27 April 2011

Kawal permainan ganas komputer, telefon bimbit

23 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 27 April: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan supaya sentiasa berjaga-jaga dalam usahanya untuk mengawal ancaman permainan komputer dan telefon bimbit yang ganas ke atas masyarakat.

Presidennya, S M Mohamed Idris (gambar) berkata, banyak kajian sedia ada yang mengaitkan permainan online ganas dengan sikap keagresifan dalam kalangan kanak-kanak.

Tambahnya, terdapat juga kajian, tetapi amat sedikit yang mendakwa sebaliknya.

“Bagaimanapun penyelidik yang berkelayakan dan mereka yang membiayai kajian seharusnya memberitahu kita yang boleh diyakini,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurutnya, adalah sesuatu yang logik dan munasabah iaitu siapa sahaja terutama sekali kanak-kanak pada usia yang mudah terpengaruh dengan melihat atau melakukannya atau apa sahaja perkara yang negatif yang memenuhi masa mereka mempunyai kesan yang akan memberikan kesan merosakkan ke atas jiwa mereka.

“Kita telah melihat banyak jenayah remaja di negara barat yang dicetuskan oleh permainan komputer dan video ganas,” ujarnya.

Menurutnya lagi, menafikan hakikat ini sepertilah menyembunyikan perkara sebenar dan tidak mempedulikan bahaya sebenar.

“Dalam masyarakat hari ini, termasuk Malaysia, kita mempunyai terlalu banyak “tindak balas” keganasan malah kepada insiden kecil seperti dalam kes pembuli jalan raya,” ujarnya.

Di Thailand, katanya beberapa tahun yang lalu, seorang penjenayah telah meniru permainan komputer menyebabkan pengedar tunggal yang sah permainan itu telah menghentikan penjualan permainan itu dan memutuskan untuk tidak mengimport versi yang seterusnya, yang keempat daripada siri itu.

Katanya lagi, kini masyarakat sedang memasuki satu lagi dimensi dengan bidang baru berupa permainan melalui telefon bimbit.

Di Korea, tambahnya peratusan besar lebih daripada 700,000 kanak-kanak dengan telefon pintar menggunakannya untuk bermain permainan online, oleh itu telah membawa kepada kira-kira 50 persatuan ibu bapa di sana menggesa supaya larangan bermain permainan komputer online pada waktu malam bagi mereka yang berusia di bawah 16 tahun dikenakan juga kepada telefon bimbit.

Beliau berkata, tindakan proaktif untuk melindungi masyarakat Malaysia juga perlu jalan yang pintar, sebagai ganti melaksanakan sikap “tunggu dan lihat” untuk melihat jika jenayah seperti itu berlaku atau menuntut kaitannya sebelum mengambil langkah.

Tambahnya, “sampah masuk, sampah keluar” jelas menunjukkan kesan permainan ganas yang kini dengan mudah boleh diperolehi daripada komputer riba, i-Phones dan telefon pintar lain.

Justeru, ujarnya CAP menggesa pihak Kementerian mengambil langkah segera untuk menghapuskan permainan yang sama dan memberi amaran kepada pengguna terutama sekali ibu bapa akan pengaruh negatif terhadap anak-anak mereka.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: