheng mendakwa beliau dan beberapa wakil NGO yang hadir sama mewakili 45 lagi pertubuhan Cina dan India di seluruh negara.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif KLSCAH Tang Ah Chai, Presiden Yayasan Tamil K Uthayasoorian, Presiden Persatuan Progresif India Malaysia AP Raja Retinam dan Presiden Persatuan Pelajar India Malaysia Kishur Goonasaran yang juga anggota Pasukan Bertindak Interlok Nasional (NIAT).

Cheng turut mendakwa novel itu hampir sama dengan program Biro Tata Negara yang dikatakan ejen "pembasuhan minda" dan mempromosikan perkauman serta perpecahan.

"Interlok menyampaikan mesej utama bahawa Cina, India dan kumpulan minoriti sebagai rakyat kelas kedua sebagai tambahan kepada idea pengasingan antara masyarakat asal (Melayu) dan bangsa asing (Cina dan India)," katanya.

Sehubungan itu, beliau mendesak kerajaan menggugurkan buku tersebut sebagai teks sastera untuk sekolah menengah, bukan dipinda atau ditapis mana-mana bahagian.

"Pendirian kami, kami hormat kebebasan bersuara untuk pengarangnya Abdullah Hussain dan kami tidak menentang buku ini dijual di kedai-kedai," kata Cheng yang juga timbalan ketua wanita bahagian wanita dewan itu.

"Tetapi penyelesaiannya, Interlok tidak patut dijadikan buku teks di sekolah," ujarnya.

Ditanya tentang agenda ketuanan Melayu yang dimaksudkan memandangkan novel itu turut mengkritik bangsa itu, Uthayasoorian menjawab memang perkataan itu tidak disebut dalam Interlok.

Bagaimanapun, tambahnya, cerita tentang pendatang dalam buku itu menggambarkan idea itu.

Manakala Kishur pula mendakwa, walaupun terdapat kritikan pada orang Melayu, terdapat novel itu membawa mesej tersirat bahawa mereka mesti bangkit.

"Ini mesej ketuanan Melayu," katanya.

Sementara bagi Tang pula, karya yang ditulis untuk pertandingan sepuluh tahun merdeka lebih 40 tahun lalu itu cuba menggambarkan bahawa negara ini "tanah orang Melayu".

"Melayu sebagai tuan tanah, Cina dan India sebagai pendatang. Ia tidak selari dengan konsep 1Malaysia," tambahnya.

mStar/-

Wanita Sebagai Ahli Neraka

26 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

Rambut digantung dan otak mendidih

Saidina Ali Karramallahahu wajhah berkata, ‘saya dengan Fatimah menghadap Rasulullah SAW, kami dapati baginda sedang menangis, lalu kami berkata kepadanya, ‘Apakah yang menyebabkan ayahanda menangis, ya Rasulullah?’, Baginda menjawab, ‘Pada malam aku diisrakkan hingga kelangit, di sana aku melihat perempuan-perempuan dalam keadaan azab yang amat dahsyat, dengan itu aku menangis bila mengenangkan azab yang diterima oleh mereka,

Ali bertanya, ‘Apakah yang ayahanda lihat di sana?’ Rasulullah SAW bersabda, ‘aku melihat ada perempuan digantung rambutnya, otak kepalanya menggelegak. Aku melihat perempuan yang digantung lidahnya dan tangannya dikat kebelakang dan iqthran (timah cair yang panas) dicurah ke dalam tekaknya. Aku melihat perempuan tergantung kedua kakinya dengan terikat, tangannya terikat keubun-ubunnya, dan aku lihat perempuan memakan tali perutnya sendiri.’

‘Aku melihat perempuan yang telinganya pekak dan matanya buta, diisikan ke dalam peti yang diperbuat dari api neraka, otaknya keluar daripada lubang, badannya berbau busuk kerana berpenyakit sopak dan kusta’

‘Aku melihat perempuan yang kepalanya seperti babi, badannya seperti himar, beribu-ribu kesengsaraannya yang dihadapi. Aku lihat perempuan yang rupanya seperti anjing,kala dan ular masuk ke kemaluannya atau mulutnya atau kelepasannya. Malaikat memukulnya dengan curung api neraka.’

Sebab-sebab wanita masuk neraka
Fatimah pun berdiri dan bertanya kepada ayahnya, ‘ Ayahanda yang dikasihi, apakah kesalahan yang dilakukan oleh perempuan-perempuan itu?’

Rasulullah menjawab, ‘Fatimah, adapun perempuan-perenpuan yang digantung rambutnya itu ialah perempuan yang tidak menutup auratnya daripada yang bukan muhrimnya. Perempuan yang tergantung lidahnya ialah perempuan yang menggunakan lidahnya untuk memaki dan menyakiti hati suaminya.’

‘Perempuan yang digantung tubuh mereka ialah yang menyusukan anak orang lain dengan tidak mendapat keizinan suaminya. Perempuan yang kedua kakinya tergantung ialah perempuan yang keluar dari rumahnya tanpa keizinan suaminya dan perempuan yang tidak mahu bersuci daripada haid dan nipas. Perempuan yang memakan dirinya sendiri itu ialah kerana mereka berhias untuk lelaki yang bukan suaminya dan suka mengumpat orang’.

‘Perempuan yang memotong badannya sendiri dengan gunting api neraka, kerana ia memperkenalkan dirinya kepada orang lain. Perempuan yang diikat kedua kaki dan tangannya ke atas ubun-ubunnya, ialah kerana ia boleh sembahyang tetapi tidak mengerjakannya, dan tidak mahu mandi janabah’

‘Perempuan yang kepalanya seperti babi dan badannya seperti himar ialah ahli pengumpat dan pendusta. Perempuan yang berupa seperti anjing ialah perempuan yang suka buat fitnah dan membenci suaminya.’

‘Perempuan yang menyakiti hati suaminya dengan lidahnya, pada hari Qiamat nanti Allah jadikan lidahnya sepanjang tujuh puluh hasta, kemudian diikat ke belakang tengkuknya.’

Sementara itu Saidina Abu Bakar As-Siddiq menyatakan, ‘Aku mendengar Rasulullah bersabda, ‘Perempuan yang menggunakan lidahnya untuk menyakiti hati suaminya, ia akan mendapat laknat dan kemurkaan Allah, laknat para malaikat dan laknat oleh manusia.’

Tidak bersyukur kepada suami
Usamah bin Zaid meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: ‘Seseorang perempuan itu, apabila ia mengerjakan sembahyang lima waktu, dan berpuasa dalam bulan Ramadhan, dan memelihara kehormatannya dan taat setia kepada suaminya, masuklah ia ke dalam syurga dari mana jua pintu syurga yang ia kehendaki.’

Sabda Rasulullah SAW lagi:
‘Selain dari itu, ahli neraka diperintah masuk kedalam neraka, dan aku telah berdiri menghadap Rasulullah SAW seraya bertanya: ‘Ya Rasulullah, kebanyakkan orang yang masuk kedalamnya ialah perempuan. ‘Rasulullah SAW menjawab: ‘Kebanyakan penghuni neraka itu adalah perempuan kerana perempuan gemar sekali mengkufurkan suaminya.

Seberapa banyakpun nikmat yang telah diperolehinya, dia masih belum rasa puas hati dan cukup sehingga terus merayu suaminya untuk mendapatkan harta yang banyak.’

p/s: Ambillah manfaat, dengar, taat dari apa yang kita bacakan.

Khalil : BN gagal dan tidak mampu berubah


26 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -


PARIT BUNTAR, 31 Mac : Adun Titi Serong, YB Drs. Khalil Idham Lim berkata sejarah membuktikan Barisan Nasional gagal dan tidak mampu berubah, slogan bahawa BN mampu berubah tidak ubah seperti kata-kata kosong dan janji manis pemimpin BN. Ucapan sedemikian tidak lebih dari usaha untuk mengaburi mata rakyat supaya kembali menyokong BN.


Menurutnya usaha BN untuk menarik sokongan rakyat sering meningkat apabila hampir dengan Pilihanraya, kerana itu baginya lagi rakyat mestilah berhati-hati dengan media pengampu yang akan memaparkan janji-janji manis pemimpin BN.


Menyentuh mengenai peranan pemimpin yang diamanahkan oleh rakyat memimpin beliau menegaskan bahawa pemimpin BN telah mengkhianati amanah yang telah diberikan lebih 50 tahun.


“Pemimpin BN telah mengkhianati amanah yang telah diberikan lebih 50 tahun. Kerana itu negara memerlukan pemerintah yang bijak mengawal aset Negara untuk manfaat rakyat secara holistik, bukannya hanya untuk berapa kerat elit kerajaan seperti yang diamalkan oleh BN” katanya ketika ditemui di sini.


Tambahnya, pemerintah dalam apa jua keadaan mesti mendahulukan rakyat, ianya bukan sekadar slogan seperti yang dilaungkan oleh pemimpin BN namun satu kwwajipan yang sepatutnya berlaku dalam amalan memerintah di Malaysia.


"Bagi saya BN telah mempersendakan rakyat dengan pelbagai slogan, namun jauh dari realiti pelaksanaannya" jelasnya


“Saya ingin mempersoalkan kenapakah banyak dasar-dasar yang tidak dikaji dengan baik sebelum ia dilaksanakan? sehinggakan bayak wang rakyat telah dibazirkan” soalnya.


Dalam pada itu beliau yang juga Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak menggesa rakyat perlu menilai semula semua slogan BN termasuk sebagaimana yang dilaung-laungkan di Sarawak sekarang.


"Rakyat sarawak secara matang dan sedar mesti melihat kepada tempoh yang cukup panjang dan peluang yang telah diberikan kepada BN, kenapa sekarang baru BN berjanji untuk berubah" Soalnya


“Kini banyak bukti sebagaimana yang dipaparkan di media baru betapa banyaknya kelemahan BN mentadbir urus Malaysia, situasi ini memberi petunjuk bahawa Negara berada dalam situasi tidak selamat,Oleh itu saya menyeruh seluruh rakyat malaysia supaya " ubah sekarang selamatkan Malaysia", jelasnya ketika mengakhiri sesi temubual.

30 Mac 2011

Gempa Bumi Landa Pantai Timur, Honshu, Jepun

25 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Gempa bumi 6.0 pada skala Ritcher berlaku berhampiran pantai timur Honshu, Jepun pada 1.29 petang.

Jabatan Meteorologi sedang memantau perkembangan.

Kos selenggara 2 kapal selam RM50 juta setahun

25 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Kos penyelenggaraan dua kapal selam negara, iaitu KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Abdul Razak, yang dikendalikan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia dianggarkan RM50 juta setahun, kata Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

Katanya kos itu meliputi perkhidmatan sokongan serta logistik kedua-dua kapal selam jenis Scorpene itu dan tidak melibatkan kos alat ganti. Menjawab soalan Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini, beliau berkata kontrak penyelenggaraan kedua-dua aset strategik negara itu, telah dianugerahkan dan dilaksanakan oleh syarikat usaha sama tempatan dengan pembuat Scorpene iaitu Boustead DCNS Naval Corporation Sdn Bhd. Abdul Latiff berkata kontrak antara kerajaan dan syarikat penyelenggaraan itu meliputi perjanjian selama enam tahun.

"Penyelenggaraan (setiap satu kapal selam) bernilai RM25 juta setahun itu untuk pastikan kita (negara) sebagai pengguna aset itu boleh menggunakan aset itu pada bila-bila masa.

"Kalau ia tidak boleh memenuhi hasrat TLDM, kita boleh denda (syarikat itu) mengikut perjanjian yang dimeterai," katanya.

Malaysia menempah dua kapal selam baru jenis Scorpene dengan kos pembelian berjumlah RM3.4 bilion pada 2002 yang dibina secara bersama oleh DCNS dari Perancis dan Navantia, syarikat pembuat kapal selam dari Sepanyol.
KD Tunku Abdul Rahman tiba di perairan Malaysia pada September 2009 dari Perancis manakala kapal selam kedua negara, KD Tun Razak tiba di pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia di Teluk Sepanggar, Sabah pada Julai, 2010.

Kepada soalan wakil yang sama, Abdul Latiff berkata kerosakan teknikal pada KD Tunku Abdul Rahman seperti yang dilaporkan sebelum ini telah berjaya diatasi dengan ujian selaman yang berjaya dilaksanakan pada 22 Febuari tahun lalu.

Sebelum ini dilaporkan kerosakan mekanikal dikesan pada 17 Januari tahun lalu ketika kerja penyelenggaraan dilakukan di Pangkalan TLDM di Teluk Sepanggar.

Abdul Latiff mengingatkan semua pihak agar tidak mendedahkan keburukan serta kelemahan aset pertahanan negara kepada anasir luar seperti yang sering kali dilakukan oleh pembangkang sebelum ini.

"Masalah teknikal yang dihadapi oleh kapal selam adalah masalah biasa yang boleh dialami oleh mana-mana kapal selam dunia. Saya kira dalam hal ketenteraan dan keselamatan negara kita patut berkongsi rahsia, jangan mendedahkan kelemahan sistem pertahanan negara ke luar (negara)," katanya.

Beliau berkata pencapaian paling membanggakan dalam operasi kapal selam berkenaan ialah apabila KD Tunku Abdul Rahman membuat penembakan misil SM 39 pada Julai lepas di kedalaman 55 meter dan telah mengenai sasaran yang berada sejauh 40 kilometer.

"Kejayaan itu dapat meningkatkan semangat juang yang lebih tinggi kepada krew kapal walau pembangkang mengatakan kedua-duanya (kapal) bermasalah," katanya.

Abdul Latiff juga berkata Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berpuas hati selepas menaiki KD Tunku Abdul Rahman dan menyelam pada kedalaman maksimum operasi di Laut China Selatan baru-baru ini. - BERNAMA

Dua pegawai kanan kastam ditahan

25 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

PUTRAJAYA 29 Mac – Dua pegawai kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) antara yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu operasi besar-besaran di kawasan pantai timur, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur dan Johor, semalam.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali berkata, ketika serbuan dilakukan secara serentak di kawasan pantai timur, pihaknya menemui wang bernilai ratusan ribu ringgit dalam keadaan berselerakan di rumah pegawai kanan kastam terbabit yang merupakan pasangan suami isteri.

Menurutnya, SPRM dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta dibantu lima agensi lain membuat serbuan ke atas 84 ejen penghantaran, sebuah syarikat induk dan 24 anak syarikat berkaitan serta 25 premis JKDM di seluruh negara.

“Selain itu, lebih 150 akaun bank milik syarikat dan orang perseorangan disita hasil operasi secara serentak melibatkan tujuh agensi bagi mengatasi kegiatan haram membabitkan nilai berbilion ringgit,” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.

Operasi pasukan petugas khas diketuai oleh SPRM itu dijalankan secara serentak dari pukul 10 pagi hingga 12 tengah malam semalam.

Mustafar berkata, tindakan penyitaan akan dilakukan di bawah Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Pengganasan 2001.

Beliau berkata, kesemua entiti berkaitan diserbu kerana dipercayai terlibat dalam pengisytiharan di bawah nilai sebenar cukai kastam, pengelakan cukai pendapatan dan aktiviti-aktiviti pengubahan wang haram, penghantaran wang secara tidak sah ke luar negara yang melibatkan nilai wang mencakupi berbilion ringgit dan perlakuan jenayah rasuah.

“Kesemua kegiatan tersebut melibatkan kesalahan di bawah Akta Kastam 1967, Akta Cukai Pendapatan 1967, Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Pengganasan 2001 dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,” katanya.

Menurutnya, operasi yang dijalankan adalah mengenai kegiatan haram yang menyebabkan kerugian hasil kerajaan berjumlah berbilion ringgit disebabkan kegagalan mengutip cukai dan duti kastam.

“Ia juga melibatkan pendapatan yang tidak dilapor yang dihantar ke luar negara tanpa kelulusan, pengisytiharan tidak betul barangan import serta penyeludupan wang keluar sempadan negara,” katanya.

Beliau berkata, pasukan tindakan khas itu akan mengambil tindakan serius yang sewajarnya terhadap individu dan syarikat terlibat kerana kegiatan-kegiatan berkaitan boleh menyebabkan bahaya kepada ekonomi, keselamatan dan reputasi negara.

Utusan Malaysia/-
Oleh NAZMIL NASIRUDDIN

Premium tanah RM10 untuk pendidikan – PR Perak

25 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 30 Mac: Pakatan Rakyat Perak berjanji akan memberi kadar premium tanah secara nominal RM10 sehektar untuk tapak tanah yang diluluskan kepada institusi pendidikan sumbangan wang orang awam (Suwa) jika rakyat memberi mandat kepada mereka pada pilihan raya umum ke-13.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Nizar Mohammad Jamaluddin (gambar) berkata, Pakatan Rakyat menyedari masalah kewangan yang bakal dihadapi oleh sekolah-sekolah agama, suwa dan Sekolah Tamil kerana jumlah premium tanah masih belum mengambil kira kos pembangunan tanah yang menelan belanja jutaan ringgit.

Menurut bekas Menteri Besar Perak itu, perkara itu berlaku apabila BN merampas kuasa di Perak mengenakan premium tanah bernilai berjuta-juta ringgit kepada tanah yang diluluskan kepada Suwa.

Sebagai contoh jelasnya, sekolah Suwa dikehendaki membayar premium tanah sebanyak RM2,240,000 dengan setiap sekolah terpaksa menanggung kos premium tanah RM248,888.

"Ini satu beban yang cukup berat berat untuk lembaga pengelola sekolah tersebut. Atas dasar BN tersebut, pihak lembaga pengelola sekolah terpaksa mengutip derma dan merayu bantuan dari pelbagai pihak khususnya masyarakat umum," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Ketika Pakatan Rakyat memerintah di negeri itu pada tahun 2008, kerajaan negeri bersetuju untuk meluluskan tanah kepada institusi pendidikan iaitu tanah seluas 2,023 hektar kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan 1,012 hektar untuk sekolah Suwa dan 607 hektar untuk sekolah Tamil supaya dijadikan modal dan tabung untuk membantu pembangunan institusi pendidikan tersebut.

Turut bersama Nizar pada sidang media tersebut ialah Pengerusi PKR Perak, Dr Mohd Nor Manuty dan Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming.

Harakahdaily/-
Oleh : Hazayani Zakaria

Kabinet Syria dijangka dibubar

25 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

DAMSYIK - Kerajaan Syria dijangka dibubarkan hari ini dan Kabinet akan dibentuk dalam tempoh 24 jam, kata seorang pegawai kanan di sini kepada AFP.

Pegawai itu yang enggan namanya disiarkan berkata, kerajaan akan mengemukakan peletakan jawatannya hari ini dan Kabinet baru bakal dibentuk dalam tempoh 24 jam.

Perdana Menteri Mohammed Naji Otri membentuk kerajaannya pada 2003 dan melakukan rombakan terakhir pada April 2009.

Sementara itu, beribu-ribu rakyat Syria berhimpun di ibu negara ini dan sekurang-kurangnya empat bandar lain hari ini sambil membawa gambar Presiden Bashar Assad dan mengibarkan bendera Syria bagi menyatakan sokongan kepada kerajaan.

Penyokong kerajaan hari ini berhimpun di Damsyik, wilayah Aleppo dan Hasakeh di utara Syria dan bandar Hama dan Homs di bahagian tengah negara.

Sesi persekolahan dibatalkan hari ini sementara golongan pekerja diberikan pelepasan selama dua jam bagi menghadiri perhimpunan tersebut.

"Rakyat mahukan Assad. Kami menolak perpecahan kaum dan perselisihan sivil," laung mereka sambil membawa sepanduk prokerajaan.

Assad yang menguasai Syria selama empat dekad dan mempunyai rekod menumpaskan pihak yang menentangnya dengan kejam, cuba untuk meredakan protes secara kompromi.

Beliau dijangka menyampaikan ucapan kepada negara dalam tempoh 24 jam bagi mengumumkan penarikan balik pemerintahan darurat selama hampir 50 tahun dan membatalkan sekatan ketat ke atas kebebasan sivil serta politik. - AFP

Virus Adeno: Pelatih Pulapol ketiga meninggal dunia

25 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 30 Mac – Mohamed Siman, 23, merupakan pelatih ketiga di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak di sini yang meninggal dunia akibat jangkitan virus Adeno di Hospital Kuala Lumpur (HKL), malam tadi.

Pelatih konstabel yang berasal dari Bagan Datoh, Perak itu meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu pukul 11.30 malam tadi.

Sementara itu, di PUTRAJAYA, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengesahkan seorang lagi pelatih Pulapol meninggal dunia akibat jangkitan virus Adeno.

