28 April 2011

Penjaga Gol ditumbuk Peminat Selepas Lepaskan Gol

24 Jamadilawal 1432H. [MOD] -


LONDON - Seorang penjaga gol kelab Bury, Cameron Belford diserang dan ditumbuk di muka oleh seorang remaja yang marah selepas dia membiarkan bola membolosi gawangnya dalam satu perlawanan bola sepak di stadium Chesterfield kelmarin, lapor sebuah akhbar semalam.

Kejadian tersebut turut melibatkan seorang remaja perempuan yang menunjukkan isyarat lucah kepada penjaga gol berusia 22 tahun itu.

SEORANG remaja menumbuk muka penjaga gol, Cameron Belford kerana didakwa membiarkan bola membolosi golnya di stadium Chesterfield

Kejadian itu berlaku selepas Belford lepaskan bola masuk ke dalam gol pada minit ke-87 yang ditendang oleh pemain pasukan lawan, Ryan Lowe.

Seorang kanak-kanak perempuan yang mengikat rambut seperti ekor kuda pula meunjukkan isyarat lucah kepada penjaga gol berkenaan.

Jurucakap polis Derbyshire, Inspektor Russell Dakin berkata, tangkapan telah dibuat berhubung insiden tersebut.

Dalam pertandingan itu, Bury menang 3-2 mengatasi Chesterfield sekali gus dapat melangkah ke Liga Pertama. 

Agensi

27 April 2011

Kerajaan perlu lulus gaji minimum

23 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 27 April: Kerajaan sekali lagi diingatkan agar menjaga kepentingan golongan pekerja dengan meluluskan tuntutan gaji minimum yang sejak sekian lama disuarakan mereka.

Penyelaras Gabungan Membantah Kenaikan Harga Minyak (Protes), Dr Mohd MHatta Ramli (gambar) berkata, sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei ini seharusnya memberikan suatu perubahan ke arah meningkatkan kualiti dan taraf hidup pekerja yang berada di bawah paras kemiskinan.

"Sempena hari pekerja ini kita (Protes) harap segala tuntutan khususnya gaji minima ini diambil serius oleh para majikan untuk mengeluarkan para pekerja kita daripada kongkongan kemiskinan dan mula bergerak ke arah pendapatan sederhana, kalau pun tidak melebihi RM2,000 sebulan," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Bendahari PAS itu juga menegaskan, untuk memastikan golongan pekerja terbanyak ini dapat menyumbang kepada produktiviti negara, majikan seharusnya terlebih dahulu menimbangkan segala tuntutan mereka.

"Kita mengharapkan kumpulan pekerja yang teramai ini diperkasakan supaya kita mendapat pekerja yang produktif.

"Ini bermakna para majikan harus menimbangkan tuntutan-tuntutan yang wajar seperti gaji minima,elaun perumahan dan sebagainya supaya isu ini tidak membebankan para pekerja adan menyebabkan produktiviti mereka terjejas," katanya yang juga ahli Parlimen Kuala Krai.

Selain itu, beliau turut menggesa kerajaan memberikan jaminan tidak akan menaikkan harga barang keperluan asas supaya golongan berpendapatan rendah dan sederhana dapat menikmati hasil pendapatan mereka dengan lebih baik.

"Untuk menjaga kepentingan golongan pekerja ini, kerajaan seharusnya mengambil langkah yang drastik untuk menangani isu kenaikan harga barang dan berjanji tidak akan menaikkan harga-harga barangan penting seperti minyak dan sebagainya supaya pekerja dapat menikmati hasil pendapatan mereka lebih baik dan juga mengekang inflasi daripada terus naik," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng semalam memberi tempoh selama dua bulan untuk kerajaan menurunkan harga barang yang telah naik selain menjelaskan perangkaan inflasi negara yang tenat di sebalik pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika.

Lim berkata, pengukuhan matawang negara lazimnya membawa kesan kepada dua perkara iaitu mengurangkan daya saing industri eksport negara dan mengurangkan inflasi kerana barangan import telah menjadi lebih murah.

Namun anehnya apabila ringgit semakin kukuh, tiada tanda-tanda bahawa kadar inflasi akan berkurangan.

Lim berkata berdasarkan perangkaan kerajaan, kadar inflasi sejak tiga bulan lalu dicatatkan pada kadar 2.8 peratus.

"Kenapa kita tidak lihat harga barangan di luar negara turun tetapi di Malaysia harga barang terus naik? Adakah awak lihat harga tepung susu turun. Semua ini diimport.

"Kita adalah rakyat yang bertolak ansur. Kita beri dua bulan lagi untuk harga barangan turun. Jika tidak kerajaan mesti berikan jawapannya,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat DAP, dekat sini, semalam.

Harakahdaily/-
Oleh : Hazayani Zakaria

Kawal permainan ganas komputer, telefon bimbit

23 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 27 April: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan supaya sentiasa berjaga-jaga dalam usahanya untuk mengawal ancaman permainan komputer dan telefon bimbit yang ganas ke atas masyarakat.

Presidennya, S M Mohamed Idris (gambar) berkata, banyak kajian sedia ada yang mengaitkan permainan online ganas dengan sikap keagresifan dalam kalangan kanak-kanak.

Tambahnya, terdapat juga kajian, tetapi amat sedikit yang mendakwa sebaliknya.

“Bagaimanapun penyelidik yang berkelayakan dan mereka yang membiayai kajian seharusnya memberitahu kita yang boleh diyakini,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurutnya, adalah sesuatu yang logik dan munasabah iaitu siapa sahaja terutama sekali kanak-kanak pada usia yang mudah terpengaruh dengan melihat atau melakukannya atau apa sahaja perkara yang negatif yang memenuhi masa mereka mempunyai kesan yang akan memberikan kesan merosakkan ke atas jiwa mereka.

“Kita telah melihat banyak jenayah remaja di negara barat yang dicetuskan oleh permainan komputer dan video ganas,” ujarnya.

Menurutnya lagi, menafikan hakikat ini sepertilah menyembunyikan perkara sebenar dan tidak mempedulikan bahaya sebenar.

“Dalam masyarakat hari ini, termasuk Malaysia, kita mempunyai terlalu banyak “tindak balas” keganasan malah kepada insiden kecil seperti dalam kes pembuli jalan raya,” ujarnya.

Di Thailand, katanya beberapa tahun yang lalu, seorang penjenayah telah meniru permainan komputer menyebabkan pengedar tunggal yang sah permainan itu telah menghentikan penjualan permainan itu dan memutuskan untuk tidak mengimport versi yang seterusnya, yang keempat daripada siri itu.

Katanya lagi, kini masyarakat sedang memasuki satu lagi dimensi dengan bidang baru berupa permainan melalui telefon bimbit.

Di Korea, tambahnya peratusan besar lebih daripada 700,000 kanak-kanak dengan telefon pintar menggunakannya untuk bermain permainan online, oleh itu telah membawa kepada kira-kira 50 persatuan ibu bapa di sana menggesa supaya larangan bermain permainan komputer online pada waktu malam bagi mereka yang berusia di bawah 16 tahun dikenakan juga kepada telefon bimbit.

Beliau berkata, tindakan proaktif untuk melindungi masyarakat Malaysia juga perlu jalan yang pintar, sebagai ganti melaksanakan sikap “tunggu dan lihat” untuk melihat jika jenayah seperti itu berlaku atau menuntut kaitannya sebelum mengambil langkah.

Tambahnya, “sampah masuk, sampah keluar” jelas menunjukkan kesan permainan ganas yang kini dengan mudah boleh diperolehi daripada komputer riba, i-Phones dan telefon pintar lain.

Justeru, ujarnya CAP menggesa pihak Kementerian mengambil langkah segera untuk menghapuskan permainan yang sama dan memberi amaran kepada pengguna terutama sekali ibu bapa akan pengaruh negatif terhadap anak-anak mereka.

Harakahdaily/-

10 rakyat Malaysia ditahan cuba seludup dadah

23 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

Sekumpulan 10 rakyat Malaysia hari ini ditahan kerana cuba menyeludup masuk dadah jenis methamphetamine ke New Zealand. Menurut pegawai kastam negara itu mereka didapati menyembunyikan dadah berkenaan di dalam kasut mereka.

Penyeludup yang terdiri daripada lapan lelaki dan dua wanita berusia dalam lingkungan awal 20-an dan lewat 60-an, ditahan di lapangan terbang Auckland, semalam (waktu tempatan).

Kastam New Zealand berkata, mereka ditahan selepas mendarat di lapangan terbang berkenaan bersama-sama kumpulan yang melancong ke negara itu menerusi penerbangan dari Malaysia.

Pengurus kastam bahagian penyiasatan dadah, Mark Day, berkata penahanan itu adalah penyeludupan terbesar pernah dilakukan dalam satu tangkapan dengan membabitkan sempadan New Zealand.

Malaysiakini/-

Kerajaan diminta jelaskan kadar inflasi yang tinggi

23 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

Kerajaan diminta menjelaskan perangkaan inflasi negara yang tenat di sebalik pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika.

Setiausaha agung DAP Lim Guan Eng, yang juga seorang bekas akauntan bertauliah berkata perkara itu bercanggahan dengan norma ekonomi.

Hujah Lim, pengukuhan matawang negara lazimnya membawa kesan kepada dua perkara - mengurangkan daya saing industri eksport negara dan mengurangkan inflasi kerana barangan import telah menjadi lebih murah.

Namun, yang anih apabila ringgit semakin kukuh, tiada tanda-tanda bahawa kadar inflasi akan berkurangan.

Lim berkata berdasarkan perangkaan kerajaan, kadar inflasi sejak tiga bulan lalu dicatatkan pada kadar 2.8 peratus.

"Kenapa kita tidak lihat harga barangan turun tetapi tetap BN atau barang naik? Adakah awak lihat harga tepung susu turun. Semua ini diimport.

"Kita adalah rakyat yang bertolak ansur. Kita beri sebulan lagi untuk harga barangan turun. Jika tidakj kerajaan mesti berikan jawapannya,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur.

"Entah mana silapnya, ke mana wang untuk pergi?”

Semalam, ringgit ditutup pada paras tertinggi dalam 13 tahun iaitu RM2.995 berbanding dolar Amerika yang turut merudum berbading matawang antarabangsa yang lain.

Malaysiakini/-

Mahfuz Omar: Pekung sudah terbuka

23 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

Timbalan Ketua Polis Negara (TKPN) yang baru Datuk Khalid Abu Bakar (gambar) mengumumkan bahawa PDRM tidak lagi menggunakan kaedah menyorok di belakang tiang dan belukar dalam mengendalikan operasi perangkap laju di jalanraya.

Sebaliknya ujar beliau, PDRM akan tampil secara terbuka dalam proses penguatkuasaan undang-undang termasuk peraturan lalulintas.

Beliau seterusnya memberikan peringatan bahawa dengan pendekatan baru ini jika pengguna jalanraya disaman, mereka perlu menjelaskannya.

Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (KASE) mengalu-alukan pengumuman tersebut kerana secara tidak langsung ia mengesahkan perjuangan KASE selama ini bahawa tindakan menyorok di belakang tiang, menyorok di dalam belukar dan di atas jejantas dalam operasi perangkap laju yang disusuli dengan Saman Ekor adalah bukan suatu cara pendidikan undang-undang yang baik.

KASE menyambut baik tindakan ini kerana ia bukan sahaja lebih efisyen dan telus malah boleh menyelesaikan masalah-masalah lain seperti penggunaan nombor pendaftaran palsu dan secara tidak langsung mendidik pengguna jalanraya supaya memandu dengan berhemah.

Walaubagaimana pun pengumuman TKPN tersebut juga telah membuka pekung mereka kerana jelas selama ini mereka melakukan tindakan secara tidak wajar.

Undang-undang dan peraturan bukan untuk mengenakan mana-mana pihak tetapi adalah bertujuan mengawal keharmonian dan keselamatan masyarakat. Tindakan menyorok di belakang tiang dan sebagainya yang dilakukan PDRM sejak lebih dua dekad sudah terbukti bukan pendekatan yang baik dan wajar.

Pengumuman TKPN ini adalah suatu permulaan yang baik tetapi ia telah membuka beberapa persoalan lain yang perlu diperjelaskan oleh pihak berkuasa seperti PDRM dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Persoalannya, kenapa setelah lebih dua dekad baru PDRM menyedari bahawa tindakan tersebut tidak cekap, tidak efisyen malah telah menimbulkan pelbagai masalah kepada pengguna jalanraya. Kita merasakan amat malang mempunyai agensi penguatkuasa yang lembab dalam mengenalpasti cara perlaksanaan undang-undang dan peraturan.

Setelah berapa banyak rakyat disusahkan dan dipaksa membayar kompaun tanpa sebarang bukti kesalahan, barulah PDRM sedar tindakan tersebut tidak efisyen dan mengumumkan tidak akan digunakan lagi. Kenapa baru sekarang mereka sedar?

Notis Pol 170A atau lebih popular dikenali sebagai “Saman Ekor” dikeluarkan ekoran perlaksanaan perangkap laju secara menyorok oleh PDRM. Apabila TKPN mengumumkan teknik menyorok tidak lagi akan digunakan, apakah status “Saman Ekor” yang dikeluarkan dahulu?

Apakah status “Saman-saman Ekor” yang sudah dibayar ekoran paksaan PDRM dengan ugutan menyenarai hitam pemilik kenderaan? KASE berpendapat bahawa “Saman-saman Ekor” yang dikeluarkan dan terdapat di dalam sistem PDRM sebelum pengumuman TKPN dibuat hendaklah dihapuskira.

Ini kerana “Saman-saman Ekor” tersebut dikeluarkan secara tidak telus malah lebih kepada penyalahgunaan peraturan oleh pihak PDRM. Adalah lebih baik melupuskan sahaja daripada membuang masa dan tenaga untuk menguatkuasakan sesuatu yang tidak betul.

KASE seterusnya ingin mendapatkan penjelasan lanjut daripada PDRM dan JPJ berkaitan proses penguatkuasaan perangkap hadlaju. Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010 (APJ 2010) mula berkuatkuasa pada 1/2/2011.

Melalui APJ 2010 Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) akan dilaksanakan di mana ia merangkumi kesalahan-kesalahan seperti memandu melebihi hadlaju, tidak mematuhi lampu isyarat dan memandu kenderaan selain bas di lorong bas. Sistem ini akan dikendalikan oleh dua syarikat swasta iaitu Beta Tegap Sdn Bhd dan Commercial Circle (M) Sdn Bhd.

Pengenalan AES melalui APJ 2010 ini menggambarkan bahawa semua perangkap hadlaju akan dikendalikan hanya oleh dua syarikat swasta ini. Apakah status saman-saman yang dikeluarkan oleh PDRM sejak 1/2/2011 ini? Tidakkah ianya bertindih dengan AES?

Penjelasan perlu diberikan supaya tidak ada penguatkuasaan bertindih dilakukan di mana pengguna akan terbeban dan dizalimi. Adakah dengan pengenalan dan perlaksanaan AES ini bermaksud PDRM tidak lagi menjalankan operasi perangkap hadlaju?

Rakyat Malaysia juga secara keseluruhannya perlu faham bahawa APJ 2010 yang mula berkuatkuasa pada 1/2/2011 telah memperakui “Saman Ekor” malah penguatkuasaan “Saman Ekor” pada masa depan tidak lagi bermusim malah secara 24 jam tanpa henti.

Perlu diambil perhatian bahawa “Saman Ekor” di bawah APJ 1987 ialah Notis meminta maklumat di bawah Seksyen 115 APJ 1987 tetapi di bawah APJ 2010, Saman Ekor adalah saman yang sah bukan lagi notis.

Walau pun PDRM mengumumkan bahawa mereka tidak lagi menyorok tetapi apa yang lebih teruk ialah penguatkuasaan peraturan dan undang-undang jalanraya selepas ini sudah diswastakan.

Akhirnya KASE mendesak kerajaan menghapuskira Saman-saman ekor yang lama dan seterusnya memperbanyakkan kempen penerangan berkaitan AES dan juga kesan Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010 kepada rakyat keseluruhannya. KASE berpendapat APJ 2010 yang diperkenalkan masih tidak difahami oleh rakyat. Bagaimana hendak kuatkuasakan undang-undang jika rakyat tidak pernah diberikan pemahaman dan maklumat.

Penulis adalah Naib Presiden PAS Merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (KASE).

Harakahdaily/-
Oleh : Datuk Mahfuz Omar

Kes Sarbani : AG Arah Polis Soal Siasat Seorang Lagi Saksi

23 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 27 APRIL : Pejabat Peguam Negara telah memulangkan kertas siasatan kes kematian penolong pengarah Kastam Diraja Malaysia Ahmad Sarbaini Mohamed dan mahu polis menemu bual seorang lagi saksi sebelum menentukan tindakan susulan.

Laporan media menyebut, kertas siasatan itu dipulangkan kepada Polis Diraja Malaysia semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Zulkifli Abdullah berkata pihaknya telah diminta mendapatkan keterangan daripada seorang lagi saksi sebelum Peguam Negara boleh menentukan tindakan selanjutnya.- The Malaysian Insider

Tv Selangor/-

Letupan Gegar Terminal Gas Mesir

23 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

EL-ARISH, MESIR 27 APRIL : Pegawai keselamatan Mesir berkata letupan di terminal gas di sempadan dengan Israel menyebabkan api menjulang dan memaksa penutupan saluran paip.

Ia adalah serangan kedua di terminal al-Sabil berhampiran bandar El-Arish.

Pada 27 Mac lalu, bahan letupan dipasang pada terminal itu oleh lelaki bersenjata tetapi gagal diletupkan. - AP

Gempa bumi sederhana landa Indonesia

23 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Satu gempa bumi sederhana berukuran 5.5 pada skala Richter melanda Indonesia pada pukul 5.43 pagi ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan berkata pusat gempa itu terletak di kedudukan 666 kilometer tenggara Ambon di Indonesia dan 1,674 kilometer tenggara Sarikei, Sarawak.

Gempa bumi itu tidak membawa ancaman tsunami kepada Malaysia.

Sinar Harian/-

Kami tidak menang tanpa sokongan bukan Cina - DAP

23 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 26 April: Kemenangan 12 kerusi daripada 15 kerusi yang ditandingi DAP pada pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini adalah kerana DAP turut disokong oleh pengundi bukan Cina serta faktor pengundi bandar dan luar bandar.

Jelasnya, tanpa sokongan sekurang-kurangnya 25 peratus pengundi bukan Cina, DAP tidak akan dapat memenangi 12 kerusi itu.

"Tanpa sokongan daripada pengundi bukan Cina, kita tidak dapat menang 12 kerusi dan secara purata sokongan pengundi bukan Cina ialah 32 peratus. Ini analisa yang kita buat," kata beliau pada sidang media di ibu Pejabat DAP, dekat sini hari ini.

Beliau dipercayai mengulas kenyataan para pemimpin Umno dan media mereka kononnya DAP menang di Sarawak kerana memainkan sentimen perkauman.

Sedangkan bagi DAP, mereka menjadikan isu penyalahgunaan kuasa oleh Ketua Menteri Taib Mahmud sebagai modal kempen utama mereka.

Guan Eng berkata, DAP juga menang di kebanyakan kawasan bandar, berbeza dengan BN yang memenangi kerusi di pedalaman dan luar bandar.

Ini menunjukkan pengundi yang bermaklumat di bandar akan menyokong Pakatan manakala pengundi tanpa maklumat yang cukup di luar bandar boleh dimanipulasikan oleh BN.

"Perbezaan undi yang kita dapat bukan berdasarkan kaum tapi berdasarkan lokasi, faktor geografi iaitu luar bandar dan bandar. BN hanya menang di kawasan pedalaman.

"Yang paling tinggi DAP menang ialah Kidorong, kita dapat sokongan 63 peratus pengundi bukan cina dengan majoriti 7,000 undi. Tanpa sokongan bukan Cina DAP tak mungkin dapat undi sebegini," katanya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

Analisa ini tegasnya sekaligus menafikan dakwaan Umno BN bahawa DAP menang banyak kerusi di Sarawak kerana semangat perkauman.

Menurutnya, rakyat Sarawak sendiri yang mahukan perubahan dan menolak kepimpinan Ketua Menterinya, Tan Sri Taib Mahmud yang penuh dengan salah guna kuasa.

"Percubaan Umno untuk cuba menjadikan keputusan pilihan raya negeri Sarawak sebagai satu isu perkauman adalah satu tindakan terdesak yang cuba menafikan sebab sebenarnya mereka kalah di sarawak.

"Tiga sebab utama mereka hilang lapan peratus undi popular ialah rakyat sarawak mahukan perubahan setelah lama diperintah Taib Mahmud, tak mahu rasuah berterusan dan mahu urus tadbir yang baik," katanya.

DAP, PKR dan PAS berjaya mengurangkan lapan peratus undi popular BN daripada 63 peratus pada pilihan raya tahun 2006 kepada 55 peratus dalam pilihan raya baru-baru ini.

Namun yang menghairankan DAP adalah, BN berjaya mendapat 77 peratus kerusi walaupun undi popular yang diperolehinya hanya 55 peratus.

"Ini adalah satu kezaliman BN dalam persempadanan kerusi pilihan raya di Sarawak," kata Guan Eng.

DAP cabar Wan Ahmad

Dalam pada itu, Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua mencabar Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), datuk Wan Ahmad Wan Omar agar memberikan penjelasan yang lebih berhubung dakwaannya terhadap DAP.

Wan Ahmad mendakwa, seorang calon DAP telah memainkan sentimen perkauman apabila dalam satu ucapan tertutupnya berkata, "Sudah cukup orang Melanau menjadi Ketua Menteri."

Wan Ahmad berkata, dia hanya memetik kata-kata Menteri Penerangan, Datuk Sri Rais Yatim.

"Ini bukan kenyataan dari seorang pemimpin badan bebas seperti SPR.

"Saya menuntut Wan Ahmad memberikan penjelasan yang lebih lagi kerana penjelasan ini tidak cukup untuk beliau menuduh DAP bersikap perkauman kerana tidak ada bukti yang diberikan, hanya berkata Rais yang kata begitu.

"Jika tidak, saya difahamkan DAP Sarawak akan mengambil tindakan yang sewajarnya," kata beliau.

Harakahdaily/-

Yuran naik: Siswa tuntut UIAM beri penjelasan

23 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 27 April: Mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) hari ini dikejutkan dengan kenaikan yuran pengajian yang akan bermula semester 1 sesi 2011/2012.

Kenaikan itu disedari sendiri oleh beberapa mahasiswa termasuk pimpinan mahasiswa, SRC yang mendedahkan penyata yuran yang baru untuk mahasiswa Malaysia.

Mahasiswa UIAM dalam satu kenyataan menyatakan hal itu sangat dikesali mereka apabila diputuskan semasa cuti semester.

Dalam penyata yuran yang baru tersebut, kenaikan yuran pengajian bertambah sebanyak RM37.50 untuk setiap kuliyyah.

Jumlah kenaikan yang dibuat tidaklah terlalu melampau, namun satu penjelasan yang sewajarnya mesti diberikan oleh pihak pentadbiran UIAM kepada mahasiswa.

Mahasiswa tidak rela untuk membayarnya andai kenaikan tersebut sedikit pun tidak memberi manfaat kepada mahasiswa.

Berdasarkan penyata yuran yang baru juga, peningkatan yuran dikenakan adalah untuk menampung perbelanjaan transportation iaitu bas.

Pihak mahasiswa membantah setegas-tegasnya kenaikan yuran itu, antaranya kerana:

1) Mahasiswa yang menggunakan perkhidmatan bas tidak sampai 10 peratus.

2) UIAM dikenali sebagai 'walking university', tidak wajar untuk memperuntukkan kewangan yang lebih untuk bas.

3) Yuran bas dikenakan, namun sebarang penggunaan bas untuk persatuan tetap dimasukkan dalam bajet kewangan program.

4) Penyediaan bas untuk program kegunaan persatuan-persatuan adalah menjadi tanggungjawab pentadbiran, tanggungan kos di bawah penyeliaan pentadbiran bukan mahasiswa.

5) Manfaat bas tidak meliputi seluruh mahasiswa UIAM.

Mahasiswa tidak bersetuju sama sekali dengan kenaikan yuran yang dibuat oleh pihak UIAM.

Pada masa yang sama, pinjaman dan biasiswa masih seperti biasa tanpa kenaikan membuatkan mahasiswa merasai sedikit bebanan untuk membuat bayaran yuran yang baru ini.

Justeru, mahasiswa menggesa seluruh organisasi mahasiswa yang berdaftar mahupun tidak berdaftar untuk lebih responsif dan proaktif dalam menjaga kebajikan mahasiswa.

Perkara sebegini tidak boleh dipandang mudah oleh mana-mana pihak kerana ia melibatkan hak mahasiswa.

Mereka berharap pihak pentadbiran lebih cenderung untuk melihat keadaan mahasiswa berbanding kepentingan sendiri.

Harakahdaily/-

Bonda Raja DiHilir Perak mangkat

23 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

IPOH: Bonda Raja DiHilir Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Che Puan Besar Datuk Wan Rafidah Wan Ahmad Rasdi mangkat di sebuah hospital swasta di sini, malam tadi.

"Allahyarham yang berusia 78 tahun, meninggal dunia kira-kira jam 8.15 malam," kata jurucakap kerajaan negeri Perak.

Jenazah balu kepada Almarhum Raja Muda Musa itu selamat disemadikan di Makam Diraja Kuala Kangsar selepas solat Zohor hari ini. - BERNAMA

Dukung Isteri Tak Bernyawa

23 Jamadilawal 1432H. [MOD] -



JOHOR BAHRU: Seorang lelaki pada mulanya dianggap wira apabila mendukung isterinya yang tidak sedarkan diri untuk mendapat rawatan di klinik di Bandar Baru Uda, di sini, kerana dikatakan akibat penyakit asma.