Beliau berkata, mangsa telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HKL sejak 3 Mac lalu meninggal akibat kegagalan organ dalamannya berfungsi. - Utusan

Tentera Gaddafi serang puak pemberontak di Misrata

25 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

ALGIERS 30 Mac - Pasukan pemberontak yang berada di bandar Misrata mendakwa mereka telah diserang dengan kuat oleh pasukan tentera Muammar Gaddafi semalam dan mereka merayu kepada mesyuarat kerajaan di London bagi membantu mereka.

“Pasukan tentera Gaddafi melancarkan serangan yang dahsyat terhadap kami di Misrata.

“Mereka tekad mahu merampas balik bandar ini, ini adalah hari yang sukar bagi kami,”kata seorang jurucakap pasukan pemberontak, Mohamed melalui perbualan dari telefon satelit. - Reuters

Penduduk marah krisis air paling teruk

25 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

TEMERLOH,30 Mac: Krisis air yang menjejaskan sekurang-kurangnya 12,000 penduduk di sekitar daerah ini melibatkan taman perumahan dan kampung tradisional sejak empat hari lalu menimbulkan kemarahan mereka terhadap Jabatan Bekalan Air (JBA), wakil rakyat dan menteri besar (MB).

Malah menurut penduduk, beberapa kawasan perumahan seperti Taman Setia Jasa, Seberang Temerloh dan Mentakab turut mengalami gangguan bekalan air sejak 1 Mac lalu.

Tinjauan Harakahdaily ke Taman Setia Jasa yang mempunyai lebih 400 buah rumah dan seramai 1,800 penduduk mendapati penduduk mula menzahirkan kemarahan dengan memasang sembilan kain rentang sebagai protes kepada JBA, wakil rakyat dan MB untuk meluahkan ketidakpuasan hati mereka berhubung masalah bekalan air itu.

Seorang penduduk dari taman sama, Ghazali Idris, 63, berkata, gangguan bekalan air di taman perumahan itu berlaku sejak sebulan lalu dengan ada ketikanya air keluar kecil. Tetapi sejak awal minggu lalu langsung tiada air.

Menurutnya, gangguan itu berlaku pada sebelah petang hingga subuh, namun sejak Sabtu lalu, langsung tiada bekalan air.

“Dulu dah pernah berlaku teruk macam ini tetapi selesai, sekarang jadi semula. Kami dah adu pada JBA tetapi mereka kata tak tahu punca dan ada yang ada paip bawah tanah bocor.

"Keadaan ini membuatkan kami di sini jadi seperti balik ke zaman dulu. Bayangkan, saya memandu kereta sejauh 30 kilometer menuju ke Chenor untuk memunggah air Sungai Pahang setiap hari bagi kegunaan makan minum dan kebersihan untuk ahli keluarga,” katanya.

Menurut Ghazali, masalah air di Taman Setia Jasa itu turut menyebabkan pelajar-pelajar sekolah di situ mengalami masalah lewat ke sekolah kerana terpaksa mandi di Jengka setiap pagi.

“Saya ada tiga anak yang bersekolah. Mereka terpaksa bangun awal pagi, balik ke kampung di Jengka untuk mandi dan patah semula ke sekolah di Temerloh. Anak orang lain pun macm tu.

“Jadi sampai bila masalah ini hendak selesai? Kita harap JBA segera selesaikan jangan penduduk telefon pun tak mahu jawap. Bayangkan penduduk yang ada anak kecil, lagi susah,” katanya.

Taman Setia Jasa terletak dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Mentakab dan Parlimen Temerloh.

Seorang penduduk lagi, Ahmad Harun, berkata ini merupakan kali kedua penduduk menghadapi krisis air yang serius dan lama sehingga terpaksa memunggah air dari luar.

"Baru-baru ini ada penduduk mengadakan majlis kenduri kahwin, walaupun ada pihak yang menolong tapi teruk memunggah air. Bagaimana pula kalau berlaku kematian?

"Saya fikir Temerloh ini tidak sepatutnya menghadapi masalah air berulang kali kerana berada dipinggir Sungai Pahang yang mewah air. Jadi sudah tentulah ini kelemahan JBA," katanya.