Namun, persepsi terhadap lelaki berusia lewat 20-an itu bertukar sejurus kemudian apabila dia gagal memberi penjelasan mengenai kesan jerut yang terdapat pada leher isterinya yang disahkan sudah meninggal dunia, sebelum melarikan diri.

Sumber polis berkata, ketika lelaki itu muncul di klinik berkenaan pada kira-kira jam 3 pagi semalam keadaannya memang agak mencurigakan kerana dia kelihatan seperti menggelabah.

“Malah dia bersungguh-sungguh meminta doktor memasang alat bantuan pernafasan kepada isterinya dengan harapan wanita akan kembali bernafas. Bagaimanapun usaha itu sia-sia kerana menurut doktor isterinya sudah meninggal dunia ketika di bawa ke klinik berkenaan,” katanya.

Sumber itu berkata, ketika pemeriksaan dijalankan terhadap mangsa, doktor menemui kesan jerutan pada leher wanita berkenaan dan sejurus dimaklumkan kepada lelaki itu, dia mula menggelabah dan keluar dengan alasan mahu menghubungi ahli keluarganya sebelum menghilangkan diri.

“Identiti lelaki dan wanita berkenaan tidak diketahui berikutan mereka tidak membawa sebarang dokumen pengenalan diri ketika mendaftar dan ditambah pula, ketika itu keadaan agak kelam-kabut,” katanya.

Menurut sumber, kakitangan klinik itu kemudian menghubungi polis dan wanita berkenaan kemudian dihantar ke hospital untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU), Asisten Komisioner Ruslan Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian dan kes disiasat.

“Kami akan meneliti rakaman kamera litar tertutup klinik berkenaan untuk mengenal pasti identiti lelaki terbabit,” katanya

Selaraskan fatwa agar tidak jadi bahan gurauan

23 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

KUANTAN, 26 April: Sesuatu fatwa yang ingin diputuskan perlu diselaraskan terlebih dahulu untuk mengelakkannya menjadi bahan gurauan dan mainan ketawa orang ramai, nasihat Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar).

Dalam satu kenyataannya ke Harakahdaily hari ini, Tuan Ibrahim berkata walaupun terdapat sedikit kesukaran dalam menyelaraskan fatwa kerana ada yang tertakluk di dalam bidang kuasa negeri, namun perkara ini perlu diselesaikan dengan baik dan tegas kerana fatwa yang berbeza akan menyusahkan rakyat.

“Biasanya kalau asas pengharaman itu sama, maka tidak timbul fatwa berbeza antara negeri-negeri.

Akan tetapi, disebabkan tiadanya penyelarasan antara ahli-Ahli Majlis Fatwa Kebangsaan, maka terjadinya perkara seperti ada negeri yang terlalu laju dalam memberi fatwa berbanding Majlis Fatwa Kebangsaan. Jadi, implikasi daripada fatwa itu menjadi sangat besar,” terangnya.

Tuan Ibrahim, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang turut mengambil contoh fatwa larangan merokok di Pahang sebagai hujah betapa pentingnya proses penyelarasan fatwa yang dicadangkannya.

“Seperti Pahang yang mengharamkan merokok, sedangkan negeri lain belum mengharamkannya. Ini bermakna kalau seseorang menghisap rokok, bilamana ia melepas terowong ke Pahang mesti dipadamkan rokoknya,” katanya.

Disebabkan ketidaksetaraan fatwa seperti itu, ujarnya, akan menganiaya sesuatu fatwa sehingga menjadi satu bahan gurauan dan mainan tertawa orang ramai.

“Ini akan merendah-rendahkan sesuatu fatwa itu,” tambah Tuan Ibrahim.

Beliau turut berkata perkara yang sama turut berlaku dalam isu fatwa tarian poco-poco di mana, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria telah terlebih dahulu memutuskan bahawa tarian poco-poco adalah haram untuk orang Muslim di negeri Perak telah menimbulkan pelbagai pertikaian daripada pelbagai pihak.

Perkara ini menjadi lebih mengelirukan untuk umat Islam, Jumaat lalu, apabila Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin dipetik sebagai berkata bahawa umat Islam boleh mengamalkan tarian atau senaman itu selagi mematuhi panduan termasuk etika berpakaian, tiada pergaulan bebas, mistik, ritual, kebatinan, tahyul dan khurafat yang boleh jejaskan akidah.

Walaupun berbeza dengan fatwa negeri Perak, Abdul Shukor turut dipetik sebagai berkata bahawa jawatankuasa itu menghormati keputusan negeri tersebut untuk mengharamkan poco-poco sejak Januari lalu.

Namun begitu, perkara ini dinafikan Harrusani hari ini.



Harussani terkejut

“Dalam mesyuarat kita tidak bincangkan langsung pasal tarian poco-poco, apa yang berlaku saya hanya memberikan penerangan kenapa ia diharamkan . . . kita tidak bincangkan secara umum isu ini.

“Sebab itu saya terkejut apabila dalam akhbar kata Majlis Fatwa Kebangsaan benarkan tarian poco-poco di negeri lain, kita tidak bincangkan pun perkara ini... jadi bagaimana boleh kata macam itu,” kata Harussani (gambar) yang dipetik The Malaysian Insider, sambil menambah bahawa beliau sudah mendapatkan penjelasan Abdul Shukor dan dimaklumkan media telah salah faham.

Dalam pandangannya terhadap perkara ini, Tuan Ibrahim mengingatkan bahawa fatwa bukan direka untuk menjaga hati mana-mana pihak dan dibuat berdasarkan garis panduan yang mengikuti peraturan syarak.

“Oleh itu, PAS menggesa seluruh umat Islam menghormati sesuatu fatwa yang telah dikeluarkan,” katanya.

Bagi golongan yang tidak dibekalkan asas agama yang cukup dalam memahami kaedah syarak, beliau menasihatkan mereka untuk membuat kajian, penelitian dan memahami kaedah syarak untuk pengambilan sesuatu hukum sebelum membuat sebarang ulasan dan pertikaian terhadap fatwa yang dikeluarkan.

“Apakah mereka membuat kajian, penelitian dan memahami kaedah pengambilan sesuatu hukum terlebih dahulu sebelum mempertikaikannya?

Namun, persoalan ini timbul mungkin kerana kegagalan kerajaan melalui kementerian menjadikan mata pelajaran agama sebagai mata pelajaran teras dalam mana-mana peperiksaan, sehinggakan ada golongan yang tidak memahami agama secara mendalam sanggup mempertikaikan pandangan Majlis Fatwa Kebangsaan,” katanya dengan kesal.

Harakahdaily/-

Kilang Mesin Taip Terakhir di dunia ditutup

23 Jamadilawal 1432H. [MOD] -


MUMBAI, India - Syarikat Godrej and Boyce yang menjadi pengeluar mesin taip terakhir di dunia terpaksa menghentikan operasinya dan hanya meninggalkan beberapa ratus buah mesin taip dalam stoknya sebelum dijual kepada orang ramai, lapor sebuah akhbar semalam.

Penutupan kilang itu dipercayai akibat permintaan terhadap mesin taip semakin berkurangan sejak 10 tahun lalu selepas orang ramai beralih kepada komputer.

TUGAS mesin taip sudah diambil alih sepenuhnya oleh gajet lebih canggih terutama komputer

Pengurus Besar Godrej and Boyce, Milind Dukle berkata kepada akhbar tempatan India, Business Standard: "Kami tidak menerima banyak permintaan sekarang. Sejak awal tahun 2000, penggunaan komputer terus mendominasi pengguna di seluruh negara. Semua syarikat yang mengeluarkan mesin taip menghentikan operasi masing-masing kecuali kami.

"Sehingga tahun 2009, kami hanya menghasilkan 10,000 hingga 12,000 mesin taip setahun. Mungkin sekarang adalah waktu terbaik buat pengguna mesin taip untuk mendapatkan produk terakhir kami."

Syarikat itu memulakan perniagaan sejak tahun 1950-an selepas bekas Perdana Menteri, Jawaharlal Nehru menganggap mesin taip sebagai simbol pengembangan kemerdekaan dan industri di India.

Terdapat sebanyak 200 buah mesin taip ada dalam stok syarikat tersebut. Majoritinya terdiri daripada model dengan aksara bahasa Arab.

Pada awal 1990-an, Godrej and Boyce menjual 50,000 unit mesin taip setiap tahun. Tetapi pada tahun lalu, ia hanya dapat menjual 800 unit sahaja. 

Agensi