Ahmad berharap, supaya JBA segera selesaikan masalah yang menghantui penduduk iaitu dengan JBA menghantar empat lori tangki air sehari dengan tiga kali penghantaran.

Sementara itu, peniaga warung makan di situ, Rahim Bakri, turut mengakui ketiadaan air menyebabkan perniagaannya banyak terjejas kerana untuk memasak dan membersih terpaksa menggunakan air yang banyak dan beliau terpaksa memunggahnya dari luar.

Harakahdaily/-
Oleh : Khairil Abdul Rahim



Kes PKFZ : Keputusan Permohonan Ketepi Skrine & Co Diketahui 4 April

25 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM 30 MAC : Mahkamah Tinggi Shah Alami menetapkan 4 April ini bagi memutuskan permohonan semakan semula kehakiman yang difailkan oleh bekas pengurus projek Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB), Law Jenn Dong terhadap keputusan membenarkan firma guaman Skrine & Co bertindak sebagai pemerhati bagi Lembaga Pelabuhan Klang (LPK).

Hakim Datuk Siti Mariah Ahmad menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah kedua-dua pihak semalam.

Pada 3 Disember lalu, Mahkamah Sesyen Shah Alam menolak permohonan Law untuk menyingkirkan firman guaman itu sebagai peguam pemerhati dalam perbicaraan membabitkan skandal projek pembangunan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Law, 52, arkitek Bernard Tan Seng Swee, 49, dari BTA Architect, dan ketua pegawai operasi KDSB Stephen Abok, 52, mengaku tidak bersalah terhadap 24 tuduhan pilihan menipu OSK Trustees Bhd melibatkan bayaran RM116.85 juta kepada KDSB berkaitan dua projek di PKFZ.

Stephen dan Tan juga mengaku tidak bersalah terhadap dua lagi tuduhan pilihan iaitu menipu OSK Trustees untuk mempercayai bahawa kerja-kerja infrastruktur elektrik bagi sistem 33 kilovolt di PKFZ dan sistem yang sama ke Presint 2 serta Presint 8 telah dilaksanakan.

Tindakan itu telah mendorong OSK Trustees membuat bayaran RM5.42 juta kepada KDSB. Pada prosiding sebelum ini, Law diwakili peguam Tan Hock Chuan dan Skrine oleh peguam Leong Wai Hong.

Peguam Datuk V. Sithambaram mewakili Tan, manakala pendakwaan dijalankanoleh Timbalan Pendakwa Raya, Anas Mahadzir dan Hashley Tajudin.

Dalam hujahnya, Hock Chuan berkata permohonan itu dibuat atas alasan dua rakan kongsi firma guaman berkenaan iaitu peguam Vinayak Pradhan dan peguam Lim Chee Wee menganggotai pasukan petugas khas yang ditubuhkan Kementerian Pengangkutan pada 2009 untuk menyiasat kes itu.

Kata beliau, Skrine, melalui Vinayak dan Lim, mempunyai capaian terhadap maklumat mengenai hasil siasatan pasukan petugas itu berkaitan pelaksanaan projek PKFZ.

Oleh itu, katanya, Skrine tidak layak untuk bertindak sebagai pemerhati bagi LPK dalam kes terbabit.

Hock Chuan juga berkata dua peguam berkenaan mungkin akan dipanggil sebagai saksi dalam perbicaraan kes itu.

“Oleh kerana mereka mempunyai capaian terhadap maklumat sulit dan mungkin dipanggil menjadi saksi, kami bimbang tiga tertuduh tidak mendapat perbicaraan secara adil.

“Oleh itu, Mahkamah Tinggi wajar mengetepikan perintah Mahkamah Sesyen yang membenarkan Skrine menjadi pemerhati bagi LPK,” katanya.

Dalam hujahnya pula, Sithambaram berkata laporan yang dibuat pasukan petugas itu secara tidak langsung menyebabkan tuduhan berkenaan dikenakan terhadap tiga tertuduh.

“Oleh kerana mereka mempunyai capaian terhadap maklumat sulit, mereka boleh berkongsinya dan memberi dokumen tertentu kepada seseorang yang berpotensi akan dipanggil menjadi saksi dalam perbicaraan kes ini,” katanya.

Sementara itu, dalam hujahnya, Leong berkata firma berkenaan tidak pernah mewakili ketiga-tiga tertuduh dalam kes tersebut, tetapi mewakili LPK dan LPK bukan merupakan pihak dalam kes ini.

Membalas hujah Hock Chuan bahawa kedua-dua peguam berkenaan mungkin dipanggil menjadi saksi, beliau berkata perkara itu hanya spekulasi.

Anas pula berkata isu tersebut tidak akan menjejaskan kes pihak pendakwakerana tuduhan yang dikenakan terhadap tiga tertuduh dalm kes itu tidak berdasarkan dapatan pasukan petugas berkenaan, tetapi berdasarkan bukti yang dikemukakan oleh polis.

“Dua peguam itu tidak termasuk dalam senarai kami sebagai saksi, tapi terpulanglah kepada pihak pendakwaan sama ada hendak memanggil mereka semasa perbicaraan nanti,” katanya.

-BERNAMA-

Anwar seru buat perubahan politik secara aman

25 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUCHING, 30 Mac: Meskipun polis sedari dulu sentiasa memberi tekanan demi tekanan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Umum PKR itu tegas menyatakan beliau mahu membawa perubahan politik secara aman dengan menggunakan saluran pilihan raya.

“Orang Arab nak tukar sistem, susah. Sehingga (mereka) terpaksa diadakan revolusi, (tapi) kita mahu perubahan secara aman. Kita tidak mahu masalah dengan polis. Anak-anak muda Sarawak perlu buat perubahan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Kampung Tupong Batu yang terletak di pinggir Sungai Sarawak itu kerap disambut sorakan ‘reformasi’ di kalangan 300 penduduk setempat, lapor Keadilan Daily.

Pada ceramah di lokasi persendirian yang tidak memerlukan permit itu, polis hanya memberi masa 15 minit untuk Anwar berucap.

Malah, pihak berkuasa membuat banyak sekatan jalan raya di laluan yang menghala ke lokasi ceramah.

Ceramah Anwar di mana-mana jua termasuk di Sarawak sentiasa mendapat halangan polis

Anwar berkata, pilihan raya Sarawak kali ini amat penting kerana ia adalah masa paling sesuai untuk membuat perubahan kerana golongan penindas rakyat semakin berani berbuat demikian secara terang-terangan.

“Sebab itu, pilihanraya Sarawak penting. Perubahan adalah perlu. Orang Sarawak perlu sedar.

“Orang yang baik, takut. Orang yang jahat, berani. Ini tidak betul. Perkara ini mesti diubah. Sarawak mesti berubah. Sekaranglah masanya,” katanya disambut tepukan gemuruh.

Dalam ceramah di Restoran Sim Poh Poh yang dihadiri ratusan penduduk pula, polis turut ‘mencipta’ halangan dengan tidak membenarkan pembesar suara di hala ke luar, sebaliknya mengarahkan ia dihala ke dalam premis itu.

Pada ceramah yang majoriti dihadiri masyarakat keturunan Tionghua titu, Anwar turut memetik falsafah cendekiawan purba Cina, Confucious.

“Kata Confucious: Lebih baik duduk di dalam kandang harimau daripada duduk di bawah kerajaan yang zalim.

Kehadiran Anwar memang dinanti-nantikan penduduk Sarawak yang dahagakan perubahan.

“Pembaziran berleluasa. Kronisme dan rasuah. Projek hanya untuk anak-anak, isteri dan kroni. Yang kaya hanya ketua menteri. Rasuah di bawah dan di atas meja.

“Benarlah seperti kata penyair besar di Jawa, Ronggo Warsito: Zaman ini zaman edan (gila),” katanya yang meminta rakyat Sarawak mengambil iktibar dari pesanan kedua-dua ahli falsafah itu.

Beliau mengingatkan rakyat Sarawak, pimpinan Barisan Nasional (BN) di Negeri Bumi Kenyalang itu juga membawa wang rakyat ‘lari’ hingga menyebabkan masyarakat dihimpit kemiskinan berpanjangan.

“Bukan sahaja di Mesir, Tunisia sahaja orang bawa duit. Di sini (Sarawak) pun sama bawa duit lari. Berapa yang dibawa lari Mubarak? 40 hingga 70 bilion USD. Rakyat miskin kerana pemimpin curi wang rakyat,” katanya